Archive for the ‘Berita Harian’ Category
Sentral: Wan Syuhada Juara Idola Kecil Musim Pertama

WADA bersama trofi dan replika cek selepas dinobatkan juara Idola Kecil di Shah Alam, malam tadi.
SHAH ALAM: Peserta dari Cheras, Wan Syuhada Md Amin, 12, atau lebih dikenali sebagai Wada dinobatkan sebagai juara Idola Kecil pada pertandingan akhir yang berlangsung di Sri Pentas Dua Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.
Wada menyanyikan lagu Ketawalah Lagi nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza bersama Noraniza Idris, dengan iringan akuarium oleh Pak Ngah serta lagu solo Dinasti Cinta (Siti Nurhaliza).
Peserta cilik itu mengalahkan lima peserta lain dan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM10,000. Tempat kedua dimenangi Ridzuan Haqiem Rusli, 10, dari Hulu Langat, Selangor yang membawa pulang RM5,000 dan ketiga, Syaza Farzana Shahrul Ridhwan, 12, yang menerima wang tunai RM3,000. Semua pemenang turut menerima trofi termasuk hadiah sampingan.
Peserta yang gagal menduduki tempat tiga teratas ialah Wan Muhammad Hafizuddin Wan Anuar, 11, atau Udin, Nur Syuhada Amir Hamzah, 12, (Shada) dan Mohd Shafieq Shazwan, 11, (Afiq). Mereka membawa pulang hadiah sagu hati RM500 seorang.
Rancangan realiti anjuran stesen televisyen TV9 itu bukan hanya menonjolkan bakat nyanyian, tetapi juga diselangi dengan visual aktiviti peserta sepanjang berada dalam Idola Kecil.
Berita Harian
Dengarnya… Alahai Mawi Dan Astro
Oleh Normah Becok

Mawi dan Ekin.
TERLEBIH dulu Cik Normah sekali lagi ucapkan tahniah kepada Mawi dan Ekin selepas selamat menjadi pasangan suami isteri. Sama macam orang lain, Cik Normah juga mendoakan agar Mawi dan Ekin bahagia sepanjang hayat.
Walaupun tak pergi ke majlis persandingan di rumah Ekin atau Mawi, tapi daripada apa yang dilaporkan oleh kawan setugas, suasananya berlangsung dengan meriah sekali. Lengkap dengan persembahan pentas.
Macam-macam pihak turut tampil menjadi penaja Mawi. Daripada helikopter, kereta mewah Mercedes hinggalah kepada pelamin, hampir semuanya mendapat tajaan. Memang untung betul Mawi dan Ekin. Bagi Cik Normah, itu semua rezeki Mawi dan Ekin. Tak perlulah dan memang tak terfikir pun rasa cemburu.
Dulu, masa Cik Normah bersanding, suasananya tetap meriah juga walaupun tiada sesiapa yang nak taja. Malahan bunga manggar yang dipacak di tepi jalan sebagai petunjuk arah rumah, Cik Normah dan adik beradik yang buat sendiri. Begitu juga dengan gubahan bunga telur.
Berbalik kepada cerita Mawi-Ekin ini, di sebalik kemeriahan majlis pernikahan dan persandingannya, Cik Normah turut dengar macam-macam cerita yang tak sedap nak dengar. Ada kata nak muak, menyampah dan rasa nak muntah pun ada apabila Astro asyik siar promo dan kisah cinta Mawi-Ekin.
Bukan sekali dua, tapi berulang kali. Memanglah Mawi itu penyanyi yang dilahirkan oleh Astro, tapi tak perlulah sampai cerita cinta Mawi dengan Ekin hendak diulang siar berulang kali. Sikit-sikit World, semuanya World. Cukup-cukuplah tu.
Cik Normah bukan cemburu, jauh sekali iri hati kerana bagi Cik Normah memang layak Mawi dapat layanan hebat sesuai tarafnya sebagai penyanyi lelaki paling popular. Tapi takkanlah asyik diulang promo yang sama. Lepas satu, satu sampaikan Cik Normah terfikir, apakah Astro sudah ketandusan program lain untuk dipromosikan?
