Skip to content

Archive for January 2012

23
Jan

Misha, Rossa Di IB



Hip

Misha, Rossa di IB
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin dan Muhamad Fairoz Azizan
bhhibur@bharian.com.my
2012/01/23
pix_gal0
Bergabung menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara Julai depan

SEDEKAD bergelar penyanyi, keinginan nan satu yang sudah lama dicita-citakan wanita bernama Misha Omar ini kian tercapai. Julai bakal mencatat satu sejarah dalam lipatan kerjaya anak kelahiran Kelantan ini.
Selama ini dia berpeluang menjejakkan kaki di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) atas tiket pelakon teater sedangkan kerjayanya bermula sebagai penyanyi.
Namun tanggal 6 hingga 8 Julai nanti, hasrat yang sekian lama terpendam di kalbu Misha bakal direalisasikan menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara anjuran CTRA Production.

Bagaimanapun penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini tidak keseorangan, sebaliknya konsert berkenaan turut menyaksikan kehadiran penyanyi Indonesia, Rossa.

“Memang sudah lama saya mengimpikan sebuah konsert. Melihat penyanyi lama dan baru turun naik pentas, keinginan itu tentunya terbit juga di hati.

“Apatah lagi melihat Datuk Shiela Majid dan Yuna mengadakan konsert, memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara serupa. Saya sentiasa berdoa satu hari nanti keinginan itu termakbul.

“Alhamdulillah, tahun ke-10 dalam bidang ini, barulah impian itu tercapai. Walaupun perjalanannya panjang, bagi saya ia berbaloi. Selama ini saya seronok melihat teman-teman melakukannya.

“Bagi saya biarlah apabila lapar baru makan daripada sudah kenyang, tapi masih disuap. Konsert ini akan menjawab pertanyaan peminat yang rindukan saya selama ini. Saya masih aktif menyanyi cuma kebanyakannya membabitkan persembahan korporat dan majlis makan malam,” kata Misha yang sukar menggambarkan betapa terujanya dia untuk menghadapi konsert berkenaan.

Saat dilamar CTRA Production, penyanyi yang baru meraikan ulang tahun ke-30 pada 6 Januari lalu, berkata terlalu sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika itu.

Malah saat dihubungi Hip, dia masih sukar mempercayai hakikat itu. Hilai ketawanya di hujung talian sudah cukup menggambarkan perasaan wanita ini.

Kata Misha, dia tidak memerlukan penari latar untuk mengiringi konsertnya nanti. Sebaliknya hanya bersandar kepada kekuatan suaranya untuk memikat hati peminat.

“Vokal adalah senjata saya, bagi mempersiapkan diri untuk konsert itu saya sudah mula ke gimnasium.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai konsert ini kerana ada beberapa bulan lagi.

“Namun sedikit sebanyak yang boleh dikongsikan, saya dan Rossa masing-masing diberi tempoh satu jam untuk membuat persembahan. Kami mungkin akan berduet pada malam itu, tetapi lagu apa yang bakal dinyanyikan masih belum diputuskan. Kami akan berbincang dengan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik terlebih dulu,” kata Misha yang tidak bimbang dibayangi Rossa kerana masing-masing akan muncul dalam slot berasingan.

Tambahnya, mereka mempunyai cara tersendiri. Hanya jalinan muziknya saja yang sama, justeru dia tidak bimbang Rossa akan membayangi persembahannya.

Dalam konsert berkenaan, Misha berkata, dia bakal mendendangkan lagu daripada album pertamanya sehinggalah kini. Antara lagu hit miliknya seperti Bunga-bunga Cinta, Lilitan Asmara, Halaman Asmara, Cinta Adam & Hawa, Pulangkan, Ku Seru dan banyak lagi.

Konsert mereka tiada dalam senarai

Konsert Cinta: Diva Dua Negara gandingan Misha Omar dan Rossa tidak ada dalam kalendar Istana Budaya (IB) kerana penganjur baru mengemukakan permohonan untuk membuat persembahan kepada pengurusan panggung budaya ini.

