AIM 2004 – Bangkitkan nostalgia rock 80-an.

Dari kanan: Misha, Ning, Sarah, Liza Hanim dan Siti Nurhaliza sewaktu mengadakan persembahan malam kelmarin.

DARIPADA 17 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 2004 kali ini, hanya dua daripadanya yang memberi pengiktirafan khusus kepada para penggiat irama rock tempatan.

Dua anugerah itu ialah menerusi kategori Album Hard Rock Terbaik dan Album Pop Rock Terbaik.

Sungguhpun begitu, AIM 2004 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam kelmarin pula menunjukkan irama keras itu masih kuat mencengkam jiwa dan halwa telinga para peminat muzik tempatan.

Ini dapat dilihat menerusi persembahan pembuka tirai oleh kumpulan rock Search menerusi lagu Pawana.

Aksi Search bukan sahaja bertenaga, tetapi mereka juga membuktikan muzik rock masih menghantui para peminat tempatan.

Tiga kumpulan rock gergasi tempatan era 80-an iaitu Lefthanded, May dan Wings misalnya telah mempamerkan gimik, sentuhan muzik dan persembahan vokal paling bertenaga.

Lagu Sketsa Sebuah Cinta, Ku Di Halaman Rindu, Sejati dan Srikandi Cintaku yang dinyanyikan oleh Nash (Lefthanded), Mus (May) dan Awie (Wings) secara medley paling memukau dan mengimbau nostalgia pada penonton malam itu.

Diva rock, Ella juga menguatkan lagi hakikat itu apabila turut diundang menyanyikan lagu slow rock secara medley berjudul Sembilu, Gemilang dan Simbiosis yang begitu menawan kalbu.

Fenomena itu diakui sendiri oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) selaku penganjur anugerah yang masuk tahun ke-11 itu.

Menurut Pengerusinya, Aziz Bakar AIM 2004 bukan setakat menyaksikan kemunculan semula kumpulan rock lagenda tempatan tetapi ia membuktikan irama itu terus subur di hati para peminat.

“Sebenarnya muzik rock tidak pernah mati. Ia akan terus diminati sampai bila-bila.

“Walaupun ada saingan dari genre muzik lain tetapi muzik rock tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri,” kata Aziz ketika Utusan Malaysia menemuinya selepas anugerah itu.

Kumpulan Blues Gang yang popular suatu ketika dulu juga menguatkan lagi imbasan irama 80-an mereka menerusi lagu Apo Nak Dikato sambil diiringi petikan gitar Joe (Wings).

Meskipun rock 80-an banyak mewarnai AIM 2004 tetapi irama pop yang paling sinonim dengan para pendengar tempatan terus menunjukkan taring mereka.

Gabungan vokal mantap Liza Hanim, Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Misha Omar dan Siti Sarah menerusi lagu My All (nyanyian asal Mariah Carey) yang ditukar liriknya ke dalam bahasa Melayu hasil nukilan Lukman S memang menggamatkan ruang Dewan Merdeka.

Namun, persoalan yang timbul mengapakah lagu penyanyi Barat yang lebih diutamakan walhal anugerah berprestij itu diadakan untuk mengiktiraf para karyawan muzik tempatan.

Jelas Aziz, pihaknya mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara tersebut.

“Kami ambil pendekatan ini daripada sudut globalisasi untuk mendedahkan para penyanyi kita kepada lagu-lagu yang bertaraf antarabangsa.

“Itu adalah antara lagu yang sesuai dan mendapat tempat di seluruh dunia. Ternyata penyanyi kita mampu untuk membawakannya dengan baik dan ia dibawakan dalam versi kita (lagu Melayu),” ujar Aziz lagi.

Komen para pemenang :

Siti Nurhaliza

“Walaupun menang Anugerah Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) enam kali berturut-turut tetapi saya belum bersedia untuk menerima gelaran biduanita sebab ia masih terlalu awal.”

Ning Baizura

“Ini bukan pencapaian saya yang terbaik, saya mahu lebih lagi. Matlamat saya mahu mencipta nama di luar negara. Saya mahu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dengan bakat yang saya ada.”

Reshmonu

“Saya tidak sangka kali pertama dicalonkan dalam AIM dan menang tiga anugerah. Saya tidak anggap anugerah ini sebagai satu persaingan tetapi ia memberi semangat kepada saya untuk terus aktif dalam bidang nyanyian.”

Ezlynn

“Saya tidak sangka menang anugerah ini. Artis lain misalnya Afdlin tidak kurang hebatnya. Dia bukan sahaja sedang popular dan bagus tetapi sudah lama dalam bidang seni. Saya anggap ini takdir Tuhan kerana cantik dan berbakat bukan segala-galanya.”

Tan Sri Datuk S.M. Salim

“Saya terharu kerana dalam usia macam ini orang terus beri pengiktirafan pada saya. 6 Julai ini umur saya genap 76 tahun. Saya akan serahkan trofi yang saya menangi ini untuk simpanan dan pameran di Muzium Shah Alam, Selangor. Sebagai anak Selangor inilah antara sumbangan yang dapat saya berikan.”

Mus (May)

“Selepas 17 tahun terbabit dalam bidang muzik ini adalah percapaian terbaik May. Kami pernah menghasilkan berbelas-belas buah album tetapi baru kini mendapat pengiktirafan. May masih diterima walaupun sebelum ini pernah berpecah dan senyap lama tanpa album baru.”

Nurul dan Ajai

“Ini kemenangan kami kali yang kedua. Ia seolah-olah membakar semangat kami. Kami akan terus bekerjasama untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik di masa akan datang. Kami rasa semakin serasi untuk mencipta lagu bersama-sama.”

http://www.utusan.com.my/”