Skip to content

Archive for December 2008

31
Dec

Dato Siti Bagai Permaisuri Sahara



Teks oleh Razif Rosdi
Foto ihsan Siti Nurhaliza Production (SNP)

Akhirnya penantian peminat yang menyukai lagu-lagu berentak tradisional terubat jua dengan kemunculan album terbaru Dato’ Siti Nurhaliza bertajuk Lantera Timur.

Album yang berkonsepkan etnik kontemporari ini sememangnya buah tangan terbaru dari Siti buat peminatnya yang menyukai Siti mendendangkan lagu berirama sebegini. Sudah tentu, Lantera Timur merupakan album yang amat bermakna buat isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) ini selepas kali terakhir menghasilkan album tradisional  Sanggar Mustika.

Berdasarkan album sebelum ini, anak kelahiran Kuala Lipis ini sering menggunakan bahasa yang mendalam dan kali ini Lantera Timur menjadi pilihan berdasarkan maksudnya iaitu lampu atau cahaya Timur (Eastern Lantern).

“Melalui album ini, Siti mahu mengangkat budaya bangsa kita supaya terus berpaksikan kepada cahaya Timur. Siti harap album ini dapat mengubat kerinduan peminat yang mahukan Siti nyanyikan lagu tradisi.

“Yang paling istimewa, ada 9 lagu dalam album ini dihasilkan menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP di Port Dickson pada Januari 2008 yang disertai ramai komposer dan penulis lirik tanah air. Kesemua lagu ini dihasilkan dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 3 hari saja,” kata Siti.

Tambah menarik, 2 buah lagu lagi adalah hasil kreatif Katon Bagaskara serta ikon komposer lagu etnik, Pak Ngah Suhaimi.

Jangan ketinggalan mendengarkan lagu-lagu dalam album ini seperti Di Kayangan Kita (Johari Teh/ Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/ Amran Omar), Cinta Ini (Katon Bagaskara), Ada Masa Mata (M.Nasir/ Ad Samad), Bulan Yang Mesra (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali) dan Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/ Azam Dungun).

Juga ada lagu Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali), Senyum Minang Manis (Zul Mahat/ Abot), Joget Menanti Kasih (S.Atan/ Habsah Hassan), Di Taman Teman (Fauzi Marzuki/ Hairul Anuar Harun) dan Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah).

“Siti berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh semua penerbit. Tak kiralah yang terlibat secara langsung atau tidak. Siti amat berharap agar lagu dalam album ini dapat menyemarakkan kegemilangan lagu-lagu tradisional.

“Bagi Siti, kualiti adalah faktor utama dalam semua aspek penerbitan album ini termasuklah penggunaan live strings bagi kebanyakan lagu,” jelas Siti.

Menurut Siti lagi, walaupun lagu-lagu dalam album ini berirama tradisi, susunan muzik dibuat mengikut citarasa masa kini. Siti turut berpendapat dengan mengetengahkan konsep sebegini, ia boleh menjadi daya penarik untuk anak-anak muda agar terus mencintai lagu-lagu Melayu.

Album ini diterbitkan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan diedarkan oleh Suria Records (SRC) dalam bentuk cakera padat (CD). Ia sudah mula berada di pasaran pada penghujung Disember 2008. Apa yang menarik, inlay dalam album ini menonjolkan Siti dalam pelbagai busana, headgear (hiasan kepala) dan selendang.

Dengan imaginasi Siti dan pereka gayanya, penyanyi itu kelihatan seperti Cher, Sarah Brightman dan Permaisuri Sahara dalam hikayat silam.

 

Murai

27
Dec

Spektrum Ikram

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tatkala kualiti dan kreativiti menyatu, lahirlah pesona yang membuka 1,001 cerita…

TENTU ramai masih terkenang detik bersejarah persandingan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, dua tahun lalu.

Persandingan gilang-gemilang yang mendapat jolokan ‘Wedding of the Year’ itu mendapat liputan luas media cetak dan elektronik rantau ini. Bukan saja seri mempelai menjadi topik hangat di warung kopi mahupun lobi hotel, malah foto indah yang diabadikan personaliti XY – Ikon Lelaki minggu ini mencuri perhatian.

Nyata majlis gilang-gemilang itu membuka ruang publisiti buat anak jati Kuala Lumpur ini dalam dunia fotografi kreatif tanah air. Tempoh 18 tahun mengabdikan diri dalam bidang fotografi nyata mematangkan Ikram.

Namun, biarpun sudah lama memegang lensa kamera, Ikram yang mencurahkan kreativitinya dalam penghasilan potret, penggambaran fesyen, fotografi seni halus dan majlis perkahwinan mengakui masih banyak yang perlu dilakukan.

“Bagi saya, setiap subjek fotografi adalah medium baru pelajaran. Tidak kiralah kita masih baru ataupun sudah lama dalam bidang ini, pembelajaran berterusan itu perlu untuk kita mencuba sesuatu yang baru.

“Bermula dari itu, pasti ada teknik terkini dan secara tidak langsung memberi idea baru serta pengalaman untuk dimanfaatkan,” katanya penuh bersemangat.

Setia menggunakan empat kamera digital jenis Nikon iaitu D70, D100 serta dua model D200, Ikram memulakan kerjaya awal sebagai pereka grafik pada 1989, sebelum berjinak-jinak menjadi pembantu merangkap jurugambar, setahun kemudian.

