5 Artis Rebut Bintang Paling Popular 2010

Nasional

5 artis rebut Bintang Paling Popular 2010

2011/04/03
Pencapaian, kecemerlangan jadi taruhan pikat peminat mengundi

KUALA LUMPUR: Shahir, Zizan, Shaheizy Sam, Lisa Surihani dan Faizal Tahir adalah lima artis yang disebut-sebut bakal menjulang takhta Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam ini.
Selepas tiga bulan berteka-teki, jawapan akan diketahui peminat malam ini. Berdasarkan saingan sengit di kalangan 80 finalis bagi 17 kategori dalam pencalonan akhir ABPBH 2010, sukar meneka siapakah antara lima pelakon, artis komedi dan penyanyi berkenaan yang bakal mengambil takhta dimenangi penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, musim lalu.
Malam kemuncak ABPBH edisi ke-24 akan turut dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dan radio Hot FM, bermula jam 9 malam ini.

Tidak seperti edisi sebelumnya, kemenangan Bintang Paling Popular agak sukar diramalkan kali ini. Bagaimanapun, ABPBH 2010 memperlihatkan persaingan sengit yang memungkinkan berlakunya kejutan. Berdasarkan pencapaian, Shaheizy, Zizan, Lisa Surihani, Shahir dan Faizal adalah antara anak seni yang meraih kecemerlangan sepanjang tahun lalu.

Zizan dilihat menjadi pilihan ramai kerana bakatnya yang dicungkil menerusi program Raja Lawak musim pertama mempamerkan mutu komedi konsisten dan bertambah baik terutama sepanjang tahun lalu.

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu kerap muncul dalam pelbagai program komedi dan pengacaraan, selain mempunyai program bual bicara, Zizan Show. Kemungkinan Zizan bakal menjejak langkah artis komedi yang pernah merangkul Bintang Paling Popular seperti Saiful Apek dan Ahmad Nabil Ahmad.

Kemenangan Shaheizy menerusi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) dan Anugerah Khas Yasmin Ahmad, Anugerah Skrin TV3 2010 memberi laluan selesa kepada pelakon yang memulakan kerjaya lakonan seawal usia 12 tahun itu.

Malah, Shaheizy dianggap Hero Malaya baru apabila setiap filemnya mencapai kutipan box-office. Dua filem lakonannya, Adnan Sempit dan Ngangkung mencipta sejarah baru dalam industri perfileman Melayu apabila mendapat kutipan masing-masing lebih RM7 juta dan RM8 juta.

Kebangkitan pelakon yang kini digelar Primadona Filem Melayu menggantikan Erra Fazira, Lisa Surihani juga turut menjadi perhatian ramai apatah lagi peminatnya boleh dilihat menerusi rakan sembang di Facebook miliknya mencecah lebih sejuta peminat. Kebanyakan filem lakonan beliau konsisten dari segi kutipan box-office, selain beliau pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM23, Oktober tahun lalu.

Shahir, juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan mempunyai pengaruh yang kuat, selain disenangi peminat. Selepas Mawi, Shahir juga berjaya mencetuskan fenomena dan kegilaan di kalangan penonton.

Disayangi kerana bakat serta imej Islamik, nama Shahir juga mendadak naik apabila tersebar gosip kononnya bercinta dengan pelakon Rozita Che Wan.

Walaupun tumpas di tangan Aizat yang menggondol kategori Penyanyi Lelaki Popular, tahun lalu, aura Faizal Tahir masih berbisa. Energi yang dibawa penyanyi Selamat Malam ini menjulangnya ke puncak populariti. Faizal masih menjadi penyanyi lelaki paling digilai peminat.

Persembahan ala Broadway buka tirai ABPBH

GENTING HIGHLANDS: Persembahan pembukaan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 – Puncak Kegemilangan di Arena of Stars di sini, malam ini paling dinantikan dengan konsep ala teater Broadway dan West End yang mampu menghangatkan lagi acara berprestij edisi ke-24 ini.

Sesi raptai penuh berjalan lancar semalam dengan persiapan terakhir diatur bagi menyambut lebih 7,000 peminat yang bakal berhimpun di Arena of Stars, di sini sebelum acara bermula jam 9 malam ini.

ABPBH 2010 yang bertema ‘Klasik Moden’ turut dipancar secara langsung melalui TV3.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Muzik Malaysia, Jennifer Thompson, berkata lapan slot persembahan dirancang bagi mengisi kehangatan edisi terbaru ABPBH.

Thompson berkata, kejutan dan gimik persembahan akan menjadi kenyataan berdasarkan kerjasama penuh yang diberi artis, pemuzik, penyampai trofi dan tenaga produksi ABPBH 2010.

“Saban tahun, selain debaran menanti pengumuman bagi setiap kategori yang dipertandingkan, segmen persembahan boleh dikatakan menjadi tunjang untuk membuat penonton terus melekat di depan televisyen atau Arena Of Stars.

“Malah, nadi acara ini juga diperkemaskan oleh Raja Azura, Sharifah Shahira dan Zizan yang dipertanggungjawabkan sebagai hos. Mereka bukan saja berdebar untuk memastikan kelangsungan acara ini, malah turut bertanding,” katanya di sini, semalam.

Persembahan pembukaan berkonsepkan ala teater Broadway dan West End yang ditangani kolaborasi Azlan iaitu vokalis Azlan & The Typewriter; Ning Baizura; Farhan dan Adira diharap mampu menghangatkan ABPBH 2010 hingga persembahan penutup oleh penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Artis lain yang turut mengadakan persembahan termasuk finalis, Anuar Zain; Ella; Yuna; Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2010 iaitu Along, Zizan, Johan, Nabil dan Angah; Hujan; Ana Raffali; Altimet; Sohaimi Meor Hassan dan Juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2009, Shima.

Barisan 15 pemuzik orkestra akan dipimpin Datuk Ramli MS, manakala antara selebriti yang bakal menyampaikan trofi pada malam ini ialah Anita Sarawak; Faizal Tahir; Fasha Sandha; Fizz Fairuz; Natasha Hudson; Dynas Mokhtar dan juara BIBH musim ini, Mohd Azhar Osman.

Berita Harian