Bukan mudah jadi pengurus Siti.

“KERJAYA sebagai pengurus artis menuntut kesabaran yang tinggi apatah lagi mengendalikan jadual harian penyanyi paling popular tanah air, Siti Nurhaliza. Boleh dikatakan di mana ada Siti, di situ pasti ada Rozi Abdul Razak, kakak ipar merangkap pengurus peribadinya. Kehadiran Rozi juga sudah diibaratkan seperti tangan kanan selebriti kesayangan ramai itu. Sepanjang lapan tahun bersama Siti, bekas wartawan itu menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi. HANISAH SELAMAT berpeluang berkongsi cerita dengan orang kuat Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd itu.

ROZI (kanan) bersama
suaminya Ayie dan adik
iparnya, Siti Nurhaliza.

Persada Seni: Apakah antara tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan pengurus artis dan bagaimanakah anda membezakan hubungan sebagai kakak ipar dan pengurus? Apakah pertalian itu memberi kesan kepada cara kerja anda?

Rozi: Sebagai pengurus artis, saya mempunyai tanggungjawab yang besar bagi melaksanakan segala kerja berkaitan kerjaya Siti. Saya akan memastikan setiap jadual Siti diatur dengan teliti termasuk urusan persembahan, konsert, fotografi, temubual radio, promosi album, program TV, penggambaran iklan dan sebagainya. Walaupun kakak ipar Siti, tetapi dalam urusan kerja, Siti tetap bos saya. Saya tetap menghormatinya walaupun usianya lebih muda saa tetapi gelaran itu juga membuatkan urusan kerja saya lebih senang kerana saya memahami hati budi Siti. Pertalian ini tidak menimbulkan masalah kerana kami mudah berterus terang dan lebih memahami.

Persada Seni: Sebagai pengurus artis nombor satu negara, pasti anda menghadapi pelbagai rintangan dan kerenah manusia. Bagaimana anda menangani perkara itu?

Rozi: Saya harus mengakui memang tidak mudah untuk bergelar pengurus Siti kerana jadual hariannya sentiasa terisi dengan pelbagai aktiviti dan saya harus berhadapan dengan ramai pihak yang mahukan khidmatnya. Saya harus meneliti setiap perkara, mengatur agar jadual tidak bercanggah dan paling mencabar apabila saya harus mengatakan `tidak’ kepada pihak yang mahukan Siti kerana ada kalanya permintaan itu tidak dapat ditunaikan jika Siti sudah terikat dengan komitmen lain. Saya harus menolak dengan baik. Mengenai cabaran lain dalam bidang seni, saya harus tabah dan tidak mudah melatah kerana itu juga sebahagian daripada prinsip Siti. Saya juga harus menjadi sekuat Siti.

Persada Seni: Sehingga kini, pernahkah anda menghadapi situasi yang benar-benar menguji kesabaran anda?

Rozi: Memang terlalu banyak cabaran tetapi saya tahu bagaimana saya bekerja dan mungkin ada pihak yang tidak faham. Tugas saya tidak mudah tetapi saya sentiasa berusaha untuk memastikan semua pihak berpuas hati. Sukar untuk saya jelaskan kepada sesetengah pihak yang tidak memahami, jika saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang mahukan khidmat Siti. Walaupun sudah diterangkan mengenai kesibukan Siti tetapi masih ada pihak yang mahukan Siti. Keadaan ini saya harus tangani dengan bijak.

Saya juga pernah dikatakan lebih sudu daripada kuah hanya kerana saya harus menjaga Siti, menjaga kebajikan dan yang penting saya harus melindungi Siti. Saya fikir tindakan saya tidak salah tetapi masih ada pihak yang tidak memahami kerja saya.

Persada Seni: Siti cukup disenangi dengan perilaku sebagai wanita Timur yang bersopan terutama dari segi penampilan dan tingkah laku. Namun apabila timbul pelbagai gosip liar yang cuba mencemar nama baiknya, apakah tindakan anda selaku pengurus?

Rozi: Saya tahu hati budi Siti dan tentu tuduhan demi tuduhan yang diterimanya membuatkan saya sedih dan kesal. Saya akan berusaha mencari puncanya dan sentiasa berfikiran positif. Saya tahu cabaran ini berat tetapi jika niat kita ikhlas dan tahu kebenarannya, saya pasti, Allah sentiasa bersama.

Andai kata ada tuduhan yang cuba mengaibkan nama Siti dan keluarga secara keterlaluan, saya pasti membersihkan nama baik.

Persada Seni: Siapa yang bertanggungjawab membuat keputusan berkaitan kerjaya Siti? Adakah ia di tangan Siti 100 peratus atau pihak Siti Nurhaliza Productions?

Rozi: Cara kami bekerja adalah dengan berbincang dan ada permuafakatan. Setiap perkara dibincangkan bersama dan kami mengambil jalan yang terbaik. Sebagai master key, Siti antara orang penting yang membuat keputusan untuk kerjayanya. Saya memberi pendapat untuk kebaikan kerjayanya dan menyokong setiap usaha yang dilakukannya.

Persada Seni: Apakah reaksi anda jika ada yang berpendapat pengurus yang mempunyai pertalian keluarga dengan artis lebih kerap campur tangan dalam semua perkara?

Rozi: Semua itu terpulang kepada individu. Saya lebih bersikap terbuka kerana tetap menghormati Siti sebagai adik ipar dan majikan saya. Saya tidak akan membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuannya. Walaupun mempunyai pertalian dengan Siti, saya tidak mengambil kesempatan dalam apa jua perkara.

Persada Seni: Antara keluarga dan profesion sebagai pengurus, mana yang lebih menjadi keutamaan?

Rozi: Alhamdulillah, saya mendapat kepercayaan yang penuh daripada keluarga untuk menguruskan Siti walaupun saya sudah mempunyai keluarga sendiri. Walaupun sibuk saya tetap memberi keutamaan kepada keluarga jika ada waktu terluang. Keluarga Siti juga keluarga saya, suami saya adalah abangnya, anak saya adalah anak saudaranya, tentu semua ini begitu dekat dengan diri saya ataupun Siti.

Persada Seni: Sebagai manusia biasa, pasti Siti mempunyai kerenahnya sendiri. Bagaimana anda menangani Siti sebagai artis dan dalam masa sama kerenahnya sebagai anggota keluarga?

Rozi: Saya bersyukur kerana Siti bukan orang yang cerewet untuk diuruskan kerana saya sudah mengenali hati budinya. Saya tahu apa yang dia suka dan tidak suka. Semua ini lebih memudahkan kerja saya. Kami juga sentiasa berbincang dan dia bersikap terbuka.

http://www.bharian.com.my/”