Menyedari minatnya lebih terarah dalam seni fotografi, bapa kepada empat orang cahaya mata ini memilih terus berkarya dalam dunia fotografi dengan sebuah syarikat penerbitan di ibu negara. Selain terbabit dalam tenaga kerja kreatif untuk penggambaran kulit muka depan majalah, Ikram juga terbabit dalam sesi fotografi fesyen dan grooming.

“Selepas 16 tahun bekerja untuk majalah, saya mengambil keputusan nekad bergerak sendiri dan memberi tumpuan untuk fotografi perkahwinan. Sesekali saya membuat grooming dan penggambaran fesyen jika ada tawaran.

“Alhamdulillah, setakat ini saya puas dengan apa yang saya lakukan. Saya juga mendapat maklum balas baik daripada pelanggan yang kebanyakannya diperkenalkan pelanggan lain,” katanya yang berhasrat mengadakan pameran fotografi seni halus ilham peribadinya suatu hari nanti.

Ditanya apakah beliau mewarisi bakat seni fotografi keluarganya, tanpa berselindung Ikram mengakui bapanya, Ismail Abu Bakar pernah bertugas sebagai penyunting untuk Filem Negara Malaysia.

Ikram teringat bilik gelap untuk memproses gambar di rumah yang dihuni keluarga ketika beliau masih kecil.

“Bapa ada juga membangkitkan mengapa gambar album perkahwinan yang saya abadikan mempunyai imej kasut, cincin, bunga dan banyak barangan lagi. Mengikut konteks sekarang, objek terbabit dianggap elemen kreatif melengkapi jalan cerita sebuah perkahwinan.

“Jika dilihat foto perkahwinan zaman dulu, ia hanya membabitkan imej penuh pengantin tanpa memfokuskan aksesori dan elemen penyeri lain,” katanya sambil tertawa mengenangkan perbualan dengan bapanya mengenai dunia fotografi sekarang.

Panjang lebar cerita suka duka yang direncanakan Ikram sepanjang mencongak perjalanan hidupnya sebagai jurugambar kreatif. Daripada kamera negatif filem hinggalah era digital, pemuda berusia 38 tahun ini terus ligat menyusun kata untuk tatapan pembaca XY – Ikon Lelaki…

Ceritakan serba sedikit latar belakang Ikram?

Sebenarnya, saya terbabit dalam dunia fotografi secara tidak langsung. Bermula sebagai pereka grafik, saya beralih kepada bidang fotografi kerana minat lebih ke bidang itu. Tetapi, saya bersyukur kerana bidang grafik banyak membantu saya tampil lebih kreatif dan menyunting gambar.

Berapa lama berkecimpung dalam bidang fotografi?

Sudah 18 tahun… Meskipun lama berkecimpung dalam bidang ini, saya tetap menganggap setiap penggambaran fotografi sebagai medium baru pembelajaran.

Apakah Ikram mempunyai trademark tersendiri?

Seperti tugasan fotografi perkahwinan, saya lebih cenderung menghasilkan jalan cerita dalam bentuk gambar yang dimuatkan dalam album perkahwinan. Selain itu, elemen kreatif sarat saya muatkan sebagai pelengkap tarikan sesiapa yang menatap album itu.

Kepuasan merakamkan gambar bagi Ikram?

Kepuasan bagi saya apabila orang lain menghargai hasil penat lelah kita mengabadikan kreativiti dalam bentuk gambar. Interaksi begitulah yang menyemarakkan lagi idea dan semangat untuk terus bekerja keras.

Antara fotografi di studio dan penggambaran di luar, yang mana memberi lebih kepuasan?

Jujurnya penggambaran luar lebih memberi kepuasan. Selain lokasi dan mood pencahayaan, kita dapat bermain pelbagai elemen untuk menghasilkan lebih cerita dalam gambar yang dirakamkan. Berbanding studio, lampu yang banyak mencorak hasil gambar.

Senario fotografi di Malaysia mengikut perspektif anda?

Saya lihat semakin ramai ingin menjadi jurugambar. Apatah lagi, ketika ini mudah mendapatkan hasil gambar kerana teknologi kamera digital yang membolehkan hasil foto terus dilihat. Ini suatu persaingan sihat sekali gus menunjukkan ramai peminat fotografi di Malaysia.

Siapa jurufoto idola Ikram?

Jurugambar kelahiran Amerika Syarikat, Patrick Demarchlier yang banyak terbabit dalam penggambaran fotografi fesyen. Beliau menerapkan elemen seni halus dalam foto yang diabadikan.

Boleh anda terjemah keindahan sesuatu sesebuah foto?

Seperti sebuah lukisan, sesuatu foto akan meninggalkan kesan andai kita mampu menterjemahkan perasaan, keindahan, kesedihan dari sudut pencahayaan dan warna untuk hasil penuh subjektif.

Terangkan personaliti Iqram?

Saya seorang yang sederhana serta merendah diri dalam pelbagai perkara.

Tugasan paling meninggalkan kesan mendalam dan meningkatkan portfolio Ikram?

Banyak antaranya persandingan mega Datuk Siti Nurhaliza yang banyak membuka ruang publisiti hasil kerja saya kepada selebriti lain seperti Nora Danish, Aleeza Kasim dan Erra Fazira. Banyak juga tawaran untuk perkahwinan orang ternama diterima.

Impian fotografi Ikram?

Saya mengimpikan mengadakan galeri fotografi berkisarkan gambar seni halus yang jarang diketengahkan di Malaysia. Ketika ini, masyarakat lebih tertumpu kepada galeri lukisan berbanding fotografi.

