Siti Nurhaliza (Datuk)
NAMA SEBENAR: Siti Nurhaliza Taruddin
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
TEMPAT LAHIR: Kuala Lipis, Pahang
PROFESION: Penyanyi & pelakon teater
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Datuk Khalid Mohd Jiwa
ALBUM: Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Cindai, Adiwarna, Seri Balas, Shahmura, Konsert Live Siti Nurhaliza, The Best of Siti Nurhaliza, Safa, The Most Won Artist, EMAS, Prasasti Seni.
PENCAPAIAN: Antaranya – Persembahan Terbaik Bintang HMI 1996, Artis Baru Paling Popular Anugerah Muzik Popular 1996, Juara Lagu 96 Jerat Percintaan, Lagu Terbaik AIM 97, Persembahan Terbaik & Juara Kategori Balada menerusi Aku Cinta Padamu Juara Lagu 97, Penyanyi Wanita Paling Popular & Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Paling Popular 98, Juara Lagu 98 Cindai, Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album & Album Terbaik AIM 99, Bintang Paling Popular 99.
Klik Di Sini Untuk Menonton Aksi Datuk Siti Nurhaliza Di Dalam Aksi Murai
Tweet
KONGSI
Murai
Trio Janda Gegar Dangdut Indonesia
Dunia
Trio janda gegar dangdut Indonesia
2011/07/22
JAKARTA: Dalam usaha mengembalikan irama dangdut, komposer terkenal, Anang Hermansyah mewarnai dunia hiburan Indonesia dengan mewujudkan kumpulan Tiga Kembang yang dianggotai tiga penyanyi dangdut yang janda.
Akhbar Jakarta Post melaporkan Anang yang juga bekas suami bintang Indonesia, Krisdayanti mahu irama dangdut kembali menguasai muzik di Indonesia.
Trio yang menganggotai Tiga Kembang ialah Cici Paramida, Ikke Nurjanah dan Kirstina.
“Saya lepak dengan rakan Irvan Nat dan beliau mencadangkan lagu Goyang Sayang lebih baik dinyanyikan oleh trio itu,” kata Anang dipetik kapanlagi.com.
Namun lagu itu ditulis untuk Krisdayanti dan Siti Nurhaliza. Berikutan projek itu tidak dilaksanakan, lagu itu diberikan kepada Tiga Kembang.
Anang berkata, Goyang Sayang dipenuhi makna halus, irama yang lebih segar dan meyakinkan. – Agensi
Berita Harian
Macam Tak Percaya
Hip
Macam tak percaya
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/07/22
RAZALI menjuarai Bakat TV 2011 selepas program itu tidak bersiaran selama 26 tahun.
Razali juara pertama Bakat TV RTM selepas program ini diadakan semula
TUAH kulintangan buatan sendiri hasil kreativiti peserta dari Beaufort, Sabah Razali Abd Rahim memberi tuah pada dirinya apabila dinobatkan sebagai Juara peringkat akhir Bakat TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berlangsung di Auditorium Angkasapuri, Selasa lalu.
Selepas 26 tahun Bakat TV tidak muncul di TV iaitu kali terakhir pada 1985, Razali adalah produk terbaru RTM yang dilahirkan menerusi pertandingan bakat bagi kategori permainan alatan muzik solo.
Jejaka berusia 26 tahun ini mula bermain peralatan tradisional Sabah itu sejak berusia 10 tahun dan mengakui bakat semula jadi yang dimilikinya itu diwarisi dari generasi datuknya.
Dek kerana terlalu taksub dengan peralatan muzik yang dilihat cukup sebati dengan dirinya, Razali berusaha mencipta sendiri alatan kulintangan peribadinya.
Ditemui pada sidang media sebaik Malam Kemuncak Inspirasi Bakat TV berakhir, dia kelihatan masih khayal dengan kemenangan dan mengakui masih tidak percaya dengan pengumuman dirinya sebagai juara.
