ABPBH2012: Artis Baru, Lama Jadi Pilihan

Memilih penyanyi bagi mengisi slot persembahan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ialah tugas getir yang perlu dilakukan penganjur saban tahun. Selain pemilihan pengacara yang dirasakan mampu menghidupkan acara, artis untuk segmen persembahan juga menjadi kayu pengukur kepada kejayaan sesebuah anugerah. Andainya artis yang dipilih mampu menjadikan majlis lebih meriah dan diingati, acara berkenaan tentu saja dilihat lebih berjaya serta memuaskan hati.

Topik siapa penyanyi yang ingin disaksikan peminat bagi menjayakan acara persembahan pada malam kemuncak ABPBH 2012 pula nampaknya muncul topik paling hangat diperkatakan setakat ini apabila lebih 600 komen diterima daripada peminat di laman sosial Facebook ABPBH.

Nama yang dicadangkan peminat nampaknya cukup variasi. Daripada penyanyi solo popular masa kini hinggalah artis yang pernah meletup pada dekad terdahulu, semuanya dicadangkan mereka.

Ia turut memberikan gambaran, penyanyi lama masih relevan pada ketika semakin ramai wajah baru menghiasi dunia muzik tanah air.

Menerusi cadangan mereka juga, penyanyi lagu Pakai Buang, Stacy, nampaknya menjadi calon kegemaran pengikut forum.

Mungkin aksi lincah penyanyi itu di pentas membuatkan peminat percaya kemampuannya untuk menghidupkan lagi acara malam kemuncak.

Turut menjadi calon pilihan pengikut forum ialah jejaka yang cukup rapat dan pernah dikaitkan dengan Stacy, iaitu Akim Ahmad.

Sebahagian peminat mencadangkan mereka berdua ditampilkan secara duet bagi mendendangkan lagu Kembali.

Kononnya, lagu balada itu mampu mengembalikan nostalgia persembahan Hafiz dan Adira menyanyikan Ombak Rindu pada malam kemuncak ABPBH yang lalu.

Peminat turut mencadangkan Hafiz dan Datuk Siti Nurhaliza digandingkan untuk mendendangkan lagu duet Muara Hati.

Memang tidak dinafikan lagu itu antara yang paling popular ketika ini.

Ada juga meminta agar Shaheizy Sam dan Yana Samsudin dijemput menyanyikan lagu Begini Caranya. Namun, adakah Sam bersedia berbuat demikian sedangkan dia menolak menyertai pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik, tempoh hari? Hanya masa yang menentukannya.

Populariti penyanyi, Ziana Zain, Adibah Noor dan Dayang Nurfaizah juga nampaknya belum pudar apabila ada peminat yang mahu mereka bergabung mendendangkan lagu Heartbreak Hotel daripada mendiang Whitney Houston.

Bagi mengembalikan kegemilangan era 90an pula, sebahagian peminat memberikan cadangan supaya penyanyi pada dekad itu dipanggil kembali.

Alasan mereka, lagu pada era terbabit masih popular, justeru kenapa tidak nama besar pada era berkenaan menyanyikan semula lagu popular masingmasing pada malam kemuncak di Bukit Jalil nanti?

Tidak kurang juga yang merindui persembahan daripada trio adik-beradik KRU.

Peminat mahu mereka digandingkan bersama 4U2C, Res2, Nico dan Feminin bagi mengembalikan nostalgia zaman rap dan hip hop, yang amat digilai pada tahun 90an.

Turut menjadi pilihan peminat ialah Black & RJ yang kini cukup popular dengan lagu Teman Pengganti, Sleeq & Najwa Latif dengan lagu Untuk Dia, Alyah, Ramlah Ram, Faizal Tahir, Shila Amzah, Forteen, Drama Band, Hazama, Aliff Aziz, Adira dan ramai lagi.

Ternyata ada peminat suka dengan kelainan yang pernah ditonjolkan sebelum ini apabila pelakon diundang untuk menyanyi.

Justeru, sekali lagi mereka meminta penganjur menggandingkan Neelofa, Izara Aishah, Anzalna dan Marsha dalam persembahan khas.

Nama yang dicalonkan nyata cukup menarik. Bagaimanapun, siapa yang akan terpilih untuk berada di atas pentas ABPBH 2012 bagi segmen persembahan akan diketahui juga nanti.

Berita Harian