Hobi Ikram waktu lapang?

Saya suka bersantai bersama keluarga serta merakamkan gambar subjek dan alam semula jadi. Puas jika saya dapat merakamkan imej seni halus di mana sesuatu subjek itu dapat dicetuskan melalui elemen kreatifi.

Siapa yang memberikan sumber inspirasi buat Ikram dalam dunia fotografi?

Arwah ibu saya, Rahmah Lasim. Saya sentiasa ingat, arwah banyak berjasa kerana faham minat saya dalam dunia fotografi. Malah, beg kamera pertama milik saya bernilai RM60 adalah pemberian arwah.

Di manakah lokasi penggambaran fotografi di Malaysia yang menjadi kegemaran?

Saya memilih Bako Island di Sarawak. Saya temui lokasi hebat ini ketika mengikuti rombongan Tourism Malaysia ke Sarawak. Banyak lokasinya cukup menakjubkan untuk diterokai, apatah lagi untuk penggambaran fotografi.

Perkara yang mungkin orang tidak tahu mengenai Ikram?

Selain terbabit dalam fotografi perkahwinan, saya sebenarnya berminat merakamkan gambar seni halus. Saya mempunyai beberapa koleksi peribadi hasil penggambaran yang dilakukan pada waktu lapang. Antara lokasi kegemaran ialah di pantai Pangkalan Balak, Melaka yang sering dikunjungi ketika pulang kampung mentua.

Ikram dalam tempoh 10 tahun akan datang?

Mungkin lebih banyak travel dan mengurangkan kerja seperti sekarang. Semestinya fotografi tetap menjadi keutamaan.

Pesan Ikram kepada penggemar fotografi?

Pertama sekali, mesti banyak melihat hasil gambar, kerap bertanya kepada jurugambar berpengalaman serta bijak mencuba sesuatu yang baru. Seperti kamera digital, dalam setahun begitu banyak model baru dipasarkan menyebabkan kita harus ke depan.

Biodata

Nama: Mohd Ikram Ismail

Umur: 38 tahun

Tarikh lahir: 25 April 1970

Tempat lahir: Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur

Tinggi: 160 sentimeter

Berat: 78 kilogram

Emel: ikram_pro@yahoo.com

Laman web: www.IkramIsmail.net

Enam wajah fotogenik pilihan Ikram Ismail…

Datuk Siti Nurhaliza

Erra Fazira

Sofea Jane

Tengku Azura

Ida Nerina

Amber Chia

Berita Harian

27
Dec

Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.

Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.

Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.

Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.

Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.

Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.

Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.

Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.

Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17

hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.

Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.

Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.

Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.

Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.

Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.

Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.

Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.

Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.

Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.

Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.

Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.

Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.

Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.

Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.

Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.

Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.

Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.

Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.

Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.

Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.

Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.

Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.

Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.

Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.

Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).

Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.

Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.

Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati

nyanyian Siti Nurhaliza).

Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.

Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.

Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.

Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.

Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.

Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.

Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.

Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.

Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Harian Metro

25
Dec

Siti Nafi ‘Buang Lemak’

SEKEJAP ‘kembang’, sekejap ‘kuncup’.

Apabila dirinya mengembang, ia dikatakan mungkin ekoran pembawaan budak. Hakikatnya, tidak ada budak yang dibawa atau cakap ringkasnya, dirinya tidak hamil.

Jadi apabila penampilan jelitawan dari seberang, Siti Nurhaliza, tiba-tiba ‘menguncup’ atau ramping mendadak baru-baru ini, timbul pula desas-desus lain.

Siti, yang muncul dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 baru-baru ini, dikatakan berjaya mengembalikan susuk tubuh asalnya ekoran rawatan pembedahan buang lemak!

‘Memang Siti ada terbaca gosip artis buang lemak. Begitu juga dengan khabar angin kononnya artis sedut lemak di Klang… Siti sumpah, Siti tak pernah buat benda tu (buang lemak).

‘Orang tak tahu betapa susahnya Siti nak dapatkan balik badan kurus ni. Sejak Ramadan lalu, Siti tak makan nasi! Siti lebihkan makan buah-buahan dan sayur saja.

‘Pun begitu, Siti tak nafikan awal tahun ini memang Siti ada mendapatkan rawatan urutan muka di sebuah pusat kecantikan di Klang, tapi bukannya buang atau sedut lemak seperti yang dicanang dalam gosip itu.

‘Biarlah apa orang nak cakap. Lagi Siti difitnah, lagi murah rezeki Siti,’ ujar Siti dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia.

Soal kehamilan pula, Siti mengakui beliau belum ‘berisi’.

Cyberita

22
Dec

S Atan Terkilan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


S ATAN menerima trofi daripada tokoh muzik, Datuk Ahmad Merican.

Komposer sekarang tak minat hasilkan lagu tradisional, pop Melayu

RIAK terharu jelas terkesan daripada tutur katanya yang ditemui selepas diumumkan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta pada malam Anugerah Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) Ke-13, Jumaat lalu.

Perlahan katanya, dulu masyarakat kurang memberi penghargaan kepada pencipta lagu malah yang sering diketengahkan dan lebih mendapat perhatian ialah penyanyi.

Sedangkan katanya, tanpa pencipta lagu serta penulis lagu sesebuah komposisi tidak akan lengkap untuk dipersembahkan oleh penyanyi kepada khalayak penggemarnya.

S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said ialah sebuah nama yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan industri hiburan tempatan.

