Dengarnya.. Yuna Lawan Wonder Girls
Hip
Dengarnya.. Yuna lawan Wonder Girls
Oleh Normah Becok
2012/02/24
CIK Normah memang berbangga apabila artis muda negara, Yuna, turut dipilih sebagai finalis Anugerah Tahunan Pilihan Kanak-Kanak ke-25, dalam kategori Artis Kegemaran Asia.
Yalah, kalau dilihat kepada calon akhir lain, memang bukan sebarangan nama yang mengisi tiga lagi tempat dalam kategori terbabit. Selain Yuna, calon lain ialah penyanyi Indonesia, Agnes Monica, Charice (Filipina) dan Wonder Girls (Korea).
Anugerah anjuran Nickelodeon itu yang diterajui bintang handalan, Will Smith, akan disiarkan secara langsung dari Pusat Galen USC di Los Angeles pada 31 Mac.
Walaupun ia sebuah acara yang menyaksikan pilihannya dilakukan peminat kecil, namun ia tetap mendapat sokongan daripada nama besar industri hiburan seperti Jessica Alba, Antonio Banderas, Justin Bieber, Big Time Rush, Jack Black, Ty Burrell, Jim Carrey, Miranda Cosgrove, Tom Cruise, Johnny Depp, Lady Gaga, Selena Gomez, Victoria Justice, Bruno Mars, Taylor Lautner, Danica Patrick, Katy Perry, Michael Phelps, Daniel Radcliffe, Adam Sandler dan Kristen Stewart.
Mulai 1 Mac, kanak-kanak akan dapat membuang undi mereka untuk kesemua 20 kategori di seluruh saluran Nickelodeon, termasuk www.2012KCA.com, Aplikasi Mudah Alih Nick serta halaman Facebook dan suapan Twitter Nickelodeon.
Kalau tak silap Cik Normah, antara artis Malaysia yang pernah menang pada anugerah itu ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi. Tahun ini, tentunya peminat Yuna tidak mahu artis kesayangan mereka berputih mata. Jadi, apa lagi, mulalah kempen undian anda dari sekarang.
Berita Harian
Dengarnya… Single Duet Siti, Sean Kingston Dilancar 1 Mac
Hip
Dengarnya… Single duet Siti, Sean Kingston dilancar 1 Mac
Oleh Normah Becok
2012/02/27
TAHUN lalu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, muncul bersama album Inggeris pertamanya yang berjudul All Your Love. Daripada album berkenaan, dia tampil bersama single Falling In Love.
Cik Normah pun seronok mendengar lagu yang dimuatkan dalam album itu. Apatah lagi kalau didengar versi adunan semula single pertamanya, yang memang boleh buat kita bergoyang sakan.
Pada 1 Mac ini, Siti dikatakan akan melancarkan single keduanya pula yang berjudul Remember You. Lagu itu akan dilancarkan ke semua stesen radio di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei secara serentak.
Lebih istimewa, lagu ciptaan Bryan Bouro dan Alexander Kristian itu dinyanyikan Siti bersama penyanyi terkenal, Sean Kingston, yang popular dengan lagu Beautiful Girls.
Diterbitkan sendiri oleh Bryan, menerusi syarikat What’s Up Entertainment, Remember You diadun di Studio mixHous, Los Angeles, manakala proses mastering pula dilakukan di Oasis Mastering di Burbank, California.
Amboi, jauh benar proses penghasilan single Siti ini dilakukan. Teringat pula Cik Normah pada album Ella yang berjudul USA (1994), yang turut dirakam di Amerika Syarikat. Kalau album Ella itu berjaya terjual melebihi 300,000 unit, mungkin tempiasnya akan terkena juga kepada single dan album Siti.
Berita Harian
Bukan Artis Paling Mahal
Hip
Bukan artis paling mahal
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2012/03/06
SITI bercakap kepada pemberita pada sidang media mengumumkan persembahannya sempena Minggu Setiausaha di Johor Bahru.
Siti teringin rakam lagu, buat persembahan bersama Celine Dion
BANYAK rintangan dan cabaran yang perlu ditempuhi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin selama 17 tahun terbabit dalam industri seni, sebelum mampu meletakkan dirinya pada kedudukan sekarang. Namun, penyanyi yang mesra disapa Siti itu tidak pernah melabelkan dirinya sebagai artis paling mahal di Malaysia.
Meskipun memperoleh kejayaan demi kejayaan dalam dunia muzik dan kini mampu pula muncul sebagai usahawan kosmetik, Siti menganggap pencapaiannya adalah atas daya usaha sendiri dalam mengembangkan jenamanya.
Tidak pernah demand dalam menerima undangan persembahan mahupun meletakkan harga yang mahal, Siti menganggap kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha mahupun hala tuju demi masa depan.
“Siti bersyukur dengan pencapaian yang Siti miliki sekarang kerana bukan sekadar menyanyi, malah Siti juga punya produk sendiri. Tetapi, Siti tidak pernah meletakkan diri sebagai artis paling mahal kerana Siti akan menerima apa saja undangan persembahan asalkan kena dengan kehendak Siti.
“Dakwaan yang mengatakan Siti dibayar setengah juta ringgit untuk persembahan setengah jam di Singapura tahun lalu itu tidak benar. Bayaran yang Siti terima adalah setimpal dengan apa yang Siti persembahkan. Kita kena fikirkan penganjur, pemuzik dan penyanyi latar juga,” katanya.
Walaupun namanya gah di persada industri muzik, Siti menganggap kesederhanaan dalam diri adalah perlu agar tidak dipandang sebagai artis berkelas tinggi atau eksklusif.
