ABPBH 2007: Debaran di puncak Genting

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin

ImageShack
GIGIH: Michael (kiri) mengawasi Fasha (dua dari kiri), Dynas dan Fouziah menari dengan langkah yang betul.

Penampilan siapa yang panas, ganas, sensasi dan ranggi di Arena Of Stars pasti dinanti peminat

MALAM esok, Arena Of Stars, Genting Highlands bukan saja menjadi medan perhimpunan ratusan selebriti tanah air. Bahkan, ia juga acara yang dinantikan peminat industri hiburan apabila pelakon, penyanyi, pengacara, penyampai radio serta pelawak paling popular diumumkan menerusi acara kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.

Selain pemenang bagi 16 kategori yang dipertandingkan, seluruh rakyat Malaysia juga pastinya tertunggu-tunggu anugerah utama, Bintang Paling Popular yang pernah menjadi milik Raja SMS, Asmawi Ani, untuk dua tahun berturut-turut. Mampukah jejaka dari Johor itu mempertahankan gelaran paling diidamkan semua pada ABPBH edisi ke-21 ini?

Mawi tentunya menjadi perhatian bukan setakat kerana kemungkinannya untuk mengekalkan gelaran yang disandangnya selama dua tahun itu, tetapi peminat juga ingin mengetahui apakah penyanyi popular ini hadir ditemani pengurus atau datang bersama pelakon wanita yang hangat dikaitkan dengan dirinya, siapa lagi jika bukan artis senegeri, Ikin.

Khabarnya, wanita yang kencang digosipkan sebagai buah hati pengarang jantung Mawi itu turut diundang ke anugerah berprestij ini. Malah, pereka Michael Shu sudah pun menyiapkan sehelai gaun indah buat si jelita yang kini tampil anggun dengan imej bertudung.

Adakah Ikin hadir untuk memberikan sokongan kepada Mawi, yang bukan saja dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, bahkan bakal membuat persembahan bersama Heliza pada malam berkenaan?

Selain Mawi, pasangan pengantin yang boleh dianggap masih berada dalam mood bulan madu, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin juga pastinya menjadi tumpuan lensa kamera dan peminat. Apatah lagi, pelakon yang pernah dikaitkan dengan Erra, Hans Isaac, akan turut berada di arena yang sama.

Usah dilupa juga pada penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, yang akan hadir tanpa suami di sisi. Khabarnya, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K perlu menghadiri satu majlis mengenai busana muslimah di Dubai.

Dalam riuh bercerita mengenai gosip cinta, penonton seharusnya tidak melupakan acara persembahan pada malam kemuncak ABPBH 07. Penganjur berusaha keras menampilkan kelainan pada kali ini, termasuk persembahan tiga artis wanita jelita – Fasha Sandha, Dynas dan Fouziah Gous – yang julung kali akan menonjolkan kehebatan bakat tarian masing-masing. Lebih hebat lagi, tiga rupawan ini akan mengiringi nyanyian pelakon Datuk Jalaluddin Hassan. Tentu ada yang tidak berkelip mata melihat persembahan artis yang begitu sporting melakukan sesuatu yang bukan menjadi kebiasaan mereka.

Di samping empat nama tadi, pentas persembahan ABPBH kali ini juga tentu meriah dengan kemunculan kumpulan muzik underground, Meet Uncle Hussain serta beberapa nama besar lain seperti Anuar Zain, Ella, Amy Search, Ramli Sarip, Awie, Hattan, Liza Hanim, Atilia dan Bob. Kemunculan pelantun suara Lelaki Ini dan Ketulusan Hati ini tentunya mengubati rindu peminatnya kerana setelah sekian lama, inilah kali pertama Anuar kembali di pentas ABPBH.

Persembahan mereka bakal diiringi 40 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Ramli MS. Hmmm…. jangan lupa melihat reaksi Ramli apabila bertemu Ogy Datuk Ahmad Daud yang menjadi hos malam itu bersama Raja Azura di pentas yang sama kerana kononnya sudah timbul gosip bahawa ada ‘sesuatu’ di antara mereka!

Suasana tentunya semakin gamat apabila buat pertama kali Raja Lawak, Nabil tampil di pentas ABPBH apabila dia berpasangan dengan Zul Yahya dan Sharifah Shahira untuk menyampaikan trofi serta memenuhi slot commercial break untuk menghiburkan tetamu di Arena Of Stars.

Andainya peminat berdebar-debar menanti keputusan, sama ada artis kesayangan mereka muncul pemenang atau sebaliknya, penyanyi yang mengadakan persembahan juga tidak sabar menantikan saat gemilang berkenaan.

Anuar yang ditemui beberapa hari sebelum acara kemuncak berlangsung berkata, dia sememangnya teruja apabila diundang menjayakan acara persembahan. Apatah lagi, kali ini dia diberi peluang menyanyikan single popularnya, Ketulusan Hati, pada acara terbabit.

“Janji saya, peminat akan dihiburkan dengan persembahan terbaik daripada saya pada malam itu,” ujar lelaki ini.

Raja SMS yang akan berduet dengan Heliza menerusi lagu Doa Dalam Lagu berkata, dia baru saja memulakan latihan kerana sibuk dengan tugas lain.

“Saya ingin melakukan silap mata pada persembahan saya nanti. Namun, saya terpaksa membatalkan hasrat itu apabila corak persembahan kali ini ialah secara duet. Sejak akhir-akhir ini peminat memang sentiasa menantikan silap mata setiap kali persembahan,” katanya.

Bagi peminat yang tidak dapat bersama-sama memeriahkan acara itu di Genting Highlands, jangan lupa menyaksikan anugerah gilang gemilang itu secara langsung di TV3, esok jam 9 malam.