Sejak berkecimpung dalam dunia penciptaan lagu pada 1972, karya anak kelahiran Geylang, Singapura yang juga dikenali sebagai penulis lirik, penerbit dan pemuzik sering menjadi pilihan penyanyi ternama.


ZIMI diiktiraf sebagai Pencipta Muda Berpotensi.

Sudah lebih 1,000 lagu dihasilkannya, dibawakan nama tersohor seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Sharifah Aini, Tan Sri SM Salim, Carefree, Datuk DJ Dave dan Black Dog Bone selain Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza.

“Sekarang masyarakat sudah mula nampak peranan pencipta lagu dan penulis lirik. Sebenarnya, pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk mengetengahkan mereka yang berada di balik tabir pembikinan sesebuah ciptaan.

“Peranan ini perlu dimainkan terutama oleh penyampai radio ketika memutarkan sesebuah lagu dengan terlebih dulu mengumumkan nama komposer. Ini sedikit sebanyak dapat memperkenalkan pencipta lagu kepada peminat.

“Entah kenapa sehingga hari ini, perkara ini jarang diberikan perhatian sedangkan bakat komposer serta penulis lirik juga perlu diketengahkan kerana mereka juga memberikan sumbangan kepada pembangunan industri muzik,” katanya.

Pernah menghasilkan pelbagai genre lagu, namun sentuhan S Atan untuk lagu irama Malaysia sehingga ini masih terasa kesannya. Pandang-Pandang Jeling-Jeling dipersembahkan semula SM Salim dan Siti Nurhaliza selain Balik Kampung nyanyian Sudirman, antara lagu yang memperlihatkan keunggulan pencipta berusia 59 tahun ini.

“Sejak dulu dalam setiap album yang saya terbitkan, saya akan selitkan sekurang-kurangnya satu lagu tradisional, terutama joget. Saya mahu irama tradisional kita terus subur tetapi malangnya, tidak ramai komposer sekarang berminat untuk menghasilkan lagu seperti ini.

“Kebanyakan mereka lebih selesa menghasilkan ciptaan kontemporari sedangkan bagi saya, lagu pop Melayu perlu terus dihidupkan kerana masih ada peminatnya.

“Percaya atau tidak, album koleksi lagu Melayu Deli diterbitkan pada 1978 yang menampilkan nyanyian Sudirman, Sharifah Aini, Herman Tino dan Zaleha Hamid sampai sekarang masih dijual serta diulang cetak.

“Siapa bilang lagu irama Malaysia tiada peminatnya, malah ia tetap laku jika diterbitkan dengan sepenuh jiwa dan raga. Bahkan dengan lagu itu juga saya meneruskan kehidupan menerusi royalti yang diterima,” katanya yang terus aktif menerbitkan lagu tradisional.

Hadir ditemani isterinya, Norizan Yeob, S Atan juga menyelar sesetengah stesen radio yang terlalu mengutamakan lagu luar hingga menenggelamkan potensi lagu tempatan.

Katanya, isu pilih kasih antara lagu ciptaan tempatan dan luar tidak patut wujud kerana negara tidak pernah ketandusan bakat yang akan membanggakan pencinta seni.

“Untuk apa kita terlalu mengagungkan karya luar, sedangkan lagu ciptaan tempatan terlalu sukar untuk menembusi pasaran di negara mereka.

“Jika kita bersikap adil serta memberikan keadilan kepada lagu ciptaan komposer tempatan, rasanya peminat akan menghargai kerana karya kita juga setanding dengan apa yang dipersembahkan orang luar,” katanya.

Kejayaan luar dugaan buat Zimi

MULA aktif menghasilkan lagu pada 2004, sehingga ini sudah sekitar 30 lagu pernah diilhamkan komposer muda, Zimi atau nama sebenarnya, Zarimi Zahari.

Pemain gitar kumpulan Sofaz yang turut bertindak sebagai vokalis kedua di samping Are-meer ini berkata, dia umpama bermimpi apabila diberitahu menerima pengiktirafan sebagai Pencipta Muda Berpotensi.

“Pengiktirafan ini sesuatu yang di luar jangkaan, apatah lagi mengambil kira usia pembabitan saya dalam bidang penciptaan lagu yang baru memasuki empat tahun.

“Rasanya lebih ramai komposer muda berbakat terutama daripada kumpulan indie yang berjaya melahirkan karya yang dapat membuka mata pencinta seni negara ini,” kata Zimi merendah diri.

Pernah menghasilkan lagu seperti Cinta, Dan Pasti, Rasakan dan Salahku nyanyian Sofaz selain Indah Lelapku yang mempopularkan Izwan Pilus, Zimi berkata, percubaan untuk bergelar komposer bertitik tolak daripada sokongan yang diberikan syarikat rakaman naungannya, SRC.

Katanya, sejak masih di bangku sekolah lagi dia sudah menyimpan angan untuk dikenali sebagai komposer dan menyertai Sofaz adalah permulaan untuk dia mengukir laluan mencapai cita-cita itu.

“SRC juga begitu menghargai bakat yang saya ada apabila mereka memberi peluang untuk menghasilkan lagu kepada penyanyi di bawah syarikat rakaman itu.

“Awal dulu saya kurang yakin, malah takut diketawakan tetapi sekarang sudah mula berani untuk mengetengahkan ciptaan saya kepada khalayak,” katanya.

Kata Zimi, dalam menghasilkan ciptaan dia sentiasa berpegang kepada nasihat yang diberikan penulis lirik tersohor, Allahyarham Loloq.