Meskipun dilabel sebagai artis nombor satu negara selepas Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Siti mahu dirinya dilihat sebagai artis yang dekat dengan semua golongan masyarakat, tidak mengira status mahupun pangkat.
“Sejak kebelakangan ini Siti jarang dilihat di pentas terbuka seperti konsert jelajah Malaysia yang pernah Siti buat 11 tahun lalu. Insya-Allah Siti nak buat konsert seperti itu lagi secara percuma.
“Malah Siti nak ada satu konsert seperti Allahyarham Sudirman buat di Chow Kit Road, tetapi di lokasi lain. Siti tidak mahu tertumpu kepada persembahan eksklusif saja, bahkan Siti simpan impian nak adakan konsert tradisional juga,” katanya yang akan mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada, Johor Bahru, pada 10 April ini.
Walaupun sudah berada di puncak kegemilangan, Siti berasakan masih banyak impian yang ingin dilaksanakannya termasuk menghasilkan single duet dan mengadakan persembahan bersama idolanya, Celine Dion.
Bercerita mengenai single terbaru, Remember You, yang menyaksikannya berduet bersama Sean Kingston, Siti memberitahu pihaknya kini dalam perancangan untuk menghasilkan klip video untuk lagu berkenaan.
“Ketika ini kami masih menunggu masa yang sesuai untuk merakamkan klip berkenaan. Mungkin ia akan dirakam di Amerika Syarikat ataupun secara berasingan,”
Dengarnya…: TV3 Saluran Eksklusif Perkahwinan Fasha?
Hip
Dengarnya…: TV3 saluran eksklusif perkahwinan Fasha?
Oleh Normah Becok
2012/03/12
Fasha Sandha
AMBOI… Hangat sungguh peminat dan orang media memperkatakan soal perkahwinan pelakon Fasha Sandha dan Jejai pada minggu lalu. Yalah, berhari-hari juga kisah persiapan dan perancangan perkahwinan kedua-duanya disiarkan media. Sampai sekaranglah topik itu menjadi bualan. Daripada abang pemandu teksi sampai ke kakak yang jual tudung di Jalan Tunku Abdul Rahman, semuanya seronok memperkatakan cerita kahwin mereka berdua.
Cik Normah pun tumpang sekaki jugalah memperkatakannya. Maklumlah, yang hendak kahwin bukan calang-calang orang. Jadi, kalau Cik Normah tak masuk campur sama, nanti ada pula peminat cakap Cik Normah ketinggalan kereta kuda.
Alang-alang dah sentuh topik Fasha nak kahwin, yang dikatakan bakal berlangsung pada April ini, Cik Normah pun ada juga terdengar cerita yang perkahwinannya itu akan disiar secara eksklusif oleh stesen penyiaran terkemuka, TV3.
Sebagai penulis ruangan gosip yang prihatin, Cik Normah pun ada juga bertanya pada beberapa teman di stesen TV terkenal itu. Yalah, kalau-kalau mereka ada membuat perancangan istimewa sempena perkahwinan yang menjadi sebutan ramai berkenaan. Apatah lagi Fasha pun bukannya orang lain dengan TV3. Banyak drama lakonannya disiarkan TV terbabit, dan semuanya meletup kababom semuanya.
Tetapi yang Cik Normah dengar setakat ini, sama ada ia disiarkan secara langsung seperti perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dulu, belumlah lagi ada hitam putihnya. Namun kata beberapa teman di Sri Pentas, tak mungkinlah siaran langsung seperti itu diulang semula. Ia hanya berlaku sekali dalam sedekad, adanya.
Paling besar kemungkinannya ialah rakaman eksklusif oleh program berkonsep kewanitaan keluaran stesen TV berkenaan. Itu pun sudah kira hebat sangat. Yalah, bukannya semua majlis kahwin akan dirakam secara eksklusif oleh penerbitan TV3.
Oh ya, khabarnya, kalau ada siaran langsung pula, ia hanyalah membabitkan acara yang diadakan di ibu kota. Untuk kenduri, resepsi, atau majlis lain di luar ibu kota dan di luar negara tu, rasanya mereka tak adalah ikut sama. Mungkin jauh sangat kot, tak larat nanti nak pikul kamera.
Berita Harian
PDRM Perkenal Maskot Pertama Sempena 205 Tahun Penubuhan
Mutakhir
PDRM perkenal maskot pertama sempena 205 tahun penubuhan
2012/03/14
KUALA LUMPUR: Buat pertama kali sejak 205 tahun penubuhannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan maskot yang tersendiri sebagai lambang kebanggaan dan pencapaian pasukan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata bagaimanapun polis masih belum boleh mendedahkan maskot tersebut kepada umum kerana ia adalah satu kejutan semasa majlis sambutan Hari Polis ke-205 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, di sini.
“Bak kata lagu Siti Nurhaliza ‘biarlah rahsia’,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf, berkata buat julung kali juga, sambutan Hari Polis akan dilakukan secara kiraan detik (countdown) pada 24 Mac ini dari 8.30 malam sehingga 12 tengah malam.
“Maskot itu akan diperkenalkan tepat pada 12 tengah malam selepas kita countdown pada majlis tersebut. Kita menjangkakan kira-kira 3,500 pengunjung dari dalam dan luar negara akan hadir bagi memeriahkan majlis yang akan diwarnai dengan pelbagai pertunjukan dan persembahan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 1,500 pegawai dan anggota polis dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan itu.
Penubuhan pasukan polis di negara ini bermula pada zaman pemerintahan British pada 1807 dan evolusi pasukan itu berubah mengikut keperluan semasa termasuk cabaran menghadapi ancaman serangan gerila komunis pada era 1940-an sehingga 1960-an.
Ketika ini, sejajar dengan matlamat mengurangkan jenayah melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Malaysia diiktiraf negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011, sekaligus memartabatkan imej PDRM di mata dunia.
