Artis tempah kad glamor

22kad.jpg
Pelbagai rekaan kad raya yang cantik diedarkan pada rakan media

HANYA kurang 48 jam saja lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Aidilfitri 1427H. Ketika artikel ini ditulis, Zubir sedang berperang dengan penyediaan bahan cerita hari raya. Zubir yakin, teman wartawan hiburan yang lain pun tidak akan terlepas dari tanggungjawab ini.

Minggu terakhir Ramadan ini, memang banyaklah Zubir menerima kiriman kad raya dan kuih muih daripada rakan artis, termasuklah puluhan ucapan raya menerusi SMS. Zubir terharu kerana ingatan rakan artis tidak pernah padam.

Seperti mana saban tahun Zubir menerima kad raya dan kuih muih daripada Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman dan isterinya, Cik Puan Muda, Julita Aishah Abdul Latiff. Sokongan Ku Muda suami isteri kepada perkembangan industri hiburan tanah air, amat Zubir hargai.

Berbalik kepada cerita kad raya artis, rata-rata Zubir menerima kad raya daripada artis senior terkenal umpamanya Datin Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Umie Aida, Amy Mastura dan ramai lagi (maaf jika Zubir terlepas nama mereka).

Mereka bukan saja Zubir anggap sekadar artis, malah seperti kawan baik. Mungkin tempoh perkenalan yang membuatkan ingatan mereka kepada teman wartawan tidak mungkin pudar. Artis generasi baru pula masih segan-segan, tapi masih ada yang sudi melemparkan kad raya mereka.

Contohnya seperti Bintang Paling Popular 2005, Mawi yang bertandang sendiri ke Balai Berita, baru-baru ini menyampaikan kad raya dan kuih muih kepada semua wartawan hiburan. Mungkin juga Mawi ingin pulihkan hubungannya dengan wartawan yang agak tercalar disebabkan beberapa insiden Ramai juga bintang kelahiran Akademi Fantasia yang melemparkan kad raya, tak terbalas rasanya ingatan mereka itu.

Pada kesempatan ini, Zubir ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam, khasnya buat warga kerja seni yang secara langsung mahupun tidak, pernah berurusan dengan Zubir selama ini. Jika ada kata-kata, perbuatan mahupun tulisan yang mengguris hati, Zubir mohon keampunan.