Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004.

Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004 diadakan bersamaan dengan tarikh kematian Biduan Negara Saloma 21 tahun lalu. Bila anugerah itu diadakan pada tarikh tersebut, ada yang berpendapat pihak penganjur akan memberikan Anugerah Wirama kepada penyanyi berbakat besar yang juga isteri kepada Seniman Agong Tan Sri P. Ramlee.
Tapi akhirnya penerima Anugerah Wirama 2004 ialah Datuk A. Rahman Hassan.

Kita tidak mempertikaikan Rahman Hassan menerima anugerah berprestij itu, tetapi ia boleh diberi kepada beliau pada tahun berikutnya.

Tahun ini apalah salahnya jika Anugerah Wirama itu diberikan kepada Saloma atau nama asalnya Salmah Ismail.

Berdasarkan bakat besarnya dan penglibatannya dalam bidang nyanyian sejak pertengahan 50-an, Saloma sebenarnya layak menerima Anugerah Wirama di awal-awal kemunculan Anugerah AIM pada 1994.

Selain mempunyai banyak album solo, Allahyarham Saloma juga merakamkan ratusan lagu secara duet dengan Seniman Agong Tan Sri P, Pamlee. Sehingga ke hari ini gandingan P. Ramlee dan Saloma sebagai pasangan duet tidak dapat diatasi.

Ketika mengumumkan kategori Anugerah Wirama, pengacara Bob Lokman mengatakan anugerah itu diberi kepada tokoh seni yang masih hidup. Apakah benar fakta yang diberikan oleh Bob Lokman itu.

Selama ini ada dua tokoh yang menerima Anugerah Wirama setelah mereka meninggal dunia iaitu Sudirman (AIM1994) dan Zain Azman (AIM 1998).

Sudahlah tiada anugerah diberikan kepada Saloma, tidak ada langsung langkah untuk mengingati pemergian beliau 21 taun lalu melalui segmen khas hiburan atau disebut oleh pengacara majlis.

Hanya Siti Nurhaliza ketika muncul di pentas ketika menerima anugerah Album Terbaik menyebut nama Saloma dan meminta hadirn menghadiahkan fatihah.

Namun permintaan Siti tidak bersambut bila ada komposer lain di pentas ghairah untuk berucap dan mencelah cakap Siti.

BERI ANUGERAH WIRAMA KEPADA DUA TOKOH SETIAP TAHUN

Anugerah Wirama AIM dianggap sebagai anugerah paling berprestij kepada tokoh dalam bidang muzik berbanding dengan anugerah yang diberi oleh badan atau pertubuhan lain. Kita mempunyai ramai tokoh dalam bidang muzik yang perlu dihargai termasuk yang sudah meninggal dunia.

Jika hanya satu tokoh diberikan anugerah ini dalam setahun, semakin ramai tokoh yang kempunan untuk menerimanya kerana sudah meninggal dunia.

Anugerah AIM bukannya menyediakan hadiah wang tunai, cuma keluarkan kos harga trofi. Apa yang penting ialah pengiktifanan dan penghargaan dari satu badan muzik yang diiktiraf seperti Persatuan Anugerah Industri Muzik Malaysia selaku penganjur AIM.

Langkah terbaik yang patut dilakukan ialah memberikan Anugerah Wirama kepada dua tokoh bagi setiap tahun. Satu anugerah diberi kepada tokoh muzik yang masih hidup dan satu lagi kepada tokoh muzik yang sudah meninggal dunia.

Sebenarnya ramai tokoh dalam industri muzik yang sudah meninggal dunia layak untuk menerima Anugerah Wirama. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee walaupun sudah menerima gelaran Seniman Agong dan sudah lebih 30 tahun meninggal dunia juga sepatutnya diberikan Anugerah Wirama.

Salah seorang promoter terkenal mendiang Mike Bernie Chin juga wajar menerima anugerah yang sama. Satu lagi, penerima bagi kategori ini juga harus dilonggarkan kepada tokoh muzik yang bermastautin di Singapura atas sifat mereka turut membantu menyemarakan muzik Melayu.

Antara tokoh muzik dari Singapura yang wajar dipertimbangkan menerima Anugerah Sri Wirama ialah Kassim Masdor. Kassim beberapa bulan lalu menerima satu anugerah besar dari MACP. Sumbangan beliau sebagai pemuzik dan pencipta lagu sejak pertengahan 50-an hingga pertengahan 80-an cukup besar.