Kesungguhan dan komitmen PDRM terbukti apabila pada tahun lepas, jenayah indeks keseluruhan turut mencatat penurunan 11 peratus berbanding tahun 2010, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.
Indeks jenayah jalanan pula mencatat penurunan 40 peratus berbanding tahun 2009, iaitu selari dengan sasaran yang ditetapkan. – BERNAMA
Berita Harian
Suamiku Tua
Ratu
Suamiku tua
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
2012/03/16
Jurang usia, bukan halangan jamin kerukunan hubungan
Cinta itu buta
Tak mengenal siapa
Tak mengira usia
Asalkan bahagia
MENGENALI cinta membuatkan sesiapa saja menjadi buta. Namun, harapan terbina daripada ikatan hati dua insan tetap sama, iaitu kerukunan dan kebahagiaan sehingga ke hujung nyawa.
Kajian dilakukan terhadap 1,074 pasangan pelbagai latar belakang, usia dan pendidikan di Switzerland serta Amerika Syarikat selama lima tahun mendapati hubungan membabitkan lelaki berusia dengan isteri yang lebih bijak membuatkan hubungan lebih utuh.
Data sama turut menjelaskan, peluang memiliki hubungan perkahwinan berkekalan menjadi enam kali lebih tinggi jika si isteri berusia lima tahun lebih muda atau lebih daripada suami.
Bagaimanapun, latar belakang demografi masyarakat Barat berbeza berbanding Timur dan akui penceramah bebas, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah keputusan kajian itu sebenarnya turut dipengaruhi sifat budiman dimiliki kebanyakan lelaki Barat.
Di kalangan wanita tempatan juga, suami tua, berusia atau matang sebenarnya menjadi kriteria wajib bagi kebanyakan mereka tidak kira sama ada bezanya setahun atau 20 tahun, atas pelbagai alasan berbeza.
Lihat saja contoh sedia ada. Datuk Khalid Mohamed Jiwa bersama Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Datin Zizie Ezette. Penyanyi Shidee pula kahwini dara berusia 28 tahun muda darinya. Begitu juga Imuda, yang berkahwin di usia 50 dengan wanita berusia 28 tahun.
Ada mengakui memilih atas dasar cinta atau kematangan fikiran tapi ramai akur, lelaki yang lebih berusia kebanyakannya lebih stabil dari segi kedudukan kewangan dan kehidupan.
Jelas Mohd Fadzilah, beliau melihat dua situasi wujud daripada perkataan ‘suamiku tua’ iaitu sama ada lelaki itu duda atau wanita itu bukan ‘isteri tunggal’.
“Tapi saya akui, ramai wanita terpikat untuk memilih pasangan yang lebih tua disebabkan tiga nilai utama dimiliki lelaki berkenaan. Lelaki itu pengasih, penyayang dan juga penyabar.
“Namun, dalam tiga kualiti yang dicari wanita itu, ada juga kelemahan wujud apabila memilih lelaki tua kerana mereka ini kebanyakannya sukar difahami, sensitif dan payah hendak diubah perangainya.
“Kadangkala, lelaki yang berusia ini mempunyai keluarga dulu. Mereka punya anak juga cucu dan perkara itu sering menjadi duri dalam hubungan sehingga akhirnya, hubungan terjejas lalu mengundang perpisahan,” katanya.
Mohd Fadzilah berkata, petua mudah perlu diikuti isteri yang mengahwini suami tua adalah bersikap lebih tua daripada usia supaya perbezaan pemikiran tidak menjadi terlalu ketara.
“Misalnya suami umur 50 tahun dan isteri pula 25 tahun jadi, masing-masing kena main peranan dan bertindak mengubah tingkah laku di mana suami menjadi seperti orang berusia 40 tahun, isteri pula berubah laku menjadi wanita usia 35 tahun,” katanya.
Tambahnya, memilih pasangan juga perlu menggunakan konsep sekufu dan ia membabitkan soal usia, kecantikan, kekayaan, latar belakang serta pendidikan supaya tidak timbul konflik dalam hubungan.
“Sekufu dari segi usia sama erti dengan sebaya tapi lelaki cepat matang berbanding wanita jadi, lagi cantik kalau wanita itu memilih lelaki yang usianya lebih tua antara lima hingga 10 tahun berbanding dirinya.
“Begitu juga dengan tahap pendidikan kerana orang berusia, percakapannya lebih kepada isu serius yang memerlukan pendapat. Kalau suami Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tapi isteri lulusan sekolah Penilaian Menengah Rendah (PMR), pun payah juga,” katanya.
Rentak tidak serasi
ANI, 29, (bukan nama sebenar) mengenali bekas suami, Imran sejak di bangku sekolah tanpa menaruh sebarang rasa kerana lelaki berjarak umur lebih 17 tahun dengannya itu sudah berkeluarga.
“Sehinggalah satu masa, dia berpisah dengan isterinya dan terus masuk meminang saya melalui keluarga. Keluarga pula mendesak supaya saya mengahwininya,” katanya yang ketika itu baru berusia 19 tahun.
Sepanjang hidup sebagai suami isteri, Ani mengakui, Imran menjaga dirinya dengan baik malah di awal perkahwinan, bekas suaminya cukup bersabar dengan dirinya yang berhati muda dan selalu memberontak.
“Tapi saya lihat apa saja yang dilakukan serba tidak kena di mata saya sehingga akhirnya saya minta ruang untuk berfikir tapi dia tetap dengan egonya untuk tidak melepaskan saya sama sekali.
