Malam Prestij Untuk FFM21
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

PRIMADONA filem Melayu moden, Erra Fazira juga akan menjadi tetamu penting di FFM21. Selain itu, Umie Aida, Fazura juga akan muncul dengan gaya yang mempersonakan. Sean Ghazi akan memunculkan suara emasnya di pentas persembahan acara kemuncak.
Untuk malam anugerah kemuncak Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang bakal berlangsung pada 9 Ogos nanti, sudah pasti tidak seorangpun yang mahukan sebarang kesilapan, kecacatan mahupun salah perhitungan yang tidak disengajakan.
Pendirian pihak penganjur, Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) mahupun penyiar rasmi, Astro yang bertindak sebagai saluran rasmi agar FFM21 ini menjadi satu titik yang bersinar adalah tanda dunia perfileman Malaysia sudah berada diprestij yang utuh, yang tidak menjunam jika dijentik seribu tohmahan.
Pada penganjuran, khususnya malam kemuncak pada FFM20 dan 19 yang sejak dua tahun sudah dikendalikan Astro sebagai penyiar, banyak yang cuba dan telah dilakukan untuk memanggil khalayak ramai sebagai penonton.

REKAAN pentas yang cukup kreatif menjadi salah satu tarikan utama kepada tetamu yang hadir memeriahkan acara.
Dan pada pukul 8.30 malam, 9 Ogos nanti, sekali lagi sokongan seluruh khalayak yang mengaku mereka sebagai pencinta filem diseru agar tidak melepaskan peluang sekali setahun ini.
“Jika dua tahun ada kesilapan atau perkara yang tidak memuaskan hati banyak pihak tentang malam anugerah FFM, untuk kali ini, kita harap segalanya boleh diatasi,” ujar Presiden Gafim, Datuk Mustapha Maarof yang bertindak sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk FFM21.
Tidak mahu malam anugerah sekadar meraikan para karyawan dan filem terbaik dengan pengagihan trofi semata-mata, FFM21 ada agenda supaya malam kemuncak yang bersiaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) disemadikan sebagai acara penuh prestij dalam sejarah penganjuran FFM yang sudah bermula sejak tahun 1980.
KHAIRUL MIZAN SHAGUL.
“Bukan sahaja menjanjikan satu produksi yang menarik, berbanding tahun lepas, tahun ini ada kelainan yang cuba kami lakukan.
“Yang paling ketara, acara penyampaian anugerah bagi para pemenang tahun ini akan disampaikan oleh barisan pemenang anugerah FFM terdahulu.
“Sebagai contoh, Azean Irdawaty yang pernah diangkat sebagai Aktres Terbaik pada FFM yang pertama akan dijemput sebagai penyampai bagi anugerah Pelakon Wanita Terbaik tahun ini,” beritahu Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada majlis sidang media FFM21, baru-baru ini.
Antara barisan penyampai anugerah yang dijangka memeriahkan malam kemuncak FFM21 adalah, Umie Aida, Erra Fazira, Eman Manan, Rusdi Ramli, Vanida Imran, Zamarul Hisham, Fazura, Aziz M. Osman, Shuhaimi Baba, Daruk Rahim Razali, Datuk Yusuf Haslam, Datuk Jins Shamsuddin, Saiful Apek, Erma Fatima, Badaruddin Azmi serta ramai lagi.
Tidak sekadar diserikan oleh muka-muka terbaik yang pernah menjulang trofi FFM, elemen persembahan yang menjadi pemanas bahkan dilihat sebagai kemuncak juga dititik-beratkan.
Selain 23 anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mencakupi filem cereka, animasi, iklan, pendek dan digital, malam kemuncak FFM21 juga akan memberi penghormatan dengan penyampaian anugerah khas juri.
Turut disampaikan empat lagi anugerah khas iaitu Anugerah Box-office, Anugerah Belakang Tabir, Anugerah Veteran Wanita dan Anugerah Veteran Lelaki.
Masih juga seperti tahun-tahun sebelum ini, hiburan malam kemuncak tidak kosong tetapi diisi lagu-lagu yang pernah menjadi ‘penyedap santapan telinga’ menerusi filem-filem yang pernah kita semua saksikan sejak tahun 60-an hinggalah ke hari ini.
Menggunakan khidmat Shah Slam sebagai Pengarah Muzik, pastinya dendangan Datuk Siti Nurhaliza, Dina, Afdlin Shauki, Zaf & Lah VE, Sean Ghazi, Liza Hanim, Musly Ramlee, Atilia, Ben, Misha Omar, Erra Fazira serta bintang-bintang kelahiran AF seperti Stacy, Bob, Yazer, Zahid, Riz dan Ben pada malam kemuncak nanti sudah cukup untuk menjanjikan satu bentuk persembahan bervariasi dan penuh tenaga untuk membakar semangat FFM21 ini.

BARISAN jawatankuasa yang bertungkus lumus mahu memastikan FFM21 berlangsung tanpa sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan nama mana-mana pihak.
