Skip to content

Posts by admin

16
Apr

Siti Nurhaliza Teruja Di Johor



Oleh IFQDAR A. RAHMAN
Gambar nasiruddin yazid


PERTAMA kali tampil dalam persembahan sempena minggu setiausaha di johor.

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin teruja dan berterima kasih kepada tetamu yang menghadiri persembahan sulungnya sempena Minggu Setiausaha 2012 di Johor Bharu baru-baru ini kerana mengikut tema yang ditetapkan.

Persembahan yang bertemakan pakaian hitam dan merah itu dianjurkan buat pertama kalinya oleh Johor Corporation (JCorp) Hotel dan Resort di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada dan dihadiri 1,400 tetamu.

Menurut Siti, jika dibandingkan dengan persembahan di Kuala Lumpur, tetamu yang hadir mengikut tema hanya sebahagian, manakala yang lainnya memakai pakaian mengikut cita rasa masing-masing.

“Di sini, saya terpegun kerana hampir seluruh dewan mengenakan pakaian hitam dan merah. Ia amat mengagumkan saya apatah lagi ini adalah konsert mini pertama di sini.

“Disebabkan itu, saya menjadi amat teruja melihat suasana dewan yang memenuhi tema dan menjadikan saya lebih semangat untuk menghiburkan mereka,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat persembahan.

Siti Nurhaliza yang anggun dengan busana merah cili rekaan Ezuwan Ismail memberitahu, pada tahun ini dia hanya menjayakan satu persembahan sahaja sempena sambutan Minggu Setiausaha.

Katanya, kesibukan sebagai usahawan kosmetik selain mahu memberi ruang kepada penyanyi lain membuatkannya membuat keputusan tersebut.

Pada masa yang sama, Siti Nurhaliza mengucapkan ribuan terima kasih kepada JCorp kerana menjemputnya menghiburkan rakyat negeri ini.

Dalam persembahan yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu, Siti Nurhaliza mendendangkan 16 lagu termasuk berduet dengan penyanyi kelahiran Johor yang juga idolanya, Ramlah Ram.

Utusan

15
Apr

Hentikan Drama Murah Rozita – Siti

CERITA mereka dikatakan bermadu bukan lagi perkara baru yang menggemparkan. Seingat saya sudah beberapa kali perkara ini berbangkit dan menjadi tajuk utama beberapa akhbar tempatan sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada hemat saya, peminat bukan bodoh untuk mempercayai bulat-bulat apa yang dilaporkan oleh blog-blog hiburan yang memang mencari cerita panas. Sebaliknya, itu hanyalah cerita tidak sahih yang tidak harus dilayan.

Saya tertarik dengan laporan Utusan Malaysia pada hari Isnin yang lalu. Laporan yang cukup imbang dan adil dari pihak Datuk Siti Nurhaliza terhadap cerita yang tidak berasas itu.

Malah kakak kepada Datuk K sendiri sanggup membayar RM100,000 kepada mana-mana individu yang ada bukti. Saya hanya mampu ketawa kerana melihat mereka cukup bersungguh-sungguh untuk mencari si penyebar cerita.

Kalau sudah namanya cerita fitnah usah dilayan lagi. Kalau masing-masing tutup mulut tanpa memberi sebarang komen, saya pasti isu ini akan tenggelam terus tanpa perlu diperbesarkan.

Saya harap pihak-pihak yang terbabit kunci mulut dan jangan layan apa-apa cerita karut ini lagi. Semoga mereka tabah meneruskan hidup tanpa memikirkannya lagi.

Melissa,

Tanjung Malim, Perak.

Utusan

15
Apr

Jeling Kak Pora: 7 Juta Tonton ABPBH 2011


Jeling Kak Pora: 7 juta tonton ABPBH 2011

2012/04/15
pix_gal0
LEGA rasanya Kak Pora apabila majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 sudah melabuhkan tirainya, Ahad lalu. Semua dah tahu aktor warga Singapura, Aaron Aziz dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular. Kemenangan Aaron menamatkan penguasaan Shaheizy Sam yang memenangi kategori sama tahun lalu.

