Archive for the ‘2004’ Category

Siti senyap-senyap.


PASTINYA setabah-tabah penyanyi Siti Nurhaliza akan tercabar juga ketika ini apabila ada pihak cuba menyebarkan cerita buruk mengenai Siti dan keluarganya melalui internet daripada kumpulan yang menggelarkan diri mereka Asmah & The Gang.

Ada pihak menasihatkan Siti membuat laporan polis dan ada juga mahu Siti sekadar berdiam diri kerana lama-kelamaan perkara itu akan berlalu begitu saja. Bagaimanapun, Siti dikatakan akan membuat laporan polis supaya orang yang bertanggungjawab ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Apa yang SS dengar, Siti dan pihak pengurusannya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini termasuklah menggembar-gemburkan mengenai tindakannya membuat laporan polis, sebaliknya mahu melakukannya secara senyap-senyap.

Langkah ini dikatakan untuk mengelakkan orang yang bertanggungjawab menggunakan strategi lain jika mengetahui pihak Siti cuba mencabar perbuatannya itu.

“Sebagaimana biasa, Siti tidak suka menghebohkan langkah yang mereka ambil sebaliknya melakukannya secara senyap-senyap,” kata rakan SS.

SS juga difahamkan, Siti dan pengurusannya dapat mengagak pihak yang bertanggungjawab selepas menganalisis gaya bahasa daripada beberapa e-mel yang disebarkan serta menyerahkan segalanya kepada peguam dan pihak yang bertanggungjawab.

SS dan rakan-rakan media tertanya-tanya sesama sendiri siapakah pihak bertanggungjawab yang menyebarkan cerita-cerita itu dan mungkin ada agenda tersendiri. Harapan SS ialah Siti akan menghebahkan pihak yang bertanggungjawab itu dan bukannya bertindak senyap-senyap.

http://www.hmetro.com.my/

Kris nasihati Siti.


KRIS HARAP SITI TENANG

“SITI sedang diuji dan saya harap dia punya jiwa yang besar untuk menghadapinya.” Itulah komen penyanyi popular Indonesia, Kris Dayanti, 29, ketika ditanya pendapatnya mengenai serangan e-mel yang diterima penyanyi popular Malaysia, Siti Nurhaliza, 25, sejak lebih seminggu lalu.

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Pilihlah Aku dan Cobalah Untuk Setia daripada album barunya, Cahaya berkata, Siti tidak boleh kecil hati atau menggelabah dengan perkara itu kerana tiada apa yang mampu dilakukannya untuk menghalang penyebaran internet yang begitu global.

Ibu dua anak ini berkata, apa yang mampu Siti lakukan ialah sekadar membacanya kerana akses internet begitu luas dan tiada apa yang mampu menyekatnya daripada tersebar luas.

“Apabila tiba di Kuala Lumpur semalam (31 Ogos), saya ada mendengar perkara ini. Sebagai rakan artis, saya prihatin dengan apa yang menimpa Siti tetapi dia tidak boleh rasa tertekan atau marah dengan cerita yang disebarkan.

“Pada pandangan saya, Siti juga tidak perlu melakukan tindakan susulan seperti tindakan undang-undang, sebaliknya tenang dan berdiam saja. Apa yang lebih baik ialah jadikan tuduhan-tuduhan itu sebagai satu cermin diri untuk melihat semula diri kita.

“Mungkin Siti boleh berfikir mengapa ada orang yang sanggup berbuat begitu kepadanya. Mungkin ada kesalahan yang dilakukan Siti tanpa sedar dan ini memberi kesempatan kepadanya memikirkan semua itu.

“Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah ada hal-hal yang perlu dijaga dan ada perkara yang tidak mampu kita lawan. Itu juga salah satu cabaran yang perlu dihadapi sebagai selebriti.

“Itu jugalah yang selalu ditanamkan suami saya dan katanya perkara itu membuatkan kita tidak sombong apabila berjaya. Mungkin juga semua ini membuatkan Siti lebih kuat dan tabah menghadapi hari-hari mendatang,” katanya dalam satu pertemuan di Hotel JW Marriott, kelmarin.