Tidak meletakkan sebarang tema khusus untuk busana para bintang dan karyawan yang bakal melintas di karpet merah, tetapi sudah lumrah acara anugerah sebegini, para karyawan yang hadir pastinya sudah bersedia dengan tuksedo atau gaun malam yang ditempah khas.
Tetapi alangkah manisnya, jika setiap butir bintang mahupun karyawan yang dijemput ini hadir dalam wajah santun orang berbudaya bangsa kerana namapun ini festival filem Malaysia.
Secara keseluruhannya, acara malam anugerah FFM21 yang akan disiarkan secara langsung bermula pukul 8.30 malam hingga 12.30 tengah malam, di saluran Astro Ria, 9 Ogos nanti akan dibahagikan kepada tiga segmen, Karpet Merah (8.30 malam – 9 malam), Malam Anugerah FFM21 (9 – 11.30 malam) dan Pasca FFM21 (11.30 malam hingga 12.30 tengah malam).
Kosmo
Dengarnya…: Tarikh Perkahwinan Mawi, Ikin Makin Hampir
CERIA: Wajah Ikin semakin berseri.
MACAM dah terbau-bau saja nasi minyak, Nak tau ke nasi minyak siapa? Siapa lagi kalau bukan penyanyi lelaki nombor satu yang sedang hangat bercinta dengan Ikin.
Nampaknya impian Cik Normah satu ketika dulu yang musnah untuk tengok Mawi bersanding akhirnya tercapai juga tak lama lagi. Ramai yang dah tahu pasangan itu bakal disatukan Disember nanti, tetapi setakat khabar angin saja.
Tapi baru-baru ini rakan Cik Normah berjumpa dengan kekasih hati Mawi. Katanya Mawi ada bagi ‘hint’ nak kahwin hujung tahun ini. Cik Normah masih terkenang-kenang lagi majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza yang memang meriah, tak sabar pula nak tengok penyanyi nombor satu lelaki pula atas pelamin.
Mawi bukanlah berniat nak berahsia, cuma menurut kata kekasih hatinya, Mawi mahu adakan sidang media supaya semua media dapat berita gembira itu serentak. Baguslah Mawi, Cik Normah doakan hubungan pasangan ini akan ke jenjang pelamin dan seterusnya berkekalan hingga ke akhir hayat.
Mawi pun dah tiga tahun jadi anak seni, dah tahu selok-belok dunia hiburan, jadi dia tak mahu kalau ada pihak media yang berkecil hati jika dia beritahu satu orang dan yang lain tak tahu. Mungkin lepas raya pengumuman akan dibuat. Cik Normah memang tak sabar menanti, nak tengok apakah ada siaran secara langsung akan dibuat macam majlis perkahwinan Siti dulu.
Patutlah Cik Normah tengok wajah Mawi dengan Ikin makin berseri-seri sejak akhir-akhir ini. Lebih-lebih lagi selepas pengumuman percintaan mereka dibuat. Baguslah Mawi tak payah sorok-sorok, nanti diri sendiri yang susah sebab asyik nak ‘coverline’.
Berita Harian
Semakin Cerewet,pentingkan Kualiti
Oleh HARYATI KARIM

MENGAKUI menghadapi kesukaran berlakon di bawah arahan Kabir Bhatia.
USIANYA dalam lapangan seni baru menjangkau lima tahun, sungguhpun kelihatan seperti satu jangka masa yang pendek, sebenarnya sudah berpuluh-puluh drama menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.
Paling menyerlah ialah ketika dia menjayakan watak gadis obes dalam drama bersiri Manjalara yang sekali gus meletakkan dirinya pada kelas yang berbeza daripada sebelumnya
Kewibaannya sebagai pelakon terbukti apabila terpilih untuk menjayakan pementasan teater berprestij iaitu P.Ramlee The Musical 2, menerusi watak Azizah menggantikan Siti Nurhaliza yang muncul pada musim pertama.
Semua ini membuatkan nama Emelda Rosmila Abdul Hamid mula dikenali di landasan arus perdana.
Oleh kerana itu, sebagai pelakon dia kini sudah boleh mula memilih tawaran produksi lakonan manakah yang dirasakan mempunyai kualiti daripada segi jalan cerita, pengarah dan juga produksi itu sendiri.
Menurutnya, pemilihan itu wajar kerana dia kini bukan berlakon atas tiket mahu menimba pengalaman kerana itu sudah dilalui di awal pembabitannya dalam bidang lakonan.
Kini, apa yang dimahukan Emelda adalah kualiti dan kepuasan yang hanya akan di perolehi dengan bekerja dalam produksi yang benar-benar menjaga mutu produk keluaran mereka.
Ini kerana dia sudah mempunyai pengalaman bekerja dengan antara mereka yang terbaik dalam industri seni tempatan.
