Skip to content

Archive for February 2009

28
Feb

Siti Nurhaliza Terkilan



Oleh YASMIN RAMAN
yasmin.raman@kosmo.com.my


SITI NURHALIZA dan Aziah pada pelancaran buku The Pink Book di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terkilan kerana hasratnya untuk bersama-sama dengan bapanya untuk memajukan sebidang tanah di Kuala Lipis, Pahang tidak kesampaian.

“Kami merancang untuk memajukan tanah itu dengan aktiviti pertanian di bawah syarikat ‘Saldin’, tetapi tidak kesampaian kerana Allah lebih sayangkannya,” katanya.

Katanya, hasrat untuk memajukan tanah yang dihadiahkannya itu adalah satu amanat daripada Allahyarham Tarudin Ismail.

Siti Nurhaliza menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku The Pink Book tulisan Aziah Jasmin Azizul Hassan di sini semalam.

Buku yang telah berada dalam pasaran berharga RM45 senaskhah itu antara lain memberi maklumat mengenai asas penampilan wanita.

Sebanyak RM1 daripada setiap jualan senaskhah buku itu akan didermakan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Titian Kasih, Titiwangsa.

Allahyarham Tarudin, 67, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri baru-baru ini kerana kompilasi penyakit kencing manis dan buah pinggang.

Menurut Siti Nurhaliza, meskipun terkilan dengan pemergian bapa tersayang, beliau berazam untuk tabah dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Kosmo

24
Feb

Vokal Mantap, Gaya Hebat

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

KELEBIHAN suara dan gaya persembahan menghiburkan nyata memberi tuah pada peserta dari Johor, Noriezuana Syed Shafudin atau Wana bergelar juara program realiti, My Starz LG musim kedua yang berakhir malam kelmarin.

Berbeza dengan cabaran 12 minggu dalam program berkenaan, kali ini empat peserta yang layak ke peringkat akhir termasuk Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Cassandra Daniel Manja (Cassie) dan Mohd Hairi Kenneith (Hairi) diberi kebebasan menyampaikan lagu pilihan mereka secara solo dan duet.

Wana yang kelihatan yakin di atas pentas memilih dua lagu solo iaitu Ku Pendam Sebuah Duka yang pernah dipopularkan Khadijah Ibrahim dan Ku Telah Jatuh Cinta (Agnes Monica) untuk segmen pertama sebelum berduet dengan Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta.

Berbanding persembahan duet, nyanyian solo Wana lebih berjaya menyerlah kehebatan vokal yang dimiliki hingga tiga juri profesional iaitu Hattan, Liza Hanim dan Ajai bersetuju memilih Wana sebagai juara. Sama seperti cabaran pada persembahan mingguan, juri masih bertanggungjawab memberi 70 peratus markah manakala bakinya diambil daripada undian SMS penonton.

Selaku juara, Wana berjaya membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 di samping kontrak rakaman album bersama Warner Music Malaysia selain TV LCD 42 inci tajaan LG.

Kata Wana, kemenangan juara memberi kejutan pada diri walaupun dia merasakan tiga saingan yang lain turut hebat ketika membuat persembahan. Dia yang pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim keenam hingga berjaya ke peringkat Top 25 menganggap kemenangan kali ini menebus kekecewaan lalu.

“Saya menganggap kemenangan ini adalah rezeki untuk saya. Sememangnya saya gembira dan tidak menyangka bergelar juara. Pada saya, semua peserta yang layak ke peringkat akhir kali ini sama hebat.

“Pastinya, kejayaan ini menjadi pendorong buat saya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Selepas menjadi juara, sudah tentu saya bersedia menjadi artis rakaman kerana ini impian saya sejak kecil.

“Sepanjang menyertai program ini, saya belajar banyak perkara mengenai nyanyian dan persembahan pentas. Atas kemenangan ini juga, saya berhasrat berhenti menyanyi di kelab dan mahu memberi sepenuh perhatian pada karier nyanyian saya yang baru bermula ini.

“Jika diberi peluang, saya ingin merakam album bergenre pop yang saya fikir sesuai dengan jiwa saya,” katanya.

Pada persembahan malam itu, Wana dikritik Ajai menerusi lagu duet yang disifatkan lebih teruk berbanding persembahan solo. Mempunyai masalah pada nada suara atau pitching, dia masih mempunyai kelebihan pada pakej sebagai penyanyi. Namun, Hattan memuji persembahan Wana yang berjaya dari aspek konsisten berbanding persembahan sebelumnya. Liza memberikan komen Wana mempunyai persediaan bergelar penyanyi tetapi perlu berkerja keras untuk berjaya.

Mengenai kritikan juri, Wana, 22, akui dia terima komen secara terbuka. Katanya, dia tidak meletakkan harapan untuk menang sebelum pertandingan bermula dan tetap gembira andai kalah kerana berpuas hati dengan persembahan sendiri.

“Saya tidak mengandaikan saya menang sebaik Nashrin diumumkan pemenang tempat kedua. Jika diikutkan, perasaan saya sebenarnya lebih gementar, apatah lagi Nashrin terlebih dulu menang,” katanya.

Antara empat peserta yang bertanding, Nashrin turut mendapat sorakan ramai penonton yang hadir dan dilihat memberi saingan kuat pada Wana ketika persembahan antara mereka berlangsung. Jika Wana menyerlah pada persembahan solo, Nashrin pula berjaya dengan persembahan duet bersama penyanyi pujaannya, Misha Omar menerusi lagu Perlu Kamu yang pernah dipopularkan Ajai bersama Kris Dayanti.

