Artis, fesyen tak boleh dipisah!

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

MENGHIMPUNKAN 26 selebriti terkenal dan popular, pastinya bukan sesuatu yang mudah memandangkan mereka sentiasa sibuk dengan jadual kerja. Namun, ia mampu dilakukan penganjur untuk majlis pelancaran produk terbaru Rafflesia The Pearl Centre, Mandalay, di Carcosa Seri Negara, baru-baru ini.

2205ctrossa.jpg

BAGAI KEMBAR…Siti dan Rossa berduet menerusi laguAku Bukan Milikmu.

Dari penyanyi terkenal Anita Sarawak, Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Syafinaz, Fauziah Latiff atau Jee dan Ezlynn hingga pelakon popular seperti Eja, Nora Danish, Pushpa Narayanan, Lis Dawati, Natasha Hudson dan Aleeza Kassim semuanya bergaya hebat dengan rekaan istimewa tiga pereka fesyen muda iaitu Khoon Hooi, Jovian Mandagie dan Amir Luqman.

Mereka tidak kalah dengan kehadiran model terkenal dan ratu cantik seperti Ratu Malaysia/Universe 2004, Andrea Fonseka, Ratu Malaysia/Dunia 2005, Emmeline Ng dan Ratu Astro Cina Antarabangsa 2004, Jolene Chin serta model tinggi lampai Amber Chia, Fadzlun dan Tengku Azura.

Tidak ketinggalan pengacara Nona, Nurul Syuhada, pengacara Breakfast Show, Daphne Iking, penyampai radio Era, Linda Onn serta penyanyi dari Indonesia, Rossa dan juga Hong Kong, Maria Cordero dan Elisa Chan. Maria dan Elisa sama-sama menjayakan Konsert Empat Diva bersama Anita dan Francis Yip di beberapa negara Asia.

Kehadiran Siti dan Rossa paling mencuri tumpuan jurugambar apabila mereka digandingkan kerana kedua penyanyi ini dikatakan mempunyai wajah seiras, hingga peminat di Indonesia mengatakan Siti kembar Rossa kerana persamaan pada mata mereka.

Siti dan Rossa juga menggayakan dua pasang baju rekaan Jovian dan Khoon Hooi berbanding selebriti lainnya hanya sepasang. Rossa pula diberi penghargaan menggayakan set nilam paling mahal dari koleksi Mandalay bernilai RM8.8 juta manakala Siti set nilam bernilai RM3 juta.

Eksekutif Publisiti Rafflesia, Bill Bora, berkata Mandalay adalah produk kedua dipasarkan Jewelery Circle Sdn Bhd selepas melancarkan jenama Rafflesia.

Katanya, jika Rafflesia khusus menampilkan mutiara, Mandalay pula menyaksikan jed dan nilam dari Mandalay di Burma yang digubah indah untuk menjadi perhiasan dan kebanggaan wanita.

“Untuk pelancaran koleksi Mandalay, saya mengatur satu majlis meriah dihadiri selebriti terkenal sebagaimana pelancaran Rafflesia dulu. Biasanya, majlis pelancaran produk dijayakan model jelita tetapi saya yakin kehadiran penyanyi dan pelakon terkenal akan menjadikan majlis itu lebih bermakna.

“Mereka akan menggayakan rekaan istimewa daripada tiga pereka muda bersama aksesori dari koleksi Mandalay. Bagi saya fesyen dan artis tidak boleh dipisahkan. Untuk itu, saya cuba mendapatkan seramai mungkin penyanyi, pelakon, pengacara dan model popular untuk hari bersejarah ini.

“Hasilnya, 26 selebriti berjaya dikumpulkan. Tidak ketinggalan pemuda tampan seperti Ashraf Sinclear dan Fahrin Ahmad,” katanya.

Dari jam 6 petang, seorang demi seorang selebriti tampil bergaya untuk diabadikan gambar mereka oleh jurugambar. Mereka yang menggayakan rekaan Jovian ialah Anita, Andrea, Emmeline, Fadzlun, Amber, Daphne, Rossa dan Linda manakala rekaan Khoon Hooi Ziana, Maria, Elisa, Siti, Eja, Jee, Syafinaz, Nurul dan Rossa.