Sehubungan itu, tarikh konsert yang dikatakan pada 6 Julai hingga 8 Julai belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kekosongan IB pada waktu itu.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaari berkata, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan permohonan yang diterima itu perlu dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi untuk mendapatkan kelulusan.

“Memang terdapat kekosongan pada tarikh terbabit tetapi masih belum memutuskan program yang akan diisi.

Rasanya saya baru saja menerima permohonan daripada penganjur dan kita perlu membawanya ke dalam mesyuarat pengurusan sebelum memberikan kelulusan.

“Saya nasihatkan kepada artis yang ingin membuat persembahan di sini jangan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi ia belum mendapat kelulusan sebab banyak penilaian yang perlu kita lakukan sebelum memberikan kebenaran,” katanya ketika dihubungi Hip.

Sebelum ini IB ada menerima permohonan daripada Rossa untuk mengadakan konsert di IB tetapi terpaksa ditolak kerana tiada kekosongan.

Mohamed Juhari menegaskan, ia bukan bermakna IB menghalang artis luar termasuk dari Indonesia untuk mengadakan persembahan di situ kerana terdapat slot khas untuk artis antarabangsa.

“Kita memang buka untuk artis antarabangsa beraksi di sini seperti konsert West End. Rossa mempunyai ramai peminat di sini jadi buat apa kita nak lepaskan peluang itu cuma tarikh yang dipilih penganjur tiada kekosongan,” jelasnya.

Kesudian penyanyi Indonesia itu mengadakan konsert solonya di IB selepas tertarik menonton konsert Datuk Siti Nurhaliza, tiga tahun lalu.

Memikirkan banyak faktor yang perlu dititik beratkan sebelum memberi sebarang kelulusan kepada penganjur, Juhari berkata ia penting memandangkan IB adalah lokasi seni bertaraf antarabangsa.

“Banyak faktor yang perlu kita teliti dari segi persembahan, kredibiliti penganjur, tarikan penonton dan macam-macam lagi kerana Istana Budaya bukan pentas biasa.

“Kita buka kepada semua syarikat produksi yang ingin mengadakan persembahan di sini asalkan persembahan yang dibawa itu mampu menarik penonton yang ramai,” katanya.

Berita Harian

22
Jan

Sensasi Winnie K & Suki

Sensasi Winnie K & Suki
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2012/01/22
pix_gal0
Suki selami semangat Tahun Naga

ESOK Tahun Baru Cina akan disambut meriah bagi keturunan Tionghua di negara kita. Bersempena Tahun Naga itu juga, B’POP menggandingkan Suki, 22 dan Winnie K, 31, yang diakui nama mereka cukup dikenali di kalangan masyarakat Melayu dalam persada seni suara di negara ini.
Cuba melawan arus, tiada langsung baju warna merah yang sering menjadi simbolik bagi perayaan berkenaan digayakan mereka. Merah menurut kepercayaan orang Cina mewarnai semua perkara yang menjurus kepada tuah, kebaikan, perkahwinan, kelahiran, musim bunga, pengambilalihan perniagaan sehinggalah revolusi dikenakan kedua-duanya.
Sekalipun tanpa warna merah, semangat Suki dan Winnie tetap ceria di depan kamera dengan dua persalinan. Mood persalinan pertama mengenakan pakaian tradisional Cina, Cheongsam diakui agak lambat sedikit membuatkan mereka sebati di depan kamera.

Barangkali momentun kedua-duanya belum panas lagi biarpun masih pernah bertemu muka sebelum ini. Namun, mood mereka ternyata berubah serta merta untuk persalinan moden. Winnie dan Suki pantas mencipta keserasian sekali gus memudahkan tugas jurufoto.

Kehadiran mereka juga secara kebetulan datang dengan isi cerita menarik yang mahu dikongsi bersama peminat. Suki seperti biasa akan menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga tersayang di kampung halamannya di Seremban, Negeri Seremban., manakala Winnie meraikannya di ibu kota.

