Skip to content

Archive for January 2009

31
Jan

Artis Lelong Koleksi



Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

DERMA... Anthony Firdaus (dua dari kiri) turut sama membeli<br> cenderahati di karnival jualan amal dan lelong ABPBH 2008<br> Untuk Gaza, semalam
DERMA… Anthony Firdaus (dua dari kiri) turut sama membeli
cenderahati di karnival jualan amal dan lelong ABPBH 2008
Untuk Gaza, semalam

PETALING JAYA: Berhibur sambil berbelanja dan menderma. Itu gambaran tepat dapat diberi ketika berlangsung karnival jualan amal dan lelong Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza membabitkan lebih 70 selebriti tanah air, termasuk penyampai radio dan pengacara TV, di Amcorp Mall, di sini, semalam.

Pelbagai koleksi peribadi dan pakaian artis dilelong, termasuk jualan makanan dan kek membabitkan selebriti terkenal, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Sharifah Amani, Ahmad Idham, Aznil Nawawi, Azean Irdawati, Chef Wan dan Jaclyn Victor.

Hasil jualan dan lelongan itu akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Peniaga, Ab Majid Bujang, 50, yang membeli baju lelong milik Datuk Siti Nurhaliza dan Anita Sarawak bernilai RM750, berkata, pembabitan artis membuat kerja amal dalam karnival berkenaan seharusnya membuka mata banyak pihak supaya turut sama memberi sumbangan kemanusiaan mangsa perang di Semenanjung Gaza, Palestin.

Katanya, kesempatan berhibur sambil beramal itu juga patut dimanfaatkan orang ramai, terutama di kalangan generasi muda untuk turut sama memberi sumbangan mereka.

“Dengan hanya membeli air minuman saja, ia sudah cukup bermakna kerana wang itu akan disumbangkan ke Tabung NSTP.

“Berbaloi berbelanja di sini bersama anak dan isteri. Selain dapat membeli baju artis kegemaran mereka, wang yang saya keluarkan itu saya tidak laburkan dengan sia-sia,” katanya yang datang bersama isteri, Nor Shamsida Mohd Nor, 50 dan anak sulung, Nadia Syima, 22.

Suri rumah, Hasmidar Yahya, 25, berkata karnival itu diadakan tepat pada masanya dan wajar dilangsungkan secara besar-besaran.

“Tambah pula jika ia membabitkan artis, ia boleh menarik perhatian ramai, terutama di kalangan peminat mereka. Ini satu cara bagus untuk menarik golongan muda datang menghulur bantuan dan sumbangan mereka.

“Saya sendiri datang ke sini bukan setakat untuk berjumpa artis, sebaliknya ingin sama menghulur bantuan walaupun tidak seberapa,” katanya.

Manakala, Nurulhana Ting Abdullah, 43, berkata selain menyampaikan mesej keamanan dan misi kemanusiaan terhadap mangsa keganasan Israel di Palestin, karnival berkenaan sewajarnya menjadi titik tolak bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Jika tidak mahu berbelanja pun tidak apa, memadai datang dan memberi sokongan. Ia sudah cukup bermakna dan dapat menyampaikan mesej sewajarnya,” katanya.

Karnival yang bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu menyediakan 25 tapak jualan dan lelongan dan berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Hadir memeriahkan karnival, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang dan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun.

Hingga jam 2 petang semalam, kutipan jualan dan lelong mencecah RM30,000. Lelongan tertinggi bernilai RM4,000 iaitu baju milik Anita Sarawak yang dibeli oleh Chef Wan.

Harian Metro

30
Jan

Peluang Miliki Koleksi Peribadi Artis

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


BERSAMA sebahagian koleksi yang
akan dijual kepada orang ramai.

Pereka terkenal, Amir Luqman tampil jual pakaian glamor yang pernah diciptanya untuk bintang popular di Amcorp Mall, esok

INGIN memiliki gaun yang pernah dipakai Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noorkhiriah dan Sharifah Amani? Anda mungkin boleh memiliki pakaian yang pernah digayakan artis kesayangan ramai itu apabila berkunjung ke karnival Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 – Beramal Bersama Bintang di Amcorp Mall, Petaling Jaya, esok.

Pada hari berkenaan, mulai jam 10 pagi hingga 6 petang, peminat bukan hanya mampu mendekati artis pujaan mereka, bahkan sebahagian koleksi peribadi selebriti itu juga bakal menjadi milik orang ramai yang memeriahkan acara terbabit.

Karnival berkenaan dianjurkan dengan tujuan mengumpul derma bagi Tabung NSTP Untuk Gaza, yang dilancarkan NSTP awal Januari.

Bukan saja penyanyi, pelakon, penyampai radio mahupun pengacara TV yang bakal berganding tenaga menyahut seruan gelombang kasihan kemanusiaan ini, malah komuniti pereka fesyen turut melihat acara yang dikelolakan kumpulan NSTP itu sebagai ruang terbaik untuk sama-sama menghulur tangan membantu mangsa keganasan Israel di bumi Gaza.

Justeru, Amir Luqman tidak berfikir panjang apabila dia mendapat tahu wujudnya acara terbabit daripada teman seperjuangan, Calvin Thoo.


ERRA FAZIRA pernah
mengenakan gaun
songket rekaan Amir
Luqman ini.

“Inilah kali pertama saya berasakan diri saya cukup terpanggil untuk sama-sama membantu insan dalam kesengsaraan akibat kekejaman tentera Israel. Saya benar-benar terasa dengan apa yang dialami penduduk Gaza ketika ini,” ujar Amir yang tidak menyembunyikan perasaan geramnya apabila bercerita mengenai serangan askar Yahudi ke atas bumi Palestin.