Sementara itu Nora Danish, Tengku Azura, Jolene, Pushpa, Natasha, Aleeza, Lis dan Ezlynn menggayakan rekaan Amir Luqman. Untuk melengkapkan gaya, mereka melangkah hebat dengan kasut rekaan Lew Fong Voon dari Lewre membabitkan 16 selebriti. Kemuncaknya ialah penampilan Siti dan Rossa bermula dengan rekaan Jovian diikuti rekaan Khoon Hooi.

Jovian berkata, majlis seperti itu cukup bermakna bagi dirinya kerana memberi peluang kepadanya menghasilkan baju untuk selebriti terkenal.

“Saya bangga apabila diberi tanggungjawab menghasilkan baju untuk selebriti terkenal seperti Anita, Andrea, Emmeline, Fadzlun, Amber, Daphne, Rossa dan Linda. Saya hasilkan baju berdasarkan personaliti mereka serta aksesori yang akan digayakan.

“Untuk Siti, saya pilih warna hitam kerana penyanyi itu akan menggayakan set barang kemas nilam kerana hitam mampu menaikkan warna merah nilam itu.

“Potongan baju pula saya tampilkan mengikut bentuk badan untuk menyerlahkan penampilan Siti yang anggun dan mempunyai bentuk badan menarik.

“Anita adalah diva terkenal yang menceburi industri ini lebih 30 tahun. Jadi, saya pilih warna emas supaya nampak mewah. Untuk lebih hebat, saya paparkan hiasan di dada dari batu swarovski warna emas. Baju Anita juga paling mahal berharga RM35,000.

“Untuk model, saya mencuba satu rekaan yang seksi seperti gaun merah Amber dan juga gaun hijau Emmeline yang mendedahkan dada,” katanya.

Majlis dua dalam satu yang dihoskan Anita, turut menjadi detik bersejarah bagi pemilik Rafflesia yang juga pasangan suami isteri, Sin Cheang Loong dan Winnie Sin, apabila meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-16.

Anita turut menceritakan detik-detik pertemuan pasangan itu kira-kira 21 tahun lalu kemudian memeterai percintaan mereka dengan ikatan suci sebagai suami isteri pada 21 Mei 1990.

Sebenarnya pasangan yang dikurniakan empat anak, Sin Hui Cin, Sin Hui Wen, Sin Zhao Hong dan Sin Zhao Yan itu tidak pernah diraikan dalam satu majlis perkahwinan khas hingga mendorong Bill Bora meraikan mereka pada hari itu.

Ia diraikan bersama tetamu undangan khas dari kalangan rakan-rakan, 26 selebriti berkenaan dan juga pengarang hiburan akhbar serta beberapa wartawan.

Winnie yang anggun dengan gaun rekaan Khoon Hooi dan kasut rekaan Datuk Jimmy Choo berharga RM300,000, menerima hadiah cincin bernilai hampir RM1 juta dari koleksi Mandalay daripada suaminya.

Siti Nurhaliza dan Rossa menjadi pilihan Winnie untuk menghiburkan tetamu. Siti menyanyikan enam lagu bermula dengan Can’t Take My Eyes Of You, Asmara, I Will Always Love You, Biarlah Rahsia dan lagu Mandarin.

Ketika menyanyikan lagu Mandarin, Maria yang begitu peramah memberikan kerjasama menyanyi bersama ketika Siti menghulurkan mikrofon kepadanya. Lagu I Will Always Love You pula Siti tujukan khas buat pasangan yang diraikan semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Siti juga memukau hadirin dengan lagu popular Whitney Houston itu. Kata Siti, lagu itu menjadi kegemarannya ketika menyanyi di majlis kenduri kahwin. Siti turut berduet dengan Rossa menerusi lagu popular Rossa, Aku Bukan Milikmu manakala Rossa secara solo memilih lagu Pudar.