Alahai kasihannya cik siti…

Oleh
Hanim Mohd Saleh

KESIAN Hajah Datin Seri Siti Nurhaliza. Daripada zaman hingusannya baru keluar sebagai juara RTM sehingga menjadi popular, bergelar isteri, kemudian datuk dan terkini pulang setelah menunaikan fardu haji, tak habis-habis soal pakaiannya diperkatakan.

Kebanyakannya mempersenda dan menjadikan gaya Siti berpakaian sebagai bahan untuk ketawa.

Saya akui, saya juga kadangkala tidak dapat menahan geli hati apabila terima kiriman e-mel yang membanding-bandingkan pakaian Siti dengan gambar kelakar yang entah daripada mana sumbernya.

Dulu, pakaian Siti dianggap sesetengah orang sebagai kampungan dan kuno.

Hairan juga ya… macam mana boleh dikatakan begitu sedangkan Siti mempunyai konsultan imej dan jurudandan profesional. Jadi kalau Siti berpakaian yang dianggap kurang sesuai, sepatutnya orang yang memberi nasihat itu yang harus bertanggungjawab.

Sebaliknya apa yang terjadi, sesiapa saja yang pernah dikaitkan sebagai orang kepercayaan Siti, termasuk dalam bab menyediakan pakaian dan solekan, hari ini menjadi lebih kaya dan popular.

Kemudian, orang ramai menuntut agar Siti menunaikan hasratnya untuk bertudung setelah bergelar isteri.

Kesian Siti. Sejak berkahwin dengan Datuk K lebih setahun lalu, hampir setiap wawancara beliau diasak dengan soalan: Bila nak pakai tudung?

Walhal, berapa ramai artis lain yang telah berkahwin dan berulang-alik ke Makkah menunaikan umrah, tidak pula ditekan dan dipersoalkan tentang aurat yang terdedah.

Saya yakin, Siti, sebagai anak yang dididik dengan asuhan agama, cukup sedar akan tanggungjawabnya.

Kini, setelah pulang mengerjakan haji, Siti tampil bertudung.

Namun beliau tetap dikutuk dengan teruk oleh para penulis forum di Internet yang berpendapat cara Siti menutup kepala tidak mengikut landasan Islam. Lehernya masih kelihatan, anak-anak rambutnya masih berjuntaian.

Saya dapat rasakan mengapa sesetengah orang yang suka atau menyampah dengan insan bernama Siti Nurhaliza yang tersohor ini, sebenarnya mahukan seorang ikon yang paling sempurna untuk dijadikan inspirasi.

Ini terutama mereka yang percaya perlunya beliau mengimbangi antara hiburan dengan agama.

Masyarakat mencari ikon yang boleh mempengaruhi generasi masa depan dengan secara positif dan progresif.

Rasanya, pengaruh Siti lebih hebat daripada Mawi.

Potensi ikon harapan itu memang ada pada Siti Nurhaliza.

Siti mendapat perhatian kerana teguh menjaga kesopanan dalam berpakaian.

Beliau membuktikan, tanpa banyak mendedahkan kulit pun, beliau tetap mampu menggegarkan dunia seni hiburan.

Siti juga membuktikan, sebagai orang seni, beliau ada pengaruh politik dan mampu menjana ekonomi.

Sebab itu, apabila Siti, hari demi hari terutama setelah berumah tangga, dilihat leka dalam bab-bab sensitif, kedudukan suami yang cukup sensasi dan gagal memenuhi keinginan masyarakat untuk menjadi ikon yang paling sempurna, beliau diserang habis-habisan.

Siapa yang harus dipersalahkan? Masyarakat yang terlalu berharap atau Siti, yang tidak sedar, beliau memikul harapan besar itu?

Namun sudah dinamakan Siti Nurhaliza. Biarpun terus dikutuk dan ditertawakan, orang ramai akan terus memberikan perhatian.

Salah silap, tudung yang dianggap fesyen ala Allahyarhamha Benazir Bhutto yang dipakai Siti hari ini menjadi trend tidak lama lagi.

Walhal, sebelum ini, ramai artis Indonesia, termasuk Hetty Koes Endang, sudah lama mengenakan fesyen tudung yang sama, tetapi tidak pernah pula diperkatakan.

Alahai… dah nasib Hajah Siti.