Bukan lagu tentang gay – Edry

Bersama: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Sehangat penyiarannya di radio, demikian juga hangatnya soal “kisah” di sebalik lagu Separuh Masa. Kalau meneliti lirik lagu Seperuh Masa, ada pendengar yang menganggap ia sengaja dicipta untuk golongan gay.

Lagu nyanyian The Lima itu dikaitkan dengan kisah cinta lelaki gay. Oho, benarkah begitu? Dihayati sepintas lalu, ada kebenarannya juga lagu berkenaan seolah bercerita tentang golongan gay. “Makna liriknya ada kecenderungan ke arah itu,” demikian antara komen pemanggil kepada Pancaindera. Bagaimanapun setiap orang mempunyai tanggapan berbeza terhadap sesuatu termasuklah lagu ini.

Edry KRU yang menulis lirik ini berkata, dia tidak boleh salahkan masyarakat kalau berfikir sumbang tentang lirik lagu tersebut. Jadi bolehlah siapa saja menganggap lagu ini untuk golongan gay! Tetapi untuk Edry, dia mempunyai sebab dan musabab dalam menghasilkan lirik yang mesra telinga itu. Edry minta dia diadili dengan saksama dalam menilai lagu berkenaan.

Saya menemu bual Edry untuk mengetahui apa yang terkandung di dalam pemikirannya sewaktu menulis lirik lagu itu.

Apa ada dalam fikiran Edry semasa menulis lirik lagu Separuh Masa?

Macam lagu-lagu lain, ia ada kaitan dengan kisah peribadi saya. Apa yang berlaku di sekitar hidup saya. Ada kalanya kita rimas, lemas dan tak senang dengan kejadian-kejadian sekitar dan ini membuatkan saya muncul dengan idea segar, idea baru seperti dalam lagu berkenaan.

Ideanya tentang apa?

Kisah cinta yang bercabang-cabang. Sudah ada isteri atau kekasih, tetapi mahu pasang lebih. Itu saja. Tetapi mungkin bila sampai kepada pendengar sudah jadi lain. Saya tak mampu hendak halang, kalau orang fikir macam-macam tentang lagu ini.

Kisah diri sendiri? Apa maksudnya?

Jujur saja ya, masa saya buat lagu itu, asalnya ia lebih kepada hubungan kerja saya dengan adik-beradik yang lain. Norman, Yusry dan saya. Dulu, masa muda-muda dulu kami sering bertiga ke mana saja, siang malam. Bila saya sudah berumah tangga komitmen berubah. Isnin hingga Jumaat, saya milik KRU, tetapi hari minggu saya milik keluarga. Bila dia orang selalu kacau saya pada hari minggu, ajak jumpa, meeting, macam-macam saya jadi rimas juga walaupun saya tak salahkan mereka. Itu idea asal lagu berkenaan. Tetapi kalau angkat kisah itu saja, ia sudah jadi terlalu peribadi. Lagipun siapa hendak dengar kisah kita orang? Jadi saya kaitkan dengan kisah cinta yang sedikit luar biasa. Itu idea asal, tak ada kaitan dengan kewujudan orang lain pun.

Ada yang kata lagu ini bercerita tentang kehidupan lelaki gay, betul ke?

(Ketawa). Apa buktinya awak kata macam itu? Frasa yang mana? Ini kena tanya supaya saya boleh jelaskan.

Bait seperti “Kau hanya kekasih separuh masa” dan juga “kuakui ada sesuatu antara kita, tetapi kutahu bukan seperti biasa”. Ada sesuatu yang terselindung di situ, betulkan?

Bila Datuk Siti Nurhaliza menghasilkan Bukan Cinta Biasa, ada orang bising tak? Samalah seperti lagu ini. Ia tentang satu kisah cinta yang luar biasa, lain dari lain. Itu saja. Bila kita menerbitkan sesuatu, tujuan kita untuk mendapat perhatian pendengar. Untuk hiburan. Apabila saya letakkan hasil karya saya di luar sana, ia akan terbuka untuk pelbagai tafsiran. Saya sedar hakikat setiap orang apabila mereka gemar sesebuah lagu mereka akan jadikan ia milik peribadi mereka. Mereka akan kaitkannya dengan kisah peribadi. Itu hak anda dan pendengar lain hendak fikir apa tentang makna dalam lagu itu. Saya tidak mampu untuk halang.

Jadi tidak betullah Edry buat untuk gay?

