Home   Wordpress   Log in

Archive for the ‘Berita Harian’ Category

Bau-Bau Bacang

October 15th, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Berita Harian

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mereka bukan bercinta tetapi sekadar teman baik, apatah lagi artis yang semakin membina reputasi ini rupa-rupanya ada ikatan keluarga

NABIL memang ada di mana-mana. Memang namanya tengah hangat dan begitu popular. Apabila sudah popular, rezeki pun melimpah ruah. Situasi sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Datuk Siti Nurhaliza, Mawi dan Saiful Apek pernah mengalami perkara yang sama apabila tawaran seni tidak putus-putus diterima.

Bayangkan belum pun sampai setahun berada di persada seni, Nabil sudah berlakon dalam enam filem iaitu Sifu & Tongga, Jin Notti, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Eee… Hantu dan selebihnya iaitu Pisau Cukur dan Kecoh Betul akan memulakan penggambaran selepas raya nanti.

Untuk program ketika musim raya, Nabil terbabit dengan Ewah-Ewah Raya, Jiran Tetangga Raya, Gegar Gitu Raya, Sampaikan Salam, Melodi Raya dan Retro Raya. Justeru, juara Raja Lawak musim kedua itu memanglah sibuk. Dek kesibukan itu juga memaksa Nabil menolak undangan program Raja Lawak sempena hari raya.

Bagaimanapun, pada Ramadan lalu, Hip sempat mencuri masa Nabil untuk digandingkan dengan Tasha AF4. Kebetulan pula kedua-duanya pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie arahan Aminah Rhapor.

Sesi fotografi yang diadakan di Duta Tropika, Jalan Duta menyaksikan Tasha kelihatan begitu bergaya dengan kurung ketat rona merah yang bagaikan menjerit di badan artis yang lahir daripada program Akademi Fantasia itu. Nabil pula kelihatan cukup bergaya dengan baju Melayu berwarna putih polos.


TASHA ingin memberi tumpuan kepada bidang seni dan melupakan seketika soal cinta.

Sekali pandang mereka bagaikan sepadan. Lalu, benarkah ada rasa cinta yang terjalin antara mereka seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini?

Bagi yang beranggapan sedemikian, lontarkan saja tanggapan itu ke tepi kerana baik Tasha mahupun Nabil mereka memang rapat dan hubungan itu tidak lebih daripada sekadar teman baik.

Kata Nabil, mereka ada kaitan bau-bau bacang, apatah lagi mereka berasal dari Negeri Sembilan. Ikuti kisah menarik mereka berdua.

Bimbang peminat bosan


NABIL sudah mampu memiliki aset seperti kereta dan syarikat sendiri.

TIADA istilah tamak dalam diari hidup jejaka kelahiran Mambau ini sebaliknya terbit kerisauan di benak fikiran memikirkan apakah penonton akan mula jelak dengan kemunculannya yang kerap sehingga mampu timbul cerita yang kurang enak yang mampu menjatuhkan dirinya.

“Alhamdulillah setakat ini saya mampu menguruskan jadual seni saya. Saya sendiri akan rasa kurang selesa kalau saya tidak dapat melunaskan kerja yang sudah disahkan. Semuanya masih dalam kawalan. Ada kalanya, ada pihak yang terpaksa menawarkan kerja kepada saya berdasarkan kelapangan waktu saya dan menunggu hingga jadual kerja saya kosong.

“Bukan mendabik dada tetapi di sini berlaku konsep permintaan dan penawaran. Permintaan kepada saya Alhamdulillah ada. Selagi saya mampu mempertimbangkan tawaran yang kunjung tiba dan memuaskan hati semua pihak, Insya-Allah saya akan cuba lakukannya sehabis baik.

“Tak dinafikan kerisauan memang ada datang melingkari hidup saya, bimbang eksklusif saya semakin terhakis dan orang mula bosan. Tapi saya menerima rezeki kurniaan Tuhan ini dengan rasa syukur dan lapang dada. Sekarang ini, mungkin saya diminati, siapa tahu lama-kelamaan akan timbul cerita tidak berasas yang mungkin boleh memberi kesan kepada saya,” ungkap Nabil yang berdoa supaya sentiasa berpijak di bumi nyata.