Nashrin berjaya mendapat kritikan positif juri apabila Hattan menyatakan penghayatannya bagus walaupun pada penghujung lagu itu, suaranya tenggelam dengan kehebatan vokal Misha. Liza memuji persembahan Nashrin yang kelihatan serasi bersama Misha manakala Ajai mengakui penyanyi berusia 19 tahun ini mempunyai pakej sebagai penyanyi. Kata Ajai, vokal Nashrin makin meningkat bagus selepas dibantu Misha yang duet bersamanya.

Sungguhpun tewas di tangan Wana, Nashrin masih mampu tersenyum gembira dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak RM20,000 di samping TV LCD 32 inci LG. Dia tetap menganggap kemenangan kali ini berbaloi dengan segala usaha yang dilakukan sepanjang berada dalam program berkenaan.

“Harapan saya pada malam ini hanyalah mahu memberikan persembahan terbaik. Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang kedua, saya sudah berasa gembira dengan kejayaan ini.

“Saya akui Misha banyak membantu saya dalam memberi penghayatan mendalam pada nyanyian. Saya memang minat pada Misha dan menjadi impian saya untuk duet bersamanya. Mengenai perancangan selepas ini, saya masih mahu meneruskan kerja asal saya dalam bidang perbankan dan pada masa yang sama, mahu karier nyanyian pergi seiring,” katanya.

Pemenang tempat ketiga, Cassie pada persembahan pertama menerusi dua lagu, Langit Ketujuh nyanyian asal Sharifah Zarina dan Ku Mahu (Datuk Siti Nurhaliza) dikritik Hattan masih mempunyai kelemahan vokal walaupun mempunyai penghayatan yang baik. Liza pula menyifatkan Cassie ‘lembik’ pada lagu pertama sebelum kembali bersemangat pada lagu kedua. Ajai turut menyokong pandangan Liza mengenai masalah vokal dan lontaran secara mendatar menyerlah kelemahan diri hingga penghayatan tidak sampai.

Untuk persembahan segmen kedua menerusi lagu Mercy duet bersama Siti Sarah, Cassie gagal mengatasi kehebatan vokal pasangan duetnya hingga persembahannya kurang menyerlah. Bagaimanapun, Ajai masih memuji persembahan Cassie kali ini lebih baik berbanding persembahan segmen pertama.

Bagi persembahan Hairi, kelemahan sama pada aspek vokal turut membuatkan persembahannya hambar. Dia yang berduet bersama Fiq untuk dua lagu rock, Debunga Wangi (Lefthanded) dan Opera Hidup (Wings) dikatakan gagal menampilkan kehebatan vokal sendiri. Liza memberi komen Hairi dengan Fiq mempunyai keserasian dalam persembahan tetapi vokal Hairi tidak cukup bertenaga.

Hattan mengkritik vokal Hairi mendatar manakala Ajai menegur pitching yang masih mempunyai kelemahan. Pada persembahan segmen kedua menerusi Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain) dan Kau Yang Bernama Seri (Handy Black), persembahan Hairi terus dikritik teruk. Liza menyifatkan persembahan kali ini seperti tidak serius dan Ajai memberi nasihat agar Hairi lebih berani melontarkan vokal sebagai penyanyi rock.

Mengenai komen keseluruhan, Hattan mengakui persembahan Wana lebih konsisten berbanding tiga peserta lain. Wana dinilai paling menyerlah pada persembahan hingga melayakkan diri menjadi juara musim kedua. Sementara itu, Pengurus A & R Warner Music (M) Sdn Bhd, Mokhtaza Ahmad berkata jaminan tiga bulan diberikan pada Wana untuk menghasilkan album debutnya nanti.

“Kami berharap album Wana dapat diterbitkan dalam tempoh tiga bulan ini. Mengikut pasaran muzik, kami tidak boleh terus menghasilkan 10 lagu baru untuk album debutnya tetapi dia juga akan tampil dengan single terlebih dulu.

“Kita juga akan berbincang dengan TV3 agar peserta lain masih diberi peluang untuk merakam album. Kami mempunyai perancangan tetapi ia tidak boleh diberitahu buat masa ini,” katanya.

Harian Metro

23
Feb

TM Taja Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


PENAJA bersama Rabbani dan barisan artis menyokong konsert Malam Sinar Maulidur Rasul.

Syarikat korporat tampil bantu persembahan Rabbani

MASALAH mendapatkan penajaan menganjurkan konsert penyanyi tempatan bukanlah perkara baru dalam industri hiburan tanah air. Sehingga kini, masalah itu masih menjadi isu besar dan kekangan utama seseorang penyanyi untuk mempunyai konsert sendiri.

Bukan tidak ada penaja tetapi seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Entah mengapa, kebanyakan syarikat korporat lebih banyak menaja penyanyi dari luar negara.

Sebelum ini pun sudah banyak kali terdengar rungutan dan luahan perasaan artis tempatan terhadap isu itu namun semuanya bagaikan sia-sia saja. Lebih mengecewakan, konsert berkonsepkan keagamaan juga turut dipandang sebelah mata.

Perkara ini diakui sendiri vokalis kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang juga mengalami masalah sama ketika pertama kali mahu menganjurkan Konsert Sinar Maulidur Rasul sekitar dua tahun lalu.