“Arwah pernah berpesan ketika kami bekerja untuk lagu Cinta jika mahu menghasilkan ciptaan yang disukai ramai, lagu itu perlu ringkas dan senang diingati orang. Itu yang di lakukan dalam setiap ciptaan saya,” katanya.

Berita Harian

18
Dec

Belasungkawa Nasir P Ramlee (1953-2008): Perginya Warisan P Ramlee

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK sampai dua bulan pemergian anak angkat Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Sabarudin Ramli (Badim), kita dikejutkan pula dengan pemergian satu-satunya anak kandung Seniman Agung itu, Nasir P Ramlee.

Jika P Ramlee meninggal dunia pada usia muda iaitu 44 tahun, Nasir pula menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.10 petang, kelmarin di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun.

Jenazahnya selamat dikebumikan jam 11 pagi keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kampung Baru.

Nasir meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16, manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar (Gee), Nasir mempunyai dua anak, Natasya, 23, dan Najwa, 22.

Seperti Badim dan Sazali, Nasir juga anak kesayangan P Ramlee. Nasir yang dilahirkan di Singapura pada tanggal 23 November 1953 adalah anak P Ramlee bersama isteri pertama, Junaidah Harris.

Junaidah adalah pelakon berasal dari Indonesia dan anak kepada pelawak D Harris. Nasir membesar di Jalan Boon Teck yang juga kediaman ramai pelakon Studio Jalan Ampas.

Nasir tidak bertemu ibunya sejak usia enam tahun. Hanya selepas P Ramlee meninggal dunia, Nasir bertemu semula dengan ibu kandungnya di Jalan Martapura, Jakarta.

Selepas bercerai dengan Junaidah, P Ramlee mengahwini Norizan dan kemudian Saloma. Justeru, Nasir juga membesar di bawah Norizan yang ketat menjaga disiplinnya tetapi banyak membentuk karakternya.

Mengimbas latarbelakangnya pula, Nasir memulakan kerjayanya sebagai pemuzik di kelab malam sebelum menyertai EMI sebagai penggubah muzik. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelaras muzik kombo Istana Budaya (IB) sejak April 2002 sehingga sekarang.

Nasir pernah bergandingan bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Datuk Aziz Satar untuk album Panca Sitara.

Beliau pernah menghasilkan lagu untuk Herman Tino, Rosemaria Abdul Hamid dan Aman Shah. Antara lagu popularnya ialah Rindu Bayangan dendangan Carefree.

Sepanjang berkhidmat di IB, Nasir banyak terbabit dalam persembahan anjuran kerajaan dan di peringkat antarabangsa.

Antara pementasan yang pernah diarahkannya di IB ialah Suzana 60 dan Bonnie M Live In Kuala Lumpur pada 2006.

Sekalipun, nama Nasir tidak segah bapanya, namun tidak dinafikan, beliau juga memberi sumbangan tersendiri dalam memartabatkan industri seni tanah air.

Ketika hayatnya, Nasir sempat menghasilkan Buku Bapaku P Ramlee yang dilancarkan Presiden Badan Warisan Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, 29 Mei lalu.

Buku yang dihasilkan selepas 34 tahun bapanya meninggal dunia itu dianggap buku kenangan peribadi Nasir kepada bapanya yang menyingkap kisah suka duka sebagai anak kepada seniman agung tanah air.

Dalam buku itu, Nasir juga menceritakan dia tidak lahir dalam ‘dulang emas’, sebaliknya dibayangi bayang-bayang kehebatan bapa dan nama besar keluarganya.

Sekalipun kesihatannya tidak mengizinkan, Nasir sempat menjayakan persembahan penghargaan buat P Ramlee bertemakan Air Mata di Kuala Lumpur di Panggung Eksperimen (ET), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berlangsung dua hari bermula 15 Julai lalu bersama anaknya, Najwa.

Buat pertama kali, Nasir juga berkongsi pentas bersama anaknya mendendangkan lagu Senandung Kasih dicipta dan didendangkan bapanya dulu.

Band pimpinannya, Nasir & The Melodies juga mengiringi persembahan artis seperti R Ismail, Datuk Aziz Satar, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Amy Search dan Sara Loo di Laman Santai IB sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan, baru-baru ini.

Beliau juga pernah tampil dengan album komedi, Nasir Tan Sri P Ramlee & Mamu Maidin yang mengembalikan nostalgia peminat mereka pada tahun lalu.

Bakat seninya turut diwarisi anaknya yang juga cucu P Ramlee, Natasya dan Najwa yang mengikuti pengajian dalam jurusan seni di Aswara.

Harian Metro

17
Dec

Dengarnya… Perihal Tudung Siti

Oleh Normah Becok


Datuk Siti Nurhaliza

CIK Normah tahu sangat, kalau Cik Normah sentuh perihal penyanyi yang seorang ini pasti ramai peminatnya akan melenting. Tapi memandangkan Cik Normah tak suka nak pilih bulu atau pilih kasih, jadi Cik Normah tetap hendak paparkan ceritanya dalam ruangan yang boleh tahan glamor ini.

Lagi pun perkara ini juga turut diperkatakan peminat setia ruangan ini iaitu Miss Sukhinova yang mengirimkan e-mel kepada Cik Normah mengadu mengenai tudung penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza yang dilihatnya semakin lama semakin ke belakang sehingga menampakkan sebahagian rambutnya.