Usia pembabitannya dalam arena seni tidak pun sampai setahun, tapi sesuatu yang perlu dibanggakan Nabil sudah bijak mengumpul aset demi masa depan.

Kata Nabil, dia bukanlah seorang manusia yang terlalu gilakan barangan berjenama. Selagi mampu bergaya, barangan murah tapi cantik tetap dibeli.

“Saya sudah memiliki kereta sendiri dan sedang menanti kereta hadiah kemenangan saya sewaktu menjuarai Raja Lawak musim kedua. Bayangkan dulu nak minta buat pinjaman membeli kereta Satria pun saya tidak dapat. Sekarang saya dalam proses untuk membeli rumah pula. Selain itu, saya sudah memiliki syarikat sendiri iaitu Lu Pikirlah Sendiri Sdn Bhd.

“Sewaktu saya bekerja sebagai despatch pun saya gemar membeli barangan jenama Nike dan Adidas. Hingga kini, saya meminati jenama itu. Saya beli juga baju di Sungei Wang termasuklah baju jenama Hang Ten,” kata Nabil yang mengakui waktu tidurnya sudah berubah dan berkurangan sehingga mengigau pada waktu malam.

“Dulu saya tidak pernah nampak apakah masa depan dan hala tuju hidup saya, tetapi tidak lagi sekarang. Dulu saya makan untuk sehari, kini saya boleh belikan makanan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan,” kata Nabil.

Menafikan gosip cinta yang kononnya terjalin antaranya dengan Amylea AF3 dan Tasha, Nabil memberitahu yang dia hanya berkawan dengan Amylea apatah lagi mereka pernah menggunakan khidmat pengurus yang sama iaitu James. Begitu juga dengan Tasha yang sudah lama dikenalinya.

Ditanya mengenai cinta, Nabil mengakui ada orang biasa yang cuba merapatinya tetapi jelas Nabil, biarlah soal cinta mahupun kahwin itu terbit daripada mulutnya sendiri.

“James pernah menguruskan saya sekejap dan tidak perlu timbul soal cinta, sedangkan saya hanya berkawan baik dengan Amylea. Jangan risau, kalau ada ura-ura saya sudah mempunyai kekasih atau nak kahwin, akan saya maklumkan dan tiada sebab untuk saya berahsia,” kata Nabil.

Tasha harap Nabil tak lupa diri

MENURUT Tasha, abang ipar Nabil juga berkawan baik dengan abang kandungnya. Sebelum berjumpa kembali di lokasi penggambaran filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Tasha dan Nabil pernah berborak di Seremban ketika Nabil baru ingin menyertai pertandingan Raja Lawak musim kedua.

Kata Tasha, mereka memang ’sekepala’ kerana masing-masing memang gemar bergurau. Melihat kepada lonjakan populariti Nabil yang semakin pantas memacu kerjaya seni, Tasha tumpang senang dan harap Nabil tidak cepat lupa diri.

“Tak dinafikan kadang-kadang mulut dia memang bercakap lepas dalam bergurau. Yang tidak mengenalinya, mungkin akan mula terasa hati. Tasha pun suka bergurau dengannya.

“Dia punya aura yang kuat dan Tasha tidak sangka dia mudah mendapat perhatian dan ‘boom’. Sudah namanya rezeki, saya gembira dengan kejayaannya. Saya nafikan sekeras-kerasnya kisah yang mengandaikan kami bercinta. Hakikatnya kami memang sudah lama kenal, apatah lagi kami berasal dari negeri yang sama,” kata Tasha yang beraya di Seremban.

Selepas raya nanti, Tasha akan memberi tumpuan kepada album sulungnya di bawah terbitan Wake The Baby. Dua lagu, Akhirnya Cinta dan duet dengan Ajai berjudul Pencinta Terbaik sedang dipertimbang untuk dijadikan single. Ketika ini, lakonan dan nyanyian menjadi tumpuannya berbanding soal cinta.