“Memang sekarang saya sudah mula pilih tawaran yang berkualiti sahaja. Saya akan pertimbangkan pertama sekali skrip, jika jalan cerita bagus, seronoklah sikit berlakon.
“Kalau asyik dapat watak dan cerita yang lebih kurang sama, bukan saya saja yang bosan, penonton pun bosan tengok lakonan saya,” ujarnya.
Katanya lagi, pemilihan harus dilakukan untuk memastikan kerjayanya sebagai pelakon terus berkembang kerana bagi Emelda, dia sudah puas berlakon dalam drama yang menonjolkan jalan cerita yang lebih kurang sama berulang kali.
“Saya bukan demand, saya tidak pernah dengar cerita macam itu tentang diri saya tetapi saya memilih yang berpatutan.
“Kalau orang kata saya mula memilih tawaran itu memang benar sebab saya rasa sekarang ini masa yang sesuai untuk saya berbuat demikian,” tambahnya.
Tanpa berselindung, Emelda menyatakan rasa syukurnya kerana sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan dia sudah berjaya berlakon di samping beberapa pelakon terkenal seperti yang diidamkannya selama ini.
“Saya rasa bertuah kerana dapat berlakon dengan orang yang hebat dalam bidang lakonan, dan mereka sendiri menasihati saya supaya mula memilih tawaran yang datang.
“Bukan untuk berlagak atau pun demand, sebab ada produksi yang memberikan jalan cerita yang bagus pun memberi bayaran murah. Sekarang, saya pentingkan kualiti dan juga kepuasan diri bukannya wang semata-mata,” tegasnya.
Beritahu Emelda lagi, soal memilih tawaran lakonan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ramai juga pelakon yang lain berbuat demikian dan menegaskan pemilihan itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak lain.
“Saya bukan berlakon sebab tidak ada duit kerana itu akan menyebabkan saya berlakon main tangkap muat sahaja, tetapi saya mahu berlakon dengan penuh kesungguhan barulah watak yang saya lakonkan akan meninggalkan kesan,” bicaranya lagi mengenai pendiriannya.
Walaupun namanya semakin mekar dalam industri seni tempatan, adik kepada pelakon Emelia Rosnaida ini memberitahu, selain perubahan positif kerjayanya, dirinya tidak pernah berubah untuk menjadi orang lain.
“Kerjaya semakin berkembang, saya rasa biasa saja, masih seperti dulu, masih juga melepak dengan rakan-rakan, jika ada masa, masih buat kerja grafik seperti kad perkahwinan jika ada permintaan. Semuanya sama tidak ada yang berubah,” katanya.
Berlakon seorang diri
Seakan mahu lari daripada imejnya yang begitu sinonim sebagai Manja dalam drama Manjalara, Emelda mengambil keputusan berlakon buat pertama kalinya menerusi produksi drama genre seram, Kasihku Seru yang mula ditayangkan di TV3 pada 24 Julai lalu.
Biarpun begitu, seperti juga dalam Manjalara, drama arahan Kabir Bhatia ini mempertaruhkan sekali lagi bakat gadis berusia 28 tahun ini menerusi dua watak.
EMELDA kini berada di landasan arus perdana.
“Cerita ini agak unik sebab saya kena pegang dua watak sekali gus, sebagai orang dari zaman silam iaitu sebagai Mastura dan satu lagi watak ialah sebagai pelajar perubatan pada masa kini iaitu sebagai Marisa.
“Apa yang saya boleh katakan memang agak sukar untuk saya bawa dua watak ini, tetapi atas bantuan Kabir semuanya berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Bukan kerana memikul bebanan dua watak sahaja yang menyebabkan Emelda terpaksa memikul tanggungjawab yang berat sebagai pelakon utama tetapi dia juga harus berlakon seorang diri dalam kebanyakan babak.
“Dalam drama ini, banyak babak saya kena berlakon seorang diri dan membayangkan benda yang tidak ada depan mata. Itu yang susahnya sebab efek hanya akan dimasukkan semasa suntingan nanti.
“Saya juga alami beberapa kecederaan kecil kerana buat adegan lagak ngeri sendiri, jadi saya alami sakit badan dan lebam-lebam. Sakit memang sakit tetapi bila tengok hasilnya, semua kesakitan itu hilang,” luahnya lagi.
Kesusahan, kepenatan terbayar
Meskipun ini kali kedua bekerja di bawah arahan Kabir selepas Manjalara, Emelda menjelaskan masih terdapat kesukaran ketika bekerja dengan pengarahkreatif ini.
“Sebenarnya setiap benda baru susah untuk dilakukan. Sama juga dengan saya, walaupun pernah bekerja dengan Kabir tetapi ini drama serama pertama saya, sebab itu bagi saya ia agak susah.
“Selain itu, dia (Kabir) agak cerewet, kalau tidak dapat apa yang diinginkan susahlah kami sebagai pelakon (ketawa). Ini kerana dia pernah mengarah filem, jadi cara dia mengarah drama pun seakan-akan filem dan kerana ketelitiannya drama ini mengambil masa yang panjang.
