Skip to content

Archive for April 15th, 2008

15
Apr

Fuh, Fantastiknya Celine Dion!



Sorotan Roslen Fadzil

Foto Ihsan Sony-BMG Music Malaysia

Apabila memperkatakan tentang Celine Dion, sudah tentu kita merujuk kepada satu perkara iaitu vokal yang pernah menawan berbilion manusia dengan lagu seperti My Heart Will Go On.

Seingat saya apabila lagu tema filem Titanic itu dipersembahkan Celine dalam Academy Awards, beliau menyanyi dengan penuh lantang sambil memakai kalung permata Heart of the Ocean seperti mana yang diperagakan Kate Winslet dalam filem cinta “You jump, I jump” itu.

Namun itu cerita lama yang menjadi satu sejarah manis buat Celine yang benar-benar berada di ‘Puncak Everest’ ketika itu.

Malam kelmarin, (Ahad) satu lagi sejarah dicipta oleh Celine. Bezanya sejarah itu menjadi satu hadiah yang terlalu istimewa bagi ribuan peminat beliau khususnya Malaysia.

Bukan klon dan mahupun paperdoll, tetapi ‘The Celine Dion’ yang selama ini memukau dengan suaranya yang datang entah dari mana itu beraksi dengan fantastik di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, bersempena siri konsert Celine Dion Taking Chances World Tour 2008.

Melihat aksi dan mendengar sendiri Celine menyanyi live, ia akan menjawab dengan sendirinya kenapa dia satu dalam sejuta dan mengapa dia masih berada di tangga teratas dalam ranking Diva Pop dunia.

Beberapa bulan lalu, saya kecewa kerana seorang lagi Diva Pop, Whitney Houston gagal melontarkan vokalnya seperti dulu apabila beraksi di Bukit Kiara. Dibelenggu masalah dadah, mutu persembahan Whitney nyata kian merudum tetapi saya tetap gembira kerana dapat juga melihat Whitney secara live dan perlu ‘memaafkannya’.

Kembali ke Stadium Merdeka, Mariah Carey juga pernah beraksi sebelum ini selain Michael Jackson. Bagi saya kepuasan menonton Mariah dan Celine adalah sama kerana vokal masing-masing menjadi asas kekuatan dan aura mereka. Michael lain ceritanya kerana banyak dibantu oleh mesin dan teknologi.

Kelmarin, bermula jam 8.50 malam, Celine membuka tirai konsert anjuran Galaxy dan Artist World itu dengan lagu I Drove All Night. Intro lagu itu dimantapkan dengan iringan klip video berkonsep hitam putih yang lebih kepada pemanduan, sesuai dengan grand entrance Celine sendiri.

Habis lagu itu, bergemalah lagu The Power of Love yang sebenarnya bermaksud ‘The Power of Celine Dion’! Terfikir ketika itu, adakah saya sedang mendengar CD, DVD atau DVD 9? Huh, meremang sekejap bulu roma…

Kemudian, Celine yang mengenakan dress singkat bersama fabrik kulit di lengan dan kaki, melagukan Taking Chances, It’s All Coming Back To Me dan Because You Loved Me. Selepas menyanyikan To Love You More, Celine mengambil rehat dan memberi laluan kepada penarinya yang lincah.

Ingatkan selepas kembali dengan lagu ala Shakira, Eyes On Me, Celine akan menukar kostum, rupanya tidak. Dia terus menyambung lagi dengan lagu All By Myself, I’m Alive dan Ini diikuti lagu duet I’The Shadow of Love.

Ini diikuti lagu duet I’m Your Angel dan melodi favourite beliau dalam bahasa Perancis, Pour Que Tu M’aimes serta Think Twice dan My Love (sambil duduk bersimpuh katak). Tidak dinafikan penyanyi latar dan muzik yang solid juga membantu konsert tersebut.