“Bagaimanapun, hubungan kami cuma bertahan sekitar enam hingga lapan bulan saja kerana akhirnya dia melepaskan saya secara baik tapi dalam terpaksa malah sepanjang tempoh itu pun, kami tidak pernah tinggal bersama,” katanya.
Menurut Ani, berkahwin dengan lelaki berusia umpama trend ketika ini mungkin kerana wanita sukakan lelaki matang dan lebih penting, menjamin kehidupan.
“Bagi saya, jika mahukan hubungan berkekalan, lelaki berusia yang mengahwini isteri muda perlu banyak bersabar tidak kiralah sama ada hubungan itu berlandaskan cinta atau pilihan keluarga.
“Wanita juga perlu sedar, bukan tidak ada lelaki muda yang matang dan mampu cuma cita rasa setiap wanita ini berbeza-beza. Saya yakin, usia bukan penghalang kebahagiaan kerana jodoh dan ketentuan itu di tangan Allah,” katanya.
Kini, Ani bahagia melayari hidup bersama lelaki pilihan hatinya sendiri yang berbeza usia enam tahun dengannya malah turut dikurniakan sepasang cahaya mata.
“Suami banyak bersabar dengan kerenah saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami semua bahagian dan lebih gembira,” katanya.
Berita Harian
Impak Kontroversi
Hip
Impak kontroversi
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2012/03/29
Apek, Liuniey hiasi iklan wangian Siti
KEMUNCULAN penjaga gol Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apek, serta gadis yang pernah dikaitkan dengannya iaitu Nur Eilunie Natasha Nazri atau Liuniey di lokasi penggambaran iklan tiga wangian terbaru keluaran SimplySiti iaitu Pure, Memoir dan Precious, menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya.
Sewaktu gosip kononnya Fahmi menjadi punca Liuniey putus tunang dengan pasangannya tersebar, kedua-duanya bermati-matian menafikan perkara berkenaan. Malah Liuniey ketika ditemubual mengakui terkejut kerana hal terbabit langsung tiada kaitannya dengan ahli sukan terkenal itu.
Saya tiada masalah untuk berlakon dalam iklan ini walaupun mungkin ada pihak yang akan mengaitkannya dengan kontroversi sebelum ini. – Khairul Fahmi, Che Mat, Penjaga Gol Harimau Malaya
Justeru, apabila mereka berdua berada di lokasi penggambaran, timbul pertanyaan apakah gosip yang tersebar sebelum ini adalah benar? Apakah Apek dan Liuniey memang mempunyai hubungan intim, tetapi sengaja dirahsiakan? Namun apabila persoalan itu diajukan kepada penerbit iklan berkenaan, Datuk Siti Nurhaliza, dia menafikan kemunculan pasangan itu dalam iklan wangiannya sebagai satu pengesahan mereka memang bercinta.
Tegas Siti yang juga Presiden SimplySiti Sdn Bhd, pihaknya juga tidak berhasrat menangguk di air keruh, dengan mengambil kesempatan atas kontroversi yang menimpa mereka sebagai perencah iklan terbabit.
“Kami sedar, apabila iklan ini menampilkan Khairul Fahmi dan Liuniey sebagai sebahagian daripada pelakonnya, mesti ramai yang beranggapan kami sengaja memilih mereka berdasarkan kontroversi yang dilalui pasangan itu sebelum ini. Bukan saja Apek dan Liuniey yang akan berlakon dalam iklan ini, tetapi kami juga menggunakan khidmat dua lagi bakat baru iaitu ahli korporat muda, Pengurus Akaun di Naza Italia Sdn Bhd, SM Zul Khalis SM Zulkifli, dan Pengarah Kumpulan Ibex, Mohamed Adam Yahya.
“Apek dipilih untuk mewakili minyak wangi yang menonjolkan elemen aktif dan ceria, sesuai dengan statusnya sebagai ahli sukan. Dalam iklan ini, tiada babak membabitkan mereka berdua. Itulah juga syarat dikenakan kepada kami sebelum kedua-duanya setuju untuk membintangi iklan ini,” kata Siti ketika ditemui pada sesi penggambaran komersial wangian itu, di Bandar Sri Damansara, Isnin lalu.
Menurut Siti lagi, pemilihan Liuniey sebagai watak utama dalam iklan itu bukanlah dibuat secara suka-suka, tetapi gadis berusia 21 tahun itu perlu menjalani uji bakat, sama seperti calon lain.
“Memang kami akui, kami mengenali Liuniey berdasarkan cerita membabitkan dirinya dengan Apek. Namun, pemilihannya bukanlah disebabkan kontroversi itu semata-mata. Ketika sesi uji bakat, dia menunjukkan lakonan cemerlang apabila berjaya mempamerkan pelbagai ekspresi mengikut mood dikehendaki.
“Iklan ini memerlukan dia banyak bergerak, jadi kebolehannya dalam bidang tarian memberi kelebihan padanya untuk membawakan watak gadis misteri itu. Ternyata pilihan kami tepat kerana dia bukan saja bagus dari segi lakonan, malah Liuniey mempunyai komitmen dan disiplin amat baik. Sekurang-kurangnya impiannya untuk bergelar pelakon iklan tercapai dengan kemunculannya dalam komersial ini,” ujar Siti.
Bagi Liuniey, walaupun pada awalnya dia gementar kerana bimbang kemunculan dalam iklan itu akan membuatkan isu membabitkan dirinya dan Apek kembali dibangkitkan, namun dia akhirnya mengambil prinsip berani kerana benar.
“Antara kami memang tiada apa-apa. Jadi, untuk apa saya perlu rasa takut atau bimbang? Lagipun, ibu saya ada menemani saya di sini dan dalam iklan itu, memang tiada babak yang menemukan kami berdua. Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah disebarkan sebelum ini. Berilah saya peluang untuk menumpukan perhatian pada perniagaan dan juga kerjaya baru saya ini,” pinta gadis jelita ini.
