Anuar-Ning dilamun cinta?

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

ADA yang mendakwa, Anuar Zain sebelum ini bercinta dengan artis wanita terkenal, Dayang Nurfaizah. Baru-baru ini pula, ada cadangan yang cuba `menyatukan’ Anuar Zain dengan artis nombor satu negara, Siti Nurhaliza.

Bertuah Anuar! Media dan peminat sering `menjodohkan’ dia dengan artis-artis wanita ternama. Namun kedua-dua nama itu bukanlah bertakhta di hati penyanyi lelaki yang kini popular dengan lagu Sesuci Cintamu.

Siapa sebetulnya kekasih Anuar?

Pertanyaan itu sudah terlalu kerap ditanya oleh peminat-peminat dan teman-teman Anuar.

Sehingga kini, teka-teki mengenai jodoh Anuar masih belum terjawab. Tinggalkan Dayang Nurfaizah. Lupakan Siti Nurhaliza.

Cuba kita perhatikan perkembangan diri Anuar baru-baru ini. Dari raut wajahnya, keceriaan air mukanya seakan-akan menceritakan ada kegembiraan di jiwanya.

Bercerita mengenai kegembiraan yang dikecapi Anuar, Pancaindera baru-baru ini didedahkan oleh sumber yang layak dipercayai mengenai kejutan cinta terbaru Anuar.

Penghibur lelaki yang diminati ramai wanita khabarnya diberitakan sedang memadu kasih dengan teman seangkatannya, Ning Baizura.

Ya, pastinya ramai yang akan terkejut bila diberitahu mengenai cerita panas ini. Anuar dan Ning khabarnya sedang menikmati musim-musim bahagia.

Sebetulnya, keintiman Ning dan Anuar dapat dihidu Pancaindera melalui pergerakan mereka semenjak kebelakangan ini.

Ketika menjayakan program Hiburan Minggu Ini (HMI) terbitan RTM, Ning memilih untuk menyanyikan lagu popular Anuar, Keabadian Cinta.

Yang lebih manisnya, Ning turut mengundang Anuar sebagai jemputan untuk menyaksikan kemeriahan persembahannya.

Selang beberapa bulan, Anuar pula diberi kesempatan untuk menjayakan program yang sama.

Sebagai tanda kasihnya, Anuar memilih untuk menyanyikan lagu popular Ning, Selagi Ada ketika mengadakan persembahannya.

Mungkin itu dilihat sebagai sesuatu yang normal bagi artis tempatan. Tetapi bagaimana pula jika disebut kemesraan mereka dapat dilihat sewaktu masing-masing hadir menonton persembahan artis terkenal antarabangsa, Michael Buble di Carcosa Seri Negara baru-baru ini.

Tidak cukup itu, sebaik berakhir persembahan Michael Buble, Ning dan Anuar turut hadir bersama menonton persembahan Hazami di salah sebuah kelab popular di ibu negara, No Black Tie.

Semasa menjayakan persembahan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur bulan lepas pula, Ning sekali lagi membuat kejutan menyanyikan lagu popular Anuar, Keabadian Cinta pada minggu pertama.

Lebih manis lagi, Anuar dijemput Ning untuk berduet bersama-sama lagu Selagi Ada di malam terakhir persembahannya.

Ketika ditanya hal ini kepada Anuar, dia mengakui, sedang menikmati musim-musim bahagia.

“Sudah tentu saya bahagia dengan diri saya semenjak kebelakangan ini,” spontan jawabnya.

Mengulas mengenai desas-desus hubungan intimnya dengan Ning Baizura, Anuar sekadar mengukir senyuman penuh makna seperti lazimnya.

Anuar tidak mengiakan perkara itu, jauh sekali untuk menafikan hubungan kasihnya dengan Ning.

“Kami berkawan baik. Sering juga berhubungan melalui telefon,” kata Anuar sebagai mengulas desas-desus.

Anuar juga tidak menafikan, mendekati Ning suatu perbuatan yang cukup menarik perhatiannya.

“Ning matang dan cukup ceria. Kami boleh berbual tentang apa sahaja kerana dia cukup terbuka. Saya senang menjadi rakan baiknya,” ujar Anuar meninggalkan tanda tanya.

Apa yang turut menyentuh perasaan Anuar ialah Ning memiliki hati yang sarat dengan kasih dan sayang.

Kata Anuar, sepanjang mengenali Ning dari dekat bermula April lalu, itulah karakter Ning yang tidak diketahui oleh media dan peminat-peminatnya.

“Saya terkejut apabila anda bertanyakan hal ini kepada saya. Kami sekadar berkawan baik. Setakat ini, hubungan itu belum melangkah dengan lebih jauh lagi,” Anuar memberi kepastian.

Jika hati Anuar berkata Ning wanita yang tepat untuk dijadikan bakal isteri, apa pula reaksi Anuar?

“Nanti dulu. Semuanya terlalu awal untuk saya bicarakan,” ujar Anuar menyambung bicaranya.

Sementara itu, Ning pula ketika mengulas desas-desus terbaru ini memberitahu Pancaindera, buat masa ini, dia selesa menjadi kawan baik kepada Anuar.

“Saya baru sahaja menelefon Anuar sebelum anda menghubungi saya,” kata Ning tanpa berselindung. Seperti Anuar mengagumi karakter Ning, penghibur wanita ini juga tidak terlepas menyatakan keserasiannya berdamping dengan Anuar.

“Kami ada juga keluar bersama tetapi tidak berdua kerana selalunya ditemani rakan-rakan lain kerana bimbang ia akan mengundang gosip.

“Tetapi, akhirnya tekaan saya tidak silap bila anda memulakan pertanyaan ini.

“Yang pasti, jawapan bagi soalan itu saya dan Anuar berkawan baik,” kata Ning tegas penuh makna.

Bagi Ning, biarlah takdir menentukan siapakah lelaki yang bakal mengisi kekosongan hidupnya kerana semua itu ketentuan-Nya.

Seperkara lagi, Ning turut berkongsi dengan sebuah lagi episod baru dalam kehidupan peribadinya.

Katanya, ia tidak ada kaitan dengan kisah cinta, namun memadai untuk dia sekadar memberitahu, kehidupannya hari ini menjadi semakin lengkap.

“Saya terlalu gembira kerana semua perancangan mengenai kehidupan peribadi dan kerjaya saya berjalan lancar,” kata Ning yang berjanji akan berkongsi cerita mengenai kegembiraan itu di awal bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Anuar dan Ning terus meninggalkan tanda tanya. Andai takdir menentukan mereka bakal disatukan sebagai suami isteri, ia mungkin satu berita gembira untuk peminat mereka berdua.

http://www.utusan.com.my/