Wayang Wakili Malaysia Ke KLIFF2008
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

JAWATANKUASA KLIFF dari kiri Ahmad Puad, Mustafa,
Ab Rauf, Mohd
Mahyidin, Hans Isaac
dan Wafa bersama
trofi KLIFF2008.
Filem arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan tepati tema festival Meraikan Kepelbagaian Budaya
FILEM Wayang arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan dipilih mewakili negara ke Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) 2008 daripada 12 buah filem tempatan lain yang dihantar tahun ini.
Sebelas buah lagi filem tempatan iaitu Pensil, Wayang, Anak Halal, Sepi, Cuci, Duyung, Apa Kata Hati, Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift, Susuk dan Congkak pula akan dipertontonkan untuk tayangan umum pada festival yang bakal berlangsung dari 26 hingga 29 November itu nanti.
Pengarah KLIFF, Wafa Abdul Kadir, berkata Wayang dipilih kerana menepati tema festival iaitu Meraikan Kepelbagaian Budaya. Filem berkenaan akan berentap dengan empat lagi filem Asia lain untuk merebut kategori khas yang dikhususkan kepada penggiat filem Asia, Filem Asia Terbaik.
Wayang bakal bersaing dengan filem Captain Abu Raed dari Jordan; Hamoon Va Darya dari Iran; Uri Saengae Choego-Ui Sungan dari Korea Selatan dan filem dari Taiwan Hai Jiao Qi Hao. Hadiah yang ditawarkan bagi kategori ini ialah trofi, sijil penyertaan serta wang tunai bernilai RM5,000.
Menurut Wafa, buat pertama kalinya KLIFF menyediakan hadiah wang tunai untuk semua kategori berbanding satu kategori pada penganjuran pertamanya yang lalu iaitu untuk kategori Filem Terbaik. Katanya, walaupun jumlah berkenaan kecil tetapi ia tetap memberi makna kepada delegasi yang berjaya.
“Walaupun hadiah wang tunai yang ditawarkan kecil tetapi kami berharap dengan menawarkan hadiah berupa wang tunai, lebih banyak lagi penyertaan akan diterima. Bagaimanapun sebelum menawarkan hadiah wang tunai lagi, penyertaan yang kami terima amat memberangsangkan iaitu sebanyak 191 karya berbanding 122 tahun lalu.
“Pemberian wang tunai adalah satu kelainan yang cuba kami bawakan tahun ini. Sesetengah anugerah langsung tidak memberi sebarang hadiah tetapi KLIFF menyediakan trofi dan wang tunai untuk memberi semangat kepada peserta,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai Top 5.
Turut hadir pada sidang media yang berlangsung di Bilik Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu ialah Pengerusinya Datuk Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Bersama KLIFF, Mohd Mahyidin Mustakim; Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puah Onah, Datuk Mustafa Maarof dan Hans Isaac.
Sebanyak lima benua menyertai KLIFF kali ini iaitu lima karya mewakili Afrika, lima daripada Asia, tiga dari Eropah, lima dari Amerika Utara dan empat lagi dari Amerika Selatan. Katanya lagi, kebanyakan filem yang menyertai KLIFF kali ini adalah filem baru yang dibuat khusus untuk menyertai festival ini ataupun yang masih belum ditayangkan di negara asal mereka.
Sebanyak 22 buah filem cereka bertanding tahun ini untuk 16 kategori yang dipertandingkan iaitu Filem Terbaik Asia, Filem Terbaik Afrika, Filem Terbaik Eropah, Filem Terbaik Amerika Utara dan Filem Terbaik Amerika Selatan. Manakala kategori lain yang dipertandingkan ialah Pengarah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Sistem Bunyi Terbaik, Sutradara Terbaik, Skor Muzik Terbaik dan Anugerah Khas Juri yang akan menerima hadiah berupa trofi, sijil penyertaan dan wang tunai bernilai RM 3,000. Bagi filem terbaik keseluruhan, hadiah wang tunai bernilai RM 20,000 menanti pemenang.
Sementara tiga lagi anugerah iaitu Dokumentari Terbaik, Animasi Terbaik dan Filem Pendeka Terbaik pula akan diumumkan pada malam pembukaan iaitu pada 26 November bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Manakala acara kemuncaknya pula akan berlangsung di PWTC pada 29 November bakal menyaksikan artis terkenal tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goslow, Yusry, kumpulan Lady Like dari Sweden, Ning Baizura, Point Blank, Dafi, Zahid dan juga Suki. Beberapa artis popular antarabangsa juga sudah mengesahkan kehadiran mereka iaitu Mallika Sherawat, Tanaka Chie (Jepun), Van Fan (Taiwan) dan Rano Shodiyeva (Uzbekistan).
Berita Harian