Dunia Seni Jadikan Izwan, Fazli Akrab
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Fazli Zainal dan Izwan Pilus (kanan).
Kedua-duanya menyokong satu sama lain biarpun bersaing sengit dalam arena nyanyian
IZWAN Pilus dan Fazli Zainal memang sudah lama mengenali antara satu sama lain, sejak belum berada di persada seni lagi. Ketika itu, Fazli menyanyi di kelab bersama Reza AF3 dan Farish One In A Million yang juga teman kepada Izwan.
Biarpun ketika itu, Fazli dan Izwan bukanlah teman rapat, namun hari demi hari ketika mula berada di arena yang sama, hubungan itu bercambah menjadi lebih rapat.
Menurut Izwan, Fazli, Farish, Reza dan dua pelakon Que Haidar dan Fizz Fairuz sudah lama dikenali sebelum masing-masing membabitkan diri sebagai anak seni. Persaingan sihat memacu kerjaya sebagai artis dijadikan satu landasan terbaik untuk sama-sama memahat nama.
“Secara jujurnya, pada peringkat perkenalan, kami bukanlah rapat macam sekarang. Dulu kami sering bercanggah pendapat, lama-kelamaan kami menjadi serasi dan ia terjadi menerusi bidang nyanyian yang kami ceburi,” kata Izwan sewaktu ditemubual selepas selesai mengikuti rombongan ke Sabah dalam konsert anjuran LFI Event & Entertainment pertengahan Oktober lalu.
Izwan dan Fazli juga tidak pernah lepas daripada kontroversi dan itu menjadi rencah yang terus menghangatkan nama mereka. Isu yang pernah diperkatakan khalayak adalah gaya dan penampilan mereka.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak melihat isu itu sebagai sesuatu yang meremehkan kerana zaman sekarang bukan hanya wanita saja yang mementingkan kecantikan.
Hakikatnya, bagi Izwan dia sebenarnya lebih selesa tampil tanpa solekan, namun demi sebuah kerjaya dan agar nampak menarik di depan kamera, dia akur wajahnya juga perlu dihias. Izwan tidak melihat lelaki bersolek sebagai satu kesalahan kerana sebahagian daripada kerja selebriti ialah menjaga penampilan serta imej di hadapan khalayak ramai.
“Saya bersolek kerana saya bekerja dan ia menjadi sensasi apabila mula diperbesar-besarkan cerita mengenainya. Masyarakat sekarang lebih terbuka dan tidak janggal langsung kalau melihat perkara ini. Sebelum jadi artis, saya tidak biasa memakai solekan. Saya tidak selesa mengenakan solekan dalam keadaan panas terik dan berpeluh.
“Dalam majlis tertentu, saya kena bersolek tebal terutama di depan kamera sekali gus menutup cela di kulit muka. Jika menghadiri persembahan luar, saya hanya meletakkan solekan nipis sebagai syarat saja. Berbanding menggunakan alat solekan, saya lebih memilih untuk memakai makanan tambahan seperti vitamin C dan E yang bagus untuk penjagaan kulit. Manakala vitamin D untuk tulang yang kuat,” ungkap Izwan yang juga berbakat sebagai pengacara.
Fazli dengan single Kalbu
SELEPAS album Harapan, Fazli kini bagaikan tidak sabar untuk menanti kemunculan single terbarunya, Kalbu cintaan Azlan Abu Hassan.
Selain Kalbu, lagu lain yang sudah siap dan dirakam oleh penyanyi berusia 31 tahun itu ialah Ratapan Syawal, Doa Kerinduan dan Lambaian lagu tema Tabung Darfur. Selain komposer tempatan, dua lagu ciptaan komposer Indonesia ciptaan Tengku Shafik dengan satu daripadanya berjudul Lelaki Sempurna.
“Selain sibuk memenuhi undangan membuat persembahan, saya tengah menyiapkan album kedua. Jika album pertama sudah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-14, saya mahu terus mengekalkan kualiti pada album seterusnya. Saya mahu mencari kelainan dalam album kedua, termasuk dari aspek vokal dan susunan muzik.
“Tidak timbul soal apabila saya memuatkan lagu komposer luar, ia dijadikan sebagai istilah pilihan utama sedangkan saya lebih suka menggunakan istilah menyelit lagu luar di dalam album. Kepelbagaian lagu lain selain komposer tempatan, menitikberatkan kualiti dan sebagai pilihan kepada stesen radio. Saya masih menjadikan lagu tempatan sebagai single pertama (merujuk kepada lagu Kalbu).
“Idea meletakkan lagu raya iaitu Ratapan Syawal di dalam album kedua ialah sebagai matlamat jangka panjang,” kata Fazli yang sudah melalui persada seni selama tiga tahun sejak 2006.
Fazli yang dilihat semakin berisi lebih gemar mendapat publisiti di media apabila ada bahan kerjaya yang boleh dikongsi bersama.
“Biarlah saya hanya difokus pada kerjaya berbanding hal peribadi. Lagipun tiada hal peribadi yang menarik pun daripada saya. Jika tiada cerita, saya lebih gemar berdiam diri. Jika ada rezeki lebih, saya lebih gemar menggunakan wang itu untuk mengerjakan ibadat di Makkah. Rezeki, Insya-Allah sentiasa ada di mana-mana diiringi usaha. Tapi soal beribadat, kalau Tuhan sudah mencabut nyawa kita, tidak sempat pula nanti,” kata Fazli yang telah menunaikan umrah sebanyak dua kali pada tahun 2007 dan merancang menunaikan haji pada tahun depan.
PROFIL: Izwan Pilus
Nama sebenar Kharil Izwan Pilus. Beliau lahir daripada Bintang RTM pada 2004. Pernah disenarai sebagai Finalis Anugerah Berita Harian 2005 dan Finalis Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-14. Lagu popularnya ialah Indah Lelapku dan Kembali Senyum. Selain menyanyi, Izwan turut bergelar pengacara untuk program Bintang RTM 2005 dan 2007, Santai@1, Hitz 1, Katakan. Izwan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia.
PROFIL: Fazli Zainal
Nama sebenar Fazli Zainal. Umur: 31 tahun Tarikh lahir: 26 Disember 1977 Hobi: Bermain boling dan melayari internet Pencapaian: Finalis AIM14, kategori Artis Baru Terbaik dan Album Pop Terbaik, finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Artis Baru Lelaki Popular, finalis Anugerah Juara Lagu 22, kategori Balada lagu Harapan. Artis undangan konsert Tan Sri P Ramlee & Puan Sri Saloma oleh Datuk Siti Nurhaliza Menyanyi kelab selama lapan tahun
Berita Harian