Peliknya lagi, Astro tidak sekadar mengetengahkan Mawi, malah disiarkan rancangan khas untuk isterinya itu. Kata kawan Cik Normah, Astro ini macam lebih sudu dari kuah pula…
Cik Normah pun tanya juga pada kawan-kawan sekerja, penerbit dan pengarah filem atau drama, sudah berapa banyak drama atau filem yang dibintangi Ekin sampai Astro buat program khas? Setakat berlakon satu atau dua drama dan memperaga lebih kurang, apa sangat yang mahu dikongsi bersama penonton?
Lagi satu apa eksklusifnya cinta Mawi dan Ekin? Setahu Cik Normah kisah cinta mereka sudah terlalu kerap digembar-gemburkan. Melata disiarkan, bahkan sudah tiada rahsia lagi. Bukan mahu membanding, tetapi Cik Normah lebih teruja mengikuti perjalanan majlis pernikahan dan perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dulu.
Banyak rahsia yang cuba dibongkar. Walaupun ketika itu hati sangat teruja untuk mengenali siapa lelaki yang bertakhta di hati Siti, TV3 tidak pula pula menyediakan program khas untuk memperkenalkan Datuk K kepada penonton.
Cik Normah tahu Mawi sendiri serba salah. Hendak membangkang, persetujuan sudah diberikan. Mungkin dia sendiri kurang selesa dengan keadaan itu tetapi apa boleh buat. Cuma ada baiknya pihak Astro mempertimbang balik apa yang mereka lakukan.
Bagi Cik Normah, baik bersederhana. Biar sedikit tetapi padat, jadi ia tidak membosankan penonton. Apabila sudah terlalu banyak, disogokkan lagi pelbagai bahan ulangan membuatkan perasaan berbelah bagi. Daripada teruja ingin menonton terus rasa muak.
Carilah juga pengacara yang lebih berwibawa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai perantara rancangan. Jangan asal boleh saja. Sedih Cik Normah tengok. Belanja besar yang dikeluarkan untuk siaran eksklusif sudahnya menjadi seperti sebuah pesta ria yang entah apa-apa.
Sekarang ramai yang tertanya-tanya, adakah populariti Mawi akan merosot apabila berkahwin nanti? Cik Normah tak berani nak jawab. Cuma Cik Normah percaya, apabila sudah berkeluarga, kenalah kerja kuat lagi. Betul tak Mawi…
Berita Harian
Spektrum Ikram
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tatkala kualiti dan kreativiti menyatu, lahirlah pesona yang membuka 1,001 cerita…
TENTU ramai masih terkenang detik bersejarah persandingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, dua tahun lalu.
Persandingan gilang-gemilang yang mendapat jolokan ‘Wedding of the Year’ itu mendapat liputan luas media cetak dan elektronik rantau ini. Bukan saja seri mempelai menjadi topik hangat di warung kopi mahupun lobi hotel, malah foto indah yang diabadikan personaliti XY - Ikon Lelaki minggu ini mencuri perhatian.
Nyata majlis gilang-gemilang itu membuka ruang publisiti buat anak jati Kuala Lumpur ini dalam dunia fotografi kreatif tanah air. Tempoh 18 tahun mengabdikan diri dalam bidang fotografi nyata mematangkan Ikram.
Namun, biarpun sudah lama memegang lensa kamera, Ikram yang mencurahkan kreativitinya dalam penghasilan potret, penggambaran fesyen, fotografi seni halus dan majlis perkahwinan mengakui masih banyak yang perlu dilakukan.
“Bagi saya, setiap subjek fotografi adalah medium baru pelajaran. Tidak kiralah kita masih baru ataupun sudah lama dalam bidang ini, pembelajaran berterusan itu perlu untuk kita mencuba sesuatu yang baru.
“Bermula dari itu, pasti ada teknik terkini dan secara tidak langsung memberi idea baru serta pengalaman untuk dimanfaatkan,” katanya penuh bersemangat.