Lalu, dia mengumpulkan koleksi pakaian rekaannya yang pernah digayakan selebriti tempatan serta pelbagai himpunan aksesori, kasut dan beg tangan untuk dijual pada hari berkenaan.

Tegasnya, daripada dibiarkan saja, baiklah dia menjual koleksi terbabit dengan harga yang lebih murah, dengan harapan hasilnya nanti dapat sama-sama dia dermakan untuk membantu mangsa perang.

“Saya tidak mahu menjualnya pada harga biasa kerana saya sedar, jualan pada hari ini sememangnya untuk disumbangkan kepada tabung amal. Pada hari terbabit, orang ramai boleh mendapatkan barangan berkenaan daripada harga serendah RM1 saja,” katanya sambil membelek sebahagian koleksi yang akan dijual.

Ketika sesi fotografi ini dilakukan, Amir sempat menunjukkan gaun hijau yang pernah digayakan Amani pada Anugerah Skrin 2007. Di sebelahnya, gaun hijau dan hitam yang digayakan aktres Noorkhiriah, tatkala menaiki pentas menerima trofi pada acara yang sama.

“Gaun berbunga-bunga ini pula dipakai Amani untuk sesi fotografi sehari sebelum dia membotakkan kepala untuk menjayakan filem Muallaf,” cerita Amir mengenai sebahagian koleksi yang dibawanya pada hari berkenaan.

Selain Siti, Erra, Noorkhiriah dan Amani, rekaan Amir juga tidak asing di badan Datin Seri Tiara Jacquelina, Rossa, Krisdayanti, Datin Natasha Hudson, Aleeza Kassim, Ida Nerina, Amylea Azizan, Nita, Kat Mentor dan Kavita Kaur.

“Kavita ialah selebriti pertama memakai rekaan saya pada 2005. Ketika itu, saya masih lagi bertatih dalam bidang rekaan, sebaik saja menceburi bidang ini setahun sebelumnya. Sejak itu, dia antara artis yang menjadi pelanggan tetap saya sehingga sekarang,” katanya yang bagaimanapun ingin menyimpan gaun dipakai selebriti tinggi lampai itu sebagai kenangan.

Diusik dengan pertanyaan apakah koleksinya nanti hanya akan disambar peminat berbadan langsing, Amir cepat-cepat menyangkal.

“Jangan bimbang, sebahagian koleksi saya turut boleh digayakan mereka yang berbadan agak berisi. Lebih kurang 50 koleksi pakaian mungkin saya bawa untuk acara jualan jumble itu. Jadi, pasti ada pelbagai saiz untuk sesiapa saja. Begitupun, siapa yang cepat, dialah yang dapat,” kata pereka berasal dari Kelantan ini.

Ujarnya, dia amat memahami, sebahagian peminat bukan hanya ingin bersua muka dengan selebriti diminati mereka, malah jika boleh, barang yang mempunyai kaitan terus dengan golongan terkenal itu juga ingin dimiliki. Menyedari hakikat itu, dia sedaya mungkin akan meletakkan harga yang dikira cukup berpatutan bagi membolehkan peminat memiliki barangan berkenaan.

Begitupun, gaun yang baru saja digayakan Siti untuk muncul di muka depan sebuah majalah gaya hidup, mungkin dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding koleksi lain.

“Jika peminat benar-benar ingin mendapatkan gaun dipakai penyanyi tersohor itu sambil menghulurkan derma, saya pasti mereka dengan senang hati akan mendapatkannya juga apabila diletakkan di rak jualan,”ῠkatanya.

Berita Harian

25
Jan

Kenali Gaya: Teknik ‘Tailored’ Manipulasi Tubuh Besar

Mampu serlah gaya sofistikated sesuai majlis penuh gemilang

Soalan:SAYA bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan dan bercadang memakai gaun pengantin moden daripada renda Perancis berwarna ungu gelap. Saya mempunyai ketinggian 168 sentimeter (sm) dengan berat 83 kilogram (kg) serta bertudung. Untuk pengetahuan, bentuk badan saya besar pada bahagian atas berbanding bawah. Saya ingin tahu bentuk gaun yang sesuai dengan saya.

Nor, Pulau Pinang.

Jawapan:DISEBABKAN anda memiliki tubuh yang besar dan tidak seimbang bentuknya, saya sarankan supaya anda memilih busana perkahwinan yang kemas dan ringkas potongannya.

Teliti lakaran yang dihasilkan dan lihat bagaimana mainan teknik ‘tailored’ boleh memanipulasi bayangan tubuh besar dan pada masa yang sama mampu menyerlahkan gaya sofistikated sesuai majlis persandingan penuh gemilang.

Pada bahagian atas gaun, saya sarankan anda menggunakan padanan fabrik sutera Thai dilapik kain belacu untuk mendapatkan efek statik. Oleh kerana anda sudah membeli renda Perancis berwarna ungu, gunakan renda berkenaan untuk tampalan pada tepi baju, bahagian lengan dan layah.

Usah risau kerana renda Perancis sememangnya mampu membiaskan pesona mewah namun prinsip saya, walau penggunaan tidak menyeluruh tapi cara ia dimanipulasi sudah memadai untuk menegaskan keanggunan dan kemewahan rekaan.

Saya sarankan anda memilih kombinasi dua tona berbeza iaitu ungu sebagai asas dan jingga cair sebagai gabungan untuk kelainan pada gaun persandingan itu nanti.