“Saya masih gugup dan tidak percaya dengan kemenangan yang saya miliki ini. Boleh dikatakan kemenangan ini adalah tuah kulintangan yang dibuat sendiri pada tahun 1998 sebagai alat muzik peribadi kesayangan saya.
“Kemenangan ini juga adalah yang ketiga sejak pembabitan saya dalam permainan kulintangan. Kali kali pertama menyertai pertandingan antarabangsa World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, California pada 2008, saya menang pingat emas dan pada tahun ini juga saya menang pertandingan di Festival World Music Rainforest di Sarawak,” katanya.
Graduan Diploma dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu turut merangka perancangan untuk memperluaskan lagi bidang muzik tradisional itu ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berniat untuk membuka kelas permainan alat muzik kulintangan. Harapan saya muzik kulintangan ini terus subur di dalam dunia muzik hari ini. Generasi barulah yang seharusnya menjaga khazanah yang dilihat semakin pupus ini.
“Dengan wang kemenangan ini juga saya berhajat untuk buat peralatan kulintangan baru. Memang sudah lama saya impikan untuk mendapat peralatan baru tetapi kosnya mahal,” katanya yang juga mengimpikan dapat mengiringi persembahan Datuk Siti Nurhaliza.
Sebagai juara, Razali menerima wang tunai RM20,000, trofi dan barangan iringan. Dia juga diumumkan pemenang Bakat Paling Popular yang memperoleh wang tunai RM10,000 serta trofi.
Tempat kedua dimenangi peserta berkumpulan, PUTERA yang dianggotai empat anak muda. Mereka memilih bakat nyanyian berkumpulan dan membawa pulang wang tunai RM15,000 serta trofi.
Enam kanak-kanak cilik yang menggelarkan diri mereka kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan berjaya menambat hati juri dengan menggenggam trofi tempat ketiga berserta wang tunai RM10,000.
Malam Kemuncak Bakat TV yang disiarkan secara langsung menerusi TV2 turut disertai lima lagi peserta yang turut hadiah sagu hati iaitu masing-masing menerima wang tunai RM5,000. Mereka ialah Fariz Zack dan Christoper Aban selain tiga peserta solo iaitu Stop Reverse Crew, No Noise dan Muzstarz-E.
Bakat yang dipersembahkan juga berbeza di mana dua mempertaruhkan alat muzik solo, silap mata, tarian berkumpulan, alat muzik berkumpulan dan nyanyian komedi berkumpulan.
Setiap persembahan peserta diadili juri profesional diketuai Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, guru vokal, Siti Hajar Ismail; uru tari, Pat Ibrahim; pelawak, Os dan pemuzik, Eddy Kirmilardy.
Malam kemuncak Inspirasi Bakat TV turut diserikan dengan artis jemputan yang membuat pelbagai persembahan seperti Saiful Apek, Azlan & Typewrite, AR Badul, Wakaka Crew dan Iskandar Kalyubi.
Semua hadiah disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian Malaysia (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim. Malam kemuncak Bakat TV ini turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamarudin Siaraf dan Ketua Pengarah RTM, Datuk Norhayati Ismail.
Berita Harian
Jadi Bualan
Hip
Jadi Bualan
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2011/07/23
1. JLo bercerai
DI sebalik populariti Jennifer Lopez (JLo) yang kembali diraihnya selepas bergelar juri program American Idol musim 10 (AI10) dan hangat dengan single terbaru berjudul On The Floor menerusi album ketujuh, Love, Jlo mengejutkan ramai pihak dengan terbongkar kisah perceraiannya dengan suami, Marc Anthony baru-baru ini. Pasangan itu berkahwin tujuh tahun dan dilihat cukup bahagia bersama. Malah mereka dikurniakan anak kembar, Max dan Emme pada Februari 2008. Pelbagai spekulasi mula bertebaran mengenai punca perpisahan mereka. Selain dikatakan tidak sehaluan lagi dan sibuk dengan komitmen kerja masing-masing, hubungan intim Jlo dengan William Levy yang berlakon dalam klip video lagu I’m Into You dendangannya turut dilaporkan sebagai penyebab. Willian sendiri dikatakan meninggalkan isterinya, Elizabeth Gutierrez juga seorang aktres sejurus selesai menjalani penggambaran klip video lagu terbabit. Perkahwinannya dengan Marc adalah kali ketiga bagi Wanita Tercantik 2011 anjuran majalah People itu manakala Marc pula kali kedua.
