AIM 14 – Keputusan penyedap hati?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

ANUGERAH paling berprestij di negara ini iaitu, Anugerah Industri Muzik (AIM) yang berakhir Sabtu lalu sudah pastinya meninggalkan kenangan manis bagi setiap pemenang. Bagi yang tewas pula, sudah pastinya menjadikan kegagalan ini sebagai pembakar semangat untuk terus menghasilkan yang terbaik.

Dalam meniti zaman suram industri muzik yang melanda negara yang menyaksikan peminat kini sudah tidak lagi teruja membeli album artis tempatan berbanding 10 tahun lalu di samping kebanjiran artis-artis seberang,

Apatah lagi dengan adanya kemudahan canggih yang memudahkan peminat dan masyarakat memuat turun lagu-lagu kegemaran mereka serta kebanjiran rancangan realiti TV, turut memberi kesan kepada industri negara.

Buktinya cukup jelas apabila AIM14 mencatatkan penurunan sebanyak sembilan peratus jumlah pencalonan yang diterima iaitu 393 pencalonan, berbanding 433 pada 2006 dan 485 pada 2005.

Penurunan itu menyebabkan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) terpaksa akur kepada permintaan syarikat rakaman dengan membenarkan album yang mempunyai tempoh kurang 40 minit atau lapan lagu diterima masuk untuk pencalonan.

Pencalonan diterima daripada 97 album, 71 daripadanya adalah album studio yang mempunyai minimum lapan lagu baru, 14 album artis Indonesia serta 12 album mini atau album kompilasi.

Apapun, AIM masih lagi diteruskan dan mampu bernafas dalam memartabatkan karyawan seni negara yang sebenarnya mempunyai bakat yang tersendiri dan tidak kurang istimewanya.

Apa yang dapat diperhatikan kali ini, keputusan AIM dilihat cuba untuk ‘menyedapkan’ hati beberapa pihak dengan beberapa keputusan yang agak mengejutkan dan menimbulkan tanda tanya.

Atau mungkin AIM sendiri mahu memberikan perubahan dan nafas baru agar tidak didominasi oleh penyanyi yang sama setiap tahun sehingga menimbulkan kata-kata yang tidak enak didengar. Dalam erti kata mudah, pembahagian anugerah dibuat secara adil dan memberi peluang artis lain merasa kenikmatan menggenggam trofi AIM.

Namun, siapalah kita untuk mempertikaikan setiap keputusan kerana semuanya terletak di tangan juri yang bijaksana yang tahu menilai kualiti dan keistimewaan setiap pemenang. Bak kata pepatah, hanya jauhari yang kenal manikam.

Apapun, AIM 14 menjadi sejarah buat penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza kerana percubaan beraninya untuk keluar dari kepompong dengan menerbitkan sendiri album sulung milik syarikatnya, Transkripsi berjaya membuahkan hasil.

Transkripsi yang menelan belanja lebih RM100,000 itu dinobatkan sebagai Album Terbaik sekali gus melayakkan Siti menjadi artis pertama yang menerima pengiktirafan itu sebanyak empat kali bermula dengan album Adiwarna (1999), Seri Balas (2000) dan E.M.A.S (2004) sepanjang 14 tahun AIM dianjurkan. Malah, Transkripsi juga merangkul Album Pop Terbaik dengan menewaskan calon-calon lain iaitu Alam Maya (Noryn Aziz), Harapan (Fazli Zainal), Inilah…Jac (Jaclyn Victor) dan Kurnia (Aishah).

Setelah berjaya menggenggam gelaran Vokal Wanita Terbaik selama lapan tahun berturut-turut Siti terpaksa akur dengan keputusan juri bahawa anugerah keramat itu bukan lagi menjadi miliknya sebaliknya jatuh ke tangan Juara Malaysian Idol 1, Jaclyn Victor yang mempertaruhkan album Inilah…Jac. Jac juga berjaya menewaskan Aishah, Farhan dan Noryn Aziz.

Keseluruhannya, AIM 14 membuatkan hati penulis bersulam perasaan bangga kerana hati ini begitu kagum melihat artis-artis tempatan yang berbakat baik yang senior mahupun yang baru diberi peluang membuat persembahan di pentas AIM dan mereka berjaya membuka mata peminat hiburan tanah air.

Tahniah kepada AIM kerana membuka jalan dan berjaya mengejutkan mereka yang masih lena dibuai mimpi dan sedar bahawa bakat tempatan masih lagi yang terbaik.

Cuma, kepada pihak-pihak tertentu, berilah peluang kepada mereka dan janganlah jadi seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.