Potongan bahu baju yang dipotong dari bahu ke bahu mampu memberikan ilusi bahu lebih kecil dan kelihatan terletak manakala penggunaan ‘princess cut’ pula dapat menyerlahkan kekemasan gaun pengantin anda.

Empire cut yang memotong bahagian bawah payudara penting kerana ia dapat menyokong kedudukan payudara supaya nampak lebih kemas dan tidak terlalu menyerlah.

Bagi potongan ‘tailored’ pada bahagian dada perlu dibuat di atas garisan payudara dan dikemaskan dengan barisan butang bungkus sebagai kaedah untuk mengaburi kekurangan pada bahagian berkenaan.

Kelainan yang cuba ditonjolkan adalah pada bahagian lengan. Unsur ‘tailored’ jelas memperlihatkan kekemasan melalui penggunaan fabrik sutera Thai ditampal renda Perancis sehingga ke hujung lengan yang dijahit sendat.

Potongan kain sesuai untuk tubuh seperti anda adalah A line dipotong tujuh bertujuan untuk menyeimbangkan bayangan tubuh. Fabrik yang sesuai adalah satin crepe sebagai alas manakala lapisan luar, gunakan sutera sifon.

Oleh kerana anda bertudung, elakkan penggunaan tudung yang terlalu sarat dengan ikatan bunga atau sanggul. Ikatan tudung terbaik adalah yang kemas menggunakan fabrik memberi seperti lycra.

Pemilik tubuh gempal dinasihatkan tidak memakai terlalu banyak aksesori. Memadai jika anda sematkan satu kerongsang di dada atau hiasan tepi kepala sebagai ganti tiara. Boleh juga gantikan tiara dengan penggunaan bunga hidup seperti mawar dan orkid.

Pilih kain net nuansa jingga muda atau warna pucat senada yang ditampal renda dan bertatahkan manik berwarna ungu sebagai pelengkap gaya.

PROFIL: Rizman Ruzaini

Pereka fesyen muda Rizman Nordin dari Bukit Bendera, Pulau Pinang dan Wan Ruzaini Wan Jamil dari Kamunting, Taiping, Perak mengasaskan rekaan fesyen menggunakan label Rizman Ruzaini

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senireka Fesyen, UiTM Shah Alam

Melakar nama melalui pertandingan fesyen Jarum Berlian 2003, Trofi Pesona Pengantin 2004 dan Mifa8, 2007

Rizman & Ruzaini menjadi pilihan ramai selebriti dan kenamaan antaranya Ziana Zain, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Zahida Rafik, Fazura, Noryn Aziz, kerabat Selangor, Johor, Terengganu dan Pahang.

Mereka boleh dihubungi di talian 017 4766 004 atau emel rizman_ruzaini@yahoo.com. Boleh juga layari laman web www.rizmanruzaini.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Berita Harian

23
Jan

Memey & Siti Nurhaliza Jadi Perhatian

[
Tonton video ]

KUALA LUMPUR,  23 JAN 2008:  Lama menyepi sejak musim pertama, Miss Propa dah kembali semula pada musim ini.  Tahniah  Miss Propa kepada murai.com.my yang sudah mencecah lebih 8 juta pageviews, baru-baru ini bagi tempoh sebulan, iaitu pada Disember, lalu.

Sepanjang penghujung tahun 2008 dan menjelma pula 2009, Miss Propa nampak ada 2 nama selebriti wanita yang sering bermain d ibibir pengikut iindustri hiburan tanah air. 

Siapa lagi kalau bukan Dato’ Siti Nurhaliza kita dan pendatang baru Memey. Masing-masing nampaknya punya cerita kontroversi masing-masing.

Dato’ Siti sensasi dengan gosip pergolakan rumahtangganya dengan Datuk K manakala si cantik Memey pula ‘berani mati’ muncul dalam hidup Norman Hakim dan Abby Abadi. Dari kes khalwat dengan Norman hinggalah dituduh menjadi punca Norman bercerai dengan Abby.

Apa pun, Miss Propa nak ucapkan tahniah kepada kedua-dua mereka. Syabas Dato’ Siti atas kelahiran album terbarunya yang berkonsepkan tradisional kontemporari, Lentera Timur. Kepada Memey pula, tahniah atas keberanian anda berhadapan semula dengan pihak media dan masyarakat.

Kepada pembaca murai.com.my, kalau ada sebarang pertanyaan berkenaan dunia hiburan atau artis kesayangan anda, e-melkan pertanyaan anda itu ke webmaster@murai.com.my. Insya-Allah Miss Propa akan tolong jawabkan. Eee… Propa-Lah!

[Klik di sini untuk menonton episod terbaru Miss Propa]

Murai

23
Jan

Memey & Siti Nurhaliza Jadi Perhatian

[
Tonton video ]

KUALA LUMPUR,  23 JAN 2008:  Lama menyepi sejak musim pertama, Miss Propa dah kembali semula pada musim ini.  Tahniah  Miss Propa kepada murai.com.my yang sudah mencecah lebih 8 juta pageviews, baru-baru ini bagi tempoh sebulan, iaitu pada Disember, lalu.

Sepanjang penghujung tahun 2008 dan menjelma pula 2009, Miss Propa nampak ada 2 nama selebriti wanita yang sering bermain d ibibir pengikut iindustri hiburan tanah air. 

Siapa lagi kalau bukan Dato’ Siti Nurhaliza kita dan pendatang baru Memey. Masing-masing nampaknya punya cerita kontroversi masing-masing.

Dato’ Siti sensasi dengan gosip pergolakan rumahtangganya dengan Datuk K manakala si cantik Memey pula ‘berani mati’ muncul dalam hidup Norman Hakim dan Abby Abadi. Dari kes khalwat dengan Norman hinggalah dituduh menjadi punca Norman bercerai dengan Abby.

