Astro terus layani fantasi di Sabah.

“Oleh Amirullah Andi Nur


Tengok mulut saya ni…

KONSERT Siti Nurhaliza Fantasia Tour di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam Ahad lalu nyata mantap dan mempesonakan sekali gus berjaya mengubat rindu peminat setia penyanyi itu di Sabah.

Disaksikan kira-kira 20,000 penonton termasuk yang datang dari jauh seperti Tawau, Sandakan, Labuan serta Brunei Darussalam, persembahan selama dua jam tanpa henti itu benar-benar menghiburkan.

Siti Nurhaliza berjaya mempamerkan apa yang diharapkan peminatnya di negeri itu melalui corak persembahan bertenaga, menarik dan penuh penghayatan.

Tidak menghairankan apabila penonton yang memenuhi hampir segenap ruang stadium bola sepak itu tidak berganjak walau sedikit pun termasuk ketika Siti berhenti rehat seketika menukar pakaian.


Azizi dan Vince turut bersama Siti.

Mungkin inilah kelebihan yang dimiliki Siti. Selain mendendangkan lagu yang sedap didengar dan vokal bertenaga, malam itu dia menampilkan kemampuan berkomunikasi baik dengan penonton.

Cuma yang sedikit mengecewakan kerana pentas tempat Siti membuat persembahan agak jauh dari penonton iaitu kira-kira 100 meter menyebabkan ramai yang terpaksa bergantung kepada dua skrin besar di kiri kanan pentas.
Sebelum ini, ada desas desus mengatakan konsert Siti pada malam itu mungkin kurang sambutan kerana waktunya bertembung dengan program yang sedang hangat diperkatakan di stesen televisyen Astro, Akademi Fantasia.

Sekarang ini, demam program itu benar-benar melanda Sabah dan ‘semakin serius’ gara-gara kehadiran pelajar dari negeri berkenaan iaitu Mas, Linda dan Adam.

Tapi penganjur konsert tetap bijak dalam menangani hal ini apabila turut menayangkan siaran langsung program itu selama setengah jam bermula 8.30 malam melalui dua skrin besar itu.

Gambaran betapa demam itu memang sedang merebak dapat dilihat apabila Mas yang berasal dari Tawau memulakan persembahan, Stadium Likas bagaikan hendak runtuh dengan sorakan penonton.

Begitupun, apabila Siti yang hanya sekali menukar pakaian pada malam itu tampil membuat persembahan, penonton seolah-olah sudah khayal dan tidak lagi mengingati Mas dan rakan-rakannya yang sedang bertarung di Akademi Fantasia.

Sebelum persembahan artis terkenal itu bermula jam 9.30 malam, Stadium Likas lebih dulu dipanaskan dua penyanyi lepasan Akademi Fantasia pertama iaitu Vince dan Azizi.

Persembahan kedua-duanya memang mantap dan menghiburkan apabila ribuan penonton menjerit memanggil nama dan memberi sokongan kepada mereka yang memilih mendendangkan lagu dari album masing-masing.
Siti membuat kemunculan pertama dengan memilih lagu Cahaya Seribu Liku yang diiringi percikan bunga api dan mercun – petanda persembahan malam itu pastinya hangat.

Selepas itu, Siti tidak berhenti di situ dan terus mendendangkan lagu Debaran Cinta diikuti Kau Kekasihku serta Kau Milikku.

Ketika itulah penonton seperti sudah histeria. Apabila lapan penonton bertuah dipilih Astro menaiki pentas menyanyi lagu Cindai bersama Siti, stadium bertambah gamat.

Siti turut menghiburkan penonton dengan lagu Hanya Memuji, berduet dengan Vince dan Azizi. Ketika itu juga dia merakamkan penghargaan kepada peminatnya di Sabah atas sokongan diberi.

Pada malam itu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis ini turut mendendangkan lagu Kau Kusayang, lagu medley ciptaan M Nasir iaitu Fantasia Bulan Madu, Hati Emas, Gerhana dan Isabella.

Lagu lain turut dipersembahkan malam itu adalah Pendirianku dan Bukan Cinta Biasa. Bagi lagu ini, Siti turun ke atas padang merapati penonton dan sekali gus menyanyikan lagu itu bersamanya.

Apabila dia menyanyikan lagu Rindu, lapan lagi penonton bertuah yang dipilih Hotlink Maxis naik ke pentas untuk menyanyi bersamanya. Lagu lain termasuklah Langkah Di Persada dan Dialah Di Hati.

Siti kemudian menutup persembahan pada malam itu dengan lagu, Seindah Biasa dengan diiringi percikan bunga api serta letupan mercun yang menarik.
Persembahan Siti pada malam itu turut diiringi beberapa pemain muzik terkenal seperti Hillary Ang, Cassey, Aubrey Suwito, Ujang serta Steve Thornton.

Penyanyi pengiring adalah kumpulan Suara dianggotai Charlie, Dia, Wan dan Fiza.

Memang Siti malam itu bertuah kerana selain pelanggan Hotlink Maxis, persembahannya itu turut disaksikan beberapa kenamaan negeri termasuklah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Faridah Tussin.
Tetamu lain Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Masidi Manjun dan isteri masing-masing.

Ketika ditemui selepas itu, Siti melahirkan rasa gembira dengan sokongan yang diberikan penonton walaupun terpaksa menyaksikannya pada jarak 100 meter.

“Saya sendiri tidak menyangka begitu ramai yang hadir, malah Siti lihat mereka tidak berganjak sehinggalah persembahan selesai. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada malam itu atas sokongan yang diberi.

“Insya-Allah, Siti akan datang lagi jika berpeluang. Cuma satu yang Siti rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat berinteraksi baik dengan penonton kerana jarak mereka yang agak jauh dari pentas.

“Siti dimaklumkan tindakan ini dibuat bagi mengelak padang rumput rosak. Siti mohon maaf jika penonton tidak berpuas hati,” katanya yang sentiasa ceria biarpun agak kepenatan.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jenama Astro, Molina Musa berkata Kota Kinabalu adalah destinasi yang ke-10 disinggahi Siti bagi konsert jelajah seluruh negara selepas Ipoh, Kuala Selangor, Seremban, Melaka, Muar, Temerloh, Kuantan dan Raub.

Selepas ini, katanya, penyanyi itu akan mengadakan persembahan serupa di Kuching pada 27 Julai ini, diikuti Kangar, Alor Star, Butterworth, dan seterusnya berakhir di Stadium Putra Bukit Jalil, pada 12 Ogos.

Sempena penganjuran konsert, penganjur turut mengadakan Pesta Kempen Kenali Astro di perkarangan Stadium Likas yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Antara artis yang mengambil bahagian bagi segmen ini adalah Saiful Apek, Rosma dan Sahri (Akademi Fantasia) serta Waheeda serta kumpulan OAG.

http://www.emedia.com.my/”