Archive for the ‘2001’ Category
Bidan sambut kelahiran Siti Nurhaliza ingin temuinya.
Oleh: SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 5 Sept. - Seorang bekas bidan kerajaan yang lumpuh sejak 10 tahun lalu berhasrat untuk berjumpa dengan penyanyi terkenal Siti Nurhaliza yang disambutnya ketika penyanyi itu dilahirkan lebih 20 tahun lalu.
Salmah Budin, 59, menyambut kelahiran Siti di kuarters polis Kampung Awah dekat sini pada tahun 1979.
Menurut anak bongsunya, Harlina Hashim, 27, walaupun lumpuh setelah terjatuh ketika bertugas di Klinik Desa Kampung Awah lebih 10 tahun lalu, ibunya masih mampu mengingati Siti Nurhaliza.
“Ibu memberitahu, Siti Nurhaliza adalah bayi yang disambutnya ketika dilahirkan dan kini berasa bangga dengan kejayaan penyanyi itu.
“Ibu hendak berjumpa Siti Nurhaliza yang kini sudah terkenal apatah lagi meraih pelbagai kejayaan dalam bidang seni,” katanya kepada Utusan ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Harlina berkata, walaupun tidak mampu bergerak dan bercakap, ibunya mampu berkomunikasi dengan isyarat ibu jari kaki kanan yang digerak-gerakkan.
Menurutnya, bagi mengetahui kehendak ibunya, beliau terpaksa menunjukkan semua abjad dan ibunya akan menunjukkan menggunakan ibu jari kaki kanan sehingga menjadi perkataan yang lengkap.
Menurut beliau, pendekatan ini agak unik tetapi tiada pilihan lagi kerana semua anggota lain ibunya, kaku dan kejang serta tidak boleh digerakkan langsung.
“Walaupun menderita lahir dan batin, minda ibu tetap cergas dan masih mampu mengenali orang lain termasuk Siti Nurhaliza,” ujarnya.
Harlina menambah, ibunya pernah menyatakan kekesalan kerana tidak mendapat bantuan mana-mana pihak.
“Ibu juga sedih kerana penderitaannya hanya ditanggung sendiri dan ia mungkin berkurangan jika diziarahi kawan-kawan,” jelasnya.
Harlina terpaksa menamatkan persekolahan setakat tingkatan lima kerana mahu menjaga ibunya yang langsung tidak mampu menguruskan diri sendiri seperti untuk makan dan mandi.
“Ibu hanya mampu makan bubur nasi dan susu yang disuapkan tiga kali sehari, dan keadaan itu menyebabkan kesihatannya semakin merosot dari sehari ke sehari,” katanya.
Mengimbas kisah lalu, Harlina menjelaskan, pada peringkat awal, ibunya hanya lumpuh sebelah badan tetapi tidak lama kemudian seluruh badan tidak dapat digerakkan.
Berikutan itu katanya, ibunya terpaksa bersara awal bagi menjalani rawatan di Hospital Mentakab, Hospital Besar Kuala Lumpur dan berubat secara tradisional.
Ketika ini Salmah menerima pencen RM420 sebulan manakala suaminya pesara polis, RM450 sebulan dan sumber inilah yang digunakan bagi membiayai kehidupan seharian termasuk membeli lampin.
Menurut Harlina, pencen ibu dan ayahnya tidak mencukupi kerana terpaksa membayar sewa rumah yang didiami sekarang di 31, Bangunan LKNP, Chenor, Maran.
“Kami membelanjakan RM500 sebulan untuk penggunaan lampin pakai buang kerana terpaksa menyalin sebanyak 15 kali sehari,” jelasnya.
Kata Harlina, ayahnya, Hashim Sam, 73, pesara polis adalah rakan setugas dengan ayah Siti Nurhaliza di Balai Polis Kampung Awah.
Mereka yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada bekas bidan ini boleh menghubungi 09-2995226.
http://www.utusan.com.my/
Konsert Suria semai semangat cintakan negara.
Oleh ROSLI MANAH
HIBURAN masih lagi menjadi agenda utama dalam menyemarakkan semangat cintakan negara dan sikap patriotik sempena mengingati ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos.
Lagu-lagu Bahtera Merdeka, Sejahtera Malaysia dan lagu berteraskan budaya bangsa sering diperdengarkan.
Justeru,, pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas turut mempersembahkan Konsert Suria Merdeka 2001 secara percuma di Taman KLCC, kelmarin.
Pada konsert itu, lebih 20,000 warga kota hadir menyaksikan persembahan para artis yang terdiri daripada Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Nora, Syafinaz, Tan Sri S.M. Salim, Awie dan Poetic Ammo.
Konsert yang diadakan di taman terbuka itu berlangsung dalam suasana aman walaupun penonton tidak berganjak untuk menonton di hadapan pentas.
