AJL2007 tak banyak calon lagu Etnik Kreatif

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

TV3 beri ruang kategori Balada, Pop/Rock berikutan sambutan baik komposer

JUMLAH lagu bagi kategori Etnik Kreatif yang merosot sehingga kurang daripada 20 peratus pencalonan keseluruhan untuk kesemua kategori yang dipertandingkan pada Muzik Muzik 22, mendesak TV3 mengecilkan penyertaan bagi kategori itu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 2007.

Hanya tiga tempat disediakan untuk kategori Etnik Kreatif pada final AJL 2007 yang dijadualkan berlangsung akhir Januari, tahun depan sekali gus memberi gambaran kecenderungan komposer tempatan menghasilkan lagu yang lebih komersial dan kontemporari.

Bagaimanapun, AJL 2007 membuka ruang yang lebih besar kepada lagu kategori Balada dan Pop/Rock apabila lima lagu bakal dipilih untuk bertanding pada peringkat akhir nanti.

Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan & Rekreasi TV3, Azhar Borhan berkata, pencalonan bagi kategori Etnik Kreatif yang meruncing mendorong mereka untuk mencari alternatif baru demi mempertahankan kualiti serta prestij acara tahunan itu.

Bagaimanapun, katanya, Muzik Muzik masih memainkan peranan serta tanggungjawab untuk memberi peluang kepada lagu Etnik Kreatif dan cuba mempertahankan kategori itu supaya tidak mansuh ditelan desakan masa.

“Kami sentiasa melihat kepada situasi semasa, namun sangat berharap supaya kategori ini tidak dimansuhkan. Banyak faktor menyebabkan komposer enggan menghasilkan lagu etnik kreatif dan satu daripadanya adalah kecenderungan stesen radio yang enggan memutarkan lagu seperti itu.

“Justeru ia turut memberi kesan kepada pencalonan Muzik Muzik kerana kami kekurangan pilihan lagu apabila membabitkan Etnik Kreatif. Disebabkan itu kami bersetuju untuk memilih hanya tiga lagu untuk bertanding kepada final nanti, seterusnya membuka satu ruang lagi kepada lagu kategori Balada dan Pop/Rock kerana banyak ciptaan bermutu dicalonkan tahun ini,” katanya.

Azhar berkata demikian pada sidang media pengumuman 30 lagu yang layak ke separuh akhir Muzik Muzik, setiap kategori iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop/Rock diwakili 10 penyertaan. Ia adalah berdasarkan markah tertinggi carta mingguan program itu.

Katanya, mungkin tindakan mereka akan mengundang persoalan namun ia lebih baik daripada mencukupkan jumlah pencalonan tetapi lagu yang dipilih hanya ala kadar dan lemah dari segi komposisi.

Tambahnya lagi, apa yang mereka lakukan ini selaras dengan keperluan semasa tetapi program ini tidak pernah berhasrat untuk menggugurkan kategori itu biarpun sejak beberapa tahun lalu pencalonannya mengalami kemerosotan.

“Muzik Muzik bertindak sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada komposer terus menghasilkan lagu etnik kreatif. Kami cuba memberi mereka peluang tetapi tidak tahu berapa lama prinsip ini mampu bertahan. Segala-galanya bergantung kepada keadaan pasaran,” katanya.

Azhar berkata, meskipun industri muzik mengalami penguncupan jumlah penerbitan album namun prestij AJL 2007 yang memasuki tahun ke-22 tetap dipelihara dengan pemilihan barisan juri bebas dan tidak mempunyai kaitan dengan ciptaan yang bertanding.

Katanya, setiap juri yang terpilih mempunyai peranan masing-masing dan penjurian tidak hanya tertumpu kepada aspek dan mutu komposisi semata-mata.

Disebabkan itu, bermula AJL 2006, TV3 mempelbagaikan pemilihan juri dengan mengambil kira banyak faktor untuk mengekalkan prestij AJL selain mengelak daripada pertikaian pemenang.

“Barisan juri untuk separuh akhir ini disertai penulis lirik, Amran Omar; komposer Iman Wan; Khairil Johari Johar; Edry (KRU), Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh dan saya sendiri,” katanya.

Separuh Akhir Muzik Muzik bermula dengan kategori Etnik Kreatif pada 11 November ini, disusuli Balada (18 November) dan Pop/Rock (25 November), jam 9 malam dan dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

FAKTA: Senarai lagu ke Separuh Akhir Muzik Muzik

Etnik Kreatif:

Samudera (Nora/Johan Nawawi/Ahmad Fedtri Yahya)
Joget Cinta Sakti (Haziq & Rosma/El Widyan/Fajrul Norman Rashid & Al Walid)
Nazam Asmara (Nas Adila/S Atan/Siso)
Seteguh Cinta (Waheeda/Hafiz Hamidun/Ito Lara)
Lagu Penglipurlara (Farawahida/Julfekar/Umar Kudat)
Kasihnya Balqis (Aishah/Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaakup)
Suryakanta (Zehra Zambri/Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya)
Joget Gadis Melayu (Syura/Pak Ngah/Siso)
Dirgahayu (Ramlah Ram/Radeen Sri/Hairul Anuar Harun)
Istimewa Tiada Dua (Nice & Hazami/Hazami/Hazami)
Balada:
Bisakah (Datuk Siti Nurhaliza/Aubrey Suwito/Teshh RS)
Izinku Pergi (Kaer/Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak)
Harapan (Fazli Zainal/Hazami/Hazami)
Andainya (Nieyl/Hadi Hassan/J Looi)
Mahakarya Cinta (Faizal Tahir/Audi Mok/Shah Shamsiri)
Kasih Tercipta (Faizal Tahir/Ajai/Shuhaimi Baba)
Hilang (Diddy/Audi Mok/Bash)
Paluan Rindumu (Idayu/M Nasir/Keon)
Sejuta Nafas Cinta (Fazli Zainal/Hazami/Loloq)
Ceritera Cinta (Jac & Rio Febrian/Ross Ariffin/Habsah Hassan)
Pop/Rock:
Aku Pencintamu (Felix/Ajai/Ajai)
Angan Dan Sedar (Mawi/M Nasir/Loloq)
Janjiku (Sofaz/Taja/Tass)
Percayalah Sayang (Vince/Vince/M Zulkifli)
Farhana (Puteri Bumi Kenyalang (Jinbara/Denai/Andy Rahman)
Destinasi Cinta (Datuk Siti Nurhaliza/Lin Li Zhen/PSSN)
Tiga Malam Tanpa Bintang (Fiq/Master G/Azmeer)
Sembunyi (Misha Omar & Andy Flop Poppy/Aidit Alfian/Loloq)
Itu Kamu (Estranged/Estranged/Rachael Lawrence)
Satu Harapan (Jaclyn Victor/Audi Mok/Mable Liew)