Pemilik nama penuh Low Sook Yee ini akui nampak gembira menceritakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini. Ungkapnya sambil berseloroh, acara wajib baginya setiap kali menjelma Tahun Baru Cina ialah makan, makan dan makan.

“Buah limau dan kuih bakul antara kegemaran saya. Paling seronok dapat bersama-sama keluarga untuk makan besar mengumpulkan semua ahli keluarga. Bapa saya akan masak pelbagai menu istimewa terdiri dari ikan, sup, ayam dan banyak lagi. Semestinya bahagian ini yang sentiasa ditunggu-tunggu ramai.

“Ibu pula akan menyediakan pencuci mulut. Tahun ini yang jadi bertambah seronok ialah kakak saya dari Hong Kong akan pulang bersama anaknya. Saya pula jenis yang suka melayan budak. Paling seronok, saya masih menerima angpau kerana masih belum berkahwin. Kalau saya sudah kahwin, sayalah yang kena beri angpau pula,” katanya yang turut merakam kembali lagu Warisan dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad bersama Aizat dan Lorence Soosai.

Suki sempat diusik dengan persoalan mengenai sisi peribadinya. Ternyata Suki tak berahsia dan terbuka dalam menceritakan hal kekasih. Kekasih yang dikenali sejak tiga tahun lalu itu sebenarnya merangkap pengurusnya juga iaitu Jeremy Chong.

“Kalau ada yang tanya mengenai hal ini, saya akan cakap yang betul. Sepanjang saya berdepan kesusahan termasuk masalah dengan Galaxy, dia banyak memberi bantuan dan sokongan. Saya lebih selesa bekerja dengan orang yang boleh dipercayai sepertinya,” katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sesawang, www.sukionline.com, www.facebook.com/iamsukilow, www.twitter.com/SukiLow dan www.youtube.com/user/sukilowmusic.

Mengintai sisi kerjaya seninya, Suki yang juga juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama terbitan 8TV ini sedang dalam rangka menghasilkan album ketiganya yang keseluruhannya memuatkan lagu Melayu selepas album Finally/ Akhirnya dan album Mandarin, Ladies Night.

Sudah empat lagu siap dirakam dan berbaki empat lagi yang dalam proses pemilihan. Buat permulaan, lagu ciptaan Ajai dan liriknya oleh Jeremy Chong berjudul Terlalu Mencintaimu itu pernah dirakam Alyah dengan menggunakan judul Pusara Kasih tetapi difahamkan ia terperap begitu saja kerana beberapa masalah.

“Sekalipun saya sudah agak lama tidak muncul dengan album berbahasa Melayu (selepas Finally/Akhirnya) dan memberi perhatian untuk album Mandarin di Taiwan, masih ada peminat bertanya saya mengenai kemunculan kembali dengan album lagu Melayu.

“Memang pada mulanya saya sendiri berhasrat untuk bergilir-gilir menghasilkan album Melayu dan Mandarin. Tetapi biasalah setiap yang kita rancang tak selalunya menjadi seperti diingini. Buat permulaan album ketiga saya ini dijangka berada di pasaran Mei atau Jun ini.

“Besar kemungkinan album ketiga ini hanya akan diedarkan secara online selain menumpukan muat turun secara digital. Album ini diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat saya sendiri, Infi8 Dreams yang ditubuhkan sejak Julai tahun lalu,” katanya yang tampil dengan imej segar berambut pendek sejak tahun lalu lagi.

Sekitar 2010 ketika sibuk mencuba nasib melebarkan legasinya di Taiwan termasuk menghasilkan album Ladies Night, Suki sebenarnya turut berpeluang mencuba nasib berlakon drama di sana berjudul The Gift yang turut disiarkan di Astro Shuang Xing (saluran 324).