Apa pun, Miss Propa nak ucapkan tahniah kepada kedua-dua mereka. Syabas Dato’ Siti atas kelahiran album terbarunya yang berkonsepkan tradisional kontemporari, Lentera Timur. Kepada Memey pula, tahniah atas keberanian anda berhadapan semula dengan pihak media dan masyarakat.

Kepada pembaca murai.com.my, kalau ada sebarang pertanyaan berkenaan dunia hiburan atau artis kesayangan anda, e-melkan pertanyaan anda itu ke webmaster@murai.com.my. Insya-Allah Miss Propa akan tolong jawabkan. Eee… Propa-Lah!

[Klik di sini untuk menonton episod terbaru Miss Propa]

Murai

21
Jan

Etnik Kreatif AJL23 Kurang Sambutan?

Rap

ANUGERAH Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang berlangsung Ahad lalu menyaksikan lagu popular Meet Uncle Hussain (MUH), Lagu Untukmu mewakili kategori pop rock diumumkan juara AJL23.

Lagu Sampai Syurga ciptaan Audi Mok dan Ahmad Izham Omar pula menjuarai kategori balada manakala penyanyinya, Faizal Tahir menang Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik sementara kategori etnik kreatif dijuarai lagu Persoalan Cinta.

Berbanding kategori pop rock dan balada, ada yang beranggapan saingan lagu menerusi etnik kreatif kurang menyengat dengan hanya tiga lagu layak ke AJL23 iaitu Persoalan Cinta (Farawahida), Doa Dalam Lagu (duet Zahid bersama Heliza) dan Dusta Berkalang (Aiman).

Lagu Persoalan Cinta adalah ciptaan Julfekar bersama Ku Seman dan Izza Rosley.

Pada persembahan malam itu, Farawahida tampil seperti maharani Cina yang menyanyi sambil diiringi ramai penari.

Namun, di sebalik kemenangan lagu ini, ia memberi gambaran sambutan penyanyi kategori etnik kreatif makin berkurangan berdasarkan faktor penyertaan lagu yang bertanding.

Persoalan yang bermain di fikiran, apakah komposer tempatan kekurangan idea menghasilkan lagu sebegini atau peluang lagu ini bertanding terhad.

Etnik kreatif menerusi AJL23 mula diperkenalkan sejak 2000 menggantikan Irama Malaysia.

Lagu Ghazal Untuk Rabiah nyanyian Jamal Abdillah dan M Nasir pada 1997, Cindai (Datuk Siti Nurhaliza, 1998), Balqis (Siti Nurhaliza, 2000) dan Mimpi Laila (Yassin, 2001) pernah menang Lagu Terbaik.

Namun, mutakhir kategori ini seolah-olah melukut tepi gantang apabila hanya tiga lagu yang layak bertanding berbanding kategori lain lima dan enam lagu.

Minggu ini, Interaksi memilih komposer Julfekar atau nama sebenar, Julfekar Ahmad Shah, 44, untuk berkongsi rahsia dan cerita mengenai kejayaannya menerusi Persoalan Cinta serta masa depan etnik kreatif bersama wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my).

Sebelum ini Julfekar pernah menyertai AJL20 menerusi lagu Elergi Sepi nyanyian Azharina untuk kategori balada, tetapi kemenangan berpihak kepada lagu Gemilang.

SOALAN (S): Tahniah atas kemenangan yang diraih. Apa komen anda?

JAWAPAN (J): Saya bersyukur kerana sebelum ini saya banyak mencipta lagu pop dan lagu Persoalan Cinta adalah lagu eksperimen kedua saya selepas Farawahida membawakan lagu Penglipur Lara yang layak ke separuh akhir tahun lalu. Pada saya, lagu ini mempunyai kekuatan dari aspek gabungan konsep muzik pop, world music dan tradisional Cina.

Tujuan saya mengetengahkan konsep ini adalah mahu menarik minat penonton khusus generasi muda dan berbilang bangsa menghayati keunikan dan keindahan lagu ini. Kemenangan ini menunjukkan juri menilai kelebihan sesebuah lagu yang layak dipilih sebagai pemenang.

Juri bersikap lebih tulus dan apa yang dapat kita lihat pada AJL23 kali ini, tiada suara yang cakap belakang selepas keputusan pemenang diumumkan.

Ini bermakna, ramai yang bersetuju dengan keputusan kali ini. Ia juga bukan atas dasar lagu popular, tetapi merangkumi semua aspek dalam persembahan pada malam itu.

Secara keseluruhan, semua lagu yang bertanding pada AJL23 mempunyai potensi untuk menang dan penyanyi yang terbabit juga mempunyai vokal yang bagus.

Malah, penerbitan program AJL23 sendiri bertambah baik apabila menggunakan jurutera berpengalaman seperti Greg Henderson dan Peter Song untuk memastikan sistem bunyi kali ini memberi kepuasan pada penonton.

S: Bagaimana pula dengan respons yang diterima sebaik lagu ini menang?

J: Ada yang turut menjangkakan lagu saya ini menang kerana faktor kelainan dalam persembahan. Bagaimanapun, seperti yang saya katakan tadi, lagu lain tetap mempunyai kelebihan masing-masing.

Sebagai komposer, saya mengharapkan persembahan Farawahida pada AJL23 adalah yang terbaik dan saya fikir tidak pernah dalam sejarah majlis anugerah ini ketengah etnik lain seperti Cina dalam persembahan.