Setia menggunakan empat kamera digital jenis Nikon iaitu D70, D100 serta dua model D200, Ikram memulakan kerjaya awal sebagai pereka grafik pada 1989, sebelum berjinak-jinak menjadi pembantu merangkap jurugambar, setahun kemudian.
Menyedari minatnya lebih terarah dalam seni fotografi, bapa kepada empat orang cahaya mata ini memilih terus berkarya dalam dunia fotografi dengan sebuah syarikat penerbitan di ibu negara. Selain terbabit dalam tenaga kerja kreatif untuk penggambaran kulit muka depan majalah, Ikram juga terbabit dalam sesi fotografi fesyen dan grooming.
“Selepas 16 tahun bekerja untuk majalah, saya mengambil keputusan nekad bergerak sendiri dan memberi tumpuan untuk fotografi perkahwinan. Sesekali saya membuat grooming dan penggambaran fesyen jika ada tawaran.
“Alhamdulillah, setakat ini saya puas dengan apa yang saya lakukan. Saya juga mendapat maklum balas baik daripada pelanggan yang kebanyakannya diperkenalkan pelanggan lain,” katanya yang berhasrat mengadakan pameran fotografi seni halus ilham peribadinya suatu hari nanti.
Ditanya apakah beliau mewarisi bakat seni fotografi keluarganya, tanpa berselindung Ikram mengakui bapanya, Ismail Abu Bakar pernah bertugas sebagai penyunting untuk Filem Negara Malaysia.
Ikram teringat bilik gelap untuk memproses gambar di rumah yang dihuni keluarga ketika beliau masih kecil.
“Bapa ada juga membangkitkan mengapa gambar album perkahwinan yang saya abadikan mempunyai imej kasut, cincin, bunga dan banyak barangan lagi. Mengikut konteks sekarang, objek terbabit dianggap elemen kreatif melengkapi jalan cerita sebuah perkahwinan.
“Jika dilihat foto perkahwinan zaman dulu, ia hanya membabitkan imej penuh pengantin tanpa memfokuskan aksesori dan elemen penyeri lain,” katanya sambil tertawa mengenangkan perbualan dengan bapanya mengenai dunia fotografi sekarang.
Panjang lebar cerita suka duka yang direncanakan Ikram sepanjang mencongak perjalanan hidupnya sebagai jurugambar kreatif. Daripada kamera negatif filem hinggalah era digital, pemuda berusia 38 tahun ini terus ligat menyusun kata untuk tatapan pembaca XY - Ikon Lelaki…
Ceritakan serba sedikit latar belakang Ikram?
Sebenarnya, saya terbabit dalam dunia fotografi secara tidak langsung. Bermula sebagai pereka grafik, saya beralih kepada bidang fotografi kerana minat lebih ke bidang itu. Tetapi, saya bersyukur kerana bidang grafik banyak membantu saya tampil lebih kreatif dan menyunting gambar.
Berapa lama berkecimpung dalam bidang fotografi?
Sudah 18 tahun… Meskipun lama berkecimpung dalam bidang ini, saya tetap menganggap setiap penggambaran fotografi sebagai medium baru pembelajaran.
Apakah Ikram mempunyai trademark tersendiri?
Seperti tugasan fotografi perkahwinan, saya lebih cenderung menghasilkan jalan cerita dalam bentuk gambar yang dimuatkan dalam album perkahwinan. Selain itu, elemen kreatif sarat saya muatkan sebagai pelengkap tarikan sesiapa yang menatap album itu.
Kepuasan merakamkan gambar bagi Ikram?
Kepuasan bagi saya apabila orang lain menghargai hasil penat lelah kita mengabadikan kreativiti dalam bentuk gambar. Interaksi begitulah yang menyemarakkan lagi idea dan semangat untuk terus bekerja keras.
Antara fotografi di studio dan penggambaran di luar, yang mana memberi lebih kepuasan?
Jujurnya penggambaran luar lebih memberi kepuasan. Selain lokasi dan mood pencahayaan, kita dapat bermain pelbagai elemen untuk menghasilkan lebih cerita dalam gambar yang dirakamkan. Berbanding studio, lampu yang banyak mencorak hasil gambar.
Senario fotografi di Malaysia mengikut perspektif anda?