2. Siti tekad tinggal APM
JIKA sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza membuat keputusan nekad untuk tidak lagi dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), beliau sekali lagi mengumumkan hal yang sama ketika diumumkan sebagai pemenang Artis Serantau Paling Popular, Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 ketika majlis terbabit berlangsung di Singapura Jumaat lalu. Kejayaan kategori itu diraihnya selama sedekad seiring usia penganjuran APM yang menggabungkan pemuzik serta penyanyi dari tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Siti menambah, dia bukan sengaja menarik diri, tetapi keputusan itu turut didorong atas kehendak pihak penganjur. Bagaimanapun untuk kategori lain, Siti masih boleh bertanding.
3. Farid, Diana masih intim
TIADA apa lagi yang mahu disembunyikan. Sudah terang lagi bersuluh. Percintaan Diana Danielle dan Farid Kamil bukan lagi rahsia. Malah hingga saat ini, tiada dua di hati Danielle. Hanya pelakon dan pengarah kacak itu saja yang bertakhta di hati Danielle. Pengakuan itu secara tidak langsung jelas menafikan kisah yang mengaitkan diri Danielle dengan kerabat diraja bernama Khai yang juga rakan bisnes ibunya. Seboleh-bolehnya juga pelakon yang bakal ke lokasi penggambaran filem Azazil arahan Kabir Bhatia itu tidak mahu lagi kisahnya dengan Khai terus-terusan diperkatakan. Hubungan Farid dan Danielle dikatakan mekar semual sekembalinya dia daripada mengikuti kursus lakonan jangka pendek di Akademi Filem New York cawangan Los Angeles di Universal Studios, 6 Mei lalu. Hubungan mereka pernah dikatakan terjalin selama dua tahun sebelum berpisah ‘sementara’ secara baik.
4. Musim artis kahwin
KISAH perkahwinan personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin dan pengacara Nasi Lemak Kopi 0 di TV9, Farah Diana Anuar juga antara yang meniti bibir sepanjang minggu lalu. Nurul Syuhada sah bergelar isteri kepada Raja Amir Shah Raja Azwa dalam satu majlis pernikahan dibuat secara tertutup di The Binjai On The Park, KLCC, Kuala Lumpur, 16 Julai lalu. Majlis resepsi membabitkan Nurul Syuhada dan suaminya akan diadakan di Grand Ballroom, Sime Darby Convention Centre pada hari ini. Farah yang mula dikenali selepas menyertai Akademi Fantasia musim kedua pula bernikah dengan pilihan hatinya seorang usahawan, Johan Johari yang berasal dari Bukit Jambul, Pulau Pinang pada 15 Julai lalu di atas kapal persiaran, Cruise Putrajaya. Tidak ketinggalan bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh, Zuzafrini Zulkifli atau Rini sah bergelar isteri kepada Johanis Nordin (Joe), 29, turut memilih Julai sebagai saksi penyatuan hati mereka.
Berita Harian
Kerjasama Dengan Anak Tiri
Oleh MOHD. RASDAN AHMAD
Foto NOORADZRENE MOHD NOOR

Kemesraan terpancar antara Adib dan Siti Nurhaliza ketika penggambaran iklan untuk produk SimplySiti baru-baru ini.