Konsert tersebut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan stesen radio Era.
Empat pengacara radio Era, Linda Onn, Halim Othman, Kudsia Kahar dan Khairil Yasin bertindak selaku pengacara.
Penyanyi veteran yang dihormati, Tan Sri S.M. Salim diberi penghormatan mengadakan persembahan pembuka tirai.
Sambil duduk, penyanyi itu mendendangkan lagu-lagu Bahtera Merdeka, Kalauku Tahu, Kusangka Aur Di Pinggir Tebing dan Pantun Budi.
Beliau juga turut berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu popular yang kini diminati ramai, Pandang Pandang Jeling Jeling.
Siti Nurhaliza pula memilih lagu-lagu Fatwa Pujangga, Mahligai Permata dan Percayalah.
Ketika beraksi, S.M. Salim sempat melontarkan nasihat kepada para penonton.
“Kamu generasi muda bertuah kerana hidup di zaman negara yang merdeka,” katanya.
Siti pula menyatakan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan dapat menikmati kehidupan yang aman.
“Bersama-samalah kita menjaga kesejahteraan negara agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.
Noraniza Idris mempersembahkan rangkaian lagu berirama tradisional Melayu yang dipopularkan olehnya seperti Awallah Dondang, Dikir Puteri, Ngajat Tampi, Manisah dan Ibok.
Penyanyi itu juga meminta peminat menajamkan sifat jati diri serta cintakan budaya bangsa untuk memastikan budaya Malaysia terus terpelihara.
Nora mendendangkan lagu-lagu Hanya Satu, Rentak Jantung, Materialistik dan Desaku Tercinta, manakala Syafinaz membawakan Kemesraan, Rinduku Rindumu dan sebuah lagu Inggeris, Imotion.
Awie pula menyanyikan lagu-lagu Terima Kasih, Maya dan Baldu Biru, manakala Poetic Ammo dengan lagu-lagu Inggeris berkonsep hip hop.
Pada akhir persembahan, kesemua artis menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia.
http://www.utusan.com.my/
Siti nak cuba rock.
SELAMA hampir enam tahun menjadi anak seni, pelbagai cerita yang kita dengar atau baca mengenai Siti Nurhaliza Tarudin. Pelbagai gelaran diberi kepadanya sama ada yang formal atau sebaliknya.
Kejayaannya mengumpul 53 anugerah disimpulkan baru-baru ini dalam The Malaysia Book of Records (kategori Seni & Hiburan) sebagai Artis Paling Banyak Menerima Anugerah.
Apa lagi yang ingin diceritakan pasal Siti. Cantik? Memang ramai yang mengakui anak Kuala Lipis, Pahang ini cantik. Suara? Kalau tak bagus, masakan boleh menang sana-sini.
Kita ‘dengar’ apa kata Siti dalam temubual dengan wakil Metro Ahad, Abie Abdullah. Banyak yang Siti ingin kongsikan dengan pembaca Metro Ahad mengenai industri ini.
Metro Ahad (MA): Pejam celik, pejam celik, dah hampir enam tahun Siti menyanyi. Apa yang Siti lihat mengenai muzik Malaysia?
Siti (S): Walaupun Siti belum makan banyak garam lagi, namun selama tempoh lebih lima tahun ini, cukup Siti rasakan industri kita makin pantas menuju ke hadapan. Kemunculan artis baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Mereka bukan lagi bersandarkan rupa tetapi juga ada suara, cuma perlu dibentuk saja.
Orang dah mula melihat muzik sebagai membantu negara. Selama ini muzik dianggap sebagai hiburan dan untuk didengar saja.
Dulu ramai yang memandang rendah kepada muzik tetapi mereka yang terbabit dalam muzik, terutama penyanyi boleh menjadikannya sebagai pekerjaan tetap dan ada masa depan. Itupun kiranya betul-betul serius dan ada hala tuju sendiri. Lagipun muzik satu keperluan dalam hidup.
MA: Kalau dibandingkan dengan muzik Indonesia, kita di mana?
S: Siti akui mereka lagi advanced. Di sana kumpulan rock lebih menonjol berbanding Malaysia, yang lebih menerima artis solo. Mungkin muzik mereka lebih up-to-date, lebih berani. Sekarang ini pun, peminat kita sudah menerima kumpulan rock mereka.
MA: Apa pandangan Siti mengenai fenomena artis kita yang suka menyanyi lagu Melly Goeslow?
S: Itu rezeki Melly apabila diterima di sini. Artis Malaysia pun nak mencuba karya Melly kerana lagunya sendiri yang memainkan peranan. Kalau lagunya tak memikat, takkan kita nak ambil lagu daripadanya kan?
