Candy Ingin Hidup Berdikari – Ulas Gosip Bergaduh Dengan Mila

Oleh FAIZAL SAHARUNI

SETELAH melangkahkan kaki keluar daripada program realiti Akademi Fantasia 5 (AF5) setahun lalu, dua gadis kecil-molek dengan bakat besar ini, Mila dan Candy terus menjadi sahabat baik dan tinggal serumah.

Punyai keserasian dan saling memahami antara satu sama lain, persahabatan mereka bertambah erat hinggalah Mila mengambil keputusan ‘mengangkat’ kaki keluar rumah dan tinggal bersama kedua ibunya.

Dari situlah, timbulnya desas-desus kononnya Candy dan Mila mula bermasam muka dan bersengketa antara satu sama lain.

Khabar angin itu terus diperkata umum, malah berterbangan bebas ke sana ke mari sehingga singgah ke telinga Candy dan Mila.

“Mana ada saya bergaduh dengan Mila. Saya pun tidak tahu bagaimana cerita ini boleh tersebar luas sampai saya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya buat kesimpulan, barangkali kisah saya berselisihan faham dengan juara sulung wanita AF5 itu gara-gara Mila berpindah dari rumah kami di Subang Jaya, Selangor.

“Padahal semua pihak tahu dan mengerti yang Mila kini bawa seluruh keluarganya dari Pulau Pinang dan tinggal bersama di sekitar kawasan di pinggir ibu kota,” kata Candy menjelaskan situasi sebenar ketika ditemui pada Remix Anniversary Bash 2008 di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Sambung penyanyi yang terkenal menerusi lagu Demam ini, setelah menerima perkhabaran kurang enak itu, dia terus menghubungi Mila.

“Mila terus tergelak besar dengar apa yang saya katakan. Bayangkan, selama ini kami baik-baik saja, malah tak pernah pun bergaduh, tiba-tiba kami dikaitkan bermasam muka dan ada perasaan tak puas hati antara satu sama lain.

“Khabar angin itu saya baca daripada sebuah majalah hiburan yang mengatakan Candy dan Mila bergaduh sesama kami dan membuatkan Mila nekad pindah rumah.

“Kalau betul saya dan Mila bergaduh, tak mungkin Mila ajak saya tinggal sekali bersama keluarganya di rumah baru Mila.

“Sebab ingin hidup berdikari, saya ambil keputusan untuk menolak dengan baik pelawaan Mila. Saya cuba berusaha dengan keringat dan titik peluh sendiri untuk meneruskan kehidupan.

“Kini saya tinggal bersama-sama Nora AF5. Baru saja pindah, malah rumah kami sekarang pun tengah bersepah dek belum sempat mengemas,” kata Candy lagi.


CANDY mahu menjadikan karier nyanyian sebagai mata pencarian untuk membantu keluarganya.

Tidak mudah melatah apatah lagi melenting dengan kisah ‘persengketaan’ dirinya dengan Mila, Candy hanya mampu bersabar apatah lagi perkara yang diuar-uarkan itu tidak pernah pun terjadi.

“Saya malas hendak ingat isu tersebut. Lagipun ia tak pernah berlaku. Daripada pening kepala fikir gosip itu, lebih baik saya tumpukan perhatian pada karier.

“Andai dibiarkan saja, gosip itu akan hilang sendiri,” kata Candy optimis dengan ranjau berduri dalam dunia seni ini.

Lahirkan album DusunKalau Mila terus meraih perhatian umum dan makin dikenali ramai, lain pula ceritanya dengan Candy. Dia bagaikan ‘hilang’ ditelan kemunculan bekas pelajar AF6, malah jarang benar peminat melihat cerita terbaru Candy sama ada dalam media cetak mahu pun elektronik.

“Saya masih ada di sini, bukannya pergi ke mana-mana atau pun menghilang,” luah Candy sedikit tegas tatkala diaju pertanyaan dirinya yang senyap daripada pemerhatian dan pandangan industri seni.