Biarpun kemenangan Aaron sudah dijangka tetapi ABPBH 2011 memperlihatkan aliran perubahan yang signifikan apabila muka baru mendominasi hampir separuh daripada 17 kategori yang dipertandingkan. Sedikit mengejutkan apabila Zizan yang dulu berada dalam senarai Top 5 Bintang Paling Popular tercicir pada ABPBH 2011.
Sebaliknya bakat baru Tasha Shilla membolosi selesa untuk berada pada kedudukan kelima barisan itu selain aktor, Fizz Fairuz yang mengungguli Pelakon TV Lelaki Popular yang menunjukkan taring luar biasanya pada edisi terbaru ini. Ramai macam tak percaya, kan? Tapi itulah hakikatnya pabila mereka dah berjawa menawan hati peminat yang sanggup mengundi berkali-kali demi memastikan artis kesayangan mereka menang.
Kak Pora tak mahu sentuh mengenai isu yang sengaja dicetuskan segelintir pihak yang enggan mengakui kekuatan pengaruh Aaron ketika ini. Mereka sengaja menimbulkan polemik sedangkan pelakon yang cukup sinonim dengan filem Ombak Rindu itu turut menyumbang kudrat dalam memajukan industri perfileman dan drama tempatan.

Kak Pora dapat tahu ABPBH 2011 yang turut meraikan sambutan jubli perak acara itu terus meraih kepercayaan penonton apabila siaran langsung yang dipancarkan menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton. Itu baru rating penonton yang mengikutinya menerusi TV teresterial, bukan menerusi saluran digital dalam Astro atau Saluran 103 Astro. Apabila Kak Pora semak dengan kawan yang bekerja di Astro, angka jumlah penonton TV3 dalam tempoh jam 9 malam hingga 12 tengah malam yang menonton Saluran 103 pada malam 8 April lalu ialah sebanyak 1.7 juta penonton. Ini bererti 5.3 juta penonton teresterial ditambah 1.7 juta penonton saluran berbayar Astro, bererti jumlahnya 7 juta penonton.

Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gandingan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram, Alyah dan ramai lagi mencatat 4.7 juta tontonan. Jumlah itu meningkat selesa berbanding ABPBH 2010 yang mengumpul empat juta penonton dan peningkatan positif itu membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun itu masih kekal relevan kepada pencinta industri hiburan.

Kak Pora memang berpuas hati dengan persembahan malam itu dan yang paling melekat dalam kepala Kak Pora ketika ini adalah paduan vokal lantang Ziana Zain dan Azlan & The Typewriter ketika membawakan medley, Anggapanmu dan Lagu Untukmu.

Turut menjadi bualan sketsa Ombak Rindu yang menampilkan pelakon asalnya iaitu Aaron, Maya Karin dan Lisa Surihani melakonkan petikan daripada filem itu sebelum Hafiz dan Adira muncul membawakan lagu latarnya.

Tidak kurang yang memuji gelek maut 45 darjah Mas Idayu ketika membawakan lagu Senggol-Senggolan dan sempat mengusik Artis Baru Lelaki Popular, Johan As’ari untuk bergelek bersama. Selain gandingan nama hebat dan popular, kemantapan gabungan pengacara yang terdiri daripada Raja Azura, Sharifah Shahirah, Didie Alias dan Zizan turut membantu menaikkan mood sepanjang tontonan ABPBH 2011. Memang kelas ABPBH ni…

Cuma Kak Pora nak pesan, bagi mereka yang cemburu dengan penganjuran ABPBH sehingga menulis artikel dalam akhbar mereka kononnya populariti bukan yang terbaik dan macam-macam lagi seperti sengaja nak memperlekeh majlis anjuran Berita Harian. Tak elok berperangai jaki macam tu sedangkan pihak mereka sendiri turut anjurkan pertandingan berdasarkan glamor dan populariti.

KAK PORA: Macam tidak percaya lihat aksi penyanyi wanita seperti lalok di belakang pentas ABPBH. Tak senonoh langsung! Jagalah imej sikit sebab awak tu muka pasport, semua orang kenal.

Berita Harian

11
Apr

Seramai 5.3 Juta Tonton ABPBH2011

Hip
Seramai 5.3 juta tonton ABPBH2011
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2012/04/11
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

PERSEMBAHAN Azlan dan Ziana Zain memukau penonton.

Foto

GANDINGAN Black dan Najwa Latif.