Sementara itu, Apek yang kelihatan tenang sepanjang penggambaran itu berkata, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa bersikap profesional.
“Saya tiada masalah untuk berlakon dalam iklan ini walaupun mungkin ada pihak yang akan mengaitkannya dengan kontroversi sebelum ini. Kita harus bersikap profesional. Lagipun antara kami memang tiada hubungan apa-apa, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan,” ujar jejaka berusia 23 tahun ini.
Iklan arahan Casper sepanjang 30 saat itu bakal ditayangkan buat julung kali pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 yang dipancarkan secara langsung di saluran TV3, 8 April ini.
Tajaan pakaian Datuk Siti Nurhaliza: Dewi Sofia oleh Raffie Nasir
jaan pakaian Liuniey: Amir Luqman
Berita Harian
Misha, Rossa Di IB
Hip
Misha, Rossa di IB
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Muhamad Fairoz Azizan
bhhibur@bharian.com.my
2012/01/23
Bergabung menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara Julai depan
SEDEKAD bergelar penyanyi, keinginan nan satu yang sudah lama dicita-citakan wanita bernama Misha Omar ini kian tercapai. Julai bakal mencatat satu sejarah dalam lipatan kerjaya anak kelahiran Kelantan ini.
Selama ini dia berpeluang menjejakkan kaki di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) atas tiket pelakon teater sedangkan kerjayanya bermula sebagai penyanyi.
Namun tanggal 6 hingga 8 Julai nanti, hasrat yang sekian lama terpendam di kalbu Misha bakal direalisasikan menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara anjuran CTRA Production.
Bagaimanapun penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini tidak keseorangan, sebaliknya konsert berkenaan turut menyaksikan kehadiran penyanyi Indonesia, Rossa.
“Memang sudah lama saya mengimpikan sebuah konsert. Melihat penyanyi lama dan baru turun naik pentas, keinginan itu tentunya terbit juga di hati.
“Apatah lagi melihat Datuk Shiela Majid dan Yuna mengadakan konsert, memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara serupa. Saya sentiasa berdoa satu hari nanti keinginan itu termakbul.
“Alhamdulillah, tahun ke-10 dalam bidang ini, barulah impian itu tercapai. Walaupun perjalanannya panjang, bagi saya ia berbaloi. Selama ini saya seronok melihat teman-teman melakukannya.
“Bagi saya biarlah apabila lapar baru makan daripada sudah kenyang, tapi masih disuap. Konsert ini akan menjawab pertanyaan peminat yang rindukan saya selama ini. Saya masih aktif menyanyi cuma kebanyakannya membabitkan persembahan korporat dan majlis makan malam,” kata Misha yang sukar menggambarkan betapa terujanya dia untuk menghadapi konsert berkenaan.
Saat dilamar CTRA Production, penyanyi yang baru meraikan ulang tahun ke-30 pada 6 Januari lalu, berkata terlalu sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika itu.
Malah saat dihubungi Hip, dia masih sukar mempercayai hakikat itu. Hilai ketawanya di hujung talian sudah cukup menggambarkan perasaan wanita ini.
Kata Misha, dia tidak memerlukan penari latar untuk mengiringi konsertnya nanti. Sebaliknya hanya bersandar kepada kekuatan suaranya untuk memikat hati peminat.
“Vokal adalah senjata saya, bagi mempersiapkan diri untuk konsert itu saya sudah mula ke gimnasium.
Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai konsert ini kerana ada beberapa bulan lagi.
“Namun sedikit sebanyak yang boleh dikongsikan, saya dan Rossa masing-masing diberi tempoh satu jam untuk membuat persembahan. Kami mungkin akan berduet pada malam itu, tetapi lagu apa yang bakal dinyanyikan masih belum diputuskan. Kami akan berbincang dengan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik terlebih dulu,” kata Misha yang tidak bimbang dibayangi Rossa kerana masing-masing akan muncul dalam slot berasingan.
Tambahnya, mereka mempunyai cara tersendiri. Hanya jalinan muziknya saja yang sama, justeru dia tidak bimbang Rossa akan membayangi persembahannya.
Dalam konsert berkenaan, Misha berkata, dia bakal mendendangkan lagu daripada album pertamanya sehinggalah kini. Antara lagu hit miliknya seperti Bunga-bunga Cinta, Lilitan Asmara, Halaman Asmara, Cinta Adam & Hawa, Pulangkan, Ku Seru dan banyak lagi.
Konsert mereka tiada dalam senarai
Konsert Cinta: Diva Dua Negara gandingan Misha Omar dan Rossa tidak ada dalam kalendar Istana Budaya (IB) kerana penganjur baru mengemukakan permohonan untuk membuat persembahan kepada pengurusan panggung budaya ini.
Sehubungan itu, tarikh konsert yang dikatakan pada 6 Julai hingga 8 Julai belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kekosongan IB pada waktu itu.
Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaari berkata, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan permohonan yang diterima itu perlu dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi untuk mendapatkan kelulusan.
“Memang terdapat kekosongan pada tarikh terbabit tetapi masih belum memutuskan program yang akan diisi.
Rasanya saya baru saja menerima permohonan daripada penganjur dan kita perlu membawanya ke dalam mesyuarat pengurusan sebelum memberikan kelulusan.
“Saya nasihatkan kepada artis yang ingin membuat persembahan di sini jangan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi ia belum mendapat kelulusan sebab banyak penilaian yang perlu kita lakukan sebelum memberikan kebenaran,” katanya ketika dihubungi Hip.
Sebelum ini IB ada menerima permohonan daripada Rossa untuk mengadakan konsert di IB tetapi terpaksa ditolak kerana tiada kekosongan.