Ketika itu, katanya, dia berdepan dengan pelbagai cabaran dan hampir saja berputus asa apabila tidak ada satu syarikat pun yang mahu menyumbangkan tajaan untuk konsert ini.

“Ada yang menarik diri pada saat akhir dan paling menyedihkan apabila ada yang mengatakan acara ini (konsert Maulidur Rasul) tidak sesuai dengan jenama mereka. Memandangkan konsert itu harus diteruskan juga, jadi kami pun mengeluarkan belanja sendiri.

“Banyak juga nilainya, mencecah RM100,000 sehingga kami terpaksa berhutang selama setahun. Tapi tak mengapa kerana yang penting tujuan kami menganjurkan konsert itu adalah untuk mendidik masyarakat untuk mengenali Rasulullah dan menyintainya,” kata Asri ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Malam Sinar Maulidurrasul 1430 Hijrah di Restoran Cheng Ho, Wangsa Maju, Rabu lalu.

Asri berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan media mengenai apakah benar konsert berbentuk kerohanian sukar mendapat penajaan daripada syarikat korporat.

Perkara ini timbul apabila pengarah dan pelakon Erma Fatima turut meluahkan perasaan sama apabila acara Malam Sirah Junjungan yang bakal dianjurkannya sukar untuk mendapatkan sokongan penaja.

Begitupun, menurut Asri untuk konsert kedua ini, mereka tidak menghadapi masalah kerana Telekom Malaysia Berhad (TM) sudi menjadi penaja utama konsert berkenaan.

“Alhamdulillah kerana mereka sudi untuk menaja keseluruhan konsert ini tanpa sebarang masalah. Sekurang-kurangnya usaha mereka ini menunjukkan ada juga badan korporat yang sanggup bekerjasama untuk menegakkan syiar Islam, sekali gus memberi pendidikan berguna kepada penonton,” ujar Asri.

Bercerita lanjut mengenai konsertnya itu, dia berkata untuk tahun ini jumlah penyanyi yang terbabit semakin bertambah. Selain mereka dan Datuk Siti Nurhaliza yang kekal, konsert ini juga menyaksikan vokalis kumpulan Search, Amy bersama Mawi berkongsi pentas bagi menjayakan konsert itu.

“Dalam konsert ini Rabbani akan berduet dengan mereka setiap seorang sebuah lagu, nyanyian solo mereka sendiri serta sebuah lagu nyanyian beramai-ramai,” jelas Asri mengenai konsert yang bakal diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 28 Februari ini.

Aksi pertama Amy dalam muzik nasyid

JIKA sebelum ini suara dan aksinya hanya dapat dilihat di konsert rock, kini buat pertama kalinya Suhaimi Abdul Rahman atau Amy membuat penampilan pada sebuah program bercorak keagamaan seperti ini. Sambil meluahkan perasaan terujanya kerana berpeluang membuat persembahan dalam konsert itu, Amy berkata, keinginannya juga adalah disebabkan konsert ini berbeza dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

“Saya rasa terpanggil untuk menjayakan program bercorak keagamaan seperti itu kerana ia bakal memberi pengalaman berbeza. Lagipun konsert ini bukan sekadar konsert biasa sebaliknya untuk mengingati junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w,” kata Amy sambil mengharapkan peminatnya di kalangan rockers akan datang memeriahkan konsert ini.

Bakal menyanyi secara duet bersama Rabbani menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, Amy berkata, dia juga akan menyanyi secara solo malam itu.

“Apabila difikirkan kembali sebenarnya saya ada banyak juga lagu yang berunsurkan ketuhanan. Contohnya Mentari Merah Di Ufuk Timur yang mesejnya mengenai Hari Kebangkitan dan Meniti Titian Usang dengan mesej tersirat mengenai meniti titian Siratul Mustaqim,” cerita Amy.

Sementara itu, Mawi juga akan membuat persembahan pada malam itu. Lebih istimewa, inilah konsert pertamanya selepas mendirikan rumah tangga Januari lalu. Untuk konsert itu nanti, dia akan menyampaikan lagu baru dimuatkan dalam album Rabbani berjudul Saksi.

Pada majlis sidang media itu juga Rabbani turut melancarkan album berjudul Nostalgia Nada Murni. Album yang mengandungi 10 lagu itu adalah rakaman semula lagu kumpulan Nada Murni yang cukup popular suatu ketika dulu.

Album terbitan Inteam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Rabbani Productions (M) Sdn Bhd ini kebanyakannya adalah hasil karya Asri sendiri, selaku vokalis utama kumpulan Rabbani. 10 lagu yang Bila Nur Melimpah Di Hati, Ibu Mithali, Al-Hijrah (feat Amal), Sunnah Berjuang, Sifat 20, Nun Di Sana, Indahnya Hidup Bersama Ilahi, Mana Milik Kita, Jasa Petani dan Ayyu Zikraa (feat Amal).

Berita Harian

23
Feb

Dunia Baru Idola Kecil

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


Ridzuan Haqiem Rusli (kiri) dan Wan Shuhada Md Amin.

Wada, Haqiem sedia terima teguran bagi perkukuh nama dalam bidang seni

BIARPUN ini pertemuan pertama, langsung tidak tergaris rasa kekok di wajah dua bintang cilik yang menjadi sebutan selepas menamatkan perjuangan mereka dalam Idola Kecil, awal Januari lalu.

Hadir ditemani ibu bapa masing-masing pada sesi fotografi pada petang Sabtu itu, namun mereka selesa menjawab semua soalan diajukan tanpa bantuan sesiapa.