Tak sah jika tidak bertanya mengenai Aqasha apabila berjumpa Tasha. Mengakui mereka masih lagi berkawan, tetapi Tasha berkata, mereka sudah tidak serapat dulu kerana jarang berjumpa.

Awal Ramadan lalu, mereka ada berbuka puasa bersama, namun sejurus selepas itu Aqasha terpaksa bergegas kembali ke set penggambaran drama.

“Soal kembali menjalin cinta dengannya bersifat subjektif dan terlalu sukar untuk diperkatakan. Benda ini susah nak cakap. Kadang-kadang mulut berkata tidak untuk bercinta kembali, tiba-tiba hati pula berkata nak. Tasha bukan jenis wanita ego dan ini semua berbalik kepada soal jodoh.

“Apa yang paling Tasha fokus sekarang ini ialah soal komitmen kerja dalam bidang seni. Jauh lagi perjalanan Tasha,” kata Tasha yang tidak kisah untuk beraya di rumah keluarga Aqasha buat kesekian kalinya.

PROFIL: NabilNama: Ahmad Nabil AhmadAdik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradikUmur: 25 tahunAsal: Mambau, Seremban, Negeri SembilanIdola: Jerry Seinfeld dan Afdlin ShaukiProgram kegemaran: Jerry Seinfeld Show, Raja Lawake-mel: nabiw_tx@ yahoo.com dan amatnabil@gmail.com

PROFIL: NatashaNAMA: Natasha NordinTARIKH LAHIR: 8 Jun 1982UMUR: 25 tahunASAL: Seremban, Negeri SembilanHOBI: Menyanyi, menari dan memasakKERJAYA: Penyanyi dan pelakonDRAMA: Astana Idaman, Simbiosis, Janji Kekasih, Gerak Khas, Hancur, Inikah CintaIKLAN: KFC dan Nokia.

Berita Harian

Fragmen: Apabila Stesen TV Kitar Semula Program Raya

October 15th, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Berita Harian

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Ulang siar cerita yang sama terlalu kerap buat penonton bosan

SUDAH dua minggu kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh ini stesen TV masih menyiarkan atau membuat siaran ulangan beberapa program yang diterbitkan khusus untuk sambutan hari lebaran ini.

Malahan promo program khas Hari Raya masih disiarkan oleh semua stesen TV.

Seperti tahun sebelumnya, jumlah program yang diterbitkan khusus untuk hari raya oleh semua stesen TV memang jumlahnya ‘tidak terkira’. Selain untuk tujuan berhibur, program istimewa yang disediakan oleh stesen TV ini juga sebagai memeriahkan lagi suasana hari raya.

Bagaimanapun, program yang disediakan memang pelbagai corak dan jenis. Penonton sebenarnya tidak boleh merungut kerana dengan aneka program yang disediakan oleh stesen TV, kita boleh memilih program yang hendak ditonton. Daripada hiburan, dokumentari, drama, telefilem hinggalah kepada filem cereka.

Memang kalau sekali lihat, terasa seperti stesen TV kita menyediakan banyak program, terutama drama dan telefilem. Hakikatnya, ia nampak banyak tetapi tidak semuanya baru kerana ada stesen TV menyiarkan semula drama lama. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti drama atau telefilem tempatan, tidak sukar untuk menuding drama mana yang sudah dan belum disiarkan.

Sepanjang musim raya juga, kita turut disajikan dengan wajah penyanyi atau personaliti yang sama dan mereka juga akan menyanyikan lagu hari raya yang serupa. Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Mawi, Dayang Nurfaizah adalah antara yang wajah-wajah yang boleh dianggap paling banyak muncul dalam mana-mana stesen TV sepanjang raya ini.

Tiada apa yang hendak dipertikaikan kalau hanya itu saja barisan artis popular yang ada untuk menarik penonton. Cuma, kadang-kadang terasa bosan juga asyik melihat wajah yang sama saja dan program mereka ini pula di ulang siar.

