Pesta hiburan kemerdekaan memanglah meriah.
September 5th, 2004 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in 2004Oleh Ruhaidini Abd. Kadir dan Tengku Khalidah
TANYALAH kepada diri sendiri, apakah erti kemerdekaan bagi sebuah bangsa?.Pasti jawapan yang lahir dari hati kita serupa - mendapat kebebasan daripada penjajah, mempunyai maruah dan jati diri serta martabat atau kedaulatan negara.
Meminjam kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz: “Simbol kemerdekaan ialah pemilikan tanah, rakyat dan kuasa. Itu memang mencukupi untuk mengatakan bahawa Malaysia sudah merdeka sepenuhnya.”
Namun, apabila ditanya bagaimana sebuah bangsa memperingati ulang tahun kemerdekaannya, pasti reaksi setiap individu berbeza.
Bagi lebih 100,000 orang yang meraikan sambutan Ambang Merdeka di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) II, Pahang Darul Makmur pada 30 Ogos lalu, amalan itu boleh meningkatkan perasaan kasih sayang terhadap negara.
Sungguhpun hujan, suasana warna-warni tetap menghiasi Padang MPK II setelah Pahang buat julung kali dipilih menganjurkan perayaan Hari Kebangsaan ke-47 peringkat nasional.
Orang ramai yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong telah mula membanjiri pekarangan Padang MPK II sejak petang lagi bagi merayakan sambutan itu serta menyaksikan detik 12 tengah malam menjelang 31 Ogos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut bersama-sama rakyat menantikan menara jam yang dibina khusus untuk Hari Kebangsaan berdetik tepat pada pukul 12 tengah malam.
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri, Cik Puan Muda Julita Aishah Abdul Latif berangkat ke majlis itu.
Acara yang dikendalikan oleh Mahadzir Lokman itu menampilkan barisan artis popular terdiri daripada Siti Nurhaliza, bekas pelajar-pelajar Akademi Fantasia 2, kumpulan nasyid Rabbani, kumpulan Kopratasa, Helmy, Shashila, Siew Fong Fong, Ahmad Jais dan Kenny Lee.
Pelbagai tarian etnik dipersembahkan kepada pengunjung oleh gabungan Kumpulan Tari Negeri Pahang pada sambutan Ambang Merdeka sempena ulang tahun ke-47 kemerdekaan negara.
Bermula dengan gerak tari, persembahan lawak oleh Mat Over, Abon dan Angeline Tan, barisan artis popular tanah air berjaya mempersembahkan keragaman budaya Malaysia dan tidak ketinggalan, mendendangkan lagu yang melantun semangat patriotisme bangsa.
Ironinya, banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengungkap kemerdekaan dan kekuatan hiburan oleh barisan artis tanah air melalui konsert Ambang Merdeka misalnya, adalah salah satu cara untuk memperingati kemerdekaan negara.
Menerusi lagu Pahlawanku dan Warisan yang disaji oleh Siti Nurhaliza, semangat para pengunjung yang basah kuyup ekoran hujan lebat bermula pukul 9 malam berjaya `dipanaskan’ semula.
Meskipun tersilap lirik ketika mendendangkan lagu Warisan, ia tidak sama sekali mencacatkan persembahan Siti Nurhaliza. Tidak salah rasanya kalau pujian diberikan kepada bekas pelajar Akademi Fantasia, Bob yang membawa lagu Malaysia Baru dan penyanyi veteran Ahmad Jais yang telah mendendangkan lagu Bahtera Merdeka.
Meminjam antara lirik yang diungkap dalam lagu Bahtera Merdeka; “Jiwa dan raga, buktikanlah pada nusa bangsa, supaya negara maju jaya aman merdeka…” - rakyat perlu menyemai diri dengan nilai yang betul agar pembangunan fizikal dan kesenangan yang dinikmati hari ini tidak lenyap.
Itulah yang terakam pada sambutan Ambang Merdeka di Kuantan yang tidak tercalar oleh kelakuan sumbang para penonton khususnya golongan remaja.