Sebab lagunya yang lain, itulah perubahan yang mungkin perlu ada. Siti bukannya tahu sangat nak komen lebih-lebih mengenai penciptaan ini. Mungkin komen ini untuk orang lain yang lebih arif dalam muzik.
MA: Adakah Siti menyukai lagu Melly?
S: (Menyanyi) ‘Jika teringat tentang dikau, jauh di mata… ‘ Sebenarnya kalau Siti dengarnya semula, ia macam lagu-lagu lama yang pernah popular di Malaysia tetapi sekarang ini, segalanya dah kembali.
Bukan itu saja, stail artis Indonesia macam-macam. Seluar bell-bottom, rambut kembang berwarna-warni. Semuanya dah berpusing. Sekarang ini, lagu seperti itu kita suka dengar.
Suatu hari nanti, Siti sendiri teringin mencipta lagu. Kalau boleh Siti nak lagu Siti boleh diterima seperti itu, yang mengikut peredaran.
MA: Siti tak berminat untuk ambil lagu Melly?
S: Siti berminat dengan lagunya. Walaupun kita suka lagunya tetapi kita bukannya tak boleh buat stailnya, kita boleh adakan Made In Malaysia. Beritahu komposer yang kita mahu lagu stail seperti itu. Orang kita pun boleh cuba.
MA: Kebanyakan lagu Siti, berentak pop sentimental, ballad. Tidakkah Siti teringin cuba yang lain seperti rock misalnya?
S: Ehh! Siti teringin nak satu lagu dalam album Siti, yang berentak tak terlalu heavy. Biar pop rock sikit, underground sikit dan banyak pakai gitar serta lebih relaks.
Siti teringin sangat kalau dalam album ada lagu stail macam itu, satu lagu R&B, satu lagu ballad, sentimental, dance music dan sebagainya. Sebagai artis, itu sebenarnya yang menguji kemampuan kita.
MA: Adakah album Safa tidak menguji Siti?
S: Secara ikhlas Siti katakan album Safa sebuah album yang baik yang pernah Siti hasilkan. Siti adakan juga lagu R&B, cuma penerimaan peminat kerana mereka dah biasa dengan sentimental dan balada.
Tetapi Siti cuba juga R&B dalam lagu Aubrey Suwito, Beradu Di Khayalan. Dia terkenal dengan lagu R&B, seperti juga Ajai dan lagu Pot (Innuendo), Kau Ku Sayang.
Ini bermakna, Siti dah cuba untuk memperbaharuinya dalam Safa tetapi mungkin peminat tak berapa lagi sesuai dengannya. Bagaimanapun, jualannya menggalakkan dan ini menggembirakan Siti kerana bukan senang nak jual album sekarang ini. Pasaran lembap.
MA: Pada pandangan Siti, selain menyanyi dan berlakon, apa lagi peranan mereka kepada negara?
S: Dalam hal ini, Siti tak menganggap peranan artis saja tetapi public figure keseluruhannya yang sama-sama cuba memberi yang terbaik kepada negara. Cuma artis dalam kumpulan public figure itu lebih dikenali dan mempunyai pengaruh serta ramai peminat, sebab itu tumpuan lebih kepada artis.
Banyak sumbangan artis lebih-lebih lagi mereka ada pengaruh. Ke mana saja mereka pergi, ada yang setia mengikut sama. Kadangkala apa yang kita cakap walau sedikit, mereka akan pahat dalam hati sampai bila-bila.
Malah dari segi pakaian, rambut, mekap mereka akan ikut apa yang artis itu buat. Kalau artis pakai jenama itu, mereka akan cari jenama yang sama.
Siti sendiri juga terasa macam mana bahangnya selama lebih lima tahun dalam bidang ini. Daripada hal yang sekecil kuman hinggalah yang besar, mereka akan mengambil tahu.
Pada Siti, kalau berjumpa peminat, Siti akan buat yang terbaik sebagai artis, memberi nasihat atau apa-apa bermanfaat dalam setiap persembahan.
MA: Kalau peminat terlalu taksub, bagaimana siti mengawal dari segi percakapan?
S: Tetapi Siti tak ‘terasalah’ benda yang kecil boleh mengongkong Siti. Siti cuba buat Siti Nurhaliza macam biasalah. Cuma untuk peminat, kita cuba memberi sedikit dari diri kita, tidak sepenuhnya yang ada pada diri kita kerana kita juga perlukan privacy.
Kadangkala Siti buat benda yang tidak sengaja seperti yang berlaku dalam Juara Lagu lalu, ada riben jatuh dan Siti tarik riben itu untuk tidak nampak berserabut.
Itupun mereka tulis dalam e-mel, ‘Saya suka tengok Siti tarik riben dalam Juara Lagu’.