Mohamed Juhari menegaskan, ia bukan bermakna IB menghalang artis luar termasuk dari Indonesia untuk mengadakan persembahan di situ kerana terdapat slot khas untuk artis antarabangsa.
“Kita memang buka untuk artis antarabangsa beraksi di sini seperti konsert West End. Rossa mempunyai ramai peminat di sini jadi buat apa kita nak lepaskan peluang itu cuma tarikh yang dipilih penganjur tiada kekosongan,” jelasnya.
Kesudian penyanyi Indonesia itu mengadakan konsert solonya di IB selepas tertarik menonton konsert Datuk Siti Nurhaliza, tiga tahun lalu.
Memikirkan banyak faktor yang perlu dititik beratkan sebelum memberi sebarang kelulusan kepada penganjur, Juhari berkata ia penting memandangkan IB adalah lokasi seni bertaraf antarabangsa.
“Banyak faktor yang perlu kita teliti dari segi persembahan, kredibiliti penganjur, tarikan penonton dan macam-macam lagi kerana Istana Budaya bukan pentas biasa.
“Kita buka kepada semua syarikat produksi yang ingin mengadakan persembahan di sini asalkan persembahan yang dibawa itu mampu menarik penonton yang ramai,” katanya.
Berita Harian
Sensasi Winnie K & Suki
–
Sensasi Winnie K & Suki
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2012/01/22
Suki selami semangat Tahun Naga
ESOK Tahun Baru Cina akan disambut meriah bagi keturunan Tionghua di negara kita. Bersempena Tahun Naga itu juga, B’POP menggandingkan Suki, 22 dan Winnie K, 31, yang diakui nama mereka cukup dikenali di kalangan masyarakat Melayu dalam persada seni suara di negara ini.
Cuba melawan arus, tiada langsung baju warna merah yang sering menjadi simbolik bagi perayaan berkenaan digayakan mereka. Merah menurut kepercayaan orang Cina mewarnai semua perkara yang menjurus kepada tuah, kebaikan, perkahwinan, kelahiran, musim bunga, pengambilalihan perniagaan sehinggalah revolusi dikenakan kedua-duanya.
Sekalipun tanpa warna merah, semangat Suki dan Winnie tetap ceria di depan kamera dengan dua persalinan. Mood persalinan pertama mengenakan pakaian tradisional Cina, Cheongsam diakui agak lambat sedikit membuatkan mereka sebati di depan kamera.
Barangkali momentun kedua-duanya belum panas lagi biarpun masih pernah bertemu muka sebelum ini. Namun, mood mereka ternyata berubah serta merta untuk persalinan moden. Winnie dan Suki pantas mencipta keserasian sekali gus memudahkan tugas jurufoto.
Kehadiran mereka juga secara kebetulan datang dengan isi cerita menarik yang mahu dikongsi bersama peminat. Suki seperti biasa akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga tersayang di kampung halamannya di Seremban, Negeri Seremban., manakala Winnie meraikannya di ibu kota.
Pemilik nama penuh Low Sook Yee ini akui nampak gembira menceritakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini. Ungkapnya sambil berseloroh, acara wajib baginya setiap kali menjelma Tahun Baru Cina ialah makan, makan dan makan.
“Buah limau dan kuih bakul antara kegemaran saya. Paling seronok dapat bersama-sama keluarga untuk makan besar mengumpulkan semua ahli keluarga. Bapa saya akan masak pelbagai menu istimewa terdiri dari ikan, sup, ayam dan banyak lagi. Semestinya bahagian ini yang sentiasa ditunggu-tunggu ramai.
“Ibu pula akan menyediakan pencuci mulut. Tahun ini yang jadi bertambah seronok ialah kakak saya dari Hong Kong akan pulang bersama anaknya. Saya pula jenis yang suka melayan budak. Paling seronok, saya masih menerima angpau kerana masih belum berkahwin. Kalau saya sudah kahwin, sayalah yang kena beri angpau pula,” katanya yang turut merakam kembali lagu Warisan dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad bersama Aizat dan Lorence Soosai.
Suki sempat diusik dengan persoalan mengenai sisi peribadinya. Ternyata Suki tak berahsia dan terbuka dalam menceritakan hal kekasih. Kekasih yang dikenali sejak tiga tahun lalu itu sebenarnya merangkap pengurusnya juga iaitu Jeremy Chong.
“Kalau ada yang tanya mengenai hal ini, saya akan cakap yang betul. Sepanjang saya berdepan kesusahan termasuk masalah dengan Galaxy, dia banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya lebih selesa bekerja dengan orang yang boleh dipercayai sepertinya,” katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang, www.sukionline.com, www.facebook.com/iamsukilow, www.twitter.com/SukiLow dan www.youtube.com/user/sukilowmusic.
Mengintai sisi kerjaya seninya, Suki yang juga juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama terbitan 8TV ini sedang dalam rangka menghasilkan album ketiganya yang keseluruhannya memuatkan lagu Melayu selepas album Finally/ Akhirnya dan album Mandarin, Ladies Night.
Sudah empat lagu siap dirakam dan berbaki empat lagi yang dalam proses pemilihan. Buat permulaan, lagu ciptaan Ajai dan liriknya oleh Jeremy Chong berjudul Terlalu Mencintaimu itu pernah dirakam Alyah dengan menggunakan judul Pusara Kasih tetapi difahamkan ia terperap begitu saja kerana beberapa masalah.
“Sekalipun saya sudah agak lama tidak muncul dengan album berbahasa Melayu (selepas Finally/Akhirnya) dan memberi perhatian untuk album Mandarin di Taiwan, masih ada peminat bertanya saya mengenai kemunculan kembali dengan album lagu Melayu.