Terpulanglah. Manusia boleh cakap apa saja, tetapi sebenarnya lirik itu umum. Mungkin suami orang yang curang boleh fikir itu lagu dia. Kekasih curang juga akan kata macam itu juga. Saya tak boleh lari kalau ada golongan gay hendak jadikan lagu ini lagu mereka. Apa saya boleh buat? Setiap pendengar ada hak untuk menjadikan lagu ini milik mereka. Terpulang kepada mereka, bukankah lagu itu sesuatu yang universal? Ini soal cita rasa mereka, saya tak boleh hendak halang. Padahal lagu ini memang tentang diri saya, persaudaraan kami sebagai adik- beradik dan keluarga saya sendiri. Orang lain hendak anggap lain, saya tak boleh halang. Saya tak boleh ‘ya’ atau ‘tidak’ kepada soalan ini.

Jadi bukan untuk gay?

Kalau saya gay saya buat untuk mereka. Memandangkan saya bukan gay, saya tak buat begitu. Tapi kalau ada jantina tertentu yang anggap macam itu, apa saya boleh buat. Sebagai orang lurus saya tak akan ke arah itu. Tetapi kalau mereka jadikan untuk mereka, ‘good for me’. Tujuan berkarya adalah untuk menghibur, selagi makin ramai yang suka maknanya lagu itu berjaya.

Dari Seksis sehingga ke lagu ini, beberapa lagu-lagu Edry menimbulkan kontroversi, apakah ini disengajakan?

Makna popular ialah bila ia sampai kepada masyarakat. Saya tak nafikan saya suka provokasi, tetapi itu yang buat dapat perhatian. Saya tak boleh lari dari skop asal dalam mencipta, untuk disampaikan kepada orang ramai. Sebagai pencipta, kita akan puas hanya setelah karya kita sampai dan diterima ramai.

Atau sengaja mencari kontroversi, begitu?

Kontroversi kita tidak undang. Tetapi ia datang sendiri, kita pun tak sangka. Pokoknya, kita hendak buat kelainan. Perkataan “aku cinta padamu” boleh ditujukan kepada sesiapa saja. Teman homoseksual pun boleh juga (ketawa), untuk orang jenis macam itulah. Apa juga lagu cinta adalah hubungan antara dua individu. Tapi tak ada sebab untuk saya buat lagu untuk golongan tertentu saja, itu prinsip saya. Kalau mereka hendak dengar, tak halang. Terpulang pada individu untuk mentafsir apakah cinta yang saya selitkan di dalam lagu itu.

Bagaimana kalau selepas ini isu lagu Separuh Masa jadi makin panas?

Lagi besar orang cakap tentang lagu ini, lagi berkesan. Saya tidak kisah kepada kontroversi, sedia untuk diperdebatkan. Takkan Siti Nurhaliza cakap “Aku Cinta Padamu”, kita terus kata ia kisah lesbian? Kalau hendak menilai karya seni, kita tak boleh ambil satu dua ayat saja, kena tengok konteks lagu secara keseluruhannya. Macam lagu Spider yang tajuk Mabuk, ia bukan pasal mabuk alkohol. Kita tak boleh ambil satu perkataan saja. Alah, tak ada apa yang boleh dijadikan kontroversi pun.

Sementelah penyanyinya kumpulan The Lima, apakah lagu ini akan dibawa ke Indonesia?

Sudah semestinya. Kita sudah ada peluang ke sana, takkan hendak bazirkan peluang itu. September ini saya ke Bandung merakamkan sembilan lagu lagi untuk album penuh De Lima.

Bagaimana hendak hapuskan tanggapan orang mengenai kisah cinta sumbang dalam Separuh Masa?

Tak adil kalau orang kata lagu ini khusus untuk golongan tertentu saja. Saya akui, benar ia kisah cinta tiga segi. Itu saja. Bila dikaitkan dan dicucuk dengan unsur negatif, saya kurang senang. Kalau orang anggap lagu ini boleh buat orang ke arah negatif, saya tak setuju. Ini soal andaian mereka saja yang tidak teliti dan melihat dari segi skop yang luar. Persepsi orang tidak terbatas. Andaian yang macam-macam itulah yang lebih bahaya. Kepada mereka yang menilai dari membuat andaian, cuba bezakan lagu saya dengan Bukan Cinta Biasa, tak ada bezanya. Jadi, jangan buat tafsiran sendiri yang memasukkan elemen negatif dalam fikiran pendengar. Saya minta keadilan kepada saya dalam menilai lagu ini. Itu saja.