Peluang itu diperluaskan menerusi syarikat Galaxy Music Sdn Bhd selepas Suki tidak lagi bersama pengurusan 8 Unit. Malahan, Suki selain membikin album turut diberi pendedahan mengenai pembentukan imejnya. Bagaimanapun selepas sekian dua tahun setengah bersama syarikat berkenaan Suki melihat nasib dan kerjaya seninya seperti diperkotak-katikkan.

“Saya dan pengurusan Infi8 Dreams dalam proses menyaman syarikat itu atas paksi Misrepresentation atau salah nyata yang digunakan dalam terma undang-undang. Mereka cakap ada pengalaman dalam pasaran muzik di China tetapi sebaliknya. Mereka janji macam-macam tetapi tiada langsung hasilnya. Saya sendiri sudah melaburkan RM367,575.15 kepada Galaxy untuk memastikan perancangan menembusi pasaran China mampu sukses.

“Tapi bayangkan selepas album kedua dipasarkan di negara kita, saya masih tertunggu-tunggu strategi dan perancangan seterusnya daripada mereka,” katanya yang masih menunggu keputusan lanjut daripada mahkamah berhubung isu terbabit.

Winnie K duta pakaian dalam

WINNIE K pula tanpa berselindung mengharapkan tuah Tahun Naga untuk bertemu Mr Right. Akui penyanyi lagu Kau Ada Di Mana itu, sudah lama dia mengharap dipertemukan dengan jejaka idaman sekali gus berdoa supaya ia menjadi kenyataan tahun ini.

“Usia saya pun bukanlah makin menurun. Siapa yang tak nak berkahwin dan hidup bahagia. Saya sendiri mengharapkan semua itu dan benar-benar mahu berkahwin tahun ini,” ungkapnya membuka bicara.

Seperti Suki, Winnie juga melihat sambutan Tahun Baru Cina sebagai pesta makan. Jelas Winnie lagi, ada kalanya setiap kali beraya, tuntutan kerja masih cuba dipenuhi. Ada kalanya, dia terikat dengan undangan membuat persembahan selain menjadi tetamu undangan untuk beberapa program TV.

Ketika fotografi ini berlangsung pun, Suki sibuk dengan rakaman latihan beberapa program Tahun Baru Cina termasuk Dragon Festival Concert 2012 di TV2. Mujur pula sesi latihan diadakan di Angkasapuri, RTM dan berdekatan dengan Balai Berita. Untuk program berkenaan, Winnie bergandingan dengan Kelvin Lau sebagai pengacara dan turut membuat persembahan.

“Kalau tak ada komitmen kerja, saya akan tumpukan masa Tahun Baru Cina ini bersama keluarga di samping emak, sepupu, kakak dan anak saudara. Cuma bapa saya sudah 13 tahun meninggal dunia dan kami sudah biasa beraya tanpanya.

“Setiap kali perayaan ini datang, saya sering disogokkan dengan pelbagai makanan enak yang membuatkan saya sendiri jadi rambang mata. Kuih tradisional yang dipanggil kuih lipat antara kegemaran. Selalunya selepas tiga hari makan ketika menyambut Tahun Baru Cina ini, saya akan ke gimnasium.

“Saya tak nafikan terlalu menjaga badan dan mengawal apa yang dimakan. Tetapi untuk Tahun Baru Cina, saya lupakan seketika hal jaga badan. Oh ya… Selasa ini jam 12 tengah hari, saya baru saja mendapat undangan untuk muncul sebagai tetamu bagi program Wanita Hari Ini bersempena Tahun Baru Cina,” katanya yang sering mengunjungi gim Celebrity Fitness di One Utama sebagai menjaga badan dan stamina.

Mengenai perkembangan seni dan kerjaya, Winnie memberitahu dia sedang merancang untuk menghasilkan EP dalam bahasa Melayu dan Cina. Kali terakhir Winnie muncul dengan album berbahasa Cina pada 2010 yang diedarkan Warner Music. Kontraknya bersama syarikat rakaman itu juga sudah tamat tahun lalu.

