Juara Lagu - Komposer, penyanyi buktikan kemampuan.
December 31st, 2003 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in 2003Oleh Khadijah Ibrahim
ANUGERAH Juara Lagu Ke-18 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad lalu bukan sahaja menjadi medan untuk komposer mempertaruhkan karya mereka malah memberi ruang kepada penyanyi membuktikan kewibawaan masing-masing. Ini jelas dengan adanya kategori Vokal Terbaik yang diperkenalkan tahun lalu dan di menangi oleh Liza Hanim menerusi Lagu Gelisah mimpi. Tahun ini, kategori itu memberi peluang kepada penyanyi baru Misha Omar meraih kejayaan menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta.
Misha Omar berjaya memukau perhatian umum dengan vokalnya yang lantang dan bernada tinggi menerusi lagu ciptaan Adnan Abu Hassan.
Misha yang pernah meraih gelaran vokal terbaik pada Anugerah Era 2003 dan pertandingan Muzik Asia di Shanghai November lalu lebih mengutamakan kekuatan vokal daripada persembahan.
Ini jelas terbukti sewaktu mendendangkan lagu Bunga-Bunga Cinta yang dipilih menjuarai Juara Lagu, Misha tidak diiringi oleh penari latar seperti penyanyi lain.
Lagu yang baik memerlukan penyanyi yang mampu menyanyi dengan baik juga. Memang kenalah pada tempatnya apabila lagu Bunga-Bunga Cinta yang terbaik kali ini dinyanyikan dengan baik.
Sekali pun kedua-dua kategori ini tidak berkaitan antara satu dengan lain iaitu Lagu Terbaik dan Vokal Terbaik tetapi tentu sangat menarik apabila kedua-duanya dipersembahkan dengan terbaik.
Juara Lagu jelas semakin matang dengan mengambil kira keperluan industri muzik secara realistik iaitu mencari penciptaan lagu dan penyanyi yang baik. Inilah yang diperlukan dalam industri muzik tempatan.
Malah pemilihan lagu terbaik untuk dijulang sebagai Juara Lagu tidak mencetuskan kontroversi seperti tahun lalu ekoran kemantapan sistem penjuriannya. Kemenangan lagu Bunga-Bunga Cinta tidak dipertikaikan oleh peminat-peminat kerana ia memang layak untuk menang.
Misha pula sekali pun dianggap masih baru tetapi tidak kedengaran suara yang mempertikaikannya. Misha mempraktikkan seperti yang dilakukan oleh Liza Hanim dulu iaitu memberi perhatian kepada vokal dan bukan gaya persembahan.
Malah kedua-dua mereka bernasib baik kerana lagu yang dibawa menampilkan melodi yang indah dan sesuai untuk pertandingan.
“Matlamat saya adalah untuk menghiburkan penonton. Saya mahu penonton tumpukan pada lagu kerana lagu Bunga-Bunga Cinta mempunyai jalan cerita tersendiri,” kata Misha yang membolot wang tunai RM10,000 atas kejayaan tersebut.
Selain Misha, Anuar Zain yang mendendangkan lagu Keabadian Cinta juga tampil solo sewaktu di atas pentas. Anuar tampak begitu bersahaja dan yang nyata dia lebih senang bermain dengan vokal.
Secara tidak langsung kategori Vokal Terbaik yang terdapat dalam Juara Lagu jika dipergunakan oleh penyanyi mampu mengangkat nama mereka ke peringkat lebih tinggi.
Meskipun kali ini orang tidak keliru dengan keputusan juri namun masih terdengar suara yang tidak puas hati dengan kemenangan Siti Nurhaliza dalam kategori Persembahan Terbaik.
Siti yang mendendangkan lagu Ku Milikmu untuk kategori pop rock berjaya membolot wang tunai RM10,000 dan trofi. Sebenarnya 50 peratus daripada markah untuk persembahan terbaik ditentukan oleh peminat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
Biarpun ada yang tidak senang dengan kejayaan Siti Nurhaliza namun tahniah perlu diberi kepadanya kerana segala yang dipersembahkan pada malam itu adalah ideanya. Malah Siti sanggup belajar tarian tap untuk dipertontonkan kepada orang ramai.
“Tarian tap itu pun baru Siti belajar. Siti sengaja nak tonjolkan kelainan pada lagu tersebut dan sebab itulah Siti bawa konsep koir juga,” katanya yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding lagi Juara Lagu pada tahun hadapan.
Juara Lagu yang mempertandingkan 12 buah lagu untuk kategori pop rock, balada dan Irama Malaysia & Etnik Kreatif buat pertama kalinya dibuka kepada orang ramai dengan tiket berharga RM32, RM22 dan RM12.
Biarpun penonton terpaksa mengeluarkan wang namun Juara Lagu yang menampilkan tema Seni Pop itu berjaya memberi kepuasan.
Segmen selingan menggabungkan barisan artis terbaik tanah air mempersembahkan lagu-lagu yang tidak pernah mereka dendangkan sebelum ini.
Siapa sangka Ratu Rock, Ella disuruh mendendangkan lagu dangdut, Rindu dan Selamat Tinggal Romeo. Walaupun malu-malu Ella tetap cuba bergelek seperti Mas Idayu.
Begitu juga dengan Hazami dan Siti Sarah yang diberi peluang mendendangkan lagu joget Kenangan Manis. Sementara Dayang Nurfaizah dan Adibah Nor pula menghiburkan penonton dengan lagu ghazal.
Juara Lagu yang dikendalikan oleh pengacara Aznil Nawawi dan Sarimah Ibrahim itu turut memperlihatkan lagu Hi Hi Bye Bye ciptaan KRU juara bagi kategori pop rock dan Wassini dendangan Waheeda, ciptaan Yasin bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif.
http://www.utusan.com.my/