Untuk persembahan ini, saya menggunakan khidmat 30 penari tempatan iaitu kumpulan Dua Space Dancer dari Puchong, Selangor yang berganding bahu bersama kumpulan penari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagi pemain erhu pula, dia adalah pelajar muzik erhu yang pernah menimba pengalaman selama tujuh tahun bermain muzik itu.

Walaupun lagu ini menggabungkan etnik Cina, tetapi apa yang saya buat sebenarnya masih mengikut kehendak lagu untuk kategori etnik kreatif. Lagu ini masih mementingkan budaya Melayu, tetapi ia disampaikan dengan cara lebih indah menerusi gabungan etnik lain. Saya yakin lagu sebegini mampu pergi ke peringkat antarabangsa jika diberi peluang.

S: Apakah kemenangan ini satu kejutan pada anda?

J: Saya tidak berapa terkejut kerana sejak awal, saya turut mempunyai keyakinan lagu ini mempunyai peluang untuk menang.

Namun, keyakinan saya bukan bererti saya terlebih yakin. Untuk bertanding dalam majlis anugerah seperti AJL23, saya memikirkan soal kualiti dalam lagu dan apa kriteria lagu dan melodi yang sesuai untuk menarik perhatian khalayak. Aspek pembikinan sesebuah lagu perlu diberi perhatian agar ia memberi kepuasan.

Seperti lagu Persoalan Cinta, saya hasilkan lagu ini bukan sambil lewa, tetapi bersungguh-sungguh. Lagu ini bertuah kerana ia dirakam di China.

Ketika itu, kami ingin mendapatkan khidmat seorang pemuzik erhu dan secara kebetulan dia berada di China.

S: Berbanding kategori pop rock dan balada, etnik kreatif hanya bersaing tiga lagu. Ia seolah menggambarkan kategori ini kurang sambutan.

J: Memang benar, etnik kreatif kurang sambutan kerana faktor tidak banyak karya yang bagus memasuki AJL23. Malah, lagu sebegini juga terbatas untuk dimainkan di stesen radio hingga ia terpinggir.

Namun, sejak kebelakangan ini saya melihat stesen radio swasta sudah mula memberi peluang pada lagu sebegini. Ini menandakan satu perkembangan yang positif pada masa depan lagu etnik kreatif dan tradisional.

Sebenarnya, lagu sebegini masih ada di pasaran, tetapi akibat kurang sokongan dan promosi di radio, komposer kurang berminat menghasilkan lagu baru. Ini perlu diberi perhatian serius dalam usaha mengangkat budaya tempatan menerusi lagu.

Stesen radio perlu mainkan peranan dengan lebih meluas untuk mempromosikan lagu sebegini.

Jika banyak ruang diberikan, saya percaya ia dapat menarik lebih banyak lagu baru untuk dihasilkan dan seterusnya minat masyarakat juga bertambah. Lagu sebegini penting dalam mendidik masyarakat mencintai nilai budaya tempatan agar jati diri bangsa sendiri tidak hilang.

S: Setiap kali AJL berlangsung, kalau kategori etnik Kreatif, selalunya menampilkan ramai penari seperti persembahan kebudayaan. Apa komen anda?

J: Ia sebenarnya bergantung kepada konsep sesebuah lagu itu sendiri.

Pelbagai cara dapat dilakukan dalam persembahan untuk menarik perhatian penonton. Untuk persembahan lagu Persoalan Cinta, ia menggabungkan etnik Cina lalu saya rasakan persembahan perlu dibuat semeriah ini.

Walaupun kos untuk persembahan ini tinggi kerana menampilkan ramai penari, saya sanggup menanggung perbelanjaan yang diperlukan agar menjadi terbaik.

Hanya lagu tertentu yang sesuai menggunakan ramai penari untuk persembahan.

Untuk AJL23, ini adalah kali pertama Farawahida berjaya melangkah ke peringkat akhir dan tentunya saya mahu persembahannya memberi impak pada penonton. Soal menang adalah perkara nombor dua dan apa yang perlu diberi fokus, dia menyampaikan persembahan dengan baik.

S: Secara keseluruhan untuk AJL23, apakah anda berpuas hati dengan keputusan pemenang yang diputuskan lapan juri profesional?

J: Secara jujur, saya berpuas hati dengan keputusan juri memilih semua pemenang pada malam itu. Juri pada AJL23 menjalankan tanggungjawab dengan tulus dan baik. Kita dapat lihat walaupun Faizal Tahir menang tiga anugerah untuk Persembahan, Vokal dan Balada, juri mahu kelainan yang ditampilkan seperti MUH.

Saya bukan berniat mahu membodek TV3, tetapi saya juga bersetuju dengan keputusan juri yang mahukan perubahan pada lagu yang menang sebagai Lagu Terbaik. MUH mempunyai kelebihan dan sejak awal, saya menjangkakan kumpulan ini menang Lagu Terbaik dan pop rock manakala Faizal mengungguli balada serta Farawahida berjaya untuk etnik kreatif.

S: Apakah projek selepas ini?

J: Farawahida kini tampil dengan album baru ketiga yang akan berada di pasaran pada Jun nanti. Rakaman album ini sudah siap dan ia turut menekankan gabungan konsep Pop dan Etnik Kreatif. Kelainan yang ingin ditampilkan kali ini, saya selitkan muzik dari Borneo dan Kalimantan.

Saya berharap pembaharuan pada album Farawahida kali ini dapat memberikan keistimewaan pada album sebelumnya. Pasti, kelainan ini juga dinantikan peminat.

S: Harapan untuk mempertingkat AJL23 pada masa akan datang?

