Artis meriahkan majlis Berita Harian, Metro

Oleh Zubir Mohd Yunus

Antara yang hadir menceriakan makan malam itu ialah Raja Azura, Siti Nurhaliza, Ezlynn, Farawahida dan Nurul

DEMI menghargai sumbangan media terhadap perjalanan karier seninya selama ini, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sedia menangguhkan penerbangannya keluar negara semata-mata bagi menghiburkan lebih 300 warga kerja Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) pada majlis jamuan Makan Malam Tahunan Berita Harian / Harian Metro 2006 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, pada 25 Disember lalu.

3dine2.jpg

EZLYNN berduet dengan Fara.

Siti yang hadir bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa diundang sebagai tetamu VIP pada malam itu. Mereka ditemani Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan isteri, Datin Noorlinda Abdul Talib; Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail dan isteri, Datin Noorzita Abdul Samad serta Pengarang Eksekutif (Berita) BHSB, Mahfar Ali.

Majlis gilang-gemilang dan penuh warna-warni bertemakan era 70-an atau retro itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran kakitangan termasuk pengurusan kanan bersama pasangan masing-masing yang tampil dengan pelbagai gaya dan fesyen menarik bersesuaian dengan tema.

Kehadiran Siti di pentas sememangnya dinantikan penonton sejak awal apabila mereka berasak-asak di belakang meja utama untuk merakamkan wajah penyanyi nombor satu itu dari jarak dekat.

Buat pertama kalinya Siti mendendangkan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu nyanyian asal Siti Fairuz membuatkan penonton terpaku mendengar kelunakan suaranya biarpun Siti tidak pernah berlatih menyanyikan lagu berkenaan untuk mana-mana majlis seumpamanya.

Siti juga tidak lupa untuk mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Pandang Pandang Jeling Jeling. Siti tidak berhenti setakat itu saja apabila dia sekali lagi menjemput Hishammuddin menerusi lagu Endless Love.

Terdahulu, Ezlynn membuka tirai persembahan mendendangkan lagu hitnya, Hi Hi Bye Bye. Dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berduet dengan Farawahida iaitu finalis kategori Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 menerusi lagu Cinta yang dipopularkan Kris Dayanti dan Melly Goeslaw.

Mengambil tempat selepas itu ialah Farawahida. Seperti yang dijangka, dia mendendangkan lagu yang melonjakkan namanya, Tanpamu. Dia juga turut mengundang Ezlynn berduet dengannya menerusi Pudar. Sebelum mengundurkan diri, Farawahida mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Hindustan, Kushiyan Aur Gham.

Bagi memeriahkan acara, pertandingan karaoke 70-an dianjurkan dan ia dimenangi Pengarang Bintang Popular, Roslen Fadzil dengan lagu Hari Ini Dan Semalam, diikuti pereka grafik, Mohd Razif Mohd Rosdi (Wajah Kesayangan Hamba) dan ketiga, wartawan hiburan Nurhadiani Baharum (Semakin Hari Semakin Sayang).

RAJA AZURA mengusik
peserta karaoke, Khairul.

Majlis malam itu lebih hidup dengan celoteh Raja Azura sebagai pengacara solo. Penataan bunyi pula mendapat tajaan KRU Berhad yang menjadikan sistem bunyi di dalam dewan itu begitu menggegar.

Pengarang Projek/ Keluaran Khas Harian Metro, Zubairi Zabidin dan Penolong Penyunting Metro Ahad, Md Noh Senan, turut menerima cenderahati khas berikutan persaraan mereka, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pihak penganjur menyediakan tabung khas derma bagi membantu mengurangkan penderitaan Ketua Unit Khas BHSB, Karim Sulaiman yang kini menghidap penyakit kulit yang kronik.