“Pernah juga ada ketika kami tidak jadi lakukan pengambaran hanya kerana props untuk drama ini tidak ada. Kabir memang ambil kira, daripada solekan, mutu lakonan dan segalanya dalam drama ini. Saya rasa seronok sebab dapat bekerja dengan produksi yang sungguh profesional,” ujarnya.
Malah, Emelda sempat memberitahu lokasi penggambaran drama ini yang bertempat di Kampung Janda Baik yang dikatakan antara tempat yang agak ‘keras’, tetapi sehingga kini tiada perkara buruk yang berlaku sepanjang penggambaran berlangsung.
“Ramai juga kawan cerita, kalau berlakon drama seram kena hati-hati sebab benda-benda halus ini akan ikut kita dan mengganggu, tetapi syukur semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Turut membintangi drama seram ini ialah Fizz Fairuz, Umie Aida, Hairi Othman, Kuza dan Rose Iskandar.
Tamatkan zaman bujang
Bukan kisah kerjayanya sahaja yang menjadi perhatian, tetapi juga kisah cintanya bersama pelakon, pengarah dan pengacara terkenal Adlin Aman Ramli.

BERSAMA Fizz Fairuz yang turut membintangi Kasihku Seru.
Emelda mengakui dengan umurnya yang semakin bertambah, pastinya dia inginkan satu ikatan kukuh, iaitu ikatan perkahwinan. Cuma buat masa ini gadis ini masih mengunci mulut bilakah hari bahagia buat dirinya itu akan tiba.
“Kami memang rancang tidak mahu kawan lama-lama sangat, kalau kawan lama takut nanti perasaan cinta itu hilang, tetapi sekarang ini belum lagi sebab bapa saya pun baru meninggal.
“Setakat ini, saya senang dengannya sebab dia faham tentang kerjaya dan diri saya seadanya, jika hari bahagia itu muncul saya akan beritahu,” tuturnya menutup bicara.
Kosmo
Anugerah Berbeza
Datuk Siti Nurhaliza
Mahu lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat
ANUGERAH yang baru diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuntik semangat baru buat penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29.
Anugerah Kecemerlangan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 itu diberikan kepada golongan profesional tidak kira dalam apa jua bidang.
Siti Nurhaliza menerima anugerah berkenaan bagi kategori Artis Profesional Malaysia sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan profesional lain seperti Datuk Mohd Hassan Marican, Tan Sri Dr Yahya Awang serta ramai lagi.
Ketika dihubungi, Siti melafazkan kesyukuran kerana golongan seni turut mendapat pengiktirafan setanding golongan profesional lain. Pengiktirafan itu amat berbeza daripada anugerah yang pernah dikecapi sebelum ini.
“Siti bersyukur apabila profesion sebagai artis, karyawan dan seniman juga boleh mendapat pengiktirafan seperti ini dan dianggap sebagai golongan profesional. Siti dipilih sebagai mewakili golongan artis dan bagi Siti pengiktirafan ini amat berbeza daripada anugerah yang pernah Siti dapat yang mana kebanyakannya datang daripada anugerah berkaitan dengan seni juga.
“Anugerah ini sememangnya satu penghargaan yang amat bernilai untuk Siti. Selain itu, ia menyuntik semangat Siti untuk terus menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Siti tidak mahu menjadi artis yang sekadar menyanyi saja tetapi Siti mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat contohnya menerusi Yayasan Nurjiwa,” katanya yang bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos depan.
Perjalanan dua tahun melayari bahtera rumah tangga berlalu dengan cukup pantas. Sedar tidak sedar, sudah dua tahun penyanyi kesayangan ramai itu bergelar isteri kepada usahawan tersohor dari utara tanah air.
Dua tahun menyulam kasih, tiada apa yang diharapkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu melainkan rumah tangga yang terus aman dan harmoni.
“Walaupun perjalanan Siti dalam melayari alam rumah tangga masih lagi jauh, namun Siti bersyukur tahun pertama dan kedua perkahwinan berjalan dengan baik. Insya-Allah, selagi suami isteri menerapkan rasa sabar serta sama-sama berkomunikasi dengan baik, rumah tangga akan aman bahagia.
“Siti juga perlu tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suami juga tahu tanggungjawabnya sebagai suami. Selain itu juga, suami isteri perlu belajar untuk memperbaiki diri masing-masing. Siti juga sentiasa memanjatkan doa kepada Allah semoga terus memberkati perkahwinan kami,” katanya yang masih belum mempunyai sebarang perancangan mengenai sambutan ulang tahun keduanya nanti.
Kemungkinan kata penyanyi itu, ia akan diraikan secara kecil-kecilan bersama keluarga terdekat. Sekiranya diadakan secara meriah, dia tidak lupa untuk mengundang rakan-rakan untuk sama-sama meraikan hari bahagianya.