Namun, satu hal yang pasti ialah sorakan dan tepukan gemuruh atau lebih tepat dikatakan `sambutan luar biasa’ diberikan seluruh pengunjung untuk bekas pelajar-pelajar Akademi Fantasia 2.
Ketika kemunculan Linda, Bob, Nurul, Fitri, Mas dan Edlin di pentas jelas sekali emosi penonton terhadap bekas pelajar-pelajar Akademi Fantasia 2 ini. Apakah mesej ini menjelaskan bahawa `demam’ Akademi Fantasia belum kebah?
Bagi mereka yang hanya berpeluang menyaksikan sambutan itu lewat kaca televisyen, anda boleh menyaksikan bagaimana pengunjung yang telah memenuhi Padang MPK II sejak pukul 6 petang tidak berganjak menantikan kemunculan Linda, Bob, Nurul, Fitri, Mas dan Edlin.
Sebagai barisan penyanyi baru setahun jagung umurnya, bekas pelajar-pelajar Akademi Fantasia 2 ini mampu membuktikan kehebatan dan `melangkah berani’ dalam persembahan bertenaga di hadapan orang kenamaan dan ratusan ribu rakyat Malaysia.
Sementara itu di Taman Suria KLCC, seperti tahun-tahun lalu, KLCC gegak gempita dengan kehadiran puluhan ribu penonton yang mahu menyaksikan persembahan artis-artis pujaan mereka melalui Konsert Suria Merdeka 2004.
Konsert ini berlangsung di tapak letak kereta Bangunan Exxonmobil dan dihadiri lebih 100,000 penonton.
Bagi artis-artis yang membuat persembahan, pelbagai cara diperlihatkan untuk mengajak rakyat Malaysia menghargai kemerdekaan yang 47 tahun kita nikmati hari ini.
“Merdeka berat ertinya. Kita bebaskan diri daripada belenggu penjajah, belenggu alpa dan macam-macam lagi belenggu yang merantai perjuangan kita,” kata M. Nasir mengulas tentang makna merdeka bagi dirinya dengan penuh semangat.
Malam bersejarah itu, seniman yang sentiasa kental dengan semangat bebasnya ini menyemarakkan rasa dengan lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud dan Apokalips.
Sementara Anita Sarawak yang muncul dengan dua lagu termasuk Seksis menganggap merdeka kali ini adalah detik yang paling bersejarah bagi dirinya.
“Setelah 20 tahun menyambut 31 Ogos di luar negara, tahun ini buat pertama kalinya Kak Nita menyambut hari kemerdekaan bersama keluarga di sini.
“Kak Nita sangat berbesar hati dan berbangga kerana dapat melihat sebuah negara yang aman dan maju jaya seperti Malaysia,” katanya.
Konsert Suria Merdeka 2004 diacarakan oleh empat nama yang cukup besar, Linda Onn, Halim Othman, Nana dan Hani Mohsin.
Artis-artis lain yang turut menyumbang tenaga bagi menyemarakkan lagi makna merdeka di hadapan bangunan berkembar tertinggi di dunia itu ialah Misha Omar, Ruffedge, Dia Fadilla, bintang-bintang Akademi Fantasia 2, Alleycats, Hattan, MAY, Candy Cheah, Vince dan Reshmonu.
Misha mendendangkan tiga buah lagu, Perwira dan Bunga-Bunga Cinta selain sebuah lagu duet dengan juara AF2, Zahid berjudul Pulangkan.
Bintang AF2 pula muncul dengan lagu Joget Mak Enon, Joget Sindir Menyindir dan Joget Kenangan Manis mengundang kemeriahan yang paling hebat di konsert ini.
Sekalipun Kuantan dipilih sebagai lokasi sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun ini, Kuala Lumpur tetap “hidup” sampai pagi. Di Bintang Walk, di Jalan Telawi Bangsar misalnya bagaikan ada pesta. Itulah pesta kemerdekaan cara orang kota.
Melihat sambutan dan kemeriahan di Kuala Lumpur, ada yang berkata, adakah kemeriahan ini menjadi simbol kemerdekaan minda generasi yang lahir selepas merdeka?.
http://www.utusan.com.my/