Finalis, artis persembahan buat penonton melekat depan TV

KEGEMILANGAN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung Ahad lalu terbukti apabila acara kemuncak yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton antara jam 10.50 hingga 11 malam.
Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gabungan penyanyi hebat seperti Datuk M Nasir, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ziana Zain, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Alyah dan ramai lagi itu mencatat 4.7 juta tontonan.
Tahun lalu, ABPBH mencatat sebanyak 4 juta. Peningkatan berkenaan sekali gus membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun penganjurannya kian matang dan semakin mendapat tempat di hati peminat industri hiburan tanah air.

Kredit seharusnya diberikan kepada barisan artis yang menjayakan persembahan pada malam itu apabila masing-masing berlumba-lumba memberikan persembahan terbaik bagi menghangatkan lagi acara kemuncak yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands itu.

Bagaimanapun, populariti finalis juga tidak harus diketepikan. Mereka antara sebab utama penonton melekat di depan kaca televisyen, bagi mengetahui siapa yang pulang dengan trofi yang menjadi rebutan ramai terbabit.

Sementara itu, kemenangan yang diraih lebih awal pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-26 yang berlangsung Januari lalu, dilihat mempengaruhi kuasa undian peminat apabila Hafiz Suip yang dijulang sebagai pemenang vokal dan juara keseluruhan menerusi lagu Awan Nano sekali lagi mencatat gemilang apabila peminat memilihnya sebagai Penyanyi Lelaki Popular.

Selain Hafiz, turut mengulangi kejayaan pada malam itu ialah penyanyi lagu Tiga Suara, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, apabila pemenang Naib Juara AJL26 itu membawa pulang trofi Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular.

Bukan saja AJL memberi impak kepada keputusan undian peminat, populariti filem drama romantis arahan Osman Ali yang berjaya mengutip kira-kira RM11 juta turut membawa tuah kepada tunjang utamanya, Aaron Aziz dan Maya Karin.

Ketampanan dan lakonan berkesan Aaron sebagai Hariz melayakkan pelakon berasal dari Singapura itu membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular, manakala Maya Karin dengan trofi Pelakon Filem Wanita Popular.

Berita Harian

10
Apr

Siti Langgar Pantang

Hip
Siti langgar pantang
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2012/04/10
pix_gal0
Sudi bertanding demi menghormati sambutan 25 tahun ABPBH

WANITA yang cukup dikenali ramai ini pernah mengumumkan penarikan dirinya daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selepas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular pada majlis anugerah edisi ke-23, kira-kira dua tahun lalu.
Masih terngiang-ngiang di telinga ucapannya itu, bagai baru semalam ia dilafazkan penyanyi yang juga pengusaha produk kecantikan ini.
Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini. – Datuk Siti Nurhaliza
Peminat sendiri amat maklum, Datuk Siti Nurhaliza berbuat demikian bagi memberikan laluan kepada artis lain untuk sama-sama berkongsi kemanisan pengalaman menggenggam trofi idaman ramai berkenaan, seterusnya menggalakkan lagi perkembangan industri seni hiburan tanah air.

Bagaimanapun, kelmarin, bertempat di lokasi cukup bersejarah buatnya, Arena of Stars, Genting Highlands, penyanyi yang lebih sedekad mengungguli kategori penyanyi wanita pada anugerah berprestij ini ‘melanggar pantang’ apabila kembali mendaki tangga pentas ABPBH untuk menerima trofi yang dipertandingkan.

Bezanya, kali ini dia menggenggam Anugerah Seri Perak, kategori yang diadakan khas sempena 25 tahun ABPBH. Pada Ahad lalu, Siti buat kesekian kali berdiri di podium dan berucap sebagai pemenang, selepas menewaskan 11 lagi bekas pemenang Bintang Paling Popular yang dicalonkan dalam kategori istimewa terbabit.

Anggun dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini, Siti berkata, dia sedia bertanding pada kali ini sebagai menghormati usaha Berita Harian, yang meraikan sambutan jubli perak anugerah yang banyak meninggalkan kenangan indah buat dirinya.

Bagaimanapun, selain anugerah khas itu, isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tetap berpegang teguh kepada keputusannya, untuk tidak bertanding lagi pada ABPBH.

“Saya bersetuju untuk turut serta (dalam pertandingan) hanya untuk kali ini sebagai tanda sokongan di atas sambutan ke-25 tahun ABPBH. Lagipun, kategori yang diwujudkan adalah yang terbaik antara terbaik, jadi semestinya saya tidak mahu ketinggalan memeriahkan lagi sambutan ini.