Tidak dapat hadir majlis MTV
SEMENTARA itu, ditanya mengenai desas-desus bahawa dia tidak akan hadir ke Anugerah MTV Asia yang akan diadakan di Genting Highlands, 2 Ogos depan. Penyanyi itu tidak menafikannya kerana katanya dia mempunyai urusan peribadi yang perlu dibereskan.
“Siti tidak dapat pergi kerana ada komitmen lain yang perlu dilunaskan. Kalau boleh memang Siti teringin untuk menyertai tetapi tarikhnya jatuh pada hari yang sama dengan hal peribadi Siti, jadi Siti terpaksa pilih salah satu daripadanya.
“Bukan Siti sengaja tidak mahu pergi. Lagipun sebelum ini Siti tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama dengan MTV Asia, hanya kali ini saja. Hal Siti nanti lebih kepada perkara peribadi, Siti tidak ke mana-mana cuma hal dalam negara saja,” katanya.
INFO: Siti Nurhaliza
- Menerima Anugerah Artis Profesional Malaysia anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 pada Rabu lalu. Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
- Bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya pada 21 Ogos ini. Perkahwinan Siti dan Khalid sebelum ini menjadi ‘ Wedding of The Year’.
- Siti menerima hantaran RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.22.
- Pernah menerima Anugerah Artis Pilihan Malaysia untuk Anugerah MTV Asia dari 2002 hingga 2005.
- Enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
Berita Harian
Bukan Wayang Saerah
Oleh MALIAH SURIP maliah.surip@kosmo.com.my
SENYUMNYA manis, mekar dan nampak segar. Sesekali memandangnya, saling tak tumpah seperti kakaknya, Siti Nurhaliza.
“Dah darah daging. Saya tak boleh lari,” begitu luah gadis yang baru menginjak usia 25 tahun dengan matang sambil tersenyum.
Dia, Siti Saerah Tarudin pagi itu duduk didandan rapi khusus untuk fotografi kami. Saerah muncul dengan single perdananya berjudul Hero Wayang.
Sebenarnya siapa yang tidak kenal Saerah. Dia juga mempunyai profil kerjaya yang tersendiri. Sejak dahulu, semua orang juga tahu Saerah memang berkeinginan menjadi seorang penyanyi.
Lantas kelibatnya pernah dilihat dalam pertandingan realiti televisyen One In A Million (OIAM) tidak lama dulu. Namun dia terkandas separuh jalan.
Sesekali dia juga menghias pentas dengan vokal dan persembahannya yang tersendiri. Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Cerita tentang kepayahan membina perisai kerjaya sendiri.
Hari ini, Saerah sudah boleh tersenyum. Impiannya menjadi seorang penyanyi yang sebenar telah terlaksana. Single perdana dengan nama Hero Wayang telah mula mencuri perhatian. Semuanya dilakukan sendiri, tanpa menumpang populariti si kakak, kecuali menjadi artis di bawah label Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP).
“Alhamdulillah, tiga tahun saya tunggu saat untuk mempunyai lagu sendiri. Hari ini, Hero Wayang merupakan anak pertama saya. Dan saya harap langkah baru ini tidak terhenti separuh jalan,” ujar Saerah penuh harapan.
Dihasilkan sendiri atas bantuan tenaga profesional dengan lirik tersebut dihasilkan oleh bekas penulis lirik terbaik negara, arwah Loloq, Hero Wayang kata Saerah mengisahkan tentang perjalanan penuh liku anak seni. Namun ia dihasilkan dalam jalur moderate.
“Jiwa saya lebih rock, malah jalur pop pun disadurkan dengan rock, bukan balada. Jadi saya kira orang senang untuk membezakan saya dengan Kak Siti,” katanya.
Dia menambah: “Saya kira jika buah tangan saya bagus, peminat pun tak pertikai saya ialah adik Siti. Sebaliknya saya adalah Saerah yang berdiri atas kaki sendiri.”
Banyak agenda yang telah dirangka SNP untuk Saerah. Serius dan optimis dia memberitahu bakal muncul secara duo bersama kakaknya, Siti Saida.
Mereka akan bergabung dalam sebuah album yang menyaksikan mereka menyanyi secara solo dan berduet. Satu kolaborasi adik-beradik yang mahu dijadikan label masa depan.
Seiring single yang sedang diputarkan di radio, penampilan Saerah kini juga sudah banyak berubah – lebih matang dalam berbicara dan satu hal yang paling ketara berubah ialah berat badannya.
Tak segan dia memberitahu, sudah lebih empat bulan selera makannya hilang terutama pada nasi. Sehingga kini, berat yang dahulu 77 kilogram sudah mencecah 55 kilogram.
“Makan hati,” ringkas dia menjawab dalam senyuman tawar dan mengaku pula: “Sejak putus tunang dulu, selera makan jatuh terus. Jadi sekarang macam sudah terbiasa tak makan. Saya lebih banyak minum air dan makan roti sahaja.”