Suasana kembali hangat apabila dia membuat tribute kepada Freddie Mercury dan Queen. Celine mengajak penonton Kuala Lumpur menyanyi bersamanya dan di layar LCD gergasi, ternampak kelibat Datuk Siti Nurhaliza yang duduk di barisan depan sekali bersama Datuk K, menyanyi bersama-sama. Celine kemudian menyanyikan Show Must Go On.

Ke arah hujung konsert, Celine beraksi dengan medley lagu-lagu yang rancak yang begitu American. Kemuncak persembahan, barulah dia menghilang seketika dari pentas dan kembali dalam gaun petang yang cerah untuk mendendangkan My Heart Will Go On sebelum mengucapkan selamat tinggal.

Dari segi repertoire Celine malam itu, saya tiada rungutan, cuma kempunan hendak mendengar lagu I Love You dan That’s The Way It Is.

Kira-kira 5 jam sebelum itu, saya terharu kerana dapat bertemu Celine secara dekat dalam sidang media yang berlangsung di hotel butik The Ritz-Calton, Kuala Lumpur. Celine yang muncul lewat sejam nyata membalas penantian wartawan petang itu dengan sidang media yang cukup mesra bersama jawapan-jawapan yang begitu panjang lebar.

Tiada kata-kata yang mampu saya lontarkan kepada Celine selain mengakhiri soalan saya pada sidang media itu dengan kata-kata: “With that, I salute you!”


Stadium Merdeka perlu diselenggara dengan sempurna

Lokasi Stadium Merdeka memanglah strategik dan bertaraf legenda kerana banyak sudah acara sukan dan hiburan yang gagah berlangsung di situ sejak zaman-berzaman.

Namun melihat kepada wajah dan penyelenggaraan yang dibuat ke atas stadium bersejarah itu sempena konsert Celine Dion, terasa pula seperti saya memasuki sebuah stadium yang lesu dan usang.

Beberapa artis dan VIP memberi komen bahawa keadaan rumput di padang tidak dipotong dengan kemas sedangkan di situlah letaknya kerusi bagi tiket-tiket yang berharga antara RM488 dan RM1,000.

Jelas diperhatikan, trek yang dulunya menjadi kebanggaan Marina Chin, Rabuan Pit dan ramai lagi jaguh pecut negara kini sudah pupus dari pandangan dan hanya tinggal turapan tar yang kusam.

Seorang VIP memberitahu saya, dia terpaksa berjalan jauh ke dalam stadium kerana sukar untuk mendapat tempat letak kereta yang berdekatan. Selain itu, kawasan penjaja makanan ringan juga berada entah di mana.

Pun begitu, pujian harus diberikan kepada sistem audio dan visual yang hebat oleh promoter. Jika tidak kerana sistem audio yang bagus, tentulah sukar untuk peminat menghayati suara emas Celine itu.


Ramai VVIP, selebriti minat Celine Dion

Tetamu paling istimewa pada malam konsert Celine Dion itu pastilah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Celine turut menjunjung kasih kepada Baginda berdua dan rasa bertuah dapat beraksi di depan tetamu diraja.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sememangnya menyukai lagu-lagu Celine sejak dulu lagi.

Mendapat tepukan paling bergemuruh daripada penonton di stadium malam itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Habis saja konsert, ramai wargakota terus menyerbu Tun berdua di pintu utama stadium untuk bergambar dan bersalaman.

Antara selebriti lain yang kelihatan adalah Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan buah hatinya serta artis seperti Datin Seri Tiara Jacquelina, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Harith Iskandar, Ruth Sahanaya, Nora, Amy Search dan Pengasas Aura Seri, Dr Ibrahim dan isteri, Ira Ghani.

Komen Dr Sheikh Muszaphar: “Memang puas hati konsert ini. Celine sunguh hebat.” Kata Tiara pula: “Vokal Celine sungguh bertenaga, cuma saya tempat duduk saya (VVIP) agak jauh daripada pentas. Jadi rasa tidak puas sebab saya lebih banyak memandang layar LCD.”

