Apabila bintang-bintang bertemu.

BIARPUN banyak pertandingan nyanyian dianjurkan oleh stesen tv tetapi setakat ini tidak ada yang dapat menyaingi kewibawaan siri pertandingan Bintang RTM.

Bintang RTM yang mencecah usia lebih 30 tahun itu terus kekal sebagai satu-satunya pertandingan nyanyian yang berprestij dan hebat.

Daripada pertandingan ini lahirlah nama-nama besar antaranya Allahyarham Sudirman Arshad, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Ramlah Ram, Juliza Adlizan, M. Rizal dan banyak lagi.

Sebagai bintang yang digilap melalui pertandingan itu, penyanyi-penyanyi ini mampu mengembangkan kerjaya lebih jauh dalam dunia hiburan.

Bagi pemenang Bintang RTM, nilai sentimental detik-detik ditabalkan sebagai Juara Bintang RTM tidak mampu untuk diukur dengan wang ringgit.

Selain Bintang RTM, pertandingan Bintang HMI, pertandingan Penghibur Bintang HMI juga antara dua acara yang memperlihatkan komitmen jitu stesen televisyen itu dalam usaha melahirkan bakat seni yang terbilang.

Lantaran itu, apabila RTM mengambil usaha menemukan semula beberapa bintang yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian anjuran RTM, banyak pihak yang melihat ia sesuatu yang baik untuk mengembalikan semula memori silam.

Rohana Jalil, Ramlah Ram, Juliza Adlizan, Azharina, dan Siti Nurhaliza antara “seniman” kelahiran RTM yang ditemukan semula dalam program HMI Bersama Bintang-Bintang.

Objektif untuk menggabungkan kesemua bekas pemenang pertandingan anjuran RTM terbatas ekoran waktu siaran yang singkat selain faktor kesesuaian masa.

Menurut penerbit program, Shamsuriah S. Anwar, sebetulnya RTM mahu menggabungkan semua bekas pemenang dalam sebuah program istimewa seperti ini, namun banyak halangan yang menjejaskan matlamat berkenaan.

“Kami yakin peminat setiap artis berkenaan selain penonton RTM mahu melihat gabungan kesemua mereka.

“Hanya melalui gabungan sebegini, RTM dapat memberi peluang kepada penonton-penontonnya mengembalikan memori mereka terhadap bintang-bintang kelahiran RTM,” ujarnya ketika ditemui sejurus selepas program HMI Bersama Bintang-Bintang yang disiarkan secara langsung di TV2 minggu lalu.

HMI Bersama Bintang-Bintang memperlihatkan kesemua artis berkenaan diberi masa selama lima minit untuk mengadakan persembahan.

Rohana Jalil yang membuka tirai persembahan berkongsi dengan khalayak kejayaannya mempertahankan kedudukannya dalam dunia hiburan adalah disebabkan dia sering memenuhi permintaan peminat-peminatnya.

“Saya sering menyanyikan lagu-lagu yang diminati peminat saya dan dengan cara sedemikian, artis selalunya dihormati,” kata Rohana, juara Bintang RTM 1980 ketika ditemu bual oleh penyanyi Achik (Spin) yang mengendalikan program berkenaan.

Bagi juara Bintang RTM 1983, Juliza Adlizan pula, pertandingan yang dikendalikan oleh stesen televisyen tertua negara itu masih relevan dan mempunyai populariti tersendiri.

Juliza mengakui, Bintang RTM telah berjaya memperlihatkan kewibawaannya sebagai satu-satunya pertandingan mencungkil bakat nyanyian yang telus.

Juliza yang semakin anggun dan cukup bergaya pada malam itu telah menarik perhatian penonton di auditorium dan di rumah apabila menyanyikan semula lagu Kuda Hitam yang membawanya ke mercu kejayaan selain lagu Kasih Sayang Insan.

Liza Hanim juga tidak kurang hebatnya. Vokalnya masih bertenaga biarpun dia baru sahaja melahirkan anak sulungnya.

Yang kurang menyerlah ialah Azharina juara Bintang RTM tiga tahun sudah. Entah di mana silapnya, tuah seakan-akan tidak berpihak kepada penyanyi kelahiran Sabah itu.

Barangkali, sudah tiba masanya untuk Azharina melakukan post morterm dan menilai semula apakah masalah yang mengekang dirinya untuk menggilap populariti seperti penyanyi lain.

Satu-satunya juara Bintang RTM yang sukar kita lupakan, Ramlah Ram pula, terus membuktikan kemantapan vokalnya tiada tolok bandingnya.

Lagu Rindu yang dipertaruhkan ketika menyertai Bintang RTM 1985 serta lagu Di Ambang Pintu Kasih pada malam tersebut mengubat kerinduan peminat buatnya.

Si manis Siti Nurhaliza muncul di penghujung rancangan. Tiada apa lagi yang boleh dilaporkan mengenai Siti.

Setiap kali muncul, orang bertepuk dan berteriak namanya biarpun malam itu Siti lebih selesa memilih untuk mempromosikan lagu barunya, Lagu Rindu dan Dialah Di Hati yang dimuatkan dalam album Prasasti Seni.

Kesimpulannya, penerbit HMI Bersama Bintang-Bintang, Shamsuriah sudah bekerja keras untuk menjadikan program berkenaan mencapai matlamatnya mengembalikan nostalgia penonton RTM terhadap bakat-bakat yang dilahirkan mereka.

Shamsuriah bertuah kerana sekurang-kurang enam artis berkenaan sudah memberi kejayaan awal untuk beliau merealisasikan hasrat dan cita-cita RTM.

Cuma, apa yang mengecewakan ialah pemilihan Achik sebagai pengacara dilihat sebagai sesuatu yang tidak kena.

Tiada apa yang menarik mengenai Achik. Pengalaman sebagai pengacara tidak ada. Dia juga memperlihatkan tidak banyak yang diketahuinya tentang Bintang RTM.

Achik juga mengemudi Bintang RTM yang akan disiarkan selama lapan minggu bermula Jumaat lalu di TV2 setiap hari Jumaat. Bagaimana pula nasib Bintang RTM selepas ini?

http://www.utusan.com.my/