“Saya juga baru balik dari Hong Kong. Ia lebih kepada urusan kerja kerana saya ke sana membincangkan projek mengenai penjagaan produk kecantikan. Saya belum boleh bercakap lanjut kerana ia masih dalam peringkat awal. Saya juga menjadi duta pakaian dalam, ELV yang diasaskan di Jepun.

“Sudah tahun kedua saya bersama ELV. Pakaian dalam itu bukan untuk gaya kecantikan semata-mata tetapi bagus untuk kesihatan. Saya tak kisah mendedahkan badan dan ibu saya pun OK selepas melihat contoh gambar saya mengenakan pakaian dalam berkenaan,” katanya yang gemar melancong ke luar negara dan sempat ke Melbourne, Australia untuk tujuan bekerja sambil bercuti.

Winnie juga sempat memberitahu ramai yang masih menyangka Winnie Kok dan Winnie K adalah dua orang yang berbeza. Hal ini sudah banyak kali dimaklumkan kepadanya termasuk mereka yang sering berurusan dengannya untuk persembahan korporat.

“Sebelum ini saya tukar nama dari Winnie Kok ke Winnie K pun untuk pasaran album ke Indonesia. Ia bertujuan memudahkan orang untuk menyebut dan mengingatinya. Lihat saja bagaimana nama suami Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa cukup dikenali dengan nama Datuk K,” kata Winnie yang sempat memberitahu bahawa Dragon Festival Concert 2012 akan disiarkan di TV2 9.30 malam ini dan muncul dalam program Lucky Dragon Game Show 2012 di TV2 esok jam 4 petang.

Profil

Winnie K

Nama sebenar: Kok Mui Kuan

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Status: Bujang

Profesion: Penyanyi dan model

Kejayaan: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)

Suki

Nama sebenar: Low Sook Yee

Tarikh lahir: 11 Disember 1989

Asal: Seremban

Pencapaian: Juara One In A Million musim pertama

Drama: The Gift

Berita Harian

20
Jan

Jangan Cakap Saja

Hip

Jangan cakap saja
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2012/01/20
SITI NURHALIZA bersama Rabbani selepas sidang media di Cyberjaya.
SITI NURHALIZA bersama Rabbani selepas sidang media di Cyberjaya.
Siti tunggu tawaran berlakon secara rasmi dari Indonesia

DATUK Siti Nurhaliza mahu mana-mana syarikat penerbitan filem dalam atau luar negara supaya membuat pertemuan secara rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mahu menawarkan lakonan kepadanya.
Ini kerana tawaran berlakon termasuk daripada sebuah produksi filem Indonesia seperti yang digembar-gemburkan adalah di luar pengetahuannya.
“Siti tahu berita itu pun secara online. Siti tak anggap itu sebagai tawaran. Mungkin pihak produksi itu baru saja berhasrat untuk melamar Siti berlakon dalam filem terbitannya.

“Disebabkan itu juga, Siti tidak dapat mengesahkan status tawaran itu. Siti belum mendapat sebarang tawaran rasmi daripada syarikat produksi itu,” katanya pada sidang media Sinar Maulidur Rasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen di Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Rabbani Productions Sdn Bhd, Ustaz Mohd Asri Ubaidullah, Pengurus Besar Abdul Shaheed Yusoff dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Acara Strategik Rabani Production, Azadan Abdul Aziz.

Siti berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai tawaran daripada syarikat penerbitan filem dari Indonesia, P.T Kent Films Productions untuk membintangi filem Kekuatan Cinta.

Penyanyi ini menegaskan, beliau tetap memperhalusi setiap butir tawaran yang diajukan kepadanya sebelum memberi persetujuan untuk berlakon dalam filem itu.

Menerusi filem itu, Siti dilaporkan akan digandingkan dengan beberapa pelakon ternama Indonesia seperti Nicholas Saputra, Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo.

Beberapa bintang filem Malaysia seperti Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema juga dikatakan turut diundang berlakon dalam filem itu.

“Siti pun kena lihat skripnya dulu sama ada sesuai ataupun tidak. Kena pula tengok tarikh penggambarannya. Siti kena pastikan ia tidak bertembung dengan program yang lain kerana jadual Siti cukup padat tahun ini.