“Memang pada mulanya saya sendiri berhasrat untuk bergilir-gilir menghasilkan album Melayu dan Mandarin. Tetapi biasalah setiap yang kita rancang tak selalunya menjadi seperti diingini. Buat permulaan album ketiga saya ini dijangka berada di pasaran Mei atau Jun ini.
“Besar kemungkinan album ketiga ini hanya akan diedarkan secara online selain menumpukan muat turun secara digital. Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat saya sendiri, Infi8 Dreams yang ditubuhkan sejak Julai tahun lalu,” katanya yang tampil dengan imej segar berambut pendek sejak tahun lalu lagi.
Sekitar 2010 ketika sibuk mencuba nasib melebarkan legasinya di Taiwan termasuk menghasilkan album Ladies Night, Suki sebenarnya turut berpeluang mencuba nasib berlakon drama di sana berjudul The Gift yang turut disiarkan di Astro Shuang Xing (saluran 324).
Peluang itu diperluaskan menerusi syarikat Galaxy Music Sdn Bhd selepas Suki tidak lagi bersama pengurusan 8 Unit. Malahan, Suki selain membikin album turut diberi pendedahan mengenai pembentukan imejnya. Bagaimanapun selepas sekian dua tahun setengah bersama syarikat berkenaan Suki melihat nasib dan kerjaya seninya seperti diperkotak-katikkan.
“Saya dan pengurusan Infi8 Dreams dalam proses menyaman syarikat itu atas paksi Misrepresentation atau salah nyata yang digunakan dalam terma undang-undang. Mereka cakap ada pengalaman dalam pasaran muzik di China tetapi sebaliknya. Mereka janji macam-macam tetapi tiada langsung hasilnya. Saya sendiri sudah melaburkan RM367,575.15 kepada Galaxy untuk memastikan perancangan menembusi pasaran China mampu sukses.
“Tapi bayangkan selepas album kedua dipasarkan di negara kita, saya masih tertunggu-tunggu strategi dan perancangan seterusnya daripada mereka,” katanya yang masih menunggu keputusan lanjut daripada mahkamah berhubung isu terbabit.
Winnie K duta pakaian dalam
WINNIE K pula tanpa berselindung mengharapkan tuah Tahun Naga untuk bertemu Mr Right. Akui penyanyi lagu Kau Ada Di Mana itu, sudah lama dia mengharap dipertemukan dengan jejaka idaman sekali gus berdoa supaya ia menjadi kenyataan tahun ini.
“Usia saya pun bukanlah makin menurun. Siapa yang tak nak berkahwin dan hidup bahagia. Saya sendiri mengharapkan semua itu dan benar-benar mahu berkahwin tahun ini,” ungkapnya membuka bicara.
Seperti Suki, Winnie juga melihat sambutan Tahun Baru Cina sebagai pesta makan. Jelas Winnie lagi, ada kalanya setiap kali beraya, tuntutan kerja masih cuba dipenuhi. Ada kalanya, dia terikat dengan undangan membuat persembahan selain menjadi tetamu undangan untuk beberapa program TV.
Ketika fotografi ini berlangsung pun, Suki sibuk dengan rakaman latihan beberapa program Tahun Baru Cina termasuk Dragon Festival Concert 2012 di TV2. Mujur pula sesi latihan diadakan di Angkasapuri, RTM dan berdekatan dengan Balai Berita. Untuk program berkenaan, Winnie bergandingan dengan Kelvin Lau sebagai pengacara dan turut membuat persembahan.
“Kalau tak ada komitmen kerja, saya akan tumpukan masa Tahun Baru Cina ini bersama keluarga di samping emak, sepupu, kakak dan anak saudara. Cuma bapa saya sudah 13 tahun meninggal dunia dan kami sudah biasa beraya tanpanya.
“Setiap kali perayaan ini datang, saya sering disogokkan dengan pelbagai makanan enak yang membuatkan saya sendiri jadi rambang mata. Kuih tradisional yang dipanggil kuih lipat antara kegemaran. Selalunya selepas tiga hari makan ketika menyambut Tahun Baru Cina ini, saya akan ke gimnasium.
“Saya tak nafikan terlalu menjaga badan dan mengawal apa yang dimakan. Tetapi untuk Tahun Baru Cina, saya lupakan seketika hal jaga badan. Oh ya… Selasa ini jam 12 tengah hari, saya baru saja mendapat undangan untuk muncul sebagai tetamu bagi program Wanita Hari Ini bersempena Tahun Baru Cina,” katanya yang sering mengunjungi gim Celebrity Fitness di One Utama sebagai menjaga badan dan stamina.
Mengenai perkembangan seni dan kerjaya, Winnie memberitahu dia sedang merancang untuk menghasilkan EP dalam bahasa Melayu dan Cina. Kali terakhir Winnie muncul dengan album berbahasa Cina pada 2010 yang diedarkan Warner Music. Kontraknya bersama syarikat rakaman itu juga sudah tamat tahun lalu.
“Saya juga baru balik dari Hong Kong. Ia lebih kepada urusan kerja kerana saya ke sana membincangkan projek mengenai penjagaan produk kecantikan. Saya belum boleh bercakap lanjut kerana ia masih dalam peringkat awal. Saya juga menjadi duta pakaian dalam, ELV yang diasaskan di Jepun.
“Sudah tahun kedua saya bersama ELV. Pakaian dalam itu bukan untuk gaya kecantikan semata-mata tetapi bagus untuk kesihatan. Saya tak kisah mendedahkan badan dan ibu saya pun OK selepas melihat contoh gambar saya mengenakan pakaian dalam berkenaan,” katanya yang gemar melancong ke luar negara dan sempat ke Melbourne, Australia untuk tujuan bekerja sambil bercuti.
