Artis lelong pakaian.

LELONG! Lelong!

“RM200 satu, RM200 dua.

“RM300!

“Lelong topi Siti Nurhaliza RM300 satu, RM300 dua, RM300 ti…

“RM400!

“Siapa yang berani lagi? RM400 satu!

“RM450!

“Ya, ada sesiapa yang nak tambah RM500? Tak ada.

“OK, RM450 satu, RM450 dua, RM450 tiga… Jual!

Begitulah aksi penyampai radio Red 104.9, Sazali Saad, KC Ismail, JJ, Lyn, Kay dan Nazim bersama lebih 5,000 peminat yang menyertai acara Lelong Khas Tabung Afghanistan (LKTA), baru-baru ini. Ia disertai hampir 30 artis popular melelong koleksi peribadi mereka yang berlangsung di Fiesta Street, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

Pun begitu, koleksi peribadi Bintang Paling Popular 2001, Siti Nurhaliza Tarudin paling mendapat sambutan sehingga topi yang dibelinya pada harga RM10 saja, berjaya dilelong sehingga RM450!

“Siti memakai topi ini ketika menjayakan klip video lagu Engkau Bagaikan Permata di Phuket, Thailand, tidak berapa lama dulu,” kata Siti kepada peminatnya, Abdul Hamid yang berjaya memiliki salah satu koleksi kesayangannya itu.

LKTA anjuran Red 104.9 dengan kerjasama Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, manakala Berita Harian sebagai akhbar rasmi. Ia bertujuan membantu mangsa perang dan pelarian Afghanistan. Hasil lelongan berkenaan diharap dapat membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu.

Tidak dinafikan populariti artis secara tidak langsung berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan menerusi acara sedemikian.

Selain itu, beg tangan rambu-ramba juga milik Siti dilelong pada harga RM300, manakala baju yang dipakainya untuk kulit album Pancawarna, rekaan Michael Ong dilelong sehingga RM330.

Sejurus kemudian, penyampai Red 104.9 membuat kejutan ke atas penyanyi pujaan ramai itu dengan menghadiahkan kek sempena ulang tahun Siti yang ke-23 pada 11 Januari lalu.

Terdahulu, artis lain yang berjaya membuat lelongan barangan mereka ialah Rem yang menjual bajunya pada harga RM100; Hetty Sarlene (anak patung – RM100); Ella (jaket jeans RM70); Ferhad (tiga kemeja-T – RM260); Dayang Nurfaizah (pakaian makan malam – RM120) dan Jalaludin Hassan (tiga jaket – RM200). Wardina Saffiya turut melelong dua tudung miliknya pada harga RM210, selain Anuar Zain (jaket dan sandal – RM280) serta kumpulan GT Boyz melelong lebih 10 jaket dan kemeja-T pada harga RM600 bersama satu beg pakaian yang diberi percuma.