Cuba menggali lebih dalam perihal sebenar dia putus tunang dengan jejaka seusianya itu, Saerah menepis dengan tenang. Enggan merobek hati sesiapa katanya.
Cukup dia menekankan, perpisahannya dengan lelaki yang kini masih menjadi temannya itu sebagai satu rahsia yang kekal dalam hidupnya.
Kosmo
Pemaju Disaran Tanam Banyak Pokok
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
bhnews@bharian.com.my
BUTTERWORTH: Semua pemaju perumahan di negara ini disaran menanam lebih banyak pokok di kawasan projek perumahan yang mereka laksanakan bagi menjayakan konsep negara dalam taman.
Usaha itu dapat dilaksanakan menerusi kerjasama antara pemaju perumahan dengan pemilik rumah menerusi program menanam pokok di setiap rumah baru pada hari serahan kunci dilakukan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainudin, berkata beliau yakin dengan adanya kerjasama seperti itu, usaha menanam lebih banyak pokok dapat dilaksanakan.
“Kerajaan sudah menyarankan kepada pemaju untuk bekerjasama dengan pembeli dalam usaha memperbanyakkan pohon menghijau menerusi program menanam pokok setiap kali hari penyerahan kunci diadakan,” katanya selepas menyempurnakan acara Menanam Pokok di Pusat Beli-Belah Aeon Seberang Prai City, Bukit Mertajam, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Aeon Co (M) Bhd, Datuk Abdullah Mohd Yusof; Pengarah Urusan Aeon Co (M) Bhd, Nagahisa Oyama; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Farizan Darus dan Duta Yayasan Jusco Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.
Pada program itu, sebanyak 3,500 pokok ditanam termasuk pokok bunga raya, sepit udang dan bunga kenanga.
Berita Harian
Warna Kena Ceria

Soalan
SAYA ingin menempah baju untuk dipakai ketika hari raya nanti. Setiap tahun, saya hanya tampil dengan baju kurung biasa. Oleh kerana saya baru saja melangkah ke universiti, saya ingin tampil agak berbeza seiring dengan usia saya yang menginjak 19 tahun pada tahun ini. Untuk pengetahuan, kain yang ingin ditempah jenis sutera asli berlatar warna putih, bercorak bunga merah jambu dan berdaun hijau pucuk pisang. Diharapkan dapat memberi cadangan atau idea bersesuaian. Untuk pengetahuan, tinggi saya 163 sentimeter dengan ukuran badan 35-29-36.
Nina mohsin, melalui emel
Jawapan
Pada pendapat saya, memandangkan hari raya adalah hari kebesaran dan sambutannya pula meriah, faktor seperti keselesaan, warna, kesopanan dan keanggunan perlu diambil kira.
Faktor keselesaan mesti bermula dengan pemilihan fabrik. Yang disarankan sesuai dengan iklim bersifat panas Khatulistiwa di negara kita adalah fabrik alam seperti sutera sifon, sutera satin, sutera jacquard atau kapas kerana ia mampu menyerap peluh dan mengelakkan badan berbau.

Shabri Saad
Begitu juga dengan potongan, seelok-eloknya ia tidak terlalu menjolok mata dengan potongan yang kurang sopan walaupun berkonsep tradisi.
Disebabkan hari raya adalah hari kemenangan, warna perlulah bersifat ceria dan segar apabila dipandang. Cuba elakkan penggunaan warna gelap seperti hitam kerana ia akan memberikan mood yang agak suram pada pemakai. Sesuai dengan usia saudari yang masih muda, pemilihan warna merah jampu dan hijau serindit adalah paling manis dipandang. Saya lebih mengharapkan jika latar putih itu dapat diganti dengan warna pastel lain seperti merah jambu atau hijau cair. Mereka yang berkulit sawo matang tambah manis jika mengenakan warna pastel.
Ramai pula yang berpendapat penggunaan manik yang banyak akan membuatkan kita tambah anggun. Ingatlah penggunaan manik dan jemeki yang keterlaluan akan membuatkan penampilan kelihatan murah.
Rekaan sesuai untuk Ninan adalah sesuatu yang bersifat moden, ringkas dan praktikal tapi masih mempunyai unsur tradisional. Anda juga masih muda dan saya tidak akan mereka sesuatu yang akan membuatkan anda kelihatan lebih matang daripada usia sebenar anda. Rekaan yang dimaksudkan adalah tunik yang berbelah di tengah menyerupai kombinasi baju kurung dan kebaya, Rekaan ini tidak terlalu ketat dan longgar.
Tangannya pula berpotongan loceng, tidak terlalu besar dan dramatik kerana banyak aktiviti yang akan membabitkan makanan akan berlaku, Bayangkan jika bukaan tangan terlalu besar dan sarat dengan manik berjuraian, pasti membuatkan anda sukar untuk makan. Saya lebih suka sarankan saudari menggantikan juraian manik dengan sulaman manik yang diadun warna dan saiz di bahagian hujung tangan.