J: Pada pendapat saya, AJL23 adalah yang terbaik sepanjang penganjurannya sebelum ini. Untuk masa akan datang, saya berharap setiap kategori perlu mempunyai keseimbangan dari aspek penyertaan.

Sebolehnya, etnik kreatif juga mempunyai sekurang-kurangnya empat lagu bertanding agar saingan lebih terasa.

Atas sokongan penganjur, lagu Melayu masih mempunyai ramai peminat dan peluang juga terbuka pada penyanyi baru untuk mengembangkan bakat dalam nyanyian. Adanya ramai penyanyi, persada muzik tanah air bertambah meriah.

Harian Metro

20
Jan

Lentera Timur

01. Siti Nurhaliza – Di Kayangan Kita
02. Siti Nurhaliza – Bintang Malam
03. Siti Nurhaliza – Cinta Ini
04. Siti Nurhaliza – Ada Masa Mata
05. Siti Nurhaliza – Bulan Yang Mesra
06. Siti Nurhaliza – Seloka Budi
07. Siti Nurhaliza – Rasa Antara Kita
08. Siti Nurhaliza – Senyum Minang Manis
09. Siti Nurhaliza – Joget Menanti Kasih
10. Siti Nurhaliza – Jelmakanlah Ayumu
11. Siti Nurhaliza – Di Taman Teman

19
Jan

Siti Suka, Datuk K Pun Suka

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my



Mengujakan. Bagi peminat yang sudah pun mendapatkan naskhah terbaru kontemporari tradisional Lentera Timur kepunyaan penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza, pasti mereka tertarik dengan kulit albumnya yang mempesonakan.

Jika hendak tahu, ada cerita di sebaliknya. Pemilihan gambar-gambar yang dimuatkan dalam album itu sebenarnya merupakan pilihan hati suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau terkenal dengan gelaran Datuk K.

Enggan berselindung, Siti sendiri ‘membocorkan’ rahsia itu sewaktu ditemui pada majlis pelancaran albumnya yang diadakan di Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Tampil anggun dalam busana rona hitam dan hijau tua rekaan Amir Luqman, Siti mengakui gambar yang dipotretkan oleh Ikram Ismail itu amat disukai oleh Datuk K.

“Suami saya sempat melihat himpunan gambar yang dirakam, malah dia amat berpuas hati dengan penghasilan gambar itu.

“Secara kebetulan, saya sendiri suka hingga mempengaruhi fikiran saya untuk memuatkan gambar-gambar yang diambil dalam album terbaru saya.

“Saya suka, Datuk K pun suka. Macam sehati sejiwa pula. Rangkaian gambar yang ada, memang menjadi kesukaan kami,” jelas Siti terang-terangan memperlihatkan keharmonian yang dikecapi dalam berkongsi hidup bersama Datuk K.

Gagal berkolaborasi dengan Aidit Alfian

Sesuatu yang istimewa ialah lagu-lagu yang dimuatkan album itu dihasilkan daripada Bengkel Cipta Ekspres Berirama Malaysia Bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi kerjasama Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang diadakan setahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.


SEHATI SEJIWA. Impak kasih sayang yang bergabung menjadi satu, Datuk K turut sudi mengabadikan daya kreativitinya terhadap karya terbaru seni isteri tersayang.

Sebanyak 12 buah lagu idea komposer-komposer terkenal tanah air telah dihasilkan, tetapi hanya 10 dipilih Siti untuk album itu.

Siti tanpa berselindung mengaku menggemari semua lagu yang dihasilkan.

Membuat pilihan yang terbaik di antara yang terbaik memang menyukarkan Siti. Lantaran itu, ada beberapa lagu tidak dapat ‘menembusi’ tembok kukuh sekali gus tidak tersenarai dalam Lentera Timur.

Siti sepatutnya menyanyikan sebuah lagu gubahan komposer popular, Aidit Alfian. Namun harapan Siti bertukar menjadi kecewa kerana lagu yang diimpikan sudah tertulis untuk dilagukan penyanyi lain.

“Saya pernah bertanya kepada Aidit mengapa lagu miliknya tidak dapat dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

“Awal-awal lagi Aidit memohon maaf sambil menjelaskan bahawa dia telah memberikan lagu itu kepada orang lain.

“Saya pun tidak boleh hendak berbuat apa-apa. Saya anggap tiada rezeki untuk bekerjasama dengan Aidit,” beritahu Siti pasrah.

Diberi suntikan baru

Tidak dinafikan, ritma dan alunan karya yang berkumandang dalam Lentera Timur pantas sahaja menarik perhatian telinga.

Bukan ibarat karya tradisional klise lain yang menampilkan sepenuh konsep tradisional asli, sebaliknya Lentera Timur dibikin dalam bentuk bervariasi agar peminat tidak mudah bosan tatkala mendengarnya.

Album terbaru Siti yang dipasarkan penghujung Disember lalu merupakan album studionya yang ke-13, manakala ia merupakan album kelima untuk diskografi tradisionalnya selepas penghasilan Cindai (1997), Seri Balas (bersama Noraniza Idris) (1999), Sahmura (2000) dan Sanggar Mustika (2002).

Setelah puas menanti penuh sabar selama enam tahun, maka tiada yang lebih menggembirakan Siti apabila album idaman berhasil muncul menemui khalayak seluruh negara. Pada awal Mac nanti, album itu bakal memasuki pasaran Indonesia.

Ada riak gembira yang sukar terbendung pada wajah Siti. Perkara itu memang tidak mampu disembunyikan lagi saat dirinya diwawancara pihak media.