“Namun sejujurnya, saya tidak menyandarkan sebarang harapan untuk menang. Saya tetap berdebar menantikan keputusan dan ia tindak balas semula jadi setiap kali menyertai pertandingan.

“Malah, saya sendiri bagai tidak percaya ketika diumumkan sebagai pemenang. Disebabkan itu, sewaktu nama saya disebut, saya agak lambat bangun untuk mengambil trofi,” katanya yang turut diberikan penghormatan sebagai artis pembuka tirai malam kemuncak, bersama-sama Stacy dan Alyah.

Selain Siti, turut dicalonkan dalam kategori itu ialah Aishah, Zainal Abidin, Eman Manan, Datin Sofia Jane, Datuk M Nasir, Ziana Zain, Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi, Nabil dan Shaheizy Sam.

Siti yang melangkah ke dunia nyanyian pada usia 16 tahun, memenangi trofi pertama Bintang Paling Popular pada ABPBH1996. Pada edisi sama, dia juga memenangi kategori Penghibur TV Popular, Artis Remaja Popular dan Penyanyi Wanita Popular.

Tahun berikutnya, trofi Bintang Paling Popular mula menjadi miliknya selama lima tahun berturut-turut. Dia bagaimanapun pernah tewas di tangan Rosyam Nor, Saiful Apek, Mawi dan Nabil, tetapi kembali merampas gelaran berkenaan pada 2004 dan 2009.

Ujar penyanyi ini, kemenangan tidak akan menjadi miliknya tanpa peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

“Trofi ini ialah hadiah di atas sokongan peminat setia saya. Lebih istimewa, trofi ini hadir pada saat saya baru saja meraikan ulang tahun ke-17 pembabitan dalam dunia nyanyian. Sesungguhnya saya amat bertuah kerana mempunyai peminat seperti mereka. Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan kesetiaan peminat buat tempoh waktu yang lama,” katanya.

Berita Harian

9
Apr

‘RM100,000 Akan Saya Berikan Jika Dapat Buktikan Datuk K-Rozita Berkahwin’

KUALA LUMPUR 8 April – Datin Zaiton Mohd. Jiwa hari ini menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada mana-mana individu yang dapat tampil menunjukkan bukti bahawa adiknya, Datuk Khalid atau Datuk K telah mengahwini pelakon jelita, Rozita Che Wan.

Zaiton berkata, dia tidak kisah mengeluarkan jumlah wang sebesar itu demi mencabar individu yang menyebar fitnah terhadap suami penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu.

“Kenalah berani berdepan. Kita mahukan bukti, jadi kepada mereka yang terlibat kita minta mereka tunjukkan bukti tersebut dan jika ia tulen serta sahih, ganjaran itu akan saya berikan.

“Ini bukan pertama kali cerita sebegini keluar, malah semasa keluar gosip pertama dulu, saya pernah minta supaya ditunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka tetapi tiada siapa yang datang menunjukkan bukti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zaiton yang juga penerbit Global Station Sdn. Bhd menambah, pihaknya mengambil tindakan sedemikian bagi memastikan maruah keluarganya tidak dicalar sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pada masa sama, Zaiton juga melahirkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir penulis blog yang tidak henti-henti daripada terus menghangatkan isu tersebut.

“Keluarga kami rapat dan kami tahu berita itu tidak benar. Malah saya percaya adik saya tidak melakukannya, jadi bagaimana dengan persepsi masyarakat bila mereka terus disogok dengan berita-berita sedemikian,” soalnya.

Sementara itu, Khalid atau Datuk K pula berkata, dia tidak pernah mengenali Rozita, apatah lagi mengahwininya.

Ujarnya, dia juga tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut seperti yang diperkatakan.

“Kalau ada yang kata saya pernah rapat dengan dia, itu fitnah besar kerana saya tidak pernah mengenali atau rapat dengan dia atau mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut.

“Jujurnya saya sudah sampai ke tahap ‘menyampah’ dan ‘geram’ untuk terlalu memikirkan gosip-gosip liar yang membabitkan diri saya ketika ini,” tegasnya.

Datuk K menambah, sebenarnya mereka suami isteri sudah cukup lali dengan gosip-gosip sedemikian tetapi apabila isu berkenaan turut mendapat perhatian rakan-rakan perniagaannya perkara itu menjadi tidak manis.