Kata Miss Sukhinova lagi, memanglah sebelum ini Siti tidak menutup keseluruhan rambutnya, tetapi tak adalah macam sekarang yang menurut pandangan matanya tidak manis. Bebelnya lagi, kalau begitulah fesyen tudung Siti sejak kebelakangan ini, baik dia buka terus tudung atau selendang yang menghiasi kepalanya itu.

Lagi pun Siti akan lebih cantik jika dia kembali dengan imej terdahulu.

Wah! Panas betul kata-kata yang disiarkan dalam e-mel itu. Banyak juga sebab yang diberikan, cuma Cik Normah tak mahu siarkan saja bimbang ruangan ini terbakar pula. Cik Normah kalau boleh tak mahu ikut campur tangan dalam hal seperti ini.

Cik Normah pun tak bertudung dan masih lagi berkebaya ketat atau kadang-kadang memakai skirt kalau berjalan ke sana sini. Bagi Cik Normah terpulang kepada Siti hendak memakai tudung yang bagaimana. Lagi pun sebelum ini Siti pernah berkata yang dia akan memakai mengikut keselesaan sendiri.

Tak apalah Siti, anggap sajalah teguran itu sebagai sesuatu yang positif daripada peminat setia.

Yang pasti, Cik Normah tak sabar nak dengar album terbaru Siti yang berjudul Lentera Timur. Khabarnya album itu akan berada di pasaran pada 26 Disember ini. Pada peminat Siti tu, jangan lupa dapatkan album itu di pasaran tau.

Berita Harian

15
Dec

Tarikan Suara Buluh Perindu

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Lontaran dan kawalan vokal yang baik, penampilan yang menarik serta aura yang terserlah raih tumpuan penonton

TIDAK ramai penyanyi tanah air masa kini yang mampu membuatkan tetamu sesuatu majlis berhenti menjamu selera sebaik saja mereka melontarkan suara menyanyikan sesebuah lagu.

Sering kali, kelihatan tetamu yang datang bagai tidak menghiraukan kemunculan penyanyi undangan, tatkala mereka sibuk menikmati hidangan ataupun berbual bersama rakan. Faktor kehebatan vokal, pemilihan lagu, penampilan dan sebagainya mungkin antara sebab mengapa kebanyakan penyanyi gagal menguasai sesuatu majlis yang menampilkan mereka sebagai artis undangan.

Namun, keadaan berbeza buat permata dunia muzik tempatan, Datuk Siti Nurhaliza. Wanita anggun ini mempunyai kuasa untuk menghentikan selera makan tetamu, dek kelunakan suara buluh perindunya. Ketika yang sama, tidak kurang mereka yang terpegun dengan kejelitaan penyanyi ini yang bagaikan seiring dengan kemerduan suara dimiliki.

Pada majlis makan malam gala Franc Vila, jenama jam mewah terkemuka dari pencipta berasal dari Sepanyol itu, Siti sekali lagi memukau hadirin dengan kelunakan suaranya sewaktu mengalunkan tujuh lagu pilihannya pada malam berkenaan.

Sebaik saja sekumpulan peragawan dan peragawati menamatkan langkah mereka menggayakan pelbagai reka bentuk menarik jam jenama berkenaan, termasuk koleksi El Bandido, tetamu yang hadir tiba-tiba memberikan perhatian kepada penyanyi ini yang menuruni tangga bergerak sambil menyanyikan lagu Nirmala diiringi beberapa penari.

Selama 40 minit berikutnya, tepukan demi tepukan diterima puteri pop Malaysia ini sebaik saja dia menamatkan persembahan yang bermula kira-kira jam 10 malam.

Kelihatan juga sebahagian tetamu meninggalkan meja makan untuk menonton dengan lebih dekat aksi artis yang paling banyak menerima anugerah di Malaysia itu.

Pada malam berkenaan, isteri ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini memilih untuk menghiburkan tetamu termasuk Tuanku Pemangku Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Puan Muda Negeri Sembilan, Tunku Nurul Hayati Tunku Bahador, bersama seleksi lagu berbahasa Melayu dan Inggeris, sesuai dengan suasana majlis itu sendiri.

Selepas Nirmala, penyanyi wanita paling masyhur tanah air itu meredupkan keadaan dengan irama cinta nyanyian asal Beyonce, Flaws and All, diikuti rentak segar sepanjang zaman, Getaran Jiwa dan lagu merdu When You Tell Me That You Love Me.


SITI menyampaikan tujuh lagu pada persembahannya sempena majlis makan malam gala Franc Vila.

Penyanyi ini tidak lupa menghangatkan suasana bersama lagu rancak petikan album Hadiah Daripada Hati, Ku Mahu, sebelum mengundang peniup seruling terkenal, Andrea Griminelli, mempersembahkan lagu Legenda bersama-samanya. Siti mengakhiri nyanyiannya dengan lagu malar hijau nyanyian Oleta Adams, Get Here.

Faham atau tidak barisan lirik yang dinyanyikan Siti, semua itu tidak menghalang hadirin berhibur dan terpesona bersama persembahannya. Betapa, lontaran dan kawalan vokal yang baik, penampilan yang menarik serta aura yang terserlah mampu meraih tumpuan tidak berbelah bagi buat penyanyi ini.

Sekali-sekala Siti mencelah di antara lagu dengan bicara ringkasnya, sama ada berterima kasih kepada tetamu yang setia bersamanya atau memperkenalkan irama pilihan berikutnya. Berkomunikasi dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu, Siti tampak selesa dan penuh yakin sepanjang berada di pentas utama.

