Astro Berminat Terbit Aksi Murai Musim Kedua

Oleh Rozdan Mazalan



BERTUAH: Pemenang Noor Fairul Zura (tengah) Siti Sabariah (kiri) dan Farah Adibah.

ALANGKAH bertuahnya tiga pemenang kuiz online yang dianjurkan portal hiburan Melayu murai.com.my apabila dapat membawa pulang lukisan karya artis pujaan mereka.

Inilah yang dijanjikan penganjur apabila kuiz yang dianjurkan sempena program realiti Aksi Murai yang dilancarkan pada 21 November tahun lalu bukan saja sentiasa memaparkan bahan berita terkini malah menjadi ruang pengunjung mendekati artis pujaan mereka.

Pertandingan kuiz online final Aksi Murai diadakan selama dua minggu. Melalui pertandingan itu, pengunjung portal harus meneka lukisan hasil karya artis M-Klon yang terbabit dalam episod akhir Aksi Murai dan menulis slogan kreatif.

Tiga pemenang itu ialah Noor Fairul Zura Kamaruzaman dari Pandan Indah Kuala Lumpur, kedua Siti Sabariah Zakaria (Cheras) dan Farah Adibah Nor Azmi (Subang Jaya).

Ketua Editornya, Roslen Fadzil berkata program itu bukan saja menjadi program realiti laman web pertama malah sebagai landasan mempromosikan industri kecil masyarakat.

“Tujuan utama kita juga adalah untuk mempromosikan produk industri kecil dan sederhana di negara kita yang membabitkan pembabitan artis. Selain itu, Aksi Murai yang dihoskan Razif Rosdi turut mendekatkan artis dengan peminat khususnya Geng Murai yang kini sudah mencecah 5,000 ahli berdaftar.


“Sebagai penghargaan kepada pengunjung portal ini kami memberi mereka peluang untuk mendampingi artis kesayangan mereka melalui Kuiz Online Episod Akhir Aksi Murai untuk memiliki lukisan hasil kerja artis itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang baru-baru ini.

Sementara itu, portal hiburan Melayu, www.murai.com.my, kini sudah dikunjungi lebih 1.5 juta pengunjung (page view) purata setiap bulan.

“Kita juga menerima 20,000 pengunjung menonton program realiti laman web pertama, Aksi Murai, yang berakhir Februari lalu. Program 13 episod itu juga boleh disaksikan menerusi saluran Astro Ria yang berjaya mengumpul hampir 200,000 penonton dan 300,000 pada penghujung episod.

“Rancangan itu menampilkan selebriti terkenal tanah air seperti Dafi, Farhan, Mila, Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Shawal dan Farawahida,” katanya yang beraksi menerusi cabaran dan pertandingan dengan peminat yang memenangi pertandingan M-Klon.

Menurut Roslen, musim pertama Aksi Murai mendapat sambutan menggalakkan. Episod yang menampilkan Siti Nurhaliza dan Fasha Sandha bersama klon masing-masing antara yang mendapat rating tinggi.

“Setelah perbincangan bersama pihak Astro mereka berminat untuk menyambung Aksi Murai untuk musim kedua. Ada kalangan artis seperti Anuar Zain, Ning Baizura, Misha Omar dan Linda Onn sudah menawarkan diri untuk muncul dalam program ini. Untuk musim baru, ia mengekalkan konsep sama cuma tambah elemen drama supaya kelihatan lebih dramatik.

“Berdasarkan sambutan ramai, masa siaran mungkin ditambah daripada setengah jam menjadi sejam. Bagaimanapun, untuk penyertaan peminat mereka perlu menjadi ahli Geng Murai dengan menyertakan gambar kerana keutamaan diberikan kepada mereka yang banyak memberikan sokongan sejak portal ini diwujudkan,” katanya.

Sempena Hari Ibu pada 9 Mei ini, portal itu juga menganjurkan Pertandingan Wajah Seiras Ibu.

“Untuk memberikan kelainan, wajah ibu mesti seiras dengan anak lelaki dan bukannya anak perempuan. Pemenang akan ditentukan pengunjung portal dan bakal menerima hadiah yang tidak mampu dibeli oleh wang ringgit,” katanya.

Powered by Berita Harian