“Jadi cukup-cukuplah. Saya sudah tidak mahu komen benda-benda remeh seperti ini dan malas serta menyampah sebab ia macam tak pernah habis,” ujarnya.

Jelas ahli perniagaan itu lagi, jauh di sudut hati, dia tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri kesayangan yang dianggap sebagai permata berharga dalam kehidupan.

Utusan

9
Apr

Senarai Pemenang ABPBH 2011

Mutakhir
Senarai pemenang ABPBH 2011

2012/04/08
Berikut adalah senarai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung di Arena Of Stars di Genting Highlands.

- Bintang Paling Popular: Aaron Aziz
- Artis Duo / Berkumpulan Popular: Ning Baizura/Shila Amzah/Jaclyn Victor
- Artis Baru Wanita Popular: Tasha Shilla

- Penyampai Radio Lelaki Popular: Faizal Ismail

- Artis Komedi Wanita Popular: Didie Alias

- Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Datuk Sheila Majid

- Pengacara TV Lelaki Popular: Zizan

- Artis Baru Lelaki Popular: Johan Ariff As’ari

- Pelakon TV Lelaki Popular: Fizz Fairuz

- Penyampai Radio Wanita Popular: Fara Fauzana

- Pengacara TV Wanita Popular: Fara Fauzana

- Artis Komedi Lelaki Popular: Johan Raja Lawak

- Anugerah Seri Perak: Datuk Siti Nurhaliza

- Penyanyi Lelaki Popular: Hafiz

- Pelakon Filem Lelaki Popular: Aaron Aziz

- Pelakon TV Wanita Popular: Fasha Sandha

- Pelakon Filem Wanita Popular: Maya Karin

- Penyanyi Wanita Popular: Yuna

Berita Harian

9
Apr

Aaron Aziz Bintang Paling Popular

Mutakhir
Aaron Aziz bintang paling popular
Oleh Akmal Abdullah

2012/04/08
GENTING HIGHLANDS: Aktor yang cukup menyerlah lakonannya menerusi filem Ombak Rindu dan KL Gangster, Aaron Aziz memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 sebentar tadi.

Aaron, 36, warga Singapura yang mula menjadi pelakon sepenuh masa di negara ini sejak lapan tahun lalu, meraih 87,669 undi.
Beliau memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan kelompok empat artis lain yang mendapat undi tertinggi iaitu Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Fasha Sandha dan Tasha Shilla.
Berikutan kemenangan itu, beliau meraih hadiah utama, kenderaan Nissan Teana 250 XV V6 berharga RM175,0000 tajaan Edaran Tan Chong Motor (M) Sdn Bhd, selain barang kemas bernilai RM250,000 tajaan Rafflesia-Mandalay berserta trofi.

Aaron yang kali pertama berlakon dalam drama tempatan berjudul Summaiyah arahan Erma Fatima pada 2004, juga buat kali pertama memenangi gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH 2011 apabila menyingkirkan saingan terdekatnya, Shaheizy Sam, selain tiga finalis lain – Adi Putra, Bront Palarae dan Syamsul Yusof.

Bagaimanapun, beliau tewas dalam saingan Pelakon TV Lelaki Popular apabila kategori itu dimenangi Fizz Fairuz.

Trofi Bintang Paling Popular 2011 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohamad Azlan Abdullah, diiringi Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid, pada majlis kemuncak ABPBH 2011 di Arena of Stars, di sini.

Majlis gilang gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3, Hot FM dan NSTP e-media.

ABPBH 2011 ialah edisi ke-25 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara menggabungkan pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti di negara ini yang terbabit dalam bidang perfileman, drama TV, muzik dan penyiaran.

