Siti Nurhaliza Belum Bersedia Sertai Politik
February 8th, 2007 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Bernama (M)
SEMAI BAKTI… Datuk Siti Nurhaliza (berbaju merah) bergambar kenang-kenangan bersama sebahagian penghuni rumah kebajikan Rumah Kanak-kanak Ini Disayangi (K.I.D.S) selepas menyerahkan replika kunci van kepada rumah kebajikan itu. Turut kelihatan Pengarah Urusan AEON Co (M) Bhd Nagahisa Oyama (tiga dari kiri). Foto: Razali Nordin
SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) — Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin akan terus menumpukan perhatian kepada bidang nyanyian dan belum bersedia membabitkan diri dalam dunia politik.
“Ramai juga yang bertanyakan soalan bila saya nak masuk politik tapi saya rasa sekarang ini nak tumpukan pada bidang nyanyian dulu. Bukan masanya lagi,” katanya kepada pemberita selepas hadir sebagai Duta Yayasan Jusco Malaysia menyerahkan bantuan kepada Rumah Kanak-Kanak Ini Disayangi (K.I.D.S) di sini.
Siti berkata walaupun tidak merancang membabitkan diri dalam politik buat masa sekarang, penyanyi itu akan terus memberi sokongan kepada bidang itu mahupun kerajaan.
“Sokongan itu tetap ada… saya selalu hadiri dan menyertai majlis anjuran kerajaan. Itu adalah sokongan saya,” katanya.
Penyanyi itu diminta mengulas mengenai laporan akhbar pada minggu lepas yang menyebut Siti merancang untuk aktif dalam bidang politik dan semakin berminat mendalami dunia itu.
“Mungkin orang tengok saya dan suami banyak turun padang dan memberi bantuan kebajikan jadi orang ingat saya sudah berminat dalam politik sekarang,” katanya.
Ditanya mengenai penubuhan sebuah organisasi kebajikan, Yayasan Nur Jiwa milik Siti dan suami, Datuk Khalid Muhammad Jiwa, Siti berkata beliau kini amat senang melakukan kerja-kerja kebajikan selain sibuk dalam kariernya sebagai penyanyi.
Katanya tanggungjawab yang dipikul sebagai duta Yayasan Jaya Jusco tidak pernah menimbulkan masalah kepadanya untuk menumpukan perhatian kepada yayasan miliknya dan suami.
– BERNAMA