Beliau banyak melahirkan lagu-lagu hits dan evergreen dan mempopularkan ramai penyanyi. Beliau turut mencipta beberapa lagu patriotik yang masih terus segar seperti Malaysia Baru dan Bahtera Merdeka. Dalam perkara tertentu kita jangan mempersoalkan soal kewarganegaraan.

Jika orang Singapura telah memberi sumbangan besar dalam industri muzik Melayu, apa salahnya mereka juga diberi penghargaan. Mungkin tidak lama lagi tak salah juga memberikan Anugerah Wirama kepada Ramli Sarip yang sudah menganggap Malaysia juga adalah negaranya walaupun dia berwarganegara Singapura.

PENYAKIT PENERIMA ANUGERAH SUKA MERAPU SUKAR DIBENDUNG

Entah kenapa artis kita, bila naik ke pentas sebagai penerima anugerah dan bila diberi peluang bercakap untuk beberapa saat, kebanyaknya suka merapu. Tak ramai yang tahu menggunakan kesempatan itu untuk bercakap secara ringkas tetapi padat dan bernas.

Kita masih sakit hati dan sakit telinga dibuatnya bila mereka asyik berterima kasih kepada anak bini, ibu bapa, rakan-rakan. Kalau boleh semua nama nak disebut. Kalau yang bercakap itu penerima anugerah utama atau artis cukup popular boleh juga tutup sebelah telinga, tetapi bila setakat penerima anugerah kecil-kecilan dan orang pun banyak yang tak kena siapa penerimanya, janganlah membuang masa saja di depan mikrofon.

Yang paling kasihan dalam keadaan begini ialah penerbit siaran langsung untuk TV. Siaran langsung terikat dengan durasi yang ditetapkan. Bila sudah terlebih masa atau istilahnya over run, memang pihak produser berpeluh dan tension.

Malam Anugerah AIM2004 sebenarnya boleh disingkatkan sekitar 15 minit jika para penerima anugerah tidak membebel lama depan mikrofon.

Memang dalam majlis pemberian anugerah, jika tak beri peluang kepada penerima bercakap rasa tak sedap juga, tapi bila diberi peluang mereka tak mengikut arahan tempoh masa yang dibenarkan untuk bercakap.

Keadaan menjadi lebih teruk bila bagi kategori tertentu selain penyanyi, si pencipta lagu atau penerbit album turut berada di pentas. Tak salah jika kesemua pencipta dan penerbit berada di pentas, tapi kalau nak berucap cukuplah seorang saja wakil atau jangan berucap langsung. Bila semua nak bercakap jadi meluat penonton dibuatnya dengan ucaan yang entah apa-apa..

HORMATILAH MAJLIS DENGAN BERPAKAIAN KEMAS

Satu lagi perkara yang kerap berlaku dalam majlis penganugerah muzik ialah ada pengiat seni yang tidak tahu menghormati majlis. Biasanya bagi majlis sedemikian para tetamu diberi peringatan untuk berpakaian kemas.

Memang ramai artis yang berpakaian kemas, dan berpesta fesyen,namun masih ada sejumlah teman artis mereka yang tetap degil dan terus dengan imej selekeh mereka. Kalau sekadar duduk sebagai penonton kita masih boleh maafkan, tetapi bila naik ke pentas dengan imej selekeh, ini memang tidak sopan.

Walaupun mereka itu kumpulan hip hop, rap atau apa juga genre muzik mereka, namun bila naik ke pentas hormatilah majlis dengan berpakaian kemas.

Berpakaian kemas tak semertinya perlu bertali leher dan berkot.

Bayangkan bagaimana kurang sopannya bila salah seorang anggota kumpulan Too Pat naik ke pentas dengan kaki seluar sebelah kirinya disingkatkan sampai ke betis bagi menerima anugerah Vokal Berkumpulan Terbaik.

TIARA JACQELINA JANGAN BERPAKAIAN TERDEDAH SANGAT

Sebagai seorang artis popular, bekas model dan isteri kepada tokoh korporat yang dulunya bekas Menteri, Tiara Jacqelina memang dikenali seorang yang begitu mengambil berat soal berfesyen. Tetapi dalam keadaan tertentu, Tiara juga perlu menghormati majlis apa lagi majlis AIM2004 disiarkan secara langsung melalui TV yang jutaan orang menonton.

Jika Tiara berada dalam satu majlis di Hollywood, tidak siapa yang hirau dia berpakaian (kalau orang kampung kata) ‘berkemban’ iaitu mendedahkan bahagian dadanya.