Berbanding Wada atau nama penuhnya, Wan Syuhada Md Amin, 12, yang petah menghuraikan setiap soalan yang diajukan, Ridzuan Haqiem Rusli, 10, atau Haqiem pula hanya mampu memberikan jawapan dan terbatas.

Wada yang merangkul gelaran juara Idola Kecil memang meminati dunia nyanyian. Sejak berusia sembilan tahun, pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur ini sudah aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

Acap diangkat sebagai juara, Idola Kecil membawa Wada meneroka sebuah dunia baru yang sentiasa menjadi anganan setiap insan yang ingin memperluaskan bakat mereka.

“Setiap minggu pertandingan memberikan debaran tetapi saya tanamkan dalam diri supaya mengatasi perasaan itu dan fokus untuk memberikan yang terbaik.

“Saya bernasib baik kerana pernah menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini, jadi pengalaman itu banyak membantu ketika berdepan penonton.

“Mungkin itu membuatkan saya lebih yakin ketika di pentas,” katanya, sesekali menguntum senyuman terutama tatkala mengimbas detik dua bulan berada di Idola Kecil.

Haqiem dan pertandingan juga bukan perkara baru kerana sejak usia tujuh tahun, dia sudah mula berani mempertaruhkan bakatnya.

Bahkan untuk memantapkan mutu vokal dan penyampaiannya, dua bulan sebelum menyertai Idola Kecil, keluarganya menghantar Haqiem untuk mengikuti kelas vokal bersama seorang guru di Cheras Indah.

Pemenang tempat kedua Idola Kecil itu berkata, banyak kenangan tidak mampu dilupakan sepanjang dua bulan bersama.

“Paling seronok ketika dibawa berjalan-jalan. Saya paling suka ketika kami dibawa ke Aquaria. Ia antara saat cukup manis sepanjang menyertai Idola Kecil.

“Lagi satu, setiap hari kami dihidangkan makanan yang enak dan saya sangat menghargai apa yang kami lalui selama bersama Idola Kecil,” katanya.

Walaupun semakin dikenali malah, saham mereka berdua melonjak selepas membuat persembahan selingan pada malam Anugerah Juara Lagu lalu, senario itu tidak mengubah apa-apa dalam diri Wada dan Haqiem.

Seperti teman sebaya lain, kebanyakan waktu mereka ditumpukan kepada alam persekolahan. Cuma pada hujung minggu, jadual harian mereka agak berubah.

“Agak sibuk dengan permintaan persembahan, cuma saya masih menanti peluang merakamkan album. Siapa saja mempunyai impian itu dan saya juga tidak terkecuali,” kata Wada yang mengagumi Datuk Siti Nurhaliza.

Semakin dikenali, Wada tidak sesekali membiarkan dirinya hanyut. Gelaran yang diterima tidak membuatnya lupa akan siapa dirinya.

Di sekolah, seperti teman lain dia tidak mendapat sebarang keistimewaan. Andai ada yang menyapa, Wada menerima kehadiran mereka dengan ikhlas.

“Ada kalanya saya rasa segan juga tetapi saya boleh menangani perubahan ini. Bahkan ada yang macam tidak percaya saya yang menjuarai Idola Kecil sampai bertanya apakah saya Wada mereka lihat di kaca televisyen?

“Cuma mungkin saya seronok dapat menempuh pengalaman baru ini kerana tidak semua diberi Tuhan peluang seperti ini,” kata Wada yang mewarisi bakat nyanyian daripada bapanya, Mat Amin Bahari disokong ibunya, Raja Habibah Raja Taib.

Menyokong pendapatnya, Haqiem berkata, apa yang menyeronokkan mengenai kehidupan baru ialah dapat bertemu artis pujaannya.

Pengagum Jamal Abdillah dan Nash, tawaran menjayakan persembahan pentas membuka ruang untuk dia bertemu mereka.

“Sejak dulu lagi saya suka menyanyikan lagu Nash. Saya suka kerana suaranya hebat dan lagu dibawakannya juga menarik.

“Kalau dulu saya cuma dapat melihat mereka di televisyen. Tetapi sejak menyertai Idola Kecil, saya berkesempatan berkongsi pentas dengan mereka.

“Saya cukup seronok apabila dapat bertemu abang Jamal Abdillah ketika AJL, tempoh hari. Ia antara saat manis tidak mungkin saya lupakan,” katanya yang turut diundang menjayakan persembahan di depan Yang di-Pertuan Agong, Tunku Zainal Abidin ************** di Putrajaya, 21 Februari ini.

Ditanya impian, Wada mengimpikan untuk menggapai cita-cita mencipta nama pada peringkat antarabangsa, malah mahu mendalami bidang muzik untuk melengkapkan dirinya sebagai insan seni.

Biarpun membesar dengan lagu kontemporari, jiwa Wada lebih terarah kepada irama klasik kerana lagu seperti itu memberi lebih kepuasan apabila dibawa.

Suatu pegangan mereka berdua, apabila berada di atas jangan lupa rumput dipijak. Pesanan itu sentiasa melekat dalam kotak fikiran mereka.

“Banyak yang perlu dititikberatkan terutama penampilan dan tingkah laku kerana sekarang banyak mata yang memerhati.

