ABPBH2007: Aura glamor Habib

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

ImageShack
PILIHAN KAMI: Mila dan Fauziah Latiff bersama set aksesori pilihan di samping Bob yang akan membuat persembahan pada malam ABPBH 2007.

Pereka, artis puas hati koleksi eksklusif serlah tema malam kemuncak ABPBH 2007

DETIK gemilang makin mendekati, debaran bertambah memuncak malah persoalan yang selama ini berteka-teki di minda umum juga akan berakhir dengan pengumuman senarai bintang pilihan peminat.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 tidak sekadar mengundang debaran peminat, malah bagi 14 pereka baru tempatan yang diberi tanggungjawab menata gaya selebriti acara kemuncak itu juga menguji penerimaan khalayak terhadap rekaan kreatif bertemakan Batik Glam.

Khamis lalu, Bilik Pameran Habib di Ampang menjadi medan pertemuan pereka untuk sesi pemilihan aksesori yang bakal digayakan selebriti yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi kehangatan bahang ABPBH 2007.

Dibantu Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib Jewels, Yasheeda Yashaiya, sesi pemilihan aksesori itu berjalan lancar, malah setiap pereka berpuas hati kerana apa yang mereka inginkan dipenuhi Habib.

Pilihan aksesori dari Koleksi Berlian 2008, sebahagian besar adalah rekaan terbaru termasuk bermotifkan batik bakal menyuntik aura glamor sekali gus menyemarakkan lagi kilauan bintang yang menyerikan ABPBH 2007.

ImageShack
CANTIK: Julia Ziegler bersama pereka pakaiannya, Hatta Dolmat menggayakan aksesori pilihan yang akan digayakan pada malam ABPBH 2007.

“Tidak sukar untuk menyesuaikan aksesori Habib dengan rekaan bertemakan Batik Glam kerana berlian sesuai digayakan dengan apa saja rekaan,” kata Yasheeda.

Justeru, kata Yasheeda, untuk menyerlahkan lagi aksesori pilihan Habib mereka menitikberatkan rekaan yang dapat menonjolkan aksesori hasil perbincangan bersama pereka terbabit.

“Dari segi kreativiti, setiap pereka diberikan kebebasan untuk mencurahkan idea namun kami turut mengambil kira perincian, lebih mudah jika rekaan tidak terlalu sarat di bahagian tengkuk pemakai.

“Ini kerana kami mahu aksesori Habib yang bakal digayakan selebriti menyerlah, sekali gus melengkapkan lagi penampilan yang menyuntik aura glamor pada malam ABPBH 2007,” katanya.

ImageShack
MENAWAN: Barisan pereka dan artis bersama Yasheeda (tengah) bertungkus-lumus memastikan ABPBH 2007 meninggalkan detik manis kepada semua yang terbabit.

Apa yang menarik kata Yasheeda, rekaan aksesori yang digayakan selebriti pada malam kemuncak ABPBH 2007 disiapkan sejak Januari lalu sempena sambutan ulang tahun ke-50 Habib.

Dengan rekaan yang eksklusif, malah belum pernah digayakan sebelum ini, ABPBH 2007 bakal menjadi medan perhimpunan selebriti untuk melaram koleksi istimewa mereka.

“Setiap aksesori pilihan pereka akan dilihat semula oleh barisan pereka Habib kerana kerjasama ini sekali gus membantu menyerlahkan lagi rekaan, malah memberikan keselesaan kepada selebriti terbabit,” katanya.

Akui Yasheeda, kebanyakan pereka cenderung memilih aksesori mewah dan mahal tanpa menyedari aksesori ringkas jika bijak digayakan mampu membangkitkan rekaan.

Pilihan merangkumi berlian, permata pelbagai rona dan mutiara juga bakal memperlihatkan variasi koleksi yang dimiliki Habib.

“Inisiatif yang diambil Berita Harian menyatukan penggiat industri hiburan dan fesyen pada acara penuh prestij ini memperlihatkan kesungguhan untuk membawa rekaan tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Secara tidak langsung, usaha ini akan memartabatkan industri rekaan fesyen dan aksesori sekali gus membangkitkan kesedaran di kalangan pencinta fesyen dalam memilih apa yang bersesuaian untuk gaya serta penampilan mereka,” kata.

Sesi pemilihan aksesori itu turut diserikan dengan kehadiran tiga selebriti yang bakal memeriahkan ABPBH 2007 iaitu Fauziah Latiff, Mila, Julia Ziegler dan Bob.

Seramai 14 pereka fesyen tampil pada majlis itu untuk memperkenalkan rekaan yang dihasilkan untuk selebriti yang bakal menggayakan busana berkenaan. Mereka yang terbabit ialah Rizman Ruzaini yang menata gaya untuk Ning Baizura, Erra Fazira dan Nurul, manakala Kent daripada Kentchoize de Boutique pula menyiapkan rekaan untuk peragawati dan pelakon terkenal, Aleeza Kassim.

Hazwani Osman pula menjadi pilihan Sharifah Shahira, Ijoy dan Diddy, manakala Norazura Mazaruddin pula menyiapkan rekaan kreatif untuk Nora Danish, Fouziah Gous, Rozita Che Wan dan Nasreen Ngasri.

Khairy Sufi pula menata gaya, Sharifah Amani, Faizal Azraf (Fauziah Latif), Zery Zamry (Dynas, Marsha dan Bob).

Michael Shu menghasilkan rekaan untuk Datuk Siti Nurhaliza, Lisdawati, Diana Danielle dan Irma

Hasmie, Nazreen Idris (Anne Ngasri), Mohd Fitri Zainal Abidin (Nana), Erwan AS (Kenchana Dewi),

Anizam Yusof (Nita Malaysia Idol dan Meet Uncle Hussain) dan Hatta Dolmat (Julia Ziegler dan Mila).