Aizat Angkat Martabat Artis Muda

Oleh Aida Rizmariza Kamaruddin
Aida.kamaruddin@utusan.com.my
Gambar ihsan Dewan Filharmonik KLCC


Susunan muzik yang baik malam itu nyata memberi kelebihan kepada penyanyi muda ini.

BUKAN calang-calang penyanyi yang mampu mengadakan konsert diiringi kumpulan pemuzik orkestra dari Dewan Filharmonik Petronas Kuala Lumpur. Namun, itulah kejayaan terbesar yang dicipta oleh penyanyi muda, Muhammad Aizat Amdan.

Beraksi di pentas yang sama dan pernah menghimpunkan nama-nama besar seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid serta Ramli Sarip, Aizat bertuah kerana dalam meniti karier seninya, dia diberikan peluang itu.

Untuk makluman, sebelum Aizat, Yuna ialah penyanyi muda yang diberikan penghormatan untuk beraksi di pentas seni berprestij tersebut.

Jika direnung semula, Aizat jauh lebih bersinar bintangnya jika dibandingkan dengan rakan-rakannya yang sama-sama menyertai program realiti televisyen, Akademi Fantasia.

Biarpun nama Aizat tidak dijulang sebagai juara dalam program realiti itu, namun rezekinya dalam bidang seni suara telah tercatat.

Maka sepanjang lima tahun dalam industri, Aizat telah menghasilkan dua album iaitu Percubaan Pertama pada (2008) dan Urusan Aizat Amdan (2010).

Berbalik kepada kisah Aizat di pentas Dewan Filharmonik Petronas, pada mulanya dia kelihatan agak gugup ketika memulakan persembahan.

Mungkin faktor kali pertama beraksi di pentas keramat itu menjadikan dirinya agak terkejut melihat kehadiran peminat yang memenuhi setiap ruang tempat duduk dalam dewan tersebut.

Berpakaian agak ringkas pada malam itu, beberapa kali Aizat seperti hilang arah ketika cuba berseloroh dengan hadirin yang hadir.

Daripada pengamatan penulis, lebih baik Aizat menyanyi daripada berkomunikasi kerana skil komunikasi Aizat perlu banyak diperbaiki.

Menampilkan 14 buah lagu termasuk sebuah lagu baru bertajuk Jerrypah, susunan muzik terbaik nyata memberi kelebihan kepada persembahan Aizat pada malam itu.

Selain itu, persembahan Aizat terselamat apabila dia pandai menyenaraikan pemilihan lagu-lagu yang sudah pun mempunyai kekuatannya tersendiri dan mesra telinga.

Hampir keseluruhan hadirin yang duduk dalam dewan itu terhibur dengan persembahan dan vokal Aizat yang mantap.

Gimik klise, di akhir persembahan, Aizat seolah-olah mahu meninggalkan pentas tetapi kembali semula dengan satu lagu, Hadapi Dengan Senyuman yang dipopularkan oleh kumpulan Dewa, sebagai finale persembahan.

Utusan