70,000 saksi konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour.

AKSI bertenaga Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.– Gambar oleh Mohd Radzi Bujang

KUALA LUMPUR: Siri Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour mencapai kemuncaknya dengan konsert terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Konsert ke-15, juga yang terbesar dalam siri Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour itu menyaksikan kehadiran lebih 70,000 penonton dan berlangsung selama dua jam setengah.

Siti yang memulakan persembahan tepat pada jam 9.45 malam menerusi lagu Cahaya Seribu Liku menyanyikan 18 lagu, sebahagian besarnya dipetik daripada album terbarunya, Prasasti Seni.

Beliau yang sempat menukar tiga persalinan, tampil bertenaga menerusi lagu Percayalah, Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa, dan Dialah di Hati.

Konsert yang buat julung kalinya turut menghimpunkan 24 bintang Akademi Fantasia 1 dan 2, mensasarkan kehadiran keseluruhan sejuta pengunjung sepanjang 15 siri berlangsung.

Persembahan Siti diiringi Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik dan pemain keyboard, Hillary Ang (gitar), Casey (bass), Ujang (dram) dan Steve Thornton (percussion).

Siri konsert anjuran Siti Nurhaliza Production (M) Sdn Bhd (SNP) dengan kerjasama Astro dan Hotlink (Maxis) menyaksikan Siti menjelajah pelbagai destinasi di seluruh negara bermula 20 Jun lalu di Padang Ipoh, Perak.

Siti turut menemui peminat di Stadium Utama, Kuala Selangor, Selangor (23 Jun), Stadium Tunku Abd Rahman, Paroi, Negeri Sembilan (26 Jun), Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka (29 Jun) dan Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor (2 Julai).

Ini disusuli konsert di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor (4 Julai), Padang MPK, Kuantan, Pahang (7 Julai), Stadium Temerloh, Pahang (10 Julai), Dataran Raub, Pahang (13 Julai), Stadium

Likas, Kota Kinabalu, Sabah (17 Julai) dan Stadium Negeri Kuching, Sarawak (27 Julai).

Siri konsert itu turut menerima dugaan apabila konsert pertama yang sepatutnya bermula di Stadium Abdul Halim, Alor Star, Kedah pada 13 Jun lalu terpaksa dibatalkan kerana masalah cuaca.

Pembatalan itu turut membabitkan dua lokasi lain iaitu Kangar, Perlis dan Butterworth, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Siti melengkapkan 15 destinasi konsert berkenaan apabila kembali menghiburkan peminat di Kangar pada 1 Ogos lalu, Alor Star (4 Ogos) dan Butterworth (7 Ogos).

Selepas ini, Siti mengadakan konsert di Indonesia termasuk, Bandung, Surabaya, Jogjakarta dan Jakarta.

http://www.bharian.com.my/