Perlahan butir bicaranya, Candy mengakui dia kini sibuk berlatih memperbaiki mutu serta kualiti vokalnya yang dipelajari menerusi buku dan cakera padat.

“Saya dalam perancangan untuk menghasilkan album Dusun untuk pasaran khalayak di Sabah. Ia dijangka akan bermula penghujung tahun ini.

“Saya keluarkan duit sendiri untuk hasilkan album istimewa ini. Sebelum buat apa-apa, saya dah bincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan Maestro untuk melahirkan album Dusun.

“Ia bukannya datang daripada duit saya seorang sendiri, sebaliknya hasil perkongsian bersama sepupu yang mahu membantu perjalanan kerjaya saya sebagai penyanyi.

“Lagi pun album Dusun tidaklah terlalu mahal atau menelan kos terlampau tinggi. Ia biasa-biasa saja dan cukup ringkas berbanding album genre lain,” tutur Candy atau nama sebenarnya Candra Clement.

Gadis berusia 18 tahun ini menambah, sebelum ini ramai yang bertanya bila dia akan menghasilkan album sulung, malah ada peminat mula menyuarakan rasa kebimbangan andai namanya makin tenggelam.

“Setelah betul-betul yakin, malah punyai bajet sendiri, saya pilih untuk terbitkan album berkonsep lagu Dusun. Saya tak mahu terburu-buru bikin album tersebut.

“Semuanya berkait-rapat dengan kualiti, kalau dibuat secara kelam-kabut, maka tiadalah orang yang nak beli album saya.

“Oleh itu saya perlu buat keputusan tepat. Sebelum 2008 berakhir, saya akan mula cari lagu-lagu bersesuaian untuk dimuatkan dalam album ini.

“Kalau dapat sambutan baik dan positif, album Dusun itu akan diterjemah dalam bahasa Melayu untuk saya pasarkan kepada peminat di sini.

“Saya sudah ada senarai komposer, tapi nama mereka masih dirahsiakan,” ungkap Candy yang dilahirkan pada 11 Mei 1989 terus berteka-teki.

Bina rumah buat familiTempoh setahun bergelar penyanyi, anak kelahiran Tambunan, Sabah ini berhasil memberi wang belanja kepada keluarga di kampung halaman bagi meringan beban kedua orang tua.

“Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada dan wang yang saya kumpul hasil nyanyian, saya dapat membantu famili dengan memberikan wang bulanan kepada mereka.

“Memang keluarga tak pernah meminta-minta daripada saya, tapi sebagai anak, saya tolong selagi mampu. Saya dah biasa hidup susah sejak kecil, justeru saya hendak membahagiakan mereka,” jelas Candy yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya.


KEMUNCULAN Candy dalam AF5 membuka ruang untuk dia dikenali ramai.

Sambung gadis dengan ketinggian 153 sentimeter ini, dia juga ada memberi sumbangan kewangan buat keluarga untuk membesarkan rumahnya di kampung.

“Kalau ada yang perasan, rumah saya sebelum ini kelihatan agak daif. Sekarang ini, kediaman saya dah lebih elok sikit berbanding sebelumnya.

“Baru-baru ini pun saya ada pulang ke kampung untuk lihat perkembangan rumah itu. Syukur sangat sebab saya tengok rumah saya dah nampak macam sebuah rumah yang betul.

“Setiap ruang sudah dibahagi-bahagikan. Lalu nampaklah ada pembahagian tiap ruang untuk membezakan bahagian dapur, bilik dan ruang tamu.

“Saya tak mahu orang mengutuk belakang cakap sebagai anak dan dikenali ramai, saya tak nak bantu keluarga.

“Saya tahu tanggungjawab sebagai anak. Kalau boleh saya ingin memberi kemewahan kepada keluarga yang selama ini hidup susah membesarkan kami adik-beradik.

“Selagi terdaya, saya akan tolong mereka. Itulah janji saya,” ucap Candy dengan semangat membara tertanam di dadanya.

Kosmo