“Jika ada yang tidak berkenan, keluarga akan memberi teguran. Keluarga banyak menyokong dan jasa mereka tidak akan dilupakan,” kata Haqiem, berterima kasih kepada ibu dan bapanya, Rosli Abdul Manaf dan Nazrah Ahmad Nordin.

Berita Harian

23
Feb

Dengarnya… Tahniah Tersenarai Top 5 ABPBH 2008

Oleh Normah Becok

MINGGU lalu, Cik Normah menghadiri majlis pengumuman senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Ada yang Cik Normah tak sangka-sangka akan dapat, tapi dapat. Mungkin itu sudah rezekinya selain dapat sokongan peminat, maka bersyukurlah. Cik Normah juga tumpang gembira dan kadang-kadang rasa geli hati Nurul Alis atau Kiki, personaliti RTM yang berjaya membolosi diri untuk kategori Pengacara TV Popular.

Berkali-kali kawan Cik Normah meyakinkan Kiki bahawa namanya tersenarai dalam Top 5. Kata kawan Cik Normah lagi, dia memang terkejut yang bukan dibuat-buat. Malah, sewaktu kawan Cik Normah itu hendak menghubunginya menerusi telefon untuk mendapatkan reaksinya, Kiki boleh cakap panggilan yang dibuat ala ‘panggilan hangit’ yang hendak mengenakan dirinya. Macam program Wakenabeb pun adalah. Yelah, siapa yang tak sangka, calon bukan kegemaran tiba-tiba naik nama ke peringkat akhir. Apa-apapun, Cik Normah ucapkan syabas kepada Nurul Alis.

Selain itu, ada juga nama seperti Elly Mazlein, Farahdhiya, Dafi, Remy Ishak, Fouziah Gous, Iqram Dinzly (sekadar menyebut beberapa nama) yang popular tetapi tidak tersenarai dalam Top 5 ABPBH 2008. Cik Normah pun pening, kenapa jadi begitu. Apakah peminat mereka kurang atau prestasi mereka semua pada tahap biasa-biasa saja. Apa pun itu semua adalah keputusan peminat dan pembaca Berita Harian/Berita Minggu.

Ada juga yang tidak lekang dengan kontroversi seperti Datuk Siti Nurhaliza, Abby Abadi, Diana Danielle, Rita Rudaini, Akhil Hayy, Elyana, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad dan Linda Onn tapi berjaya mencuri perhatian peminat untuk terus diundi mereka. Cuma Memey Suhaiza dan Norman Hakim sebagai antara contoh yang panas tahun lalu, tapi gagal menyerlah ke senarai akhir. Tak dilupakan pasangan suami isteri, Lisdawati dan Fauzi Nawawi pun begitu.

Scha antara ramalan Cik Normah yang tepat apabila dia turut tersenarai dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Tapi Cik Normah risau, takut gosip cintanya dengan Fahrin akan membuatkan peminat mula jelak. Abby Fana pula antara penyampai radio yang jarang kedengaran kisah kontroversi tapi membuktikan sokongan peminat terutamanya mak cik dan pak cik yang suka mendengar celotehnya tidak pernah berbelah bahagi. Tak semestinya jarang mendapat pendedahan media tak boleh ke Top 5. Abby Fana dan Nurul Alis di RTM sebagai bukti terdekat.

Kata teman setugas Cik Normah, ABPBH 2008 kali ini nampak sengit dan meriah kerana senarai Top 5 memperlihatkan banyak wajah baru, segar dan muda seperti Stacy, Meet Uncle Hussain, Aizat, Aiman dan Estranged.

Cik Normah ucapkan syabas kepada semua senarai. Kepada peminat, buatlah undian mengikut pilihan sendiri secara jujur bukan sebab nak menang hadiah semata-mata. Hadiah ditentukan pada slogan yang baik dan kreatif bukan undian tepat. Jadi pilihlah artis yang digemari jika mereka berhak menerima pengiktirafan itu.

Berita Harian

21
Feb

Koleksi Moden Mysterious Desire

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my


Fabrik mewah diserikan tampalan renda hitam membangkitkan aura moden klasik pada busana.

Bagi memastikan rekaan kelihatan seiring zaman, Rizman Ruzaini selitkan unsur moden pada pola pakaian menggunakan teknik drapping dan inseam

MERAH tona garang penuh berahi. Merah juga tergolong dalam kumpulan warna asas yang mempunyai kuasa hebat sehebat auranya.

Kuasa dimiliki merah juga membuatkan pereka muda berbakat besar, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang terkenal melalui label Rizman Ruzaini memilih rona menjerit itu untuk koleksi Mysterious Desire.

Sehebat orangnya, misteri cuba dirungkai dua lelaki bersahabat baik itu penuh nilai artistik dan sejarah. Semua diolah berlandaskan idea asal iaitu pakaian Joker, penghibur istana pada zaman Victoria digabung bersama ilham dari era Baroque.

Rizman berkata, padanan merah dan hitam dipilih selepas melakukan penyelidikan terhadap kehidupan gelap Joker yang juga individu lelaki tapi dikasi kemaluan untuk membolehkan mereka bergelar penghibur istana pada lewat 1800an.

“Mereka sentiasa mengenakan pakaian yang cantik dan bersolek sempurna seperti wanita tapi warna hitam jelas menggambarkan jiwa mereka penuh kehibaan manakala merah pula memperlihatkan kemarahan serta kelantangan mereka melawan arus duniawi.


Potongan sederhana tetap menyerlah hasil olahan berani Rizman Ruzaini.