Menyingkap sejarah sebelum kelahiran Lentera Timur, Siti berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan apabila dia sukar untuk mencari lagu-lagu berentak etnik tatkala industri seni kini menunjukkan situasi suram.

“Memang susah saya hendak mencari lagu-lagu yang ingin dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

“Saya harap album ini dapat memberi sinaran cerah untuk bidang muzik terutama lagu-lagu yang berjiwa tradisional.

“Ia menampilkan banyak kelainan berbanding album tradisional lain. Ia mempersembahkan pelbagai rentak bersesuaian dengan peredaran zaman hingga album ini mampu memikat hati semua pendengar tanpa mengira usia.

“Memang saya gembira tidak terhingga dapat melahirkan album Lentera Timur,” jawab Siti penuh keyakinan.

Demi kepuasan untuk peminat tersayang yang tidak pernah berhenti menyokong Siti selama 13 tahun mengabdikan diri dalam lapangan seni, Siti turut menampilkan elemen strings menerusi semua lagu dalam album yang dipimpin oleh Eddie Marzuki itu.

“Suntikan baru yang diperkenalkan menerusi album ini bakal memberi nafas baru yang lebih segar dalam seni tradisional.

“Lagipun, sudah menjadi impian saya bagi memperdengarkan alunan strings dalam album sebelum ini, cuma saya belum lagi berpeluang.

“Album Lentera Timur akhirnya menunaikan cita-cita saya untuk muncul dengan sebuah album yang dihasilkan dengan bunyi-bunyian strings,” kata Siti yang ingin muncul dengan muzik orkestra pula selepas ini jika berpeluang.

Komposer yang telah mewarnai album Lentera Timur dengan ilham kreatif mereka ialah Johari Teh untuk lagu Di Kayangan Kita, Johan Nawawi (Bintang Malam), Khairil Johari Johar (Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita).

Selain itu, Lentera Timur tidak terkecuali memuatkan lagu berjudul Ada Masa Mata yang merupakan ciptaan M. Nasir,

Senyum Minang Manis (Zul Mahat), Joget Menanti Kasih (S. Atan), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan) dan Di Taman Teman (Fauzi Marzuki).

Lentera Timur juga menyaksikan kembalinya komposer yang cukup sinonim dengan pembabitan Siti melalui lagu-lagu etnik iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau terkenal dengan gelaran Pak Ngah yang menyumbangkan lagu Jelmakanlah Ayumu.

Siti juga menyelitkan sebuah lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara berjudul Cinta Ini yang memberi nafas baru apabila muzik tradisional dan moden digabungkan oleh Aubrey Suwito yang bertindak sebagai penerbit untuk lagu tersebut.

Album bermutu yang diterbitkan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan diedarkan oleh Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) itu sudah pun berada di pasaran sejak 29 Disember lalu dengan harga RM29.90.

Khusus buat individu yang ‘berkiblatkan’ Siti, jangan lupa untuk mendapatkan album Lentera Timur kerana anda pasti akan mendapat kepuasan melalui keindahan seni warisan tradisi Malaysia yang semakin jauh ditinggalkan hari demi hari.

Kosmo

12
Jan

Siti Nurhaliza – Datuk K Berkucupan Setiap Pagi

Oleh MALIAH SURIP
maliah.surip@kosmo.com.my


“”HANYA Siti yang tahu manisnya menjadi isteri kepada Khalid,” kata Siti tentang keutuhan ikatan cinta antara dirinya dan Datuk K. “

KASIH sayang bagi pasangan ini bukan harta benda. Cinta mereka juga bukan kerana wang ringgit. Maka, apabila taufan datang dan terus menghempas bahtera rumah tangga tanpa lelah, mereka masih terus berdakapan. Masih utuh dan masih seperti dahulu.

“Masalah rumah tangga selalunya akan kami selesaikan secara baik di bilik tidur,” ujar Datuk Siti Nurhaliza tanpa selindung lagi.

Selepas tiga tahun bernikah dengan usahawan Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa, barangkali bukan sesuatu yang terlarang buatnya mengaku akan hal itu. Ia juga pernyataan yang cukup jelas melambangkan betapa mereka rasional berhadapan dengan fitnah yang tidak pernah surut menerjah tembok kebahagiaan.

Datuk K pula bercerita: “Setiap pagi, sama ada saya atau Siti, kami akan mulakan hari baru dengan satu kucupan dan ucapan I love you. Ia lambang kasih sayang kami.”

Ini adalah resipi kebahagiaan mereka. Ia bukan sengaja bagi menampan fitnah-fitnah yang hebat melanda. Ini adalah realiti, bukan sebuah dongeng.


“ROMANTIK. Rona putih dan merah jambu menjadi tema majlis hari jadi Siti yang ke-30. “

Biar bimbang banyak pihak tersalah tafsir, Siti akhirnya akur untuk membuka rahsia rumah tangga mereka kerana khalayak semakin galak bercerita yang bukan-bukan tentang kerukunan cintanya dan Datuk K.

Ia juga adalah rentetan daripada isu kononnya mereka sedang dalam proses penceraian. Fitnah itu nyata telah menyemarakkan sensitif dalam hati Datuk K sehingga memaksanya bersuara.

“Pada saya, fitnah itu sudah melampau. Saya begitu cintakan isteri saya. Saya tak mungkin berbuat demikian. Saban hari, kami bahagia dan tiba-tiba kami dikatakan bercerai.

“Dulu, saya fikir berdiam diri itu lebih baik. Namun impak negatif daripada penulisan seperti itu memberi tekanan buat kami. Jadi saya fikir saya perlu bersuara demi sebuah kebenaran dan kebaikan kami bersama” jelas Datuk K.

