Anugerah 5tars Untuk Dato Siti Nurhaliza

Teks oleh Kheme Rosly

khemerosly@yahoo.com

Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 11 JULAI 2012: Bercakap mengenai penjenamaan dan selebriti mungkin ramai yang kurang faham serta tidak tahu mengenai jalinan yang terbentuk di antara dua perkara ini. Jenama dan selebriti adalah dua perkara yang saling membantu antara satu sama lain dan ini diperakui oleh 5tars.

5tars adalah gagasan 5 orang pereka di bawah 4 label iaitu Zery Zamry, Hazwani Osman, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini . Mereka ini bertungkus lumus membina nama dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri fesyen dan hiburan tempatan.

Pada malam kemuncak pertunjukan fesyen khas yang dianjurkan 5stars untuk musim raya yang bakal tiba tidak lama lagi, mereka telah menyampaikan anugerah khas iaitu Anugerah 5tars kepada selebriti ternama tanah air iaitu Dato Siti Nurhaliza.

Pemilihan ini, dikatakan bertepatan dengan penglibatan Dato Siti Nurhaliza dalam memperagakan adibusana daripada label-label di bawah 5tars.

“Kami semua bersetuju memilih Dato Siti Nurhaliza kerana dia merupakan artis pertama yang memberikan sokongan penuh kepada 5tars dimana dia telah menyarungkan kesemua busana daripada pereka 5tars untuk satu sesi penggambaran.

“Sebuah penghormatan yang tidak ternilai buat kami dan kita semua tahu bahawa Dato Siti Nurhaliza merupakan penyanyi nombor satu negara dan kepercayaan yang diberikan itu sangat saya dan rakan pereka lain hargai.

“Inilah cara kami, 5tars berterima kasih kepada Dato Siti Nurhaliza dan berharap jalinan yang terbentuk ini akan terus berkekalan,” jelas salah seorang pereka fesyen 5stars, Rizman Nordin mengenai Anugerah 5tars.

Bagi Hatta Dolmat pula, Anugerah 5tars ini layak diberikan kepada ikon fesyen negara kerana apa sahaja yang digayakan Dato Siti Nurhaliza pasti dinantikan peminat dan umum.

“Apa sahaja yang Dato Siti Nurhaliza sarungkan pasti menjadi tontonan dan ia dinantikan oleh peminat. Ia memberikan impak yang sangat besar pada pelbagai pihak antaranya pengikut fesyen dan juga industri hiburan.

“Jadi Dato Siti Nurhaliza adalah individu yang paling layak dan dalam masa yang sama dia menyokong keberadaan 5tars dalam industri ini dengan menyarungkan helaian kami hasilkan untuknya,” tambah Hatta Dolmat lagi.

Pada malam kemuncak pertunjukan fesyen khas daripada 5stars ini telah berlangsung di Muzium Tekstil Kuala Lumpur pada Isnin malam lalu. Ia menyaksikan kehadiran ramai selebriti ternama tempatan dan media.

Murai