SETELAH berjaya menghasilkan beberapa album hit terbaik sebelum ini, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza masih mempunyai cita-cita peribadi yang terpendam.
Ternyata kejayaan album-albumnya sebelum ini yang telah menaikkan namanya sebagai penyanyi hebat di rantau ini belum cukup memberi kepuasan.
Penyanyi terkenal itu punya cita-cita untuk menawan negara luar, selain Indonesia, Singapura dan Brunei dengan mengeluarkan album bahasa Inggeris pertama yang dijadual berada di pasaran bermula 9 September nanti.
Apa yang menarik, album yang diberi judul All You Love ini telah diterbitkan sendiri oleh anak tirinya, Adib Khalid melalui syarikat produksinya What’s Up Entertainment.
Siti mengambil langkah yang berani dengan merealisasikan cita-citanya untuk menghasilkan album sulung Inggeris ini dengan memilih lagu yang berjudul Falling In Love sebagai single pertama album tersebut.
Menurut Siti, lagu Falling In Love mempunyai elemen muzik eurodance yang segar yang turut disuntik dengan elemen muzik flamenco Sepanyol yang mempunyai jiwa Eropah yang kuat.
‘Irama, muzik serta baladanya cukup berbeza, lagu-lagu yang terdapat dalam album ini ibarat lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Beyonce dan Mariah Carey.
‘Namun bezanya Siti menyanyikannya dengan cara siti. Impian Siti selama ini untuk menghasilkan album Inggeris telah pun tercapai,’ ujar penyanyi itu ketika ditemui di set penggambaran iklan produk SimplySiti di Kajang, Selangor baru-baru ini yang turut disertai Adib dan suami penyanyi itu, Datuk Seri Khalid Jiwa.
Tambah Siti, kerjasama yang terjalin bersama anak tirinya itu adalah satu perkara dan pengalaman baru yang amat disukainya.
‘Sepanjang rakaman album ini, Siti dan Adib tidak mengalami apa-apa masalah.Segala kerja dan urusan kami semua berjalan dengan lancar.
‘Siti turut mencabar diri Siti sendiri untuk menghasilkan album ini dengan sebaik mungkin, dan suami Siti sendiri turut memberikan sokongannya dalam penghasilan album terbaru ini,’ katanya.
Ditanya berkenaan penguasaannya dalam bahasa Inggeris, katanya, perkara tersebut bukannya satu masalah yang besar dalam penghasilan album ini.
‘Ya, ada yang berkata tentang penguasaan bahasa Inggeris Siti. Sebelum ini Siti dilahirkan dengan persekitaran biasa dan bukannya dalam persekitaran yang perlu bertutur dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
‘Apa yang paling penting adalah sebutan Inggeris yang betul. Siti adalah Siti, tidak perlu untuk menyanyi dengan gaya terlalu Inggeris dan meniru gaya orang lain,’ tambahnya.
Dalam pada itu, menurut Adib sendiri, kerjasama antara dia dan ibu tirinya itu memang tidak mengalami apa-apa masalah sepanjang proses rakaman album tersebut.
Tambahnya juga, pengalaman menjayakan proses rakaman album ini membuatkan dia sendiri begitu teruja bekerjasama dengan penyanyi tersohor itu.
‘Dia begitu rajin dan seorang yang kuat berusaha. Dia memberikan komitmennya sebanyak seratus peratus dalam menjayakan penerbitan album ini.
‘Biasanya album Melayu yang dihasilkan sebelum ini pasarannya tidaklah seluas mana jika dibandingkan dengan album Inggeris. Kali ini dengan penghasilan album All You Love, kita boleh pasarkannya secara lebih meluas lagi.
‘Album ini turut dihasilkan seorang penerbit serta rakan saya dari Australia, Bryan B. Ia turut menampilkan seorang lagi pencipta lagu terkenal dari Amerika Syarikat (AS) yang pernah memenangi anugerah Grammy, Richard Fureh,’ ujar Adib.
