Azwan larikan Siti, Syafinaz dan Rita ke Sabah.

PROGRAM sensasi dekad ini, Cit Cat Azwan sekali lagi menempa sejarah apabila buat kali pertama berjaya menemukan Bintang Paling Popular 2001, Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat di depan kamera ketika menjayakan rakaman Cit Cat Azwan Bersama Siti dan Syafinaz di negeri di bawah bayu, Sabah, 29 April hingga 3 Mei lalu.

Sebutir lagi bintang panas dan sedang meletup dengan gosip cinta, Rita Rudaini Mokhtar turut menyertai Azwan bersama lima wakil media, selain krew Azwan Ali Production Sdn Bhd (AAP) serta pegawai perhubungan awam (PRO) artis berkenaan.

Tapi, semuanya ‘menggatal’ apabila tiba di Sabah! Oops, yang sebenarnya rombongan AAP mendapat tajaan penginapan serba mewah dari Nexus Resort Karambunai, Menggatal, Sabah – sebuah pusat percutian nombor satu di Sabah.
Kehadiran artis popular bersama rombongannya disambut mesra oleh Pengurus Besar Nexus Resort, D’ Andrew Quilan dan Pengurus Komunikasi, Jacqueline M Gom pada petang 29 April sejurus tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Rakaman Cit Cat Azwan yang julung kali diadakan di Sabah dapat disempurnakan dengan tajaan tiket penerbangan Air Asia yang dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000! Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes memastikan krew kabinnya memberi layanan kelas satu kepada rombongan AAP dengan menempatkan tetamu istimewa di barisan paling depan.

Selain itu, krew AAP juga diberi peluang membuat rakaman di sekitar kaunter tiket Air Asia di Terminal 3, Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang dan di dalam pesawatnya. Paling istimewa, AAP berjaya merakamkan aksi Siti, Syafinaz dan Rita bersama kapten penerbangan di dalam kokpit! Kelas gitu.

Ketika dalam penerbangan, Siti, Syafinaz dan Rita menikmati makanan istimewa yang disajikan pramugari bertugas, namun yang menjadi pilihan mereka ialah mi segera berperisa kari dan tomyam!

Berbalik kepada cerita di Nexus Resort, pada sebelah malamnya tetamu AAP
menjamu selera di Noble House yang menyajikan masakan Cina dan istimewa selepas itu apabila Siti berkaraoke bersama teman media! Peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

Pada pagi hari kedua, Siti dan Syafinaz belajar menjinakkan kuda di sekitar taman Nexus Resort. Tanpa membuang masa, si mulut laser, Azwan terus menghamburkan soalan cili padinya. Jadual siaran Cit Cat Azwan Bersama Siti dan Syafinaz ialah 19 Jun depan.

Siti dan Syafinaz juga tidak melepaskan peluang menjalani aktiviti memanah atau archery yang disediakan di tepi pantai Nexus Resort, selain bermain bola tampar pantai. Namun, Azwan tetap menanyakan soalan cepu masnya kepada Siti ketika rakaman Cit Cat Azwan Khas Bersama Siti Nurhaliza, siaran 3 Julai depan yang juga episod terakhir musim kelima.

Ketika menikmati makan malam di Penyu Coffee House, Azwan tidak lupa meraikan sambutan hari jadi tertunda untuk Siti dan Syafinaz yang kebetulan jatuh pada hari yang sama iaitu 11 Januari lalu.

Sebelum masuk tidur, Azwan sempat mengarahkan klip video lagu terbaru Siti, Bisikan Hati dijayakan di Royal Villa yang berharga kira-kira RM6,000 semalam. Yang istimewanya, Azwan menyiapkan kerja rakaman kurang dari dua jam! Tapi, hasilnya nanti tetap meletup.

Hari berikutnya, Azwan terus mendera Siti dengan menjemurnya di tepi kolam renang Nexus Resort hampir dua jam ketika dia mengarahkan sebuah lagi klip video lagu terbaru Siti, Joget Senyum Memikat.

Siti turut disertai 40 penari dari Penari Kebudayaan Sabah yang diketuai Norkatah Puddin dari Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd. Selain itu, Siti juga berpeluang menggayakan pakaian suku kaum Suluk, Syafinaz (suku kaum Rungus), Rita Rudaini (suku kaum Kadazan/Dusun Papar) dan Azwan Ali (suku kaum Rungus).

Mereka juga sempat menjayakan tarian tradisional masyarakat Sabah iaitu tarian Limbai dan tarian Sumazau Pinampang sebelum menghadiri sidang media Cit Cat Azwan di Ballroom Nexus Resort. Antara tetamu yang hadir ialah Andrew dan Pak Ngah Suhaimi, selain wakil media dari Sabah.

Pada sebelah petang pula krew AAP dibawa bersiar-siar di sekitar bandar Sabah. Antara tempat yang sempat dikunjungi ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bangunan Yayasan Sabah, Tanjung Lipat dan Pasar Filipino di mana bas persiaran yang membawa rombongan AAP diserbu ratusan peminat yang menjeritkan nama Siti, Syafinaz dan Rita.

Makan malam pula ditaja oleh Restoran Sri Keningau, Sabah sebelum meneruskan perjalanan pulang di mana keesokan harinya, Azwan bersama Rita bersiar-siar di kaki Gunung Kinabalu untuk menjayakan Cit Cat Azwan Bersama Rita siaran 5 Jun depan.

http://www.emedia.com.my/