“Selagi belum ada tawaran secara rasmi, Siti tidak boleh hendak berkata menerima tawaran itu atau sebaliknya,” katanya lagi.

Mengenai Konsert Sinar Maulidurrasul 1433 Hijrah Muhammad Al Ameen anjuran bersama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP) dan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd buat julung kalinya itu, penyanyi lagu Biarlah Rahsia ini berkata, konsert itu juga bakal menjadi lokasi pertama yang memperdengarkan single hasil paduan suara bersama kumpulan nasyid popular itu.

Konsert itu akan diadakan di Dataran Tamadun Islam Kuala Terengganu, Terengganu pada 4 Februari depan.

Lagu berjudul Muhammad Al Ameen itu adalah hasil ciptaan komposer yang banyak menghasilkan lagu nasyid sebelum ini iaitu Ustaz Sohibul Fadil Sabikin.

“Idea menghasilkan single ini tercetus sewaktu perbincangan mengenai projek ini dilakukan. Disebabkan konsert ini bersempena Maulidur Rasul, jadi mengapa tidak kami menghasilkan single yang ada kaitan dengan kehidupan Nabi Muhamad SAW. Lagu itu sudah siap dan kami hanya menunggu masa untuk merakamkan lagu itu,” katanya.

Konsert percuma itu juga akan diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Amy Search, Najwa Latiff dan Sabri Yunus. Bukan saja menyanyi, Siti juga akan bertindak sebagai pencerita dan cerita yang bakal disampaikan dalam bentuk gurindam dan syair itu berkisar kepada kisah kehidupan dan akhlak terpuji Rasulullah.

Sejajar dengan penganjuran konsert itu, sebuah karnival juga akan diadakan di lokasi yang sama selama tiga hari mulai 3 Februari. Antara aktiviti termasuklah gerai jualan, pertandingan nasyid, forum, wacana ilmu, pertandingan Muslimah, cabutan bertuah dan pelbagai acara menarik.

Pada 5 Februari pula, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dan pemenang Artis Nasyid Popular sebanyak sepuluh kali berturut-turut itu juga akan mengadakan sebuah majlis makan malam eksklusif kepada peminat mereka.

Harga yang dikenakan untuk majlis yang bakal diadakan di Dewan Cindai, Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong itu berharga RM175, RM275 dan RM500 untuk seorang dan tempahan tiket bolehlah dilakukan dengan menghubungi talian 09-6277888.

Berita Harian

13
Jan

Siti Belum Buat Keputusan

Hip

Siti belum buat keputusan
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2012/01/13
Dicalonkan bersama Lada Gaga, Agnes Monica dalam Intuned Music Awards 2011

BINTANG paling popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, Datuk Siti Nurhaliza belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran berlakon oleh syarikat produksi dari Indonesia, PT Kentfilms Production yang mahukan dia membuat kemunculan istimewa dalam filem mereka berjudul Kekuatan Cinta.
Menurut Siti, keputusan sama ada untuk dia bersetuju atau tidak akan dilakukannya sebaik saja dia pulang dari bercuti.
“Tawaran berlakon itu akan Siti lihat dan pertimbangkan. Perkara itu hanya akan diputuskan selepas Siti kembali ke tanah air,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada Hip, semalam.

Siti ketika ini sedang bercuti bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa di Dubai.

Berdasarkan laporan akhbar ini semalam, pengarah filem itu, Iwan Sardi berhasrat mendapatkan Siti untuk digandingkan dengan Nicholas Saputra serta bintang ternama lain seperti Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo.

Selain Siti beberapa bintang dari Malaysia termasuk Fasha Sandha, Melissa Saila dan Raja Ema juga bakal diundang untuk beraksi dalam filem yang diadaptasikan daripada novel popular itu.

Sebelum ini Siti juga pernah dikatakan menerima tawaran berlakon untuk membintangi teater muzikal Laskar Pelangi dan menerima bayaran RM1 juta tetapi penyanyi itu menafikannya.