Dia yang segak berpakaian putih sempena meraikan ulang tahun ke-30 Siti di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa dekat Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu kemudian memberitahu, bukan dia tidak tahan dengan asakan gosip.


” ”

Malah sebelum bernikah dengan penyanyi tersohor negara itu, dia sudah memikirkan implikasi yang bakal dihadapinya.

“Hanya janganlah melampau seperti ini. Doakanlah kebahagiaan kami. Impian kami tahun ini juga untuk menimang cahaya mata. Doakanlah ya,” katanya lagi.

Siti yang manis dalam busana merah jambu asyik tersenyum dan mengangguk mengiyakan bicara suaminya. Matanya bercahaya. Ada cahaya cinta. Bibirnya tersenyum mekar, penuh bahagia.

Kemudian penyanyi yang baru muncul dengan album Lentera Timur itu mengambil alih bicara. Katanya, dia memang bahagia. Orang boleh berkata yang kelat tentang rumah tangga mereka. Namun sebagai isteri yang tidur sebantal dan hari-hari berhadapan dengan lelaki ini, kata Siti, dia yang berasa manisnya.

“Siti bahagia. Tiga tahun hidup bersama, suami Siti adalah pelengkap hidup Siti. Hanya Siti yang tahu manisnya menjadi isteri kepada Khalid.

“Malah Siti bersyukur kerana keluarga mentua juga menerima dan menjaga Siti dengan baik. Tidak ada hal-hal negatif seperti yang difitnah orang,” jelasnya yang arif mengenai onak yang akan ditempuhinya selagi bergelar anak seni.

Majlis penuh romantik

Diraikan oleh keluarga dan sahabat terdekat dalam suasana intim dengan tema putih dan merah jambu, nyata majlis ulang tahun yang diilhamkan Datuk K buat Siti malam minggu lalu membangkitkan romantis tak terperi.


“BERKONGSI minat yang sama mengumpul jam tangan, Siti dan Datuk K melihat setiap detik mereka bersama sebagai sesuatu yang bermakna untuk diraikan. “

Alunan muzik dan nyanyian silih berganti daripada teman-teman artis seperti Syed Sobry dan isterinya Azie, Diana Danielle, Imran Ajmain serta teman-teman media pula mewujudkan suasana santai yang menceriakan majlis serba sederhana namun penuh bermakna itu.

Siti sendiri mengaku dia malu apabila parti ulang tahun kelahirannya kali ini dihiasi belon. Pemilihan warna merah jambu yang cukup jarang digayakannya pula, kata Siti, memberi dimensi baru saat dia melangkah usia 30 tahun.

“Ia seperti warna seorang wanita,” katanya yang kemudian menyambung cerita tentang impian ulang tahunnya. “Siti bersyukur dengan semua pencapaian yang pernah Siti lalui selama ini.

“Jadi apabila memasuki fasa baru ini, Siti hanya berdoa agar menjadi manusia yang lebih baik dan mendapat kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Signifikan seutas jam

Tanpa berselindung, Datuk K memberitahu, dia menghadiahkan isteri kesayangannya itu seutas jam buatan Switzerland sempena ulang tahun ke-30.

Saat ditanya signifikan seutas jam buat Siti, kata Datuk K, mereka berdua begitu meminati jam tangan. Sebagai pengumpul jam, dia juga menyimpulkan bahawa setiap detik masa yang berlalu dan bakal ditempuhi mereka adalah amat bermakna untuk diraikan bersama.

“Sebenarnya Siti tak minta apa pun, kecuali kasih sayang yang berpanjangan daripada Datuk K. Tapi apabila dia nak bagi Siti jam, Siti terima kerana Siti juga memang suka pakai jam,” katanya yang turut pernah dihadiahkan seutas jam sempena ulang tahun perkahwinan mereka tahun lalu.

Kosmo

11
Jan

Siti Nurhaliza Dapat Jam Sempena Hari Jadi

Oleh MALIAH SURIP


SITI NURHALIZA di samping kek hari jadinya malam tadi.

KUALA LUMPUR – Dua tahun lalu, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, 50, menghadiahkan sebuah kereta Mercedes hitam dengan nombor pendaftaran angka 11 sebagai tanda cinta sempena ulang tahun isteri kesayangannya, Datuk Siti Nurhaliza.

Tahun ini pula, suami penyanyi tersohor itu menghadiahkan jam tangan buatan Switzerland pula.

“Jenamanya belum tahu lagi kerana kami akan ke Bukit Bintang esok (hari ini) untuk pilih jam.

“Sebenarnya Siti tak mahu hadiah kecuali kasih sayang daripada suami, itu sudah cukup,” kata Siti dengan wajah berseri-seri ketika diraikan pada majlis hari ulang tahunnya yang ke-30 dekat sini malam tadi.


OMEGA ATAU ROLEX? Mana satu jam yang menjadi pilihan Datuk K untuk dihadiahkan kepada Siti Nurhaliza.

Majlis sederhana yang dianjurkan oleh Datuk K di kediaman mereka yang bernilai RM6 juta di Bukit Antarabangsa, Ampang, bertemakan putih dan merah jambu.

Sejak bernikah dengan Datuk K pada 21 Ogos 2006, suami penyanyi itu tidak pernah terlepas meraikan ulang tahun kelahiran Siti.

Sementara itu, Datuk K mengharapkan agar tahun 2009 akan menganugerahkan cahaya mata buat mereka selain tiada lagi fitnah yang membelenggu seperti sepanjang tahun 2008.

Kosmo