AF6: Kakak Siti Nurhaliza Tersingkir
PETALING JAYA 19 April – Siti Norsaida Tarudin menjadi peserta keenam tersingkir dalam perjuangan merebut gelaran Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang diadakan di sini malam ini.
Saida, 32, yang merupakan kakak kepada penyanyi nomber satu negara Datuk Siti Nurhaliza terpaksa akur dengan keputusan tersebut setelah mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah berbanding lapan peserta lain.
Pada konsert mingguan kelima yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini Saida mendendangkan lagu ‘Bila Bunga Berguguran’ nyanyian Fauziah Datuk Ahmad Daud.
Penyingkiran Saida memberi peluang kepada lapan lagi peserta iaitu Mohamad Aliff Mohd. Razali, 22, atau Alif; Nubhan (Ahmad Nubhan Ahmad, 22); Riz (Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22); Nadia (Nadia Haswani Hasnan, 18); Stacy (Stracie Angie Anam, 18); Stanley (Stanley Maringai David Impi, 25); Toi (Khairul Nizam Baharom, 31), dan Hairina Abd. Halim, 44, atau Rina untuk bergelar Juara AF6.
Juara AF6 bakal menerima hadiah bernilai lebih RM700,000 termasuk sebuah banglo empat bilik di A’Famosa, Melaka, kereta Peugeot 307X tajaan Naza Motor Sdn. Bhd. serta wang tunai berjumlah RM25,000 sumbangan Hotlink selain percutian ke Afrika Selatan tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New Zealand tajaan Maybelline.
Naib juaranya bakal menerima hadiah bernilai lebih RM100,000, tempat ketiga (lebih RM20,000), tempat keempat (lebih RM9,000) dan tempat kelima (lebih RM7,000).
Sementara itu, Hetty Koes Endang tampil selaku pengkritik undangan sambil ditemani oleh Fauziah Ahmad Daud dan Ning Baizura pada selaku pengkritik tetap konsert tersebut.
Powered by Utusan Malaysia