Archive for the ‘2003’ Category
Akhirnya Misha Atasi Siti Nurhaliza.
KALAU awal 2003 memberi banyak cabaran kepada artis baru Misha Omar, yang mulanya banyak kali tewas dalam majlis-majlis penganugerahan, nasibnya di akhir tahun ini membawa sinaran yang lebih segar.
Dalam Juara Lagu ke-18 yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Stadium Putra di Bukit Jalil pada Ahad lalu, Misha tidak saja memang kategori Vokal Terbaik yang membawa hadiah RM10,000 ($4,800) - mengalahkan juara ‘tradisi’ Siti Nurhaliza dan Ning Baizura Hamzah - bahkan telah membolot dua lagi anugerah.
Beliau juga menang kategori Lagu Terbaik (Bunga-Bunga Cinta) ciptaan Adnan Abu Hassan, dengan hadiah RM12,000 dan Juara Lagu Keseluruhan dengan hadiah RM25,000.
Misha, yang cukup hebat mengawal vokal malam itu sehingga mengagumkan lebih 8,000 penonton di stadium, begitu sebak dan tergamam apabila namanya disebut sebagai juara.
Betapa tidak. Semasa beliau gagal mendapat sebarang anugerah dalam Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Industri Muzik tahun ini, ramai telah merendah-rendahkan kewibawaannya dan terlalu membandingkan beliau dengan rakan seangkatannya, Siti Sarah Raisuddin.
Selepas itu, apabila Misha membuktikan keunggulannya dengan memenangi Pingat Emas dari Festival Muzik Asia di Shanghai baru-baru ini, ramai yang memperlekehkan kejayaannya sehingga menyebabkan Misha berkecil hati.
‘Kejayaan ini memberikan seribu erti kepada saya sebagai pendatang baru dalam industri seni tanah air. Syukur alhamdulillah, kejayaan ini adalah rentetan kemenangan saya di Anugerah Era dan di Shanghai baru-baru ini,’ katanya.
Buat julung-julung kalinya, Anugerah Juara Lagu itu ‘dikuasai’ artis-artis muda. Selain Misha, turut mendapatkan kemenangan ialah Waheeda yang lagu nyanyiannya, Wassini (ciptaan Yassin), menang kategori Etnik Kreatif, sementara Ezlynn pula memenangi kategori Pop Rock dengan lagu Hi Hi Bye Bye ciptaan Kru - masing-maing membawa hadiah RM12,000.
Siti Nurhaliza, bagaimanapun, tidak pulang dengan tangan kosong. Beliau yang cukup ranggi dengan pakaian ala Michael Jackson, menawan penonton dengan persembahan tap dancing sehingga menang Persembahan Terbaik dan wang tunai RM10,000.
Hadiah disampaikan Pengerusi TV3, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail.
Selain persembahan artis, Juara Lagu ke-18 telah dihangatkan dengan celoteh hos gila-gila, Aznil Nawawi, dan personaliti kecoh, Sarimah Hussein, yang cuba menjadikan kejuaraan itu sebagai medan pertempuran antara seniman lelaki dan wanita. Banyak komen laser terkeluar daripada mulut Aznil, menyindir persembahan para artis.
Apabila Sarimah berkata Noraniza Idris telah membuat golongan artis wanita bangga kerana menang kategori Irama Malaysia tiga tahun berturut-turut, Aznil menangkis dengan berkata Noraniza terpaksa membawa satu batalion (jumlah penari yang begitu ramai) ke atas pentas untuk membantunya menang persembahan terbaik sedangkan artis lelaki seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad hanya membawa api kecil ke pentas dan sifu M. Nasir dengan gitar tongnya, untuk menang hadiah serupa.
Acara itu juga menyediakan acara selingan yang cukup menarik apabila ia mengetengahkan artis-artis popular membawakan lagu yang lain daripada genre biasanya.
Penyanyi R&B, Siti Sarah, dan Hazami tampak kurang bertenaga apabila membawakan lagu joget, sementara Ella agak sumbang suaranya ketika membawakan lagu dangdut Selamat Jalan Romeo. Hanya Dayang Nur Faezah mengekalkan kawalan vokalnya ketika membawa lagu ghazal, berduet dengan Adibah.
Turut bertanding dalam Anugerah Juara Lagu ke-18 ialah OAG (Aku Statik), Exists (Percayakan Siti), Noraniza Idris (Tandang Bermadah), Anuar Zain (Keabadian Cinta), May (Sinar), Ning Baizura (Selagi Ada Cinta), Mas Idayu (Hasrat Perindu) dan Yasin (Salsabila).
http://cyberita.asia1.com.sg/
Dominasi artis muda.
“Oleh Ramlah Zainal
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) didominasi tiga artis muda tanah air iaitu Misha Omar, Waheeda dan Ezlynn yang menjuarai tiga kategori iaitu Balada, Irama Malaysia dan Etnik Kreatif serta Pop Rock.
Malam AJL18 yang disiarkan secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi turut menyaksikan lagu Bunga-Bunga Cinta ciptaan dan lirik oleh Adnan Abu Hassan dendangan Misha Omar diisytihar juara keseluruhan dengan meraih trofi dan hadiah utama RM25,000.
Sebelum itu, lagu dendangan Misha itu meraih anugerah Juara Lagu Terbaik yang meraih trofi dan wang tunai RM10,000.
Misha yang tidak dapat menahan sebak terkejut dengan kemenangannya.
“Kejayaan ini memberikan seribu erti kepada saya sebagai pendatang baru dalam industri seni tanah air. Syukur alhamdulillah, kejayaan ini adalah rentetan kemenangan saya di Anugerah Era dan di Shanghai baru-baru ini,” katanya.
Anugerah utama dalam industri muzik itu disiarkan secara langsung oleh TV3 mulai jam 8.30 malam.
Kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif dijuarai lagu Wassini dan lirik ciptaan Yassin yang dibawa Waheeda dan meraih wang tunai RM12,000.
Kategori Pop Rock dijuarai lagu Hi Hi Bye Bye, lirik ciptaan KRU yang dibawa Ezlynn meraih RM12,000.
Siti Nurhaliza menang Persembahan Terbaik dan menerima wang tunai RM10,000.
Hadiah disampaikan Pengerusi TV3, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Farid Ridzuan.
Turut bertanding OAG (Aku Statik), Exists (Percayakan Siti), Noraniza Idris (Tandang Bermadah) Anuar Zain (Keabadian Cinta), May (Sinar), Ning Baizura (Selagi Ada Cinta), Mas Idayu (Hasrat Perindu) dan Yasin (Salsabila).
http://www.emedia.com.my/”
Mesej Khas Dari Siti di SitiZone.
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung di SitiZone.com.
Sebelum berangkat ke Pulau Pangkor, Siti mengambil kesempatan yang berharga ini untuk mengucapkan terima kasih di atas ucapan-ucapan tahniah yang telah anda berikan.
Siti juga berterima kasih di atas usaha dan sokongan anda sehingga melayakkan Siti memenangi anugerah Persembahan Terbaik di AJL 18.
Kenangan paling manis sebelum meninggalkan arena tersebut dan Siti amat menghargai setiap usaha anda.
Salam mesra daripada Siti.
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.
Siti Nurhaliza
29hb Disember 2003