SENARAI PEMENANG ABPBH 2011

Bintang Paling Popular – Aaron Aziz
Anugerah Seri Perak – Datuk Siti Nurhaliza
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Datuk Sheila Majid
Pelakon Filem Lelaki Popular – Aaron Aziz
Pelakon Filem Wanita Popular – Maya Karin
Penyanyi Lelaki Popular – Hafiz
Penyanyi Wanita Popular – Yuna
Pelakon TV Lelaki Popular – Fizz Fairuz
Pelakon TV Wanita Popular – Fasha Sandha
Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular – Jaclyn Victor/Ning Baizura/Shila Amzah
Artis Komedi Lelaki Popular – Johan Raja Lawak
Artis Komedi Wanita Popular – Didie Alias
Artis Baru Lelaki Popular – Johan Ariff As’ari
Artis Baru Wanita Popular – Tasha Shilla
Pengacara TV Lelaki Popular – Zizan
Pengacara TV Wanita Popular – Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular – Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana

Berita Harian

8
Apr

Apabila Pembaca Berita Harian Mengundi

Rencana
Apabila pembaca Berita Harian mengundi

2012/04/08
KEMUNCAK Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang penuh gilang gemilang akan berlangsung dari Arena of Stars, Genting Highlands, malam ini.

ABPBH kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana turut merayakan ulang tahun ke-25 – Jubli Perak.
ABPBH adalah satu projek berterusan Berita Harian/Berita Minggu yang antara lain kerana menghargai peranan selebriti tanah air kepada masyarakat.
Sewaktu keputusan mengadakan anugerah ini dibuat, Berita Harian/Berita Minggu meletakkan harapan yang tinggi agar ABPBH dapat membentuk masyarakat seni bertaraf global selaras usaha menjadikan berita semasa mengenai selebriti sebagai berita serius dan mempunyai maklumat berguna.
Tidak boleh dinafikan pengacara radio dan televisyen, pelawak, pelakon serta penyanyi, bukan saja menceriakan hidup kita tapi mereka juga sering terbabit dalam kerja amal. Mereka mampu menarik ramai hadirin.

Tanpa mereka pada majlis yang memerlukan ramai hadirin, sesuatu majlis menjadi hambar. Selebriti adalah sumber atau bahan berita bagi akhbar dan majalah dan sedar ramai peminat yang mengikuti perkembangan mereka.

ABPBH juga menyediakan anugerah khas kepada selebriti yang memberi impak kepada bidang hiburan. ABPBH berjaya membuktikan bahawa populariti seseorang artis Malaysia ditentukan dan diiktiraf oleh pembaca Berita Harian/Berita Minggu.

Setiap nama mereka yang dicalonkan dari peringkat awal, seterusnya tersenarai dalam lima pencalonan akhir mengikut kategori masing-masing adalah hasil undian pembaca akhbar ini. Di kalangan mereka yang popular ini, salah seorang daripadanya akan dipilih oleh pembaca sebagai selebriti paling popular.

Ketika diperkenalkan 25 tahun lalu, Berita Harian/Berita Minggu berasa bertanggungjawab untuk membantu meningkat mutu hiburan kepada satu tanda aras setaraf kemajuan antarabangsa.

Akhbar ini meletakkan harapan yang tinggi supaya setiap selebriti juga meningkatkan usaha untuk menjadi yang terbaik. ABPBH membuktikan kejayaan beberapa penghibur yang mampu bertahan sekian lama adalah hasil usaha gigih mereka di samping mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Peminat menyanjung mereka sebagai ‘role model’ yang berhemah dan profesional.

Pembaca Berita Harian/Berita Minggu, khasnya pengundi juga memberi isyarat yang jelas bahawa mereka membuat pemilihan terhadap seseorang selebriti berdasarkan kesungguhan, komitmen dan disiplin selain faktor keistimewaan yang dimiliki oleh sebilangan mereka.

Sewaktu keputusan mengadakan anugerah ini dibuat, Berita Harian/Berita Minggu meletakkan harapan yang tinggi agar ABPBH dapat membentuk masyarakat seni bertaraf global selaras usaha menjadikan berita semasa mengenai selebriti sebagai berita serius dan mempunyai maklumat berguna.

Akhbar ini pernah ‘menyenaraikanhitam’ beberapa artis yang dianggap terkeluar daripada kriteria yang ditentukan akhbar ini.

Bagi penghibur yang mahu mendapat ruang berita dalam akhbar ini, mereka tidak digalakkan berpakaian compang-campeng, berambut panjang tidak terurus, artis lelaki yang memakai anting-anting dan sebagainya. Sewaktu hip-hop menjadi kegilaan remaja, Berita Harian/Berita Minggu jarang menyiarkan remaja memakai topi songsang atau terbalik kerana tidak mahu menggalakkan penularan budaya Barat di kalangan anak muda.

Malam ini, seluruh negara boleh saksikan betapa hebatnya artis Malaysia beraksi sama ada sebagai penyokong kepada sesaka selebriti atau muncul di pentas.

