Artis, Pembaca Bertuah Dirai

Hip
Artis, pembaca bertuah dirai
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin, Hanisah Selamat, Muhamad Fairoz Azizan dan Nor Hatina Shuib
bhhibur@bharian.com.my
2012/05/08
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

BARISAN pemenang artis dan pembaca bersama wakil penganjur serta penaja.

Foto

DARI kiri, Zainuri, Mior, Siti Nurhaliza, Sheila dan Hanizam.

Ramai wajah popular serikan majlis penuh meriah di Subang Jaya

BAGI meraikan pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 8 April lalu, sebuah majlis penyampaian khas diadakan di Holiday Villa Hotel and Suites Subang Jaya, semalam.
Selain pemenang kategori artis, majlis terbabit turut meraikan pembaca bertuah Peraduan Undi dan Menang.
Pada majlis berkenaan, Bintang Paling Popular yang juga Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH2011, Aaron Aziz, membawa pulang kereta Nissan Teana 2.5L bernilai RM167, 020, seutas rantai mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM250,000 serta barang tajaan Avon.

Sementara itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, pula menerima seutas rantai mutiara, juga sumbangan Rafflesia bernilai RM25,000, sebagai hadiah yang dimenangi untuk kategori Anugerah Seri Perak. Kategori yang diadakan khas sempena 25 tahun penganjuran ABPBH itu mempertandingkan kembali 12 pemenang Bintang Paling Popular anugerah terbabit.

Pemenang Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Datuk Sheila Majid, pula membawa pulang seutas rantai mutiara bernilai RM25,000, wang tunai RM 3,000 dan barang tajaan Avon.

Manakala semua pemenang bagi 14 kategori lain turut membawa pulang seutas rantai mutiara Rafflesia bernilai RM10,000, wang tunai RM3,000 dan barang tajaan Avon. Pemenang kategori Artis Duo / Berkumpulan pula membawa pulang RM5,000.

Majlis pada petang itu diserikan dengan kehadiran barisan artis popular tanah air, antaranya Ziana Zain, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Johan As’ari, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Johan Raja Lawak, Hafiz, Diddy Alias dan ramai lagi.

Pada majlis itu, penyampaian hadiah kepada pemenang kategori khas turut diadakan. Anugerah Khas ABPBH2011 diwujudkan bagi menghargai artis yang paling banyak memberikan komitmen kepada anugerah ini khususnya sepanjang siri jelajah. Artis yang menerima anugerah terbabit ialah Fizz Fairuz, Along Cham, Yana Samsudin, Awi Rafael, Shila Amzah, Shaheizy Sam dan kumpulan Forteen. Mereka menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 dan barangan Avon.

Sementara itu, penyampaian hadiah bagi kategori pembaca turut diadakan.
Pemenang utama, Nor Aini Khalip, 31, dari Hutang Melintang, Perak, menerima sebuah kereta Nissan Livina X-Gear 1.6A bernilai RM79,894.50.

Manakala pemenang bertuah peraduan Undi dan Menang peringkat awal dan akhir menerima barang kemas tajaan Rafflesia, Apple iPad 16 GB, kamera Canon EOS DSLR, Blackberry Torch, Sonny PS3 Console, Samsung Galaxy Tab 10.0, Apple iPod Touch serta wang tunai.

Hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Datuk Dr Ang Bon Beng; Pengarang Bersekutu Edisi Minggu Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2011, Hanizam Abdullah; Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2011, Zainuri Misfar; dan Pengarang Hiburan Bintang Popular, Akmal Abdullah.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan oleh pemenang keseluruhan Bintang Idola Berita Harian 2012, Kamilia Razwanis Kamarudin dan Hafiz.

Berita Harian