Tetapi ini satu majlis yang berlangsung di Malaysia.

Kalau nak berfesyen secanggih dan semahal manapun orang tak kisah, asalkan jangan terlalu mendedahkan tubuh.

Ini bukan kali pertama Tiara muncul dengan pakaian secara demikian dalam majlis anugerah yang disiarkan secara langsung di TV.

Dalam majlis AIM2004, Tiara muncul bers
ama Tony Fernandez dan Amy Mastura bagi mengumum dan menyampaikan anugerah kepada dua kategori utama di penghujung majlis iaitu kategori Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Dengan berpakaian demikian Tiara berjaya mencuri pandangan penonton di Dewan Merdeka mahupun di rumah.

Diharapa pada masa-masa akan datang Tiara mengambil kira perkara ini. Hendak berfesyen seglamor dan semahal manapun, pastikan jangan terlalu mendedahkan jika tahu majlis itu untuk siaran TV.

Jika ke majlis private itu soal lain. Ini majlis yang disiarkan secara langsung di TV.

AIM LUPA POP YEH YEH DAN MELAYU DELI

Dalam setiap majlis anugerah AIM memang persembahan pentas menjadi perhatian kerana setiap tahun pasti ada gimiknya. Dan pihak penganjur seboleh-bolehnya cuba mengetengahkan artis baru dan lama mewakili pelbagai genre muzik.

Dan ada ketikanya penyanyi baru yang sebelum ini tidak dikenali diberi muncul membuat persembahan.

Dalam keghairanan pihak penganjr untuk menyajikan persembaan hiburan yang menarik, mnereka terlupa mengundang dua genre muzik iaitu pop yeh yeh dan Melayu deli.

Apa salahnya mengundang penyanyi angkatan pop yeh yeh dan penyanyi Melayu deli seperti Hermantino atau yang lebih veteran untuk mengadakan persembahan.

Promoter terkenal, Ali Bakar yang juga penerima Anugerah Wirama 2003 ketika berada di pentas sempat memberi peringatan kepada pihak penganjur AIM agar pada masa akan datang tidak melupakan muzik pop yeh yeh dan Melayu deli.

BLUES GANG, LEFTHANDED, WINGS, MAY CUKUP MENGHIBURKAN

Ada tiga tarikan utama dalam persembahan hiburan AIM2004. Pertama gabungan tiga kumpulan muzik lagenda rock, Lefthanded, Wings dan May bersama vokalis emreka Nash, Awie dan Mus.

Persembahan rock mereka dimantapkan dengan gabungan muzik bertali dibawah pimpinan Ramlee M.S. Di akhir persembahan mereka menerima penghormatan berdiri (standing ovation) dari penonton. Gabungan ini memang satu sejarah dan memberi satu kepuasan kepada penonton.

Sepatutnya lebih menarik jika Search turut bergabung bersama dalam persembahahn tersebut, bukannya membuat persembahan berasingan di awal majlis.

Kedua, lima penyanyi wanita popular masa kini, Liza Hanim, Siti Nurhalkiza, Siti Sarah, Ning Baizura dan Misha Omar mempamerkan kehebatan vokal masing-masing dalam mendendangkan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey yang diubah lirik ke bahasa Melayu.

Dan ketiga, kemunculan Blues Gang mendendangkan lagu hits mereka Apo Nak Dikato. Walaupun sudah berubah dari segi fizikal tetapi permainan Julian, Jim, Karim dan Ghani masih hebat dalam persembahan yang bersifat ‘reunion’ dan dimantapkan lagi dengan gitaris undangan Joe Wings. Ito Mohd selaku penyanyi utama walaupun kualiti vokalnya sudah menurun, namun masih lincah di pentas dan kelihatan cukup bersemangat.

Penonton tidak kisah dengan kualiti vokal Ito yang agak menurun kerana mereka sebenarnya memang terhibur dengan persembahan reunion Blues Gang.

PENGACARA MAMPU HIDUPKAN MAJLIS

Gandingan Bob Lokman dan Harith Iskandar sebagai pengacara AIM2004 mampu menghidupkan majlis dengan jenaka mereka yang spontan dan sinis.

Harith mengambil tempat Aflin Shauki yang selama ini menjadi pengacara tetap anugerah AIM untuk beberapa tahun. Baik Bob, Harith mahupun Aflin masing-masing mempunyai kebolehan menjadi pengacara.

Mungkin Anugerah AIM memang sesuai dikendalikan oleh para pengacara bertubuh besar.

http://www.agendadaily.com/