Dalam keasyikan menghimpunkan artis baru, stesen TV seolah-olah terlupa hendak menerbitkan program yang khusus untuk penyanyi veteran.

Bayangkan kalau Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Halil Chik, Sheila Majid, Sanisah Huri, Aman Shah dapat dikumpulkan dalam satu program dan mereka menyanyikan semula lagu raya masing-masing yang malar segar hingga ke hari ini.

Bagi kita, ada beberapa program yang agak menarik seperti Retro@Raya yang disiarkan di Astro Prima apabila menampilkan penyanyi lama seperti Datuk DJ Dave, Azlina Aziz dan Khatijah Ibrahim menyanyikan lagu raya mereka.

Kita juga dapat melihat ada sedikit kelainan dalam rancangan muzikal khas Hari Raya terbitan bersama MediaCorp Singapura dan RTM iaitu Sinar Lebaran. Program ini menampilkan dua pengacara iaitu Fauzi Laily dari Singapura dan Nabila Huda (Malaysia).

RTM dilihat mempunyai kelebihan tersendiri kerana hampir sebahagian besar drama atau telefilem adalah baru-baru belaka. Begitu juga dengan program hiburan atau program bercorak muzikal. Namun begitu, beberapa program ini sudah mula ‘dikitar semula’ oleh RTM selepas masuk seminggu atau dua minggu kita beraya.

TV3 juga menyiarkan drama yang baik tetapi kebanyakannya adalah terbitan lama yang di ulang semula siarannya. Selebihnya masih kepada program hiburan.

Bagaimanapun, saluran Ria dan Prima di Astro dikatakan sebagai menyiarkan terlalu banyak program lama atau ulangan. Sudahlah program lama, ia di ulang siar dengan kerap. Kebanyakan drama atau telefilem yang disiarkan oleh kedua-dua saluran ini dibeli daripada stesen TV lain.

Sebenarnya tidaklah menjadi kesalahan untuk menyiarkan semula drama lama ini tetapi apa perlu dilakukan oleh Astro ialah memastikan tempoh masa siarannya tidak terlalu rapat atau kerap.

Astro sendiri seharusnya mengambil perhatian serius terhadap rungutan daripada pelanggannya kerana terlalu kerap menyiarkan program yang sama. Bagi Astro, masalah ini mungkin disebabkan masalah untuk mendapatkan bekalan kandungan program yang mencukupi.

Sebab itulah, saluran Prima misalnya, terpaksa mengisi beberapa slot yang kosong itu dengan drama daripada Indonesia sedangkan Astro sudah mempunyai saluran khusus untuk program dari negara seberang itu.

Sama ada drama atau telefilem yang disiarkan oleh RTM, TV3 atau Astro, belum ada produksi yang benar-benar meninggalkan kesan dan menjadi bualan kepada penonton. Drama yang diterbitkan khusus untuk hari raya pula, kebiasaannya lebih kepada cerita sedih atau sad ending.

Fauziah Nawi bolehlah dianggap sebagai dramatis air mata istimewa di Hari Raya kerana hampir setiap tahun beliau menjadi pilihan utama stesen TV dan penerbit untuk membintangi drama sedih seperti kehilangan anak, cucu, suami atau memegang watak sebagai wanita yang memendam perasaan kerana terkilan dengan gelagat darah dagingnya.

Ia bukanlah bermakna drama seperti ini kurang bagus. Kita tidak mempersoalkan mutu drama. Memang ada drama kita yang sangat bagus kualitinya. Tetapi, tidak dinafikan ada yang kurang bermutu dan bagi drama berangkai atau bersiri pula, semakin panjang sambungannya, kadang-kadang menjadi semakin meleret-leret pula.

Apapun, drama terbitan karyawan tempatan sebenarnya cukup berkualiti berbanding dengan drama import. Hanya yang menjadi persoalan adalah terhadap temanya.