Ehh! Mereka perasan jugalah. Jadi hal macam itu, kalau memberi kenangan manis kepada mereka, okeylah. Siti bergerak ke, berjalan ke akan menjadi ikutan.
MA: Apakah perubahan Siti dari 1996 sehingga menjadi superstar seperti hari ini?
S: Berubah tu memang ada, bohong kalau Siti kata tak ada. Dari segi perubahan tu, orang lebih mengenali Siti. Lebih senang macam ini, Siti Nurhaliza sebagai penyanyi, Siti perlu beri tumpuan kepada nyanyian.
Di atas pentas, Siti sebagai penyanyi Siti Nurhaliza. Tetapi kalau Siti pulang ke rumah, Siti adalah Siti Nurhaliza binti Taruddin seperti anak-anak kampung, budak Lepih (Kuala Lipis) dulu.
Siti terasa perubahan itu apabila Siti dikenali. Kalau dulu, hanya orang Kuala Lipis saja yang kenal tetapi sekarang ini, Siti ke Johor, Melaka dan ke mana pun orang kenal sebagai Siti Nurhaliza, si penyanyi tu.
Gembira memang gembira juga dikenali. Bukan untuk banggakan diri tetap untuk karier kita sebagai artis, ia satu keperluan supaya apa saja yang kita buat, apa saja produk kita keluarkan, akan mudah dijual terutama album kita.
Ia penting untuk karier tetapi kadangkala kita juga perlu masa untuk peribadi. Bukan bermakna kita tak boleh beramah mesra dengan peminat, Memang Siti beri tumpuan kepada mereka.
Tetapi Siti macam orang biasa, sebab kita juga ada orang yang kita suka dan apabila kita jumpa, alamak sukanya! Siti faham Siti pun ada juga perasaan macam itu.
Kadangkala kita minta peminat kalau boleh bertolak ansur.
MA: Adakah keadaan ini menekankan Siti?
S: Terpulang kepada situasi! Kadangkala situasi yang kita berasa selesa dan peminat memahami. “Ah…tak apalah kalau kak Siti sibuk, lain kalilah ya.” Siti suka sangat peminat yang betul-betul faham tetapi ada ketika kita tak boleh menolak peminat yang nak sangat jumpa. Itulah yang perlu kita korbankan sedikit.
MA: Bukankah ini mendorong artis jadi hipokrit?
S: Siti berasa ‘terpaksa’ apabila Siti berada di atas pentas. Tetapi bukan bermakna kita senyum itu kerana terpaksa. Cuma kadangkala kita ada masalah peribadi juga, seperti manusia biasa yang lain.Namun untuk kerjaya, kita perlu profesional. Kalau kita ada masalah, takkan kita nak tunjuk di depan orang dengan muka masam.Secara ikhlas Siti katakan, apabila di atas pentas, Siti buangkan segala masalah sebab bagi Siti, ia periuk nasi Siti. Kalau Siti buat dengan ikhlas, ia akan jadi baik dan berjalan lancar. Walaupun ketika itu Siti tengah marah, bergaduh dengan famili ke tetapi di atas pentas, Siti cuba yang melupakan semua. Asingkan peribadi dengan kerja.
MA: Adakah Siti profesional selama ini?
S: Siti tak berani katakan yang Siti profesional sebab manusia bukan sempurna. Profesional macam manapun, kita tetap buat salah jugakan! Tetapi Siti cuba bertindak profesional dalam segala hal. Alhamdulillah, apa saja yang siti buat dapat kerjasama yang baik dari ramai pihak kerana kita fikirkan, apa yang kita buat itu bukan untuk kita tetapi untuk semua orang.
MA: Bagaimana pula dengan cakap-cakap belakang yang mengatakan Ayie dan Rozie mengongkong Siti?
S: Perkara ini sebenarnya dah lama, Siti dah biasa dengar cerita ini. Kalau Siti pakai orang lain (sebagai pengurus), belum tentu Siti sampai tahap sekarang tetapi itulah penangan keluarga Siti hingga kini Siti cuba jalankan kerja Siti sebaik mungkin.
Ingat apa yang mak Siti pesan. Walaupun ramai yang ingin melihat Siti berjalan sendiri atau dengan orang lain atau berdikari dengan pengurus lain, tetapi Siti memang berdikari atas dorongan keluarga Siti.
Ada juga orang kata, di bawah abang Ayie, Siti tak akan pergi jauh. Sebenarnya nak pergi jauh tu bukan atas abang Ayie ataupun syarikat Siti sendiri tetapi banyak pihak.
Syarikat rakaman, ia yang sepatutnya mengambil berat kalau mahu melihat artisnya ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka yang mengatur langkah, kami mengikut dan cuba menjalankan langkah yang sudah dibuat.
Setakat inipun, Siti ke luar negara - Jepun, Singapura, Brunei pun ditemani abang Ayie.