Bahagialah wahai Tengku Zawyah

Oleh Hanizam Abdullah

TEMAN tumpang gembira melihat wajah cantik Tengku Zawyah Tengku Izham, bekas isteri Datuk Khalid Mohd Jiwa yang kini suami Siti Nurhaliza, kembali ceria. Gambar yang dipaparkan dalam Bintang Popular semalam jelas menunjukkan betapa dia begitu seronok menghirup angin Australia bersama empat anak teruna yang kacak belaka.

Iyalah, setelah terpaksa menghadapi episod duka lara dalam kehidupan, Tengku Zawiyah atau lebih dikenali dengan panggilan TZ di kalangan orang media, sewajarnya diberi peluang untuk bernafas semula dan meneruskan kehidupan.

Teman faham sangatlah perasaan seorang wanita dan seorang ibu. Teman pun ibu juga yang sanggup berkorban apa saja demi melihat anak bahagia dan tersenyum semula. Sebelum ini pun TZ memang tak mahu bercakap dengan orang media tetapi apabila merasai statusnya sebagai seorang ibu ‘dicabar’, dengan pantas beliau bangkit semula mahu mempertahankan haknya. Bagi TZ yang teman difahamkan pernah menjadi guru bahasa Inggeris dan muzik, anak adalah segala-galanya. Hidupnya kini adalah untuk memastikan kebajikan anaknya terpelihara.

Macam juga pari yang menyengat Crocodile Hunter Steve Irwin dua minggu lalu, apabila berasa dirinya berada dalam keadaan bahaya, secepat kilang ia mengeluarkan bisanya. Tetapi teman amati TZ begitu berhemah dan berbudi bahasa orangnya. Beliau tidak melatah tak tentu hala dan menerima segala ketentuan Tuhan.

Kalau diamati sepanjang episod duka dalam hidupnya itu tiada ‘perang kenyataan’ di dalam media. Kalau hendak buat boleh sangat tetapi TZ bijak orangnya dan tidak mahu terperangkap dalam sensasi media. TZ tahu banyak buruk daripada baiknya dan ada maruah yang mahu dijaga.

Sudah begitu takdirnya kerana soal jodoh, pertemuan, hidup dan mati memang di tangan Yang Maha Esa. Siapalah kita yang tahu apa kesudahan perjalanan hidup kita. Yang kita tahu, mati itu pasti datang tetapi itu pun kita tak tahu bila.

Setelah 20 tahun melayari bahtera rumah tangga, TZ pun tak sangka akan begini jadinya. Sebuah perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, melalui pahit dan manis bersama serta dikurniakan empat anak, akhirnya tinggal kenangan saja. Memori manis kemas dalam lipatan hati dan minda, memori pahit kalau boleh mahu saja dibuang jauh.

Begitulah manusia, yang merancang segala-galanya tetapi yang menentukan Dia Yang Maha Esa. Semoga TZ menemui kebahagiaan bersama anak-anaknya. Percayalah, awan mendung pasti berarak jua…