Bagi saya sendiri, rasa puas menyelubungi hati kerana resume untuk melihat persembahan diva pop dunia semakin lengkap. Diana Ross, Mariah Carey, Whitney Houston dan Celine Dion sudah pun ditonton dan saya tetap menunggu peluang untuk Barbra Streisand dan mungkin sukar, legenda Hindi 6 dekad, Lata Mangeshkar.


Murai

15
Apr

Akhirnya Siti Bertemu Celine Dion

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my

KELUARGA BAHAGIA… Celine Dion (tengah) diapit oleh Siti Nurhaliza (dua dari kiri), Khalid (kanan), Aazief (dua dari kanan) serta suami Celine Dion, Rene Angelil (kiri) pada pertemuan singkat di Kuala Lumpur, kelmarin.

SUDAH lama artis ternama tanah air, Datin Seri Siti Nurhaliza berhajat untuk menemui penyanyi tersohor dunia, Celine Dion. Dalam pelbagai temu bual dengan media sebelum ini, itulah keinginan yang sering disuarakan penyanyi nombor satu negara itu.

Kata Siti, andai peluang itu diperoleh, dia mahu berbual, berkongsi pengalaman selain menghadiahkan penyanyi kesayangannya itu albumnya.

Dan semua itu, bukan lagi mimpi buat Siti. Keinginan dan hasrat Siti akhirnya termakbul juga.

Kunjungan singkat penghibur yang cukup popular dengan lagu My Heart Will Go On itu memberi peluang keemasan buat Siti bertemu dan berbual mesra seperti mereka sudah lama berkenalan.

Pada satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh kenalan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur kelmarin, Siti bagaikan tidak percaya, dia berpeluang bertentang mata dengan Celine.

Selain Siti dan suaminya, Khalid, turut serta dalam pertemuan itu ialah anak tiri Siti, Aazief.

Seperti peminat lain yang sentiasa mendambakan peluang bertemu penyanyi kesayangan mereka, sikap dan telatah Siti saling tidak ubah seperti itu.

Apa lagi, bintang yang ingin ditemui Siti tempoh hari ialah ikon yang juga inspirasinya dalam dunia seni suara.

“Sebaik ternampak kelibat dia (Celine), hati Siti berdebar. macam tak percaya yang Siti berada di hadapannya,” kata Siti menggambarkan perasaannya sebaik Celine melangkah ke bilik persendirian hotel berkenaan iaitu tempat dia bertemu penyanyi itu.

Sapaan Celine menarik perhatian Siti. Tanpa dibayangi imej superstar antarabangsa, Celine menyapa Siti bagaikan mereka sudah lama berkenalan.

Barangkali juga, awal-awal lagi pengurusan Celine sudah memaklumkan kepada penyanyi itu bahawa artis Malaysia yang bakal ditemuinya itu bukan calang-calang artis.

“Celine begitu ramah. Menjawab satu persatu soalan yang diajukan padanya. Bahkan, dia juga sangat mesra melayan Siti.

Diplomasi

“Apa yang turut mengagumkan Siti mengenai Celine ialah sikap diplomasi yang ditunjukkannya. Kesediaannya bertemu Siti merupakan satu penghormatan kerana siapalah Siti untuk dibandingkan dengan kedudukannya di persada seni dunia,” kata Siti menyatakan rasa kagumnya terhadap idolanya itu.

Biarpun kemesraan yang terjalin antara Siti dan Celine hanya sesingkat 15 minit, namun pertemuan eksklusif berkenaan seperti melengkapkan keinginan lebih sedekad Siti untuk bertentang mata dengan penghibur kelahiran Kanada itu sekurang-kurangnya.

Dan sudah tentu, peluang keemasan itu direbut oleh Siti untuk menghadiahkan Celine album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang ditandatanganinya.

“Kata Celine, dia akan pastikan untuk mendengar album yang Siti hadiahkan pada dia. Moga-moga dia akan berbuat demikian,” ujar Siti mengenai harapannya itu.