Mengenai pencalonannya dalam enam kategori di Intuned Music Awards 2011, sebuah anugerah yang menghimpunkan artis popular di seluruh dunia, Siti mengakui teruja dengan perkhabaran yang diterimanya itu.

“Siti sangat gembira kerana tercalon bersama-sama barisan artis tersohor dunia. Kalau diikutkan, Siti sememangnya kecil berbanding mereka, namun semangat yang ada peminat yang mengundi membuat Siti rasa dihargai dan terus bersemangat tinggi,” katanya.

Pada anugerah itu Siti dicalonkan dalam kategori Artis/Band Pilihan, Penyanyi Solo Wanita Terbaik, Album Terbaik, Muzik Video Terbaik, Penggunaan Media Sosial Terbaik dan Penyanyi Wanita Paling Seksi.

Dalam kategori Artis/Band Pilihan, Siti dicalonkan bersama-sama Avril Lavigne, Kim Hyun Joong, Lady Gaga, Agnes Monica dan Super Junior. Manakala kategori Penyanyi Solo Wanita Terbaik, penyanyi ini disenaraikan bersama Taylor Swift, Shakira, Christina Aguilera, Lady Gaga, Agnes Monica dan Adele.

Untuk kategori Album Terbaik 2011, selain All Your Love, Siti Nurhaliza, album lain yang tercalon termasuklah 21 (Adele) dan Born This Way (Lady Gaga). Peminat yang ingin mengundi Siti bolehlah melakukannya dengan melayari laman web www.intuned.com/awards

Berita Harian

5
Jan

Syor Sedia Kedai Muat Turun Asli Lagu MP3

Surat

Syor sedia kedai muat turun asli lagu MP3

2012/01/05
BARU-BARU ini Berita Harian melaporkan mengenai kegiatan memuat naik filem Ombak Rindu di YouTube dalam format definisi tinggi (HD) oleh dua individu tidak bertanggungjawab, menyebabkan pihak penerbit filem itu kehilangan hasil hampir RM1 juta dalam masa 24 jam jika dikira mengikut jumlah penonton video berkenaan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah menyekat laman The Pirate Bay dan sembilan laman perkongsian fail lain atas alasan mahu membanteras cetak rompak. Semuanya menunjukkan betapa parahnya gejala cetak rompak di Malaysia yang boleh mengancam industri hiburan tempatan.
Jika sebelum ini, artis rakaman boleh berbangga dengan penjualan album melepasi 100,000 unit pada 1990-an, kini mereka hanya mampu menjual beberapa ribu unit saja dan jualan melebihi 10,000 unit oleh artis seperti Datuk Siti Nurhaliza pun dianggap sudah cukup baik.
Angka jualan album yang begitu merosot ini membawa kepada penutupan beberapa syarikat rakaman termasuklah NAR Music dan Maestro Talents.

Bagaimanapun, langkah menyekat laman perkongsian fail yang dilakukan SKMM tidak wajar serta membangkitkan kemarahan pengguna internet terhadap kerajaan. Langkah itu disifatkan sebagai ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Oleh itu, langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu pencabulan hak cipta ini ialah melalui kerjasama antara kerajaan melalui SKMM serta pemain industri hiburan seperti YouTube serta pengendali laman perkongsian fail.

SKMM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga wajar membangunkan program usahawan muat turun asli dengan mengadakan kedai muat turun asli seluruh negara di mana lagu MP3 boleh dimuat turun secara sah.

Apa pun, kesedaran pengguna mengenai harta intelek penting kerana mentaliti pengguna Malaysia yang mahukan produk percuma atau murah tanpa mengira status hak cipta adalah punca utama gejala cetak rompak sukar dibendung.

Pengguna sepatutnya tidak pentingkan diri sendiri dan menzahirkan sokongan terhadap artis tempatan dengan membeli atau memuat turun produk asli.

SQUALL_SHINODA,

Kuala Lumpur.

Berita Harian