Winnie juga sempat memberitahu ramai yang masih menyangka Winnie Kok dan Winnie K adalah dua orang yang berbeza. Hal ini sudah banyak kali dimaklumkan kepadanya termasuk mereka yang sering berurusan dengannya untuk persembahan korporat.
“Sebelum ini saya tukar nama dari Winnie Kok ke Winnie K pun untuk pasaran album ke Indonesia. Ia bertujuan memudahkan orang untuk menyebut dan mengingatinya. Lihat saja bagaimana nama suami Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa cukup dikenali dengan nama Datuk K,” kata Winnie yang sempat memberitahu bahawa Dragon Festival Concert 2012 akan disiarkan di TV2 9.30 malam ini dan muncul dalam program Lucky Dragon Game Show 2012 di TV2 esok jam 4 petang.
Profil
Winnie K
Nama sebenar: Kok Mui Kuan
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Status: Bujang
Profesion: Penyanyi dan model
Kejayaan: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)
Suki
Nama sebenar: Low Sook Yee
Tarikh lahir: 11 Disember 1989
Asal: Seremban
Pencapaian: Juara One In A Million musim pertama
Drama: The Gift
Berita Harian
Jangan Cakap Saja
Hip
Jangan cakap saja
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2012/01/20
SITI NURHALIZA bersama Rabbani selepas sidang media di Cyberjaya.
Siti tunggu tawaran berlakon secara rasmi dari Indonesia
DATUK Siti Nurhaliza mahu mana-mana syarikat penerbitan filem dalam atau luar negara supaya membuat pertemuan secara rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mahu menawarkan lakonan kepadanya.
Ini kerana tawaran berlakon termasuk daripada sebuah produksi filem Indonesia seperti yang digembar-gemburkan adalah di luar pengetahuannya.
“Siti tahu berita itu pun secara online. Siti tak anggap itu sebagai tawaran. Mungkin pihak produksi itu baru saja berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filem terbitannya.
“Disebabkan itu juga, Siti tidak dapat mengesahkan status tawaran itu. Siti belum mendapat sebarang tawaran rasmi daripada syarikat produksi itu,” katanya pada sidang media Sinar Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen di Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya, semalam.
Hadir sama Pengarah Urusan Rabbani Productions Sdn Bhd, Ustaz Mohd Asri Ubaidullah, Pengurus Besar Abdul Shaheed Yusoff dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Acara Strategik Rabani Production, Azadan Abdul Aziz.
Siti berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai tawaran daripada syarikat penerbitan filem dari Indonesia, P.T Kent Films Productions untuk membintangi filem Kekuatan Cinta.
Penyanyi ini menegaskan, beliau tetap memperhalusi setiap butir tawaran yang diajukan kepadanya sebelum memberi persetujuan untuk berlakon dalam filem itu.
Menerusi filem itu, Siti dilaporkan akan digandingkan dengan beberapa pelakon ternama Indonesia seperti Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo.
Beberapa bintang filem Malaysia seperti Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema juga dikatakan turut diundang berlakon dalam filem itu.
“Siti pun kena lihat skripnya dulu sama ada sesuai ataupun tidak. Kena pula tengok tarikh penggambarannya. Siti kena pastikan ia tidak bertembung dengan program yang lain kerana jadual Siti cukup padat tahun ini.
“Selagi belum ada tawaran secara rasmi, Siti tidak boleh hendak berkata menerima tawaran itu atau sebaliknya,” katanya lagi.
Mengenai Konsert Sinar Maulidurrasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen anjuran bersama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) dan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd buat julung kalinya itu, penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini berkata, konsert itu juga bakal menjadi lokasi pertama yang memperdengarkan single hasil paduan suara bersama kumpulan nasyid popular itu.
Konsert itu akan diadakan di Dataran Tamadun Islam Kuala Terengganu, Terengganu pada 4 Februari depan.
Lagu berjudul Muhammad Al Ameen itu adalah hasil ciptaan komposer yang banyak menghasilkan lagu nasyid sebelum ini iaitu Ustaz Sohibul Fadil Sabikin.
“Idea menghasilkan single ini tercetus sewaktu perbincangan mengenai projek ini dilakukan. Disebabkan konsert ini bersempena Maulidur Rasul, jadi mengapa tidak kami menghasilkan single yang ada kaitan dengan kehidupan Nabi Muhamad SAW. Lagu itu sudah siap dan kami hanya menunggu masa untuk merakamkan lagu itu,” katanya.
Konsert percuma itu juga akan diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Amy Search, Najwa Latiff dan Sabri Yunus. Bukan saja menyanyi, Siti juga akan bertindak sebagai pencerita dan cerita yang bakal disampaikan dalam bentuk gurindam dan syair itu berkisar kepada kisah kehidupan dan akhlak terpuji Rasulullah.
Sejajar dengan penganjuran konsert itu, sebuah karnival juga akan diadakan di lokasi yang sama selama tiga hari mulai 3 Februari. Antara aktiviti termasuklah gerai jualan, pertandingan nasyid, forum, wacana ilmu, pertandingan Muslimah, cabutan bertuah dan pelbagai acara menarik.
Pada 5 Februari pula, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan pemenang Artis Nasyid Popular sebanyak sepuluh kali berturut-turut itu juga akan mengadakan sebuah majlis makan malam eksklusif kepada peminat mereka.
Harga yang dikenakan untuk majlis yang bakal diadakan di Dewan Cindai, Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong itu berharga RM175, RM275 dan RM500 untuk seorang dan tempahan tiket bolehlah dilakukan dengan menghubungi talian 09-6277888.
Berita Harian