“Itulah keunikan yang cuba kami tonjolkan melalui koleksi Mysterious Desire selain cuba membuktikan bahawa inspirasi fesyen datang daripada bermacam benda. Justeru, sebagai pereka fesyen, kami perlu berfikir luar kebiasaan supaya setiap rekaan yang terhasil lebih menyerlah,” katanya.

Rekaan Mysterious Desire mementingkan bayangan (silhouette) dan kebanyakan mempunyai potongan seperti gaun golongan bangsawan ketika itu yang penuh unsur mewah.

“Gaun dihasilkan penuh renda manakala lengannya direka potongan puff kerana ia paling hangat zaman itu. Selebihnya, kami garapkan ia menggunakan material berkualiti seperti Bridal Dutchess Satin dari Itali bersama renda Perancis.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu digelar copycat dengan meniru potongan asal setiap gaun bulat-bular. Jadi bagi memastikan ia kelihatan seiring zaman, kami selitkan unsur moden pada pola pakaian menggunakan teknik drapping dan inseam,” katanya.

Koleksi yang pertama kalinya dipersembahkan di khalayak pada Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) 2008 lalu menggunakan penyanyi versatil, Ning Baizura sebagai muse.

“Ketika itu, Ning mengenakan gaun Bustier yang cukup popular zaman itu khusus untuknya. Lebih istimewa, korset dikenakan Ning diperincikan dengan sulaman manik, tampalan renda dan bertatahkan batu permata Swarovski,” kata Rizman sebelum mengakhiri perbualan petang itu.

PROFIL: Rizman Ruzaini Pereka fesyen muda Rizman Nordin dari Bukit Bendera, Pulau Pinang dan Wan Ruzaini Wan Jamil dari Kamunting, Taiping, Perak mengasaskan rekaan fesyen menggunakan label Rizman Ruzaini

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senireka Fesyen, UiTM Shah Alam

Melakar nama melalui pertandingan fesyen Jarum Berlian 2003, Trofi Pesona Pengantin 2004 dan Mifa8, 2007

Rizman & Ruzaini menjadi pilihan ramai selebriti dan kenamaan antaranya Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Zahida Rafik, Fazura, Noryn Aziz, kerabat Selangor, Johor, Terengganu dan Pahang.

Mereka boleh dihubungi di talian 017 4766 004 atau emel rizman_ruzaini@yahoo.com. Boleh juga layari laman web www.rizmanruzaini.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Berita Harian

17
Feb

Sumbangan Amal Menerusi Fesyen

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Jovian jual, lelong koleksi rekaannya dengan sebahagian kutipan disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

FESYEN bukan sekadar ikutan peredaran zaman, limpahan glamor atau simbol imej yang ingin ditampilkan semata-mata, kerana melalui skop ini juga membuktikan langkah murni boleh dimulakan jika ada kesedaran.

Seiring dengan niat yang dimulakan kerajaan, selebriti, media dan badan korporat, pereka fesyen pilihan golongan selebriti, Jovian Mandagie turut terpanggil untuk melakukan amal dengan menjual dan melelong koleksi rekaannya demi satu tujuan murni mengumpul dana bagi mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)

Berkat acara yang dianjurkan pereka fesyen kelahiran Indonesia tetapi dibesarkan di Malaysia ini di butik miliknya di Bangsar, sebanyak RM5,500 berjaya dikumpul.

Sokongan rakan artis termasuk Anita Sarawak dan tetamu kehormat, Tan Sri Othman Merican yang dianggap Jovian sebagai tetamu dan ikon istimewa acara yang berlangsung pada 3 Februari lalu cukup menggembirakan hatinya.

Pereka yang mula mendapat perhatian di Malaysia sejak 2006 menerusi acara Anugerah Era berkonsepkan kulit dan denim ini cuba mengubah persepsi bahawa untuk menunjukkan perasaan simpati seterusnya membantu mengurangkan kesengsaraan orang yang kurang bernasib baik, bukan hanya melalui demonstrasi atau rusuhan sebaliknya melalui pendekatan yang lebih lembut dan beradab.

“Sebagai manusia, ini cara dan ruang untuk saya membuktikan serta menyahut seruan untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan, terutama kepada mangsa peperangan di Semenanjung Gaza.

“Seperti orang lain, saya memberi sumbangan peribadi dan untuk lebihkan sedikit saya anjurkan acara amal ini. Alhamdulillah majlis tempoh hari berjaya melelong lima pasang pakaian yang mana keuntungan jualan semuanya disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza. Selain itu, 20 pasang pakaian berjaya mendapat perhatian tetamu dan dijual yang mana 20 peratus jualan ke atasnya akan dimasukkan ke tabung,” katanya sewaktu dihubungi Hip baru-baru ini.

Ternyata puas dan bersyukur majlis yang dirancang berjalan dengan lancar, Jovian mengakui tidak menyangka majlis itu akan mendapat sambutan di luar dugaan.

Apatah lagi tetamu yang hadir memberi sokongan dianggap kawan-kawan yang cukup rapat dan dekat di hatinya. Sepanjang masa majlis berjalan, tabung khas turut diarak memohon derma ikhlas tetamu yang hadir.

Antara rakan selebriti yang hadir seperti Erra Fazira, Ning Baizura, Umie Aida, Zahida Rafik dan Linda Onn. Malah selebriti yang hadir ini antara nama besar yang sering menggunakan khidmat Jovian bagi membaluti tubuh mereka dalam menghadiri pelbagai acara.