Sememangnya cerita sedih atau syahdu adalah tema yang biasa kita lihat, bukan saja dalam drama tempatan tetapi dalam filem atau drama bagi perayaan lain, seperti Krismas. Ia masih membawakan nilai positif kerana lazimnya cerita seperti ini membawakan mesej kekeluargaan dan persaudaraan.

Bagaimanapun, apa yang penting dan perlu diubah suai oleh karyawan drama atau stesen TV kita adalah kesedihan dan kesyahduan itu tidaklah dipaparkan berlebih-lebihan.

Lagipun, air mata penonton sepatutnya tidak terus ditumpahkan dengan asyik menonton cerita sedih saja. Telefilem Beras Kunyit Di Pagi Syawal yang disiarkan oleh TV3 adalah contoh yang membuatkan penonton menitiskan air mata kerana terharu dan gembira kerana penghujung ceritanya mengisahkan penyatuan semula anak dan ibu yang sudah lama terputus hubungan. - zainuri@bharian.com.my

Berita Harian

Dengarnya…: Majlis Kahwin Mawi Di Stadium?

October 14th, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Berita Harian



MAWI dan Ikin menanti hari bahagia.

KISAH kahwin penyanyi lelaki nombor satu Mawi tak sudah-sudah diperkatakan. Selagi Mawi tak buat pengumuman, selagi itulah Cik Normah percaya macam-macam spekulasi yang timbul. Cik Normah pun dah tak sabar-sabar nak menantikan pengumuman dari mulut Raja SMS itu sendiri.

Kadang-kadang Cik Normah rasa kelakar dengan pasangan Mawi dan Ikin ini. Bukan apa, si Mawi seboleh-bolehnya hendak merahsiakan segala benda. Ekin pula tukang ‘pecah lubang’. Itu yang Cik Normah rasa kelakar, pantang dicuit sikit mesti pecah rahsia punya. Mungkin Ikin teruja, maklumlah bakal suami orang popularlah katakan.

Kalau orang sibuk buat spekulasi, Cik Normah pun tak ketinggalan ada spekulasi mengenai perkahwinan mereka. Kalau Datuk Siti Nurhaliza memilih Dataran Lipis untuk majlis perkahwinannya di kampung, Mawi pula Cik Normah dengar cerita hendak mengadakan majlis buat peminatnya di stadium.

Tak pasti pula Cik Normah stadium apa. Stadium tertutup atau terbuka yang pasti stadium di sekitar Johor Bahru katanya. Baguslah Mawi, jangan lupakan jasa peminat yang bertimbun-timbun. Kalau tak kerana peminat, mungkin Mawi tidak akan berada di tahap sekarang.

Majlis di Felda Taib Andak mungkin hanya untuk keluarga terdekat dan sahabat handai. Kalau semua dibuat di situ, habislah sesak kawasan Felda itu. Cik Normah masih ingat lagi bagaimana sesak Felda di Kulai ketika menyambut ketibaan Mawi yang baru saja menang Akademi Fantasia musim ketiga. Ibarat menyambut wira yang baru pulang dari medan perang lagaknya. Mana tidaknya, orang dari serata negeri berpusu-pusu ke Felda Taib Andak semata-mata nak berjumpa dengan Mawi. Sebelum ini tak siapa pun tahu kewujudan Felda itu tetapi selepas Mawi menang AF, nama Felda itu terus popular macam nama dia.

Cik Normah juga dengar majlis persandingan pasangan itu akan diadakan banyak kali. Berapa kali tu Cik Normah kurang pasti, dengarnya majlis mereka akan diadakan di hotel terkemuka. Hai… beruntungnya jadi orang popular. Ramai betul orang nak menaja, dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Tak perlu susah payah keluar duit.

Selain tidak sabar menantikan pengumuman mengenai tarikh perkahwinan mereka, Cik Normah juga tak sabar nak tengok kad perkahwinan pasangan itu. Fuhh… mesti hebat. Nanti bolehlah kita buat pertandingan, perkahwinan artis mana yang paling hebat…

Berita Harian