Utusan
Juara Bakat Tv Tepati Ramalan
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar: SAIFUL BAHARI ASHARI

RAZALI bangga perjuangannya mengangkat muzik tradisi diiktiraf pada malam final Bakat TV 2011.
KEJUARAAN yang diraih Razali Abd. Rahim, 26, selaku pemenang program realiti televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bakat TV 2011 (BTV 2011) telah dijangka ramai memandangkan persembahan unik yang dipamerkan pada malam akhir yang berlangsung Selasa lalu.
Pernah menjuarai World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan Rainforest World Music Festival 2011, ia bagaikan metafora awal yang merealisasikan kejuaraan tersebut milik mutlak Razali.
Graduan Diploma Seni Muzik Aswara itu bagaimanapun menafikan bahawa dia mempunyai laluan mudah untuk mengetepikan finalis lain yang cukup berbakat dan kompetitif.
Katanya, kemenangan yang pernah diraih pada peringkat antarabangsa sebelum ini bukanlah ‘lesen besar’ baginya untuk menidakkan peluang peserta lain bagi merebut gelaran juara BTV 2011 yang menawarkan wang tunai RM20,000.
“Sebaliknya, saya perlu berusaha keras untuk mempamerkan kemahiran terbaik yang saya miliki ketika bermain alat muzik tradisi, kulintangan.
“Saya mempelajari cara bermain alat muzik ini sejak umur 10 tahun dan ia merupakan seni muzik warisan kaum Bisaya di Beaufort, Sabah,” jelas Razali dalam telor masyarakat Borneo yang masih pekat itu.
Selain memenangi pertandingan yang mencungkil pelbagai bakat itu, Razali turut berjaya membolot wang tunai RM10,000 setelah dipilih sebagai pemenang kategori Bakat TV Popular.
Mahu iringi Siti Nurhaliza
Sering memainkan muzik lagu Nirmala dan Kurik Kundi dendangan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, jauh di sudut hatinya, Razali menyimpan hasrat untuk mengiringi persembahan penyanyi popular tersebut tatkala menyanyikan lagu berentak tradisional.
Ujar Razali, sudah lama dia meminati Siti Nurhaliza dan mengikuti perkembangannya, namun belum sekali pun berkesempatan untuk bertentang empat mata melahirkan niatnya itu.
“Memang sudah lama saya inginkan peluang seperti itu. Alangkah bertuahnya saya jikalau impian itu mampu menjadi realiti,” seloroh Razali yang begitu mengagumi suara dan bakat milik penyanyi pujaan ramai itu.
Dalam pada itu, lantaran berjaya menggondol wang tunai berjumlah RM30,000 secara keseluruhannya, jejaka bertubuh kecil ini sudah mempunyai rencananya yang tersendiri.
Jelasnya, dia merancang untuk menghasilkan album instrumental yang akan memperdengarkan kemahiran maksimumnya mencanang alat muzik buatannya sendiri itu.
“Saya membuatnya sejak tahun 1998. Sejak itu, saya menghargainya dengan mempertingkatkan skil yang dimiliki menerusi latihan yang berulang kali.
“Oleh itu, saya perlu mengabdikan segala usaha saya selama ini dalam satu medium yang boleh disimpan dan menjadi kenangan pada masa hadapan.
“Di samping itu, ia juga boleh dijadikan bahan tutor kepada sesiapa saja yang berminat untuk mempelajari seni muzik kebanggaan kaum saya sejak turun temurun ini.
“Jika ada rezeki lebih, saya juga mahu menubuhkan kelas latihan bermain kulintangan. Pada masa yang sama, saya juga mempunyai kebolehan bermain akordion,” jelasnya panjang lebar usai tamat final BTV di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.
Utusan
Persalinan Memey RM7.2 Juta
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Pengarang@utusan.com.my

Norman Hakim dan Memey Suhaiza.