“Saya sendiri terkejut dan tidak menyangka dapat mengutip dana sedemikian jumlah. Mungkin juga nilai itu tidak sebanyak yang diharapkan, tapi memadai ia dilakukan dengan niat dan hati yang tulus. Jumlah derma hanyalah bersifat subjektif dan selagi kita mahu membantu mengurangkan kesusahan orang, itu sudah mencukupi bagi saya.

“Terima kasih kepada rakan artis dan tetamu yang sudi hadir pada majlis itu. Malah ada yang tidak dapat hadir pun tetapi sudah memberikan pengesahan untuk membeli koleksi yang dijual dan dilelong,” katanya.

Majlis yang bermula pada jam 4.30 petang itu berlarutan hingga ke 8.30 malam. Turut diadakan solat Isyak secara berjemaah selain solat hajat dan bacaan Yasin.

Selain rakan artis, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran sosialit dan pihak penting di dalam dunia hiburan. Acara minum petang itu turut menyaksikan Jovian mempersembahkan koleksi terbarunya “Blossoms” Spring Summer 2009.

Info Jovian Mandagie

Butiknya terletak di nombor 95, Jalan Telawi, Bangsar

Antara selebriti yang pernah menggayakan rekaannya seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dynas, Amber Chia, Maya Karin, Misha Omar dan artis seberang, Kris Dayanti dan Rossa.

Namanya pernah terpalit dalam kancah kontroversi apabila penyampai radio Sinar FM, Linda Onn yang menggunakan khidmatnya mereka busana untuk digayakan bagi acara permaidani merah Anugerah Academy 2007 di Los Angeles tetapi akhirnya Linda tidak muncul seperti yang dirancang di acara itu. Busana itu yang menjadi perhatian akhirnya digayakan Linda sendiri sewaktu hadir di Anugerah Erra pada 8 September 2007.

Pernah mereka pakaian untuk hari bahagia Ning Baizura dan Erra Fazira.

Berita Harian

17
Feb

Belasungkawa Tarudin Ismail (1942 – 2009): ‘Saya Kuat Kerana Abah’

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
PEMERGIAN bapanya, Tarudin Ismail, 67, ke alam barzakh, di Unit Rawatan Rapi, Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi jantung, buah pinggang dan kencing manis, kelmarin, begitu dirasai Datuk Siti Nurhaliza, 30. Air matanya tidak berhenti menitis di pipi.

Semakin deras air matanya mengalir tatkala mengenangkan pengorbanan Allahyarham yang tidak jemu mengetengahkan bakat nyanyiannya sehingga dia berjaya muncul penyanyi nombor satu negara serta melakar pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

Dalam nada suara perlahan dan berselang-seli dengan esakan, Siti berkata, Allahyarham selalu membawanya menyertai pertandingan menyanyi dan banyak memberi dorongan kepadanya.

“Abah banyak memberi semangat dan dorongan kepada saya. Allahyarham selalu kata ‘Siti adalah abah sebab abah adalah Siti’. Saya sendiri dapat merasakan banyak mewarisi sifat abah terutama kekuatan dan semangatnya.

“Saya menjadi kuat kerana abah. Walaupun abah nampak garang, jiwanya sangat sentitif terutama perkara yang membabitkan anaknya. Sekecil manapun musibah yang menimpa anaknya, abah orang pertama akan menangis,” katanya.

Mengenai kenangan terakhir bersama ayahnya, kata Siti sebelum ayahnya disorong ke bilik pembedahan, arwah sempat bergurau dan minta Siti jangan menangis kerana dia belum mati lagi.

“Saya serta seluruh keluarga juga berharap abah akan sembuh seperti biasa selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dan kami akan membawa abah pergi memancing kerana itulah hobinya dari dulu.

“Abah suka memancing bersama Abang Ayie (Saiful Bahri). Malah dua hari sebelum dimasukkan ke hospital, abah pergi memancing bersama Ayie di Klang. Tetapi Allah lebih menyayangi abah dan dia pergi dulu meninggalkan kami. Saya reda dengan pemergian abah, namun tidak puas menjaganya kerana beliau pergi terlalu cepat.

“Walapun doktor beritahu peluang untuk abah sembuh cuma lima peratus tetapi kami yakin abah akan sembuh kerana pesakit di katil sebelah abah yang baru menjalani pembedahan sama beransur sihat.

“Selain masalah jantung, kebanyakan organ penting dalam tubuh abah seperti buah pinggang dan paru-paru gagal berfungsi dengan baik. Abah juga menghidap kencing manis,” katanya.

Tarudin dilahirkan di Matang, Perak pada 11 April 1942 dan memulakan kerjaya sebagai polis. Beliau meninggalkan seorang balu, Salmah Bachik, 57, dan enam anak (tiga perempuan, empat lelaki). Empat daripada mereka bergiat dalam seni, Saiful Bahri, Siti Nurhaliza, Siti Nor Saida dan Siti Sairah.

Tambah Siti, walaupun mereka adik-beradik ingin mengebumikan jenazah Allahyarham di KL (Kuala Lumpur) kerana mereka semua menetap di sini, namun ibunya, Salmah, berhasrat untuk membawa balik jenazah bapanya ke Kuala Lipis, Pahang.

“Ada juga cadangan untuk mengebumikan jenazah abah di kampungnya di Perak, namun abah sudah lama menetap di Kuala Lipis sehingga beliau pencen polis, jadi lebih baik jenazahnya dikebumikan di Kuala Lipis. Kawannya juga ramai di sana.