Potongan persalinan untuk saudari ini juga mempunyai sedikit unsur pesak gantung kerana di bahagian pinggang akan dikeruk sedikit dan bawah baju dibiar kembang bagi membiaskan mood tradisi. Potongan tangan mesti dipotong seperti baju kurung dan penggunaan kekek moden pasti memberikan gaya istimewa daripada biasa.
Potongan leher boleh dipelbagaikan sama ada potongan hati, berlian dan sebagainya manakala untuk sarung, potongan berbelah di depan sesuai buat yang agak aktif dan jika bertudung, potongan ‘lipat batik’ lebih sesuai. Jika mahukan kelainan, potongan ala bias (ikan duyung) yang tidak terlalu ketat pasti memberi kelainan.
Motif batik perlu diatur supaya ia nampak berbeza daripada biasa. Jangan letakkan motif utama pada zon terlarang seperti di dada, punggung dan antara dua paha. Motif di bahagian berkenaan salah dan memberi imej yang tidak elok pada anda. Motif pada bahu, lengan dan sebelah luar paha adalah paling bersesuaian.
Jika bertudung, pilih tudung yang berwarna lembut atau sedikit kontra daripada warna tanah. Jika tidak bertudung, selendang sifon pasti membuatkan anda kelihatan ayu dan tersendiri.
PROFIL
Shabri Saad
Umur: 36 tahun
Asal: Kepala Batas, Pulau Pinang
Profesyen: Pereka batik dan fesyen di NoorArfa Batek
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senilukis dan Senireka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
INFO
Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian
MTV Asia Awards 2008 : Cara SMS paling berkesan
Cara yang paling baik adalah dengan SMS kerana, undian SMS adalah sebanyak 75% dan undian cara online hanyalah 25%. Caranya :
Dato’ Siti Nurhaliza – MY4
SMS di telefon bimbit
MAA<space>MY4 ke 33776(peminat Malaysia)
MAA<space>MY4 ke 9200(peminat Indonesia)
MAA<space>MY4 ke 79000 (peminat Singapura)
Sokongan peminat…
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Harapan Siti agar semuanya sihat seperti biasa dan berada dalam keadaan yang baik-baik belaka.
Nampaknya agak lama juga Siti tak menulis di sini tetapi tidak mengapalah kerana Siti sentiasa mengikuti perkembangan anda di sini termasuklah permintaan anda untuk tidak memaparkan message board kepada bukan ahli di sini buat sementara waktu.
Apa pun yang anda rancangkan, yang anda fikirkan dan anda lakukan, Siti di sini sentiasa menyokong kerana laman ini adalah tempat kita dan semestinya Siti akan selalu mendengar apa jua permintaan anda kerana di sinilah kita dipertemukan dan persaudaraan itu terjalin.
Mungkin karier Siti senyap seketika tetapi bukan bermakna goyang kaki kerana banyak perkara sedang bergerak. Siti juga gembira kerana SNP sudah mengeluarkan single Sairah berjudul Hero Wayang yang sudahpun dimainkan di radio, bakal menyusul nanti single Saida dan seterusnya album Coda. Segalanya akan berlaku tidak lama lagi dan harapan Siti agar anda semua menyokong artis2 SNP yang lain kerana ini adalah usaha Siti untuk memberikan sesuatu kepada industri muzik kita.
Siti juga sudah tidak sabar melaksanakan pelbagai rancangan yang terdapat dalam agenda SNP, bagi Siti semua ini berkaitan dengan sokongan anda selama ini. Semangat anda membuatkan SIti tidak mudah mengalah untuk meneruskan sesuatu yang boleh dikongsi bersama anda. Doakan agar apa jua yang kami akan jayakan akan mendapat keberkatanNya dan juga sokongan and serta pihak-pihak lain juga.
Setakat ini buat masa ini.Nantikan kahabar Siti lagi.
Salam mesra buat semua, Siti Nurhaliza
Sembang Kak Cham: Perihal Artis Kahwin, Cerai
Oleh Hanizam Abdullah
hanizam@bharian.com.my
YANG rancak dan sensasi dalam dunia hiburan sejak akhir-akhir ini bukanlah kisah kutipan tiket bagi filem Melayu yang melonjak. Tidak juga jualan album yang semakin laku. Malah, kedua-duanya sepi saja macam juga filem Sepi yang kutipannya tidak memberangsangkan langsung. Bukan produser, krew dan pelakonnya saja yang kecewa, teman dan suku sakat di Hip pun kecewa dan ralat juga kerana filem itu memang best.
Namun yang rancak adalah cerita dan gosip artis dan selebriti yang bercerai-berai. Kekerapan cerita itu mengundang pelbagai reaksi pembaca akhbar teman yang begitu positif dengan wajah baru akhbar Berita Harian. Ada juga yang tak berapa suka apabila sudah kecil tetapi kebanyakannya suka. Kecil senang nak bawa ke mana jua! Terima kasihlah di atas sokongan itu dan teman harap sokongan itu akan berterusan.
