Artis, personaliti TV3 gamatkan Kuantan.

Oleh SAMSOR JUNET

KARNIVAL TV3 2003 Sure Heboh yang bersifat mesra penonton di bandar Kuantan, Pahang sudah tentu meninggalkan banyak kenangan kepada warga Pahang khususnya di bandar itu.

Sepanjang karnival hujung minggu lalu, peminat TV3 berpeluang bermesra lebih dekat dengan personaliti rangkaian tersebut yang selama ini ditonton di kaca televisyen semata-mata.

Ia menjadi medan orang pantai Timur untuk pertama kali mendekati, mempelajari, mendalami serta menghayati bagaimana sesebuah stesen televisyen seperti TV3 beroperasi.

Justeru kehadiran personaliti Normala Samsudin, Norjuma, Nirmala Arunaselam, Ally Iskandar, Nizal Mohamad, Zainal Ariffin Ismail dan ramai lagi memang tepat waktunya.

Mereka dan krew televisyen menjadi duta kecil yang berjaya mempromosi imej TV3 sebagai sebuah stesen televisyen terunggul di negara ini.

beribu pengunjung ke karnival yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan 2, Kuantan bukan sahaja dari Pahang, bahkan Terengganu, Kelantan dan Johor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Farid Ridzuan, Kuantan mencatat kunjungan penonton paling ramai sejak Sure Heboh dilancarkan.

Sebelum ini di Johor Bahru sebanyak 150,000 orang dan di Melaka 300,000.

Strategi TV3 memang berkesan dan memang heboh. Gara-gara karnival itu, bandar Kuantan yang selama ini tenang tiba-tiba menjadi riuh-rendah.

Bagi peminat, inilah masanya untuk mereka melihat artis-artis kesayangan mereka dari dekat.

Antara artis yang memeriahkan ialah Jamal Abdillah, Ning Baizura, Nurul, Ajai, Deja Moss, Ezad Exists, Ezlynn, Phyne Ballerz, Intan Safarina, Syura, Elyana dan ramai lagi.

Mereka juga tidak melepaskan peluang untuk menonton persembahan kumpulan lawak Senario dari dekat walaupun terpaksa menggendong anak.

Paling berbaloi apabila penghibur yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, Siti Nurhaliza turut mengadakan persembahan.

Menurut Farid, 80,000 orang menyaksikan persembahan hiburan. Siti membuat persembahan bersahaja yang menghiburkan.

Dengan empat lagu termasuk Percayalah dan Nirmala, cukup untuk penyanyi profesional seperti Siti Nurhaliza memukau peminatnya.

Penyanyi itu mendapat tepukan gemuruh peminat apabila berjanji akan datang lagi mengadakan konsert di Kuantan.

http://www.utusan.com.my/