KUALA LUMPUR 21 Julai – Pelakon Memey Suhaiza akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta pada majlis persandingannya dengan Norman Hakim di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.
Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.
Menurut Bill Bora selaku wakil Rafflesia, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya.
Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.
“Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat.
“Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara.
“Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Prof. Datuk Jimmy Choo,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.
Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
“Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama,” katanya.
Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka.
Utusan
Gambar Bertuah
SUNGAI PETANI: Rakaman gambar penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dengan peserta pertandingan mewarna membawa tuah kepada seorang jurugambar amatur apabila dinobatkan pemenang utama Pertandingan Fotografi di Pameran Foto Sempena Sambutan 20 tahun Harian Metro di pasar raya Tesco Sungai Petani Selatan, di sini, semalam.
Siti Mariam Ahmad, 31, dari Kampung Paya, Kepala Batas, Pulau Pinang mengambil gambar Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ketika kedua-duanya mengunjungi tapak pameran itu pada 19 Februari lalu.
Hasil kemenangan itu, Siti Mariam membawa pulang hadiah berupa sebuah pencetak tajaan Canon.
Siti Mariam berkata, dia tidak menyangka boleh memenangi tempat pertama kerana gambar itu hanya diambil secara suka-suka ketika Siti melawat pameran itu.
“Saya memang minat dengan fotografi tetapi bukan terlalu serius. Apabila mengetahui Harian Metro turut menganjurkan pertandingan fotografi, saya terus hantar penyertaan kerana saya fikir gambar Siti Nurhaliza melawat pameran ini menarik,” katanya.
Selain pertandingan fotografi, pameran yang melabuhkan tirainya semalam sejak 12 Februari lalu turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak dan kuiz mengenai Harian Metro.
Dalam pertandingan mewarna terakhir semalam, pasangan kembar, Muhammad Danish Eirman Abd Majid dan Muhammad Danila Eirfan, 10, mengungguli tempat pertama dan kedua bagi kategori 10 hingga 12 tahun. Tempat ketiga dimenangi Muhammad Ammiruddin Rodzi, 11.
Seramai 37 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai peraduan mewarna yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu enam hingga sembilan tahun dan 10 hingga 12 tahun.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Eksekutif Foto Harian Metro, Abd Rahim Rahmat dan Eksekutif Kanan Pusat Sumber NSTP, Md Isa Jamil.
Pameran yang bermula sejak 12 Februari lalu melabuhkan tirainya semalam dan selepas ini akan diadakan di pasar raya Tesco Station 18, Ipoh bermula dari 5 hingga 18 Mac depan.
Harian Metro
SOSEHSOSEH: Vokal Siti Belum Dinobatkan
Peminat muzik tempatan rata-rata bercakap dan menantikan anugerah berprestij Juara Lagu ke-25 yang dijadualkan berlangsung pada 9 Januari depan, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bagi menyaksikan karya atau lagu ciptaan siapakah bakal diangkat sebagai yang terbaik untuk tahun ini.
Sementara penyanyi layak bertanding pula sedang sibuk membuat persiapan bagi memastikan persembahan mereka pada malam itu akan memukau penonton di dewan, mahupun di rumah sekali gus memastikan lagu ciptaan komposer terbabit akan dipilih juri sebagai yang terbaik.
Selain anugerah utama, turut menjadi perhatian penyanyi bertanding pada malam itu beberapa anugerah lain yang tidak kurang hebatnya dan turut menjadi perhatian peminat seperti Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.
Bercakap mengenai dua anugerah ini, SS berkesempatan membaca laman web khas mengenai sejarah Anugerah Juara Lagu. Melihat kepada senarai pemenang barulah SS sedar bahawa sepanjang sejarah ia diwujudkan, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza belum pernah lagi menggenggam trofi Vokal Terbaik sejak ia mula diperkenalkan pada 2002. Pada tahun itu ia dimenangi Liza Hanim menerusi Gelisah Mimpi dan diikuti Misha Omar yang memenangi anugerah sama untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2003 menerusi Bunga-bunga Cinta dan Pulangkan pada 2004.