Sebagaimana biasa, malam kemuncak ABPBH dikaitkan dengan dunia glamor. ABPBH menjadikannya ke arah kegemilangan kerjaya. Sejak 25 tahun kewujudannya, sudah ramai artis yang mendapat gelaran artis paling popular dengan hadiah yang lumayan. Realitinya ialah mereka adalah orang yang gigih berusaha, melakukan yang terbaik dan diterima peminat.

Mereka yang bekerja keras wajar diberi pengiktirafan. Malaysia adalah sebuah negara terbuka yang terdedah kepada segala bentuk pengaruh luar. termasuk gejala tidak baik. Salah satu cara pengiktirafan ialah dengan menyediakan ruang supaya mereka dapat memajukan bakat dengan disiplin yang tinggi.

Datuk Siti Nurhaliza adalah antara contoh selebriti berdisiplin yang menambat hati ramai peminat. Hanya mereka yang berdisiplin saja boleh dianggap sebagai berjuang dalam dunia seni. Jika sekadar menjadi penghibur atas dasar bakat, mereka sebenarnya menempuh satu proses membina kerjaya. Kita tidak mahu nanti semua orang dalam dunia hiburan ini seolah-olah melakukan perjuangan yang besar sedangkan impak sumbangan mereka kepada kemajuan seni bangsa dan negara, dipertikaikan. Untuk menjadi pejuang seni perlulah memiliki kriteria yang perlu ditentukan oleh penggiat seni. Pejuang seni tidak boleh diberikan kepada sesiapa saja yang berkecimpung dalam bidang ini.

Berita Harian

8
Apr

Milik Siapa?


Milik siapa?
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
2012/04/08
pix_gal0
Sam, Aaron, Zizan bersaing sengit

SEJAK diperkenalkan pada edisi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1990 dengan penyanyi bersuara lunak, Aishah dinobatkan sebagai penerima pertama gelaran Bintang Paling Popular, trofi utama itu saban tahun menjadi intaian setiap nama yang membolosi Top 5 anugerah berprestij itu.
Menyorot sejarah sepanjang 25 tahun ABPBH dianjurkan, selebriti lelaki lebih menyerlah menjadi pilihan peminat untuk dinobatkan dengan pengiktirafan tertinggi sebagai lambang keampuhan populariti yang diukir.
Zainalabidin melakar sejarah peribadi sebagai penyanyi lelaki pertama dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada kemuncak ABPBH 1991, disusuli Eman Manan yang menjulangnya pada edisi ABPBH 1992.

Dua kali menjadi milik selebriti lelaki, ABPBH 1993 menyaksikan populariti luar biasa yang diraih aktres berdarah campuran Melayu-Inggeris, Datin Sofia Jane melayakkannya menduduki takhta tertinggi di hati peminat.

Kemaraan Sofia juga tidak bertahan lama apabila edisi ABPBH 1994 menyaksikan trofi itu kembali menjadi milik selebriti lelaki apabila dimenangi Datuk M Nasir.

Kemaraan Ziana Zain pada edisi ABPBH 1995 seterusnya Datuk Siti Nurhaliza yang mempertahankan trofi itu selama lima tahun berturut-turut bermula ABPBH 1996 memperlihatkan penguasaan artis wanita yang tidak mampu digugat.

Kembali mengunggulinya pada edisi ABPBH 2004 dan ABPBH 2009, populariti penyanyi wanita terkenal itu pernah digugat Rosyam Nor pada ABPBH 2002, Saiful Apek (ABPBH 2003) dan Mawi (ABPBH 2005, 2006 dan 2007).

Siti juga pernah dihampakan Nabil yang menggenggam gelaran itu pada edisi ABPBH 2008 dan tahun lalu menjadi milik Shaheizy Sam selepas isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu menarik diri daripada terus bertanding.

Lapan artis lelaki dan empat artis wanita pernah mengecapi nikmat bergelar Bintang Paling Popular sepanjang ABPBH diperkenalkan sejak 1987.

Malam ini, sebutir lagi bintang bakal menyinar di persada hiburan negara untuk membawa gelaran Bintang Paling Popular, sekali gus menyertai senarai 12 nama yang terlebih dulu mendaki puncak tertinggi itu.