“Selepas ini kami mahu emak tinggal di KL kerana tiada siapa menemaninya di sana tetapi apapun terpulang kepada emak dan kami tidak mahu memaksanya. Begitu pun, kami adik-beradik tidak akan membiarkan emak bersendirian,” katanya.

Datuk Mohd Khalid Jiwa pula berkata, masih ada dua tiga perkara membuatkan Siti rasa terkilan kerana Allahyarham teringin hendak melihat cucu (anak Siti) dan beliau kata, teruskan berikhtiar.

“Beliau juga mahu menunaikan fardu haji tahun ini. Oleh itu, Siti dan Ayie sudahpun merancang untuk pergi menunaikan rukun Islam kelima itu bersamanya. Namun hajatnya tidak kesampaian.

“Selain itu, beliau juga minta saya buka satu syarikat kerana dia ingin mengusahakan perniagaan berasaskan pertanian di Kuala Lipis. Allahyarham menamakan syarikat itu Saldin (Salmah dan Tarudin).

“Syarikat itu untuk masa depan isteri dan anaknya. Walaupun beliau sudah tiada, tetapi impiannya itu akan saya teruskan,” katanya yang bertemu arwah kali terakhir ketika balik ke Kuala Lipis, minggu lepas.

Antara kenangan Khalid bersama bapa mentuanya itu, pernah suatu hari Allahyarham minta Khalid menggantikan tayar keretanya yang sudah agak rosak. Bagaimanapun, kebetulan keesokan harinya, Khalid terpaksa menghadiri mesyuarat dan tidak dapat menghantar orang untuk menukar tayar itu.

“Rupa-rupanya beliau tukar sendiri tayar keretanya. Apabila saya berjumpanya, beliau melayan saya macam biasa tetapi saya pula terasa bersalah. Allahyarham sangat sensitif,” katanya.

Sementara itu, isteri Ayie, Rozie Abdul Razak yang juga pengurus Siti berkata, dua tiga bulan kebelakangan ini, Allahyarham kerap datang ke KL bersama ibu mentuanya.

“Apabila ke sini mereka menginap di rumah Siti di Cheras bersebelahan rumah saya dan saya akan menghabiskan masa bersama mereka di rumah itu. Pernah juga abah menyebut mengenai mati tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Kalau abah ada di KL, Ayie akan menemaninya pergi memancing. Dah puas memancing di KL, abah balik ke Kuala Lipis. Dia juga beritahu Ayie, jika abah tiada, hanya inilah kenangan (memancing) abah tinggalkan untuk Ayie. Mereka berdua sangat rapat,” katanya.

Jelas Rozie, sewaktu Allahyaryam disahkan meninggal, dia lihat ibu mentuanya sangat kuat.

“Kami semua menangis tetapi saya tengok emak tenang. Saya tahu emak lagi sedih kerana yang pergi itu adalah suaminya. Mungkin emak berusaha menyembunyikan kesedihannya depan kami,” katanya.

Harian Metro

16
Feb

Dengarnya…: Salam Takziah Kepada Siti Nurhaliza

CIK Normah sampaikan ucapan takziah kepada Datuk Siti Nurhaliza di atas pemergian bapa kesayangannya, Taruddin Ismail kerana sakit jantung di sebuah hospital pagi kelmarin. Cik Normah faham pemergian Taruddin amat dirasai oleh Siti kerana Allahyarham bapanya itu adalah antara orang penting di sebalik kejayaan Siti dalam dunia seni tanah air.

Malahan arwah bapanya juga tidak jemu-jemu memberi sokongan dan nasihat kepada Siti dalam dunia seni ini.

Kira-kira sebulan yang lalu, Cik Normah memang pernah ada jumpa dan bersalaman dengan arwah Taruddin yang ketika itu turut hadir di majlis pelancaran album terbaru Siti iaitu Lantera Timur. Tapi waktu itu, Cik Normah pun tidak sempat hendak berbual panjang dengan Allahyarham.

Cuma apa yang Cik Normah nampak pada waktu, memang arwah kelihatan senyum dan puas apabila melihat album terbaru Siti itu dilancarkan. Tersenyum puas dan bangga kerana Siti bukan saja seorang penyanyi yang berjaya dalam muzik pop tetapi juga turut mengembangkan muzik tradisional.

Cik Normah harap pemergian ayah tersayang itu tidak akan melemahkan semangat Siti Nurhaliza untuk terus berada dalam persada seni. Memang Cik Normah faham sangat untuk menerima kenyataan kehilangan orang paling disayangi bukanlah mudah.

Macam manapun, Cik Normah kenal Siti adalah seorang yang tabah. Walaupun terlalu sedih, tetapi Siti seorang yang cekal dan Cik Normah percaya Siti reda dengan ketentuan Illahi.

Berita Harian

15
Feb

Siti’s father passed away

Hafidah Samat

KUALA LUMPUR, SUN:

Taruddin Ismail, the father of singing sensation Datuk Siti Nurhaliza, died of heart complications at the Ampang Puteri Specialist Hospital yesterday. He was 67.

The retired policeman died at 10.45pm, three days after being admitted following his collapse at his house in Kuala Lipis, Pahang.

Siti’s sister-in-law and manager Rozi Abd Razak said Taruddin had complained of chest pains before collapsing.

She said he underwent a bypass on Friday and was in a coma since the operation.