Kris yang kini berada di Kuala Lumpur sejak 31 Ogos untuk promosi Cahaya, turut menjadi tumpuan media tanah air untuk mendapatkan komennya mengenai e-mel yang dikatakan cuba ‘menelanjangi’ Siti dengan mendedahkan keburukan Siti ketika sidang media sempena pelancaran albumnya di Planet Hollywood, kelmarin.

Siti dan Kris dikatakan agak rapat kerana sering menjayakan program televisyen bersama jika Siti mengadakan promosi di Jakarta. Dalam e-mel itu, Kris secara tidak langsung turut dibabitkan apabila dikatakan sebagai orang yang memperkenalkan Siti dengan rawatan botox di Jakarta, Indonesia.

Penyanyi yang popular di Malaysia sejak 1999 melalui lagu Menghitung Hari itu mengakui dia sendiri menerima banyak cabaran melalui surat atau e-mel yang mencemuhnya tetapi semua itu sekadar dibaca untuk tatapan minda.

“Kalau saya, sudah terlalu biasa menghadapi perkara-perkara ini. Bukan sekadar kata-kata marah melalui surat atau internet malah saya dikaitkan dengan gambar porno melalui super-impose.

“Sememangnya perkara-perkara itu cukup membimbangkan kerana membabitkan peminat lebih-lebih lagi bagi orang kampung yang begitu sukar menerima hakikat ini.

“Malah ada perkara kecil yang saya suarakan seperti saranan kepada salah seorang peserta Indonesian Idol baru-baru ini supaya mengambil diet apabila melihat penampilannya yang gemuk.

“Kesannya saya menerima e-mel dan surat daripada sekelompok masyarakat yang begitu marah dengan saya. Saya juga berharap janganlah kita saling berusaha menjatuhkan orang lain atas dasar cemburu atau sakit hati.

“Saya percaya masing-masing ada peluang untuk naik atau mencipta kejayaan tetapi bergantung kepada nasib seseorang sama ada naik dulu atau turun cepat.

“Bagi saya Siti adalah satu aset nasional yang perlu dijaga dan bukannya cuba untuk dijatuhkan dengan perkara-perkara seperti ini. Saya melihat penyebaran e-mel ini bukan mahu menjatuhkan Siti sebaliknya lebih kepada semangat atau satu cubaan yang dilalui Siti ketika ini,” katanya turut kesal apabila dimaklumkan bahawa namanya turut dikaitkan dalam e-mel itu.

Kris yang berada di Kuala Lumpur sehingga 5 September bersama suaminya, Anang, menjayakan Showcase Cahaya di Planet Hollywood semalam (Khamis) serta acara penutup Festival Kuala Lumpur (KLAF) di Jalan Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam esok.

http://www.hmetro.com.my/

Siti Buat Laporan Polis.

KUALA LUMPUR - Penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin, akan membuat laporan polis berhubung penyebaran tiga e-mel mengenai dirinya yang beliau sifatkan keterlaluan sehingga mencemar maruah diri dan keluarganya.

Siti Nurhaliza, 25 tahun, mengaku agak tertekan selepas menerima tiga e-mel itu, yang memfitnah dirinya.

‘Sebagai manusia biasa, sampai satu tahap saya juga tidak mampu bersabar lagi. Saya kesal dan marah, tidak boleh hendak luahkan,’ kata beliau sebagaimana ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.

‘Saya rasa, tindakan mereka itu tidak masuk akal. Kalau tidak ditangani, ia terus menjadi-jadi. Ini soal maruah saya dan keluarga serta mereka yang bekerja dengan saya,’ tegas beliau.

‘Saya perlu bertindak. Kita tidak tahu sejauh mana tindakan orang setakat ini. Sekarang sudah keluar cerita yang teruk. Bukan saya seorang saja yang terima e-mel, malah orang terdekat dengan saya dan wartawan sendiri pun terima e-mel ini,’ jelas beliau.

Sebelum ini, Siti Nurhaliza dilaporkan menjadi mangsa e-mel yang mendakwa kononnya beliau mencetus fenomena baru dalam industri hiburan tanah air dan tidak memiliki imej seperti digambarkan media massa selama ini.

E-mel itu dihantar penulis yang menggelarkan dirinya ‘Asmah & The Geng’ dan mendakwa mereka adalah kakitangan Astro. - BHM.

http://cyberita.asia1.com.sg