Selebihnya, masa 15 minit yang diperuntukkan tempoh hari diambil oleh Siti untuk merakamkan kenangan menerusi kamera sebagai tanda kenangan paling berharga buatnya sepanjang bergelar anak seni.

Lebih manis lagi, Celine mencadangkan agar kedua-dua mereka turut mengajak suami mereka bersama merakamkan foto.

“Ini akan menjadi kenangan paling manis buat Siti selain kata-kata perangsang yang dibekalkan oleh Celine buat Siti,” katanya menyambung perbualan.

Dan bagaimana pula reaksi suami Siti?

“Sudah tentu dia juga gembira bagi pihak Siti kerana suami sangat memahami keinginan Siti untuk bertemu idola Siti,” jelasnya.

Dan jangan dilupa, Aazief yang turut serta dalam pertemuan itu sama seperti Mak Itinya (panggilan manja buat Siti) berdebar-debar sementara menanti Celine hadir di depan mereka.

“Aazief sempat berbisik pada Siti, dia pun berdebar sangat. Macam tak percaya Celine ada depan mata,” kata Siti menceritakan perihal Aazief iaitu anak bongsu Khalid hasil perkahwinan pertamanya.

Sebagai peminat nombor satu Celine juga, pada malam yang sama, Siti bersama keluarga tidak ketinggalan menonton persembahan penghibur itu.

“Vokalnya cukup mengagumkan. Berdasarkan aspek persembahan pentas, Celine sudah berada di kelasnya yang tersendiri.

“Seperti orang lain, Siti merasa puas menonton persembahannya tempoh hari,” kata Siti lagi.

Selepas ini, Siti tidak perlu lagi bermimpikan Celine Dion. Bahkan, Siti juga sudah tentu tidak perlu lagi terbang jauh sehingga ke Amerika Syarikat kerana semuanya sudah pun menjadi kenyataan buatnya.

Powered by Utusan Malaysia

Review masa konsert Celine Dion.

15
Apr

Tarikan Celine Dion

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

BERAKSI bersama salah seorang pemuziknya. Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN

APA sahaja tentang penghibur kelahiran Charlemagne, Quebec, Kanada ini semuanya akan mendapat perhatian yang cukup meluas.

Dia bukanlah seperti kebanyakan artis popular yang lain yang mencipta populariti murahan semata-mata untuk menempatkan diri dan meraih perhatian.

Hanya dengan bakatnya yang cukup luar biasa itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia bukanlah calang-calang penyanyi yang lahir semata-mata untuk meraih populariti tetapi lebih kepada penonjolan bakat yang ada dalam dirinya itu.

Memulakan karier seninya seawal usia 15 tahun, Celine Marie Claudette Dion atau lebih dikenali dengan nama Celine Dion di seantero dunia, menyedari bahawa perjalanan seninya bukanlah semudah yang disangka.

Terlalu banyak onak dan duri yang perlu ditempuhinya dalam memastikan bakat luar biasanya itu mendapat perhatian ramai.

“Apa yang saya lakukan semuanya kerana minat yang mendalam terhadap muzik dan saya sedar saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Yang penting bagi saya ialah kebahagiaan dan kegembiraan yang peminat saya rasai menerusi album dan hasil karya saya. Saya akan berasa gembira jika mereka puas hati dengan setiap album yang saya lahirkan kerana mereka yang tidak henti menyokong saya dan saya perlu terus memberikan yang terbaik buat mereka.

“Malah, saya juga tidak kisah jika ada yang mengatakan saya tidak sepopular artis-artis lain kerana tidak mahu hanyut dengan populariti.

“Bukan itu sahaja, saya juga tidak mahu mengikut trend terkini dalam usaha meletakkan diri saya di carta populariti. Saya masih di sini dengan bakat yang dikurniakan kepada saya,” kata penghibur berusia 40 tahun ini pada sidang media di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur beberapa jam sebelum berlangsungnya konsert solonya di Stadium Merdeka, malam kelmarin.