Saya lihat semakin ramai ingin menjadi jurugambar. Apatah lagi, ketika ini mudah mendapatkan hasil gambar kerana teknologi kamera digital yang membolehkan hasil foto terus dilihat. Ini suatu persaingan sihat sekali gus menunjukkan ramai peminat fotografi di Malaysia.
Siapa jurufoto idola Ikram?
Jurugambar kelahiran Amerika Syarikat, Patrick Demarchlier yang banyak terbabit dalam penggambaran fotografi fesyen. Beliau menerapkan elemen seni halus dalam foto yang diabadikan.
Boleh anda terjemah keindahan sesuatu sesebuah foto?
Seperti sebuah lukisan, sesuatu foto akan meninggalkan kesan andai kita mampu menterjemahkan perasaan, keindahan, kesedihan dari sudut pencahayaan dan warna untuk hasil penuh subjektif.
Terangkan personaliti Iqram?
Saya seorang yang sederhana serta merendah diri dalam pelbagai perkara.
Tugasan paling meninggalkan kesan mendalam dan meningkatkan portfolio Ikram?
Banyak antaranya persandingan mega Datuk Siti Nurhaliza yang banyak membuka ruang publisiti hasil kerja saya kepada selebriti lain seperti Nora Danish, Aleeza Kasim dan Erra Fazira. Banyak juga tawaran untuk perkahwinan orang ternama diterima.
Impian fotografi Ikram?
Saya mengimpikan mengadakan galeri fotografi berkisarkan gambar seni halus yang jarang diketengahkan di Malaysia. Ketika ini, masyarakat lebih tertumpu kepada galeri lukisan berbanding fotografi.
Hobi Ikram waktu lapang?
Saya suka bersantai bersama keluarga serta merakamkan gambar subjek dan alam semula jadi. Puas jika saya dapat merakamkan imej seni halus di mana sesuatu subjek itu dapat dicetuskan melalui elemen kreatifi.
Siapa yang memberikan sumber inspirasi buat Ikram dalam dunia fotografi?
Arwah ibu saya, Rahmah Lasim. Saya sentiasa ingat, arwah banyak berjasa kerana faham minat saya dalam dunia fotografi. Malah, beg kamera pertama milik saya bernilai RM60 adalah pemberian arwah.
Di manakah lokasi penggambaran fotografi di Malaysia yang menjadi kegemaran?
Saya memilih Bako Island di Sarawak. Saya temui lokasi hebat ini ketika mengikuti rombongan Tourism Malaysia ke Sarawak. Banyak lokasinya cukup menakjubkan untuk diterokai, apatah lagi untuk penggambaran fotografi.
Perkara yang mungkin orang tidak tahu mengenai Ikram?
Selain terbabit dalam fotografi perkahwinan, saya sebenarnya berminat merakamkan gambar seni halus. Saya mempunyai beberapa koleksi peribadi hasil penggambaran yang dilakukan pada waktu lapang. Antara lokasi kegemaran ialah di pantai Pangkalan Balak, Melaka yang sering dikunjungi ketika pulang kampung mentua.
Ikram dalam tempoh 10 tahun akan datang?
Mungkin lebih banyak travel dan mengurangkan kerja seperti sekarang. Semestinya fotografi tetap menjadi keutamaan.
Pesan Ikram kepada penggemar fotografi?
Pertama sekali, mesti banyak melihat hasil gambar, kerap bertanya kepada jurugambar berpengalaman serta bijak mencuba sesuatu yang baru. Seperti kamera digital, dalam setahun begitu banyak model baru dipasarkan menyebabkan kita harus ke depan.
Biodata
Nama: Mohd Ikram Ismail
Umur: 38 tahun
Tarikh lahir: 25 April 1970
Tempat lahir: Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur
Tinggi: 160 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Emel: ikram_pro@yahoo.com
Laman web: www.IkramIsmail.net
Enam wajah fotogenik pilihan Ikram Ismail…
Datuk Siti Nurhaliza
Erra Fazira
Sofea Jane
Tengku Azura
Ida Nerina
Amber Chia
Berita Harian