Umpama sebuah permainan silang kata yang menanti masa untuk dilengkapkan, Arena Of Stars, Genting Highlands menamatkan segala persoalan apabila ABPBH 2011 berlangsung tepat jam 9 malam ini.

Ramai menelah Aaron Aziz memiliki potensi besar untuk menghampakan Shaheizy Sam yang mencipta kejutan apabila mengecewakan Zizan Razak pada malam kemuncak ABPBH 2010 lalu.

Tidak dinafikan tiga nama itu masih bertahan dalam memberikan persaingan antara satu sama lain, malah ABPBH 2011 memperlihatkan situasi paling sengit terutama menjelang detik kemuncaknya.

Barangkali populariti Sam dilihat sedikit menyusut apabila filem lakonannya yang ditayangkan sepanjang tahun lalu gagal mencatat kutipan selesa kecuali Kongsi.

Selepas Songlap, Sam yang berterusan mencabar diri menerima pelbagai watak berbeza mengambil keputusan berani dengan memperlahankan karier lakonannya.

Tindakan nekad Sam barangkali memberi sedikit impak terhadap popularitinya tetapi nasib kembali menyebelahinya apabila sekuel, Adnan Sempit 2 menemui penonton, Februari lalu.

Adnan Sempit 2 memulihkan populariti Sam, malah memecah kesuraman kutipan filem tempatan apabila produksi itu mengaut RM6.33 juta.

Sambutan hebat yang diberikan peminat secara tidak langsung membantu melonjakkan semula undian untuk Sam, sekali gus memberi cabaran kepada Aaron.
Siapa pun tidak akan menyangkal kekuatan nama pelakon asal Singapura yang menyerlah selesa sepanjang tahun lalu. Bagaimanapun apa yang dikecapi Aaron tidak diperolehnya sekelip mata.

Ia menuntut perjalanan yang panjang, malah menduga kesabaran pelakon yang mula mengintai peluang melebarkan pengaruhnya di Malaysia sejak 2004 menerusi drama berantai, Haryati 2.

Mencuba pelbagai medium lakonan sama ada di layar kaca, lebar mahu pun pentas, Aaron bernasib baik apabila setiap hasil kerjanya menerima sambutan luar biasa.
Watak Seth Tan yang dijayakannya dalam drama berantai, Nora Elena di samping Siti Saleha menjadi pencetus kepada sambutan luar biasa untuk slot Akasia yang bersiaran di TV3.

Populariti Aaron memuncak apabila drama yang diadaptasi daripada novel, Kasih Yang Suci mencatat 1.75 juta hits tontonan di portal Tonton.
Sementara itu, sesi Star Chat bersamanya menduduki tangga keempat tertinggi dunia di platform USTREAM dengan rekod sebanyak 24,984 pelayar ketika sesi berlangsung.

Filem lakonannya seperti KL Gangster masih bertahan sebagai filem tempatan yang meraih kutipan tertinggi dengan RM11.74 juta, diikuti Ombak Rindu yang mencetus fenomena untuk filem drama romantik Melayu dengan kutipan RM10.9 juta.

Aaron mencipta fenomena tersendiri apabila teater lakonannya, Badai Semalam mencatat kutipan tiket paling tinggi dengan RM810,128 dan ditonton hampir 18,000 orang.

Semua faktor itu meletakkan Aaron sebagai calon pilihan untuk mengungguli Bintang Paling Popular, selepas Sam mencipta sejarah peribadi ekoran kejayaan Adnan Sempit tahun lalu.

Bagaimanapun usah diragui kemampuan Zizan dan bakat baru, Najwa Latif yang turut memperlihatkan persaingan hebat untuk memenangi kategori itu.

Edisi ABPBH 2010 menyaksikan Zizan berada pada kedudukan ketiga undian tertinggi selepas Sam yang mendahului dengan 126,160 undi, diikuti Shahir yang merekodkan 66,764 undi.

Ketiadaan Shahir dalam edisi ABPBH 2011 seakan memberi laluan selesa kepada Zizan untuk mencabar Sam dan Aaron, apatah lagi tahun lalu dia menerima kepercayaan peminat dengan 41,436 undi.

Faktor kemaraan Zizan diperkukuhkan apabila portfolio dirinya sebagai pengacara diperluaskan dengan mengendalikan program hiburan popular, Melodi yang mempunyai pengikut yang ramai.

Berita Harian