Ning Bukti Kemampuan
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Rap
SEBULAN merencana kerjaya seni sendiri sejak ketiadaan bekas pengurusnya, Vernon Kedit Jolly, penyanyi popular Ning Baizura Hamzah sudah mula belajar erti hidup berdikari.
Memang tidak mudah mengatur semuanya sendiri, namun, Ning, 33, lebih suka melihat cabaran baru itu dari sudut positif.
Katanya, pada peringkat awal dia berasa perit untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab berat itu. Manakan tidak, Ning pernah tidur jam 6 pagi setiap hari semata-mata untuk menyiapkan kertas kerja satu projek syarikat.
“Sudah 16 tahun saya bergantung kepada pengurus (Vernon) untuk menguruskan kerjaya seni dan baru sekarang saya ingin berdikari.
“Saya juga berhadapan dengan tekanan yang tinggi tanpa pengurus. Namun, dalam mengejar visi menjadi artis yang berjaya, saya kena belajar lebih banyak lagi.
“Contohnya, untuk menghadiri sidang akhbar saya terkejar-kejar kerana terpaksa bersolek, buat rambut dan cari baju sendiri. Malah, saya juga perlu memandu sendiri ke majlis ini.
“Saya beruntung kerana suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton cukup memahami kepayahan ketika ini. Sokongan padu suami dan keluarga terutama ibu, Satilah Abdullah, 65, menjadi kekuatan saya untuk terus maju ke hadapan,” katanya.
Ning berkata, inilah masa baginya untuk membuktikan kemampuan bekerja dan menggapai kejayaan dalam kerjaya seni dan perniagaan. Berbanding dulu, peminat Ning kini sudah boleh menghubunginya secara terus tanpa melalui orang tengah.
“Rata-rata khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada peminat semuanya positif dan tidak ada satu pun yang negatif. Saya juga tidak ingin menipu peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seni dari belakang.
“Masing-masing beri semangat dan sokongan untuk terus maju dan tabah berhadapan dengan dugaan mendatang dalam kerjaya seni. Saya terpaksa lebih agresif kerana semuanya diuruskan sendiri.
“Pelanggan syarikat kini boleh berhubung secara terus dengan saya. Contohnya, selepas menjayakan rakaman Zoom In baru-baru ini, penganjur terus datang berjumpa saya dan memberikan maklum balas mereka. Itulah caranya untuk saya membaiki kelemahan dan kelebihan diri,” katanya.
Ning yang juga Pengarah Urusan HappeNings (M) Sdn Bhd ini mengakui, semakin selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri.
“Saya tidak terfikir langsung untuk mencari pengurus baru selepas ini. Saya yakin, saat ini paling tepat untuk saya hidup berdikari dan mengejar banyak lagi impian yang belum tercapai dalam kerjaya seni.
“Saya perlu buat perubahan itu untuk lebih produktif ke arah menjadi ahli perniagaan berjaya pada masa depan.
“Ramai bertanya, kenapa tiba-tiba saya hendak berdikari? Jawapan saya mudah saja, keutamaan kerjaya saya berbeza dengan apa yang dibincangkan bersama pengurusan (Ning & Associates Sdn Bhd) yang lalu. Apatah lagi saya sudah berkeluarga.
“Haluan saya dengan Vernon juga berbeza. Jika Vernon menggalakkan kemunculan artis baru, visi saya pula ingin mendalami bidang nyanyian dan perniagaan demi jaminan masa depan. Saya ingin menubuhkan produksi sendiri dan buat kerja belakang tabir,” katanya.
Pada masa sama, Ning juga menafikan suaminya menjadi dalang dalam membuat keputusan untuk hidup berdikari. Tegas Ning, seperti artis lain yang sudah berkahwin, Omar tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.
“Dia sentiasa menyokong saya dalam waktu susah mahupun senang. Terus terang, suami tidak mempengaruhi saya buat keputusan ini kerana dia memang tidak berminat untuk menguruskan kerjaya seni saya kerana dia mempunyai kerjayanya sendiri.
“Saya juga tidak sampai hati untuk meminta ibu sentiasa menemani saya menghadiri majlis dijayakan kerana dia sudah tua dan mencecah usia 65 tahun,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai syarikatnya, Ning berkata, syarikatnya juga terbabit dalam menyediakan khidmat pengurusan acara.
“Selain program hiburan Zoom In, syarikat saya juga terbabit dalam tiga dan empat lagi persembahan yang kami uruskan sendiri.
“Syarikat saya juga membekalkan sistem bunyi dan pencahayaan serta mempunyai studio rakaman sendiri yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Semuanya itu adalah perancangan untuk masa depan saya dan keluarga.
“Saya juga tidak kisah untuk bermula dari bawah. Sayalah pengarah urusan, pengurus, penyanyi dan kakitangan syarikat. Menerusi pengalaman sedia ada, saya kini belajar selok- belok baca kontrak dan lebih teliti dari aspek pemasaran dan perhubungan awam syarikat. Saya berasa puas bila semua keputusan penting saya buat sendiri,” katanya.
Ning yang ditemui ketika sidang akhbar A Journey Through Time 2008 di The Ritz Carlton Kuala Lumpur, kelmarin, bakal beraksi dalam persembahan di Starhill Gallery pada 8 dan 9 Disember nanti. Ning bakal menggayakan gaun dari Valentino atau Fendi dalam persembahannya nanti.
Artis popular lain yang terbabit menjayakan persembahan itu ialah Datuk Siti Nurhaliza pada 10 Disember, penampilan artis antarabangsa Russell Watson (4 hingga 7 Disember) dan Andrea Griminelli (11 hingga 14 Disember).
Kata Ning, dia cukup teruja untuk menjayakan persembahan selama sejam itu kerana sekali lagi diberi peluang menghiburkan penonton selepas menjayakan persembahan sempena A Journey Through Time tahun lalu.
“Saya akan menyampaikan enam hingga tujuh lagu termasuk beberapa medley dengan iringan muzik secara langsung oleh Alvin Santiago serta lagu dendangan Frank Sinatra, filem James Bond, Sepanyol, Itali dan Cina yang sesuai dengan majlis yang gemilang ini.
“Saya juga akan tampilkan peniup saksofon dan empat penyanyi latar. Tidak ketinggalan, saya akan menyampaikan satu lagu sendiri, single kedua, Embunan Sinar (lagu Alvin/lirik Tessh RS). Single itu juga diterbitkan syarikat saya sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ning berkata, dia tidak merancang untuk tampil dengan album penuh dalam kegawatan pasaran album dan ekonomi yang merudum ketika ini. “Saya tidak akan buat album penuh kerana tahu ia tidak boleh dijual dalam keadaan sekarang. Single pertama saya pula akan dilancarkan pada 17 Januari depan. Mungkin saya akan tampil dengan lima single dulu dan selepas itu baru merancang untuk buat album penuh pula,” katanya.
Sebelum ini, Ning pernah muncul dengan album Inggeris, East Meet West tapi ia tidak berjaya seperti diharapkan.
Sesibuk mana sekalipun merencana kerjaya seni dan perniagaan, Ning tidak sekali-kali mengabaikan rumah tangganya.
“Kami bahagia sekalipun belum mempunyai cahaya mata lagi. Seperti pasangan lain, kami juga ingin mempunyai anak dalam tempoh terdekat tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi. Saya juga cemburu bila melihat Erra Fazira sudahmengandung tapi pada masa sama tumpang gembira dengan kebahagiannya,” katanya.
Harian Metro