“Kalau tak ada cerita artis cerai tak sah dan tak laku ke surat khabar ni Kak Cham?” Begitulah keluh kesah seorang pembaca yang memperkenalkan dirinya sebagai Wira. Hakikatnya, teman fahamlah lontaran rasa Wira itu kerana dia sebenarnya sudah muak dengan cerita sebegini.
Dua bulan lalu, kisah rumah tangga Farah Asyikin dengan seorang doktor yang akhirnya hancur berkecai. Selepas itu, kisah Beego pula yang begitu hangat dan sensasi. Biasalah apabila sudah masuk mahkamah, semua cerita luar dan dalam kain pun keluar.
Dua tiga minggu ini pula panas dengan cerita Norish Karman yang wajahnya semakin kerap muncul dalam drama swasta. Perkahwinan Siti Fairuz yang dulunya popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu pun hancur juga. Terbaru dan tak kurang hangatnya adalah kisah cerai pelakon cantik dan comel Nora Danish dan anak bekas Menteri Besar Perak, Rizal Ashram Ramli mengisi dada akhbar.
Kasihan benar teman dengan nasib pelakon yang popular melalui sitkom Puteri ini. Sudahlah hamil, terpaksa pula berdepan dengan krisis sebegini. Teman faham sangatlah jiwa wanita itu. Apabila sedang mengandung mereka sebenarnya memerlukan sokongan semua pihak terutama suami. Tak apalah Nora, banyaklah bersabar dan beristighfar kerana barangkali ada kemanisan di sebalik kepahitan ini. Teman dan suku sakat mendoakan yang terbaik buat Nora.
Berbalik kepada cerita cerai artis di dada akhbar, hakikatnya juga, sebab mereka ini artis dan selebritilah maka cerita mereka mengisi dada akhbar. Kalau orang biasa siapalah yang hendak tahu kisah kahwin, cerai mereka. Macam juga cerita seorang artis yang terpaksa merangkak keluar daripada disko gara-gara terlampau mabuk. Kalau setakat orang biasa takkan masuk surat khabar kot!
Lalu kahwinlah banyak kali pun, cerailah banyak kali pun, pasti tak masuk surat khabar. Kecualilah kalau kes itu unik sehingga masuk mahkamah seperti yang berlaku terhadap seorang pemandu lori yang mahu berkahwin empat baru-baru ini. Itu pun bukan tak ada yang menjuihkan bibir kerana muak dengan cerita sebegitu.
Status artis itulah yang membuatkan kisah mereka mahu diikuti khalayak. Jadi tidak hairanlah kalau cerita kahwin, cerai kalangan selebriti memenuhi dada akhbar. Lebih popular artis itu, lebih keraplah mereka diburu. Sebelum kahwin pun mereka diburu, bercerai pun mereka diburu.
Bagaimanapun belum ada dalam sejarah hiburan tanah air artis membuat sidang akhbar bagi mengumumkan perceraian mereka kecuali Erra Fazira dan Yusry Abdul Halim. Selalunya, dalam kes cerai ini kebanyakannya memilih untuk mendiamkan diri saja. Yang selalu kita dengar cuma gosip dan soksek di belakang mengenai si anu dan si anu akan berpisah dan sedar-sedar saja sudah muncul di Mahkamah Syariah.
Atas status dan gelaran artis itu juga, bukan sesuatu yang asing lagi, mereka membuat sidang akhbar untuk mengumumkan majlis persandingan mereka macam Maya Karin minggu lalu. Siapa juga boleh lupa majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Dengar khabarnya juga, Raja SMS pun akan membuat sidang akhbar bagi mengumumkan majlis pernikahannya. Teman tak kisah ini semua kerana semua ini memudahkan kerja wartawan.
Bagaimanapun, bukan tak ada artis yang mahu kahwin secara sorok-sorok. Faktor terpaksa sorok itu pun teman tahu jugalah. Ada artis yang sudah kahwin pun hendak sorok kerana kononnya bimbang populariti merudum. Tolonglah, zaman sudah berubah, peminat pun sudah matang dan mampu berfikir. Bujang juga bukan pasport untuk popular. Berapa ramai artis yang sudah berkahwin tetapi mereka masih lagi popular. Dan berapa ramai juga yang bujang tetapi tak juga popular!
Jadi sematkanlah di minda, yang penting bakat dan apa yang mereka boleh buat dan beri untuk industri hiburan tanah air bukan status perkahwinannya. Apa status Normah Bechok? Penulis gosip dalam sisipan Hip itu sudah berkahwin. Kak Pora penulis kolum Jeling Kak Pora dalam sisipan B*Pop itu pula pernah berkahwin. Ala… tak payah nak tahu sangat mengenai mereka itu. Teman dah kata, status bukan isunya. Okaylah, jaga diri, jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my
Berita Harian