Maka usah cemburu jika artis dari Kuala Lipis ini akhirnya berupaya mengumpul rezeki yang bukan sedikit hasil nyanyiannya kerana dia ada magis yang jarang sekali dimiliki kebanyakan artis di luar sana. Lagi pun, tiada makna sambil lewa dalam bekerja buat penyanyi ini.

Nyata, kemunculan wanita berbakat besar ini di pentas persembahan melengkapkan acara makan malam penuh gemilang berkenaan. Tetamu yang kebanyakannya segak dan menawan dalam busana hitam serta merah, sesuai tema acara, bukan hanya dijamu dengan lima hidangan istimewa daripada tukang masak yang diterbangkan khas oleh Franc, Chef Evaristo Miralles, dari Valencia, Sepanyol, mereka juga dihidangkan dengan sebuah persembahan yang benar-benar memikat.

Siti ialah antara penyanyi yang diundang menjayakan A Journey Through Time II yang dipersembahkan oleh Starhill Gallery. Acara yang berlangsung selama 11 hari bermula 4 Disember itu turut menyaksikan persembahan artis antarabangsa, Russell Watson (4 – 7 Disember) dan Andrea Griminelli (11 – 14 Disember).

Seorang lagi bintang tempatan, Ning Baizura, turut beraksi selama dua malam, pada 8 dan 9 Disember.

A Journey Through Time II ialah acara pameran dan jualan jam tangan serta barangan perhiasan daripada jenama mewah terkenal dunia. Selain Franc Vila, antara jenama yang mengambil bahagian pada kali ini ialah Blu, Bvlgari, Chronoswiss, Chopard, Girard-Perregaux, Gucci, Harry Winston, Jean-Mairet & Gillman, Louis Vuitton, Panerai, Rolex, Scalfaro, Visconti, Boucheron, Korloff, Mouawad dan banyak lagi.

Turut hadir pada majlis makan malam berkenaan ialah Pengarah Urusan Kumpulan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Luxury Concepts, Frank Low.

INFO: Album studio Siti

1996: Siti Nurhaliza

1997: Siti Nurhaliza II

1997: Cindai

1998: Adiwarna

1999: Pancawarna

1999: Seri Balas (duet bersama Noraniza Idris)

2000: Sahmura

2001: Safa

2002: Sanggar Mustika

2003: E.M.A.S

2003: Anugerah Aidilfitri

2004: Prasasti Seni

2006: Transkripsi

2007: Hadiah Daripada Hati

Album rakaman secara langsung:

2001: Konsert Mega Siti Nurhaliza, Bukit Jalil 2001

2002: Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza – Untukmu Sudir

2004: Siti Nurhaliza Live In Concert 2004

2005: Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall London

Berita Harian

14
Dec

Kenali Gaya: Potongan Baju Tentukan Imej Badan

Kebaya Malindo mengelak tubuh nampak gempal manakala efek seperti kipas dibuat pada leher jadi titik tumpu baju

Soalan :
SAYA berusia 27 tahun dan bakal melangsungkan perkahwinan awal tahun depan. Ketika majlis persandingan di sebelah pihak saya (perempuan), saya merancang untuk menempah sepasang baju dan sepasang lagi untuk dipakai ketika bersanding di pihak lelaki. Untuk makluman, saya berkulit cerah, tinggi 157 sentimeter (sm) dan memiliki bentuk tubuh pear (ukur lilit pinggang sekitar 30 sm dan pinggul 38 sm). Saya bercadang untuk menggayakan kain renda berwarna keemasan pada majlis saya dan renda warna krim bersama songket coklat ketika majlis di pihak lelaki.

Adakah pilihan warna itu akan menampakkan saya gempal? Harap saudara dapat melakarkan fesyen sesuai untuk saya yang bertudung.

Anonymous, melalui e-mel

Jawapan:
Bagi menghasilkan busana perkahwinan, pemilihan warna bukan satu masalah atau faktor yang membuatkan anda kelihatan gempal.

Sepatutnya anda memilih warna sesuai tona kulit dan tema majlis, serta suasana dan faktor sekeliling majlis itu. Untuk mengelakkan anda kelihatan gempal pastikan anda mendapatkan rekaan baju sesuai potongan badan.


Jovian Mandagie

Potongan sesuatu baju itu akan menentukan imej badan anda pada hari perkahwinan kelak. Sebaik-baiknya buat gaya baju yang banyak menutup kekurangan badan dan lebih menonjolkan bahagian yang dirasakan menjadi aset anda.

Lakaran kali ini dibuat berkonsepkan Malindo, inspirasi daripada pertembungan gaya dari Malaysia dan Indonesia. Potongan kebaya dibuat tidak terlalu pendek tapi menutupi bahagian pinggul yang bersaiz besar.

Supaya kekurangan badan anda terlindung dari pandangan mata, efek seperti kipas dibuat pada leher pula menjadi titik tumpu pada baju.

Padanan kain renda dan songket sudah tentu menaikkan seri baju anda namun pastikan kedua-dua bahan tidak diadun keterlaluan sehingga menimbulkan kekusutan pada mata pengunjung yang hadir.

PROFIL: Jovian Mandagie

Usia : 22 tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing

Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.

Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

13
Dec

Konsert Jom Heboh Dua Generasi

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

Rap
KONSERT ‘Jom Pi Penang’ di perkarangan Stadium Batu Kawan, Nibong Tebal minggu lalu bersempena Karnival Jom Heboh TV3, cukup istimewa apabila menggabungkan dua generasi muzik di satu pentas.