Kehadiran sulung Celine ke Malaysia adalah bersempena dengan konsert jelajah dunianya, Taking Chances World Tour 2008 yang bermula di Johannesberg, Afrika Selatan pada 14 Februari lalu.

Apa yang membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dipilih sebagai lokasi konsert jelajah dunianya itu dan negara kedua Asia selepas Shanghai, China yang menyaksikan penyanyi bersuara mantap itu membuat persembahan pada 11 April lalu.

Malah, dengan cukup rendah diri, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Where Does My Heart Beat Now yang dipetik dari album Inggeris pertamanya, Unison pada tahun 1990 ini, kejayaannya mengekalkan reputasi sebagai seorang penghibur yang sofistikated selama 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni adalah bersandarkan sokongan yang tidak pernah putus dari orang di sekelilingnya.

“Saya masih ingat lagi pengurus saya, Ren
 Ang
lil yang kemudiannya menjadi suami saya pada tahun 1994 sanggup mencagarkan rumahnya semata-mata untuk mencari wang untuk membawa dan memperkenalkan saya kepada orang-orang penting dalam industri muzik dalam proses melahirkan album Perancis pertama saya, La voix du bon Dieu.

“Sehingga ke hari ini, suami, anak, rakan-rakan serta peminat saya tidak pernah berhenti menyokong saya dan terus memberikan semangat buat saya untuk terus menjadi seorang penyanyi dan penghibur.

“Meskipun saya hampir membuat keputusan untuk berhenti menyanyi selepas melahirkan anak sulung saya, Rene-Charles Dion Angelil pada tahun 2001, namun, saya sedar saya tidak dapat berbuat demikian.

“Ini adalah kerana minat dan cinta saya terhadap muzik begitu mendalam dan tidak mungkin saya akan melepaskan begitu sahaja.

“Sejak berumur 15 tahun, saya tahu saya mahu menjadi seorang bintang dan akhirnya, saya terus berada di sini,” kata Celine yang pernah menerima lima anugerah Grammy sejak mula menerobosi pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1990.

Sebagai seorang artis senior yang kejayaannya bukanlah datang bergolek, Celine sempat memberikan nasihat dan panduan buat mereka yang mahu menjadi seorang anak seni.

“Saya tidak ada resipi istimewa dalam mempertahankan kedudukan saya sebagai seorang penghibur (ketawa).

“Cuma, pada saya perkara pokok untuk terus bertahan dalam apa sahaja bidang yang kita lakukan adalah kerja keras dan usaha yang pastinya, anda akan nampak hasilnya peringkat demi peringkat.

“Menjadi anak seni ini juga sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Selain bakat, personaliti dan masa juga memainkan peranan penting dalam pembentukan dalam menjadi seorang artis.

“Malah, tuah dan rezeki juga merupakan elemen penting buat seseorang artis itu untuk terus bertahan dalam tempoh yang lama,” jelasnya penuh optimis.

Apa yang menarik tentang wanita ini adalah apabila dia cukup ralit bercerita tentang kehidupannya sebagai seorang ibu yang tiada kata yang mampu dilafazkannya bagi menggambarkan kebahagiaanya.

“Bayangkan, sewaktu saya kembali ke persada seni dengan membuat pertunjukan di Caesars Palace, Las Vegas selama empat tahun bermula tahun 2003, anak saya baru sahaja belajar merangkak dan kini dia sudah pun berusia tujuh tahun.

“Terbit juga perasaan risau dalam hati saya seandainya saya tidak mampu memberikan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan anak saya. Tetapi, saya sedar bahawa karier dan keluarga adalah dua perkara yang cukup berbeza.

“Akhirnya, saya berjaya mengimbangi kedua-duanya dan saya berasa bahagia serta bersyukur dengan apa yang telah saya nikmati kini. Menjadi seorang ibu sememangