Artis tarik peminat cintai budaya membaca.

Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Suzan Ahmad

PEMILIHAN selebriti hiburan tanah air dalam menjayakan Kempen Membaca Kebangsaan 2002 yang berlangsung mulai semalam membuktikan artis juga berperanan dalam pembentukan budaya positif kepada peminat mereka.

Malah, inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang menggunakan pendekatan young achievers seperti penyanyi, pelakon, personaliti televisyen serta atlit dalam menjayakan kempen itu sekali gus diharap mampu menggunakan pengaruh mereka untuk menggalak rakyat Malaysia mengamalkan budaya membaca dan mencintai ilmu pengetahuan.

Antara selebriti yang dipilih termasuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Syafinaz, Fazley, Maya Karin, Jeslina Hashim, Amy Mastura, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, Wardina Saffiyah, Norjuma Habib dan pemain skuasy muda, Nicole David.

Kata Maya Karin, sebagai artis, selebriti juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan kerana ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan ketika mengadakan persembahan.

“Membaca adalah jambatan untuk meningkatkan pengetahuan. Saya menjadikannya sebagai amalan terutama ketika menunggu giliran sebelum mengadakan persembahan. Pembabitan dalam kempen ini secara tidak langsung membolehkan saya berkongsi minat dengan peminat semua.

“Walaupun terbabit dalam seni, namun itu tidak bermakna artis tidak perlu tahu apa yang berlaku di sekeliling. Untuk menjadi artis yang berwibawa, banyakkan membaca kerana kita akan berhadapan dengan peminat dari pelbagai bangsa dan tahap pendidikan.

“Jadikan ia sebagai amalan kerana kita tidak akan rugi jika banyak membaca,” katanya yang baru pulang dari Indonesia untuk promosi album sulungnya, Erti Cinta, di sana.

Bagi penyanyi Asmara Ini, Fazley, pemilihan artis diharap dapat membantu memupuk budaya membaca yang semakin kurang. Katanya, pembabitan artis dalam kempen ini bukan perkara baru kerana ia pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan mencatat reaksi membanggakan.

“Sekalipun membaca, saya dapati masyarakat lebih menggemari bahan bacaan ringan. Namun, ia satu perkembangan yang sihat. Saya berharap dengan adanya kempen seperti ini, peminat akan memperluaskan lagi skop bacaan dengan memilih bahan berteraskan ilmiah.

“Pemilihan kami sebagai cermin kerana walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, kami tidak pernah lupa melengkapkan diri dengan ilmu. Malah, menerusi gaya persembahan dan cara komunikasi, peminat dapat menilai sejauh mana persediaan atau tahap pemikiran seseorang selebriti itu.

“Disebabkan itu, pemilihan kami diharap dapat melenyapkan tanggapan bahawa artis tempatan tidak minat membaca,” katanya.

Bertepatan dengan tema, baca@gayahidup serta sasaran kempen, PNM mengambil inisiatif menerbitkan klip video istimewa, Membaca Gaya Wawasan hasil sentuhan Kusham dan lirik oleh SMDee.

Lebih istimewa, rakaman klip video yang diadakan di Auditorium PNM itu turut menampilkan bacaan pantun khas isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali diiringi Koir PNM. Ia mula disiarkan sejak 1 Julai lalu.

Sementara itu, bintang Idola, Jeslina Hashim pula berkata, penghormatan yang diberikan kepada selebriti hiburan dalam menjayakan kempen itu, membuktikan artis ada pengaruh besar untuk menarik peminat mencintai budaya membaca.

“Pemilihan artis bertepatan kerana mereka sering dijadikan idola khususnya peminat remaja. Contoh positif yang ditunjukkan mereka diharap menjadi ikutan. Bagi saya, artis juga perlu menyemai minat membaca kerana kita perlu berkongsi idea dan pengetahuan setiap kali berkomunikasi.

“Kesibukan bukan alasan untuk tidak membaca kerana kita masih ada waktu terluang. Manfaatkan waktu itu sebaik mungkin. Peruntukkan masa untuk membaca sekalipun hanya seketika.

“Walaupun sedikit, pulangan yang kita terima akan berganda. Malah, membaca juga memberi ruang kepada kita memperbaiki kelemahan serta memajukan diri dengan mengambil iktibar daripada peristiwa lalu,” katanya yang menggemari autobiografi.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Nurfaizah menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam menerapkan nilai suka membaca.

“Saya menggemari novel serius, namun atas sebab kekangan tugas, saya terpaksa mencari masa yang sesuai. Biarpun komitmen terhadap kerjaya ketat, namun seboleh mungkin saya cuba mencari ruang untuk memenuhi minat ini.

“Pun begitu, saya juga minat bahan bacaan yang ringkas dan penuh maklumat seperti majalah berbahasa Inggeris. Selain maklumat, ia juga memberikan banyak idea baru untuk membantu mempertingkatkan kerjaya seni,” katanya.

Selain terbabit menyanyikan lagu tema, Dayang juga turut dijemput untuk mengendalikan sesi perbincangan dengan pelajar sekolah yang akan diaturkan PNM. Katanya, dalam perbincangan itu beliau diminta untuk memilih sebuah buku dan membincangkan isi kandungannya dengan peserta lain.

“Tarikh sesi itu belum lagi ditetapkan kerana saya kini sibuk dengan pelbagai undangan persembahan. Mungkin sebelum kempen berakhir 31 Julai nanti, saya mampu mencuri masa untuk bersama pembaca muda,” katanya.

http://www.emedia.com.my/