Garapan gabungan elemen irama 60-an dan era terkini menghiburkan pengunjung apabila penyanyi evergreen, Jeffrydin dan vokalis Kristal, Razlan berkongsi pentas dengan lagu lama, Kenanganku yang diberi sentuhan irama muzik terkini.

Persembahan yang disaksikan lebih 30,000 penonton itu juga adalah konsert terbesar Jom Heboh sepanjang tahun ini selepas Melaka, Perlis, Kuala Lumpur, Johor Bharu, Kuantan dan Sarawak.

Kehadiran Jaclyn Victor, Stacy, Nubhan, Awie, Fazli Zainal dan penampilan pertama, Farahdhiya di samping Ally Iskandar sebagai pengacara, mendapat sorakan dan tepukan gemuruh.

Kemunculan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Stacy dengan dua lagu, Aku Stacy dan When I Grow Up dengan penuh bertenaga serta kawalan vokal yang mantap, benar-benar membuatkan penonton bersemangat untuk terus berhibur.

Pentas bagaikan hampir runtuh apabila Stacy bersama penari iringannya menunjukkan kebolehan menari lagu irama rancak di setiap pelusuk pentas.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan Farahdhiya yang kini lebih dikenali sebagai pelakon menerusi siri Spa-Q. Agak lama tidak menyaksikan gadis kacukan Melayu-Inggeris ini di pentas.

Turut memeriahkan persembahan, Fazli Zainal dengan lagu Mentera Sakti diikuti bintang AF6, Nubhan yang menggantikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang tidak dapat hadir selepas menerima berita kematian bapa mentuanya, Mohammad Jiwa Abdullah pada pagi 22 November lalu.

Bintang muda dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menyampaikan dua lagu termasuk lagu popular Othman Hamzah dan Jamal Abdillah iaitu Gadis Melayu dan lagu yang menaikkan namanya, Ada Untukmu.

Selain persembahan bersama Kristal, Jeffrydin juga membuktikan orang lama tetap ‘berbisa’ apabila menyampaikan lagu pop yeh yeh, Siti Haida dan Mas Mona diiringi band pimpinan Edrie Hashim. Suasana pekarangan stadium bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Kehadiran vokalis Wings, Awie dengan gaya rocker sambil memakai topi koboi menyampaikan lagu Layang-Layang Terputus Tali dan Terima Kasih tambah menghangatkan suasana.

Awie sempat berseloroh dengan penonton apabila muncul sebagai Drakulat Van Listerooy, wataknya dalam filem Antoo Fighter. Dia mengejutkan penonton dengan kehadiran Drakulat yang muncul tiba-tiba menyanyi di pentas.

Selain Awie, turut mempromosikan Antoo Fighter arahan Azizi Chunk Adnan ialah kumpulan baru, Cap Ayamz yang dianggotai Azizi sendiri bersama Asrulhisyam Ahmad (Black), Delaila Adnan, Rashidi Rashid dan Jebon dengan lagu Hidup Satu Perjuangan.

Kumpulan yang menyanyikan lagu dari filem Antoo Fighter itu menjadi pembuka tirai persembahan konsert. Mereka kini sibuk dengan promosi filem terbaru Grand Brillance Sdn Bhd (GBSB) yang ditayangkan di pawagam sejak 27 November lalu.

Dengan kehadiran kostum wira penentang jembalang menghangatkan pentas konsert ditambah aksi bersahaja Ally Iskandar memakai kostum berkenaan disambut gelak ketawa penonton.

Fazli Zainal, Farahdhiya dan Jaclyn Victor mengambil tempat dengan lagu Lambaian dan Jatuh Cinta diikuti Bertahta Di Hati daripada Farah Dhiya serta vokal mantap juara Malaysia Idol (MI) dengan lagu Mercy, Dambaran Cinta dan Satu Harapan.

Jaclyn turut berpadu suara dengan Stacy dengan lagu Persembahan Dari Hati sebelum persembahan terakhir Kristal dengan lagu Seragam Hitam, Memburu Impian dan lagu kontroversi Cinta 3 Segi.

Persembahan bunga api selama lima minit sambil diiringi lagu tema Jom Heboh dinyanyikan barisan artis menjadi penutup tirai tepat jam 11 malam.

Pulau Pinang menjadi lokasi kedua terakhir Karnival Jom Heboh sebelum penutup di Bukit Jalil pada 20 dan 21 Disember ini.

Karnival meriah ini turut meraikan majlis penyerahan sumbangan Tabung TV3 Bersamamu kepada dua rumah kebajikan iaitu Wisma Yatim Perempuan dan Pemulihan Dalam Komuniti, Kampung Pertama yang masing-masing menerima RM10,000.

Majlis Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Mengulas mengenai Jom Heboh 2008, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin berkata, TV3 bersyukur kerana Jom Heboh masih diminati dan terus dikunjungi.

“Lebih menggembirakan apabila melihat orang ramai bersama keluarga mempunyai satu tempat riadah serta mengisi waktu lapang sambil menikmati pelbagai aktiviti, permainan, jualan dan sebagainya.

“Seperti tahun lalu, TV3 turut menjalankan tanggungjawab khidmat masyarakat dengan menyediakan Tabung TV3 Bersamamu di semua lokasi Jom Heboh 2008.

“Tabung ini dibawa kakitangan TV3, artis dan personaliti di sekitar pekarangan dan gerai bagi memudahkan pengunjung menghulurkan derma ikhlas mereka dan hasil kutipan itu disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Harian Metro