Hazami memenangi anugerah Vokal Terbaik pada 2005 menerusi Kata dan Adibah Noor pula dengan lagu Terlalu Istimewa pada tahun berikutnya. Pertama kali pasangan duet iaitu Jaclyn Victor dan Lah Ahmad memenangi kategori Vokal Terbaik pada 2007 menerusi Ceritera Cinta dan Faizal Tahir memenanginya menerusi Sampai Syurga pada 2008. Tahun lalu pendatang baru Black diumumkan pemenang menerusi Aku Rindu Sayang Kamu.
Siti Nurhaliza pula sudah mengungguli anugerah Juara Lagu menerusi pelbagai kategori, termasuklah anugerah utama dan beberapa kali merangkul anugerah persembahan terbaik iaitu pada 1996 dan 1997 dan selepas itu memenangi anugerah itu kembali tiga tahun berturut-turut bermula 2001 hingga 2003.
Melihat kepada sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu, rasa seperti kurang lengkap sekiranya Siti tidak memenangi Anugerah Juara Lagu kategori Vokal Terbaik. Siti mempunyai kekuatan dari sudut vokal dan kelebihan itu juga yang mengangkat namanya dalam industri muzik tempatan. Jadi apabila Siti tidak memenangi anugerah membabitkan vokal di anugerah prestij seperti Juara Lagu sudah tentu ia seperti ada yang kurang atau ‘lompong’.
Nampaknya Siti tidak boleh lagi berundur dari dunia seni selagi dia belum memenangi kategori Vokal Terbaik di Juara Lagu yang memang menjadi perhatian umum saban tahun. Selepas menang kategori vokal itu, barulah Siti boleh tidur lena. kalau dia mengambil keputusan untuk berehat panjang pun, peminat mahupun Siti sendiri sudah berasa puas.
Harian Metro
Siti Disyor Jadi Duta Dinginkan Suasana Panas
BANDUNG: Di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadang kalanya ‘panas’, diva dari Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (gambar), dicadangkan menjadi Duta Besar Budaya Masyarakat Melayu dalam usaha mengakrabkan hubungan rakyat di negara Nusantara.
Cadangan itu dibuat Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti Siti Nurhaliza.
“Lebih baik gelaran itu datang dari masyarakat, lebih baik beliau diterima masyarakat, kerana gelaran itu akan menjadi abadi,” kata Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid di sini, semalam.
Saiful Hadi, yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara, sebelum itu menyuarakan cadangan berkenaan semasa memberi ucapan awal pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia (SEMI 10) dan berharap semua pihak di Indonesia dan Malaysia dapat menerima secara positif cadangan itu.
Seminar sehari itu, yang dianjurkan oleh Iswami, dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Malaysia Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata, beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk “mendinginkan suasana“ ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.
“Ketika ada isu hangat, tak perlu payah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan suasana, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan.
“Cukup itu saja, ini akan menggugah hati orang yang hanya melihat sesuatu perkara itu dari sisi negatif,” katanya.
Beliau berkata, di Indonesia misalnya, ada beberapa organisasi masyarakat yang mendakwa mewakili kelompok masyarakat tertentu, akan sering mengobar-ngobarkan sentimen rakyat Indonesia dengan kata-kata seperti ‘ganyang Malaysia’ bila ada isu hangat.
“Kita tahu sebahagian daripada mereka orang bayaran. Kita tahu mereka itu ahli politik yang mencari pentas untuk mencari populariti.
“Orang seperti ini tidak akan boleh berbuat banyak kalau ada, katakanlah Siti Nurhaliza datang, dia menyanyi dan mengatakan buat apa gunanya kita saling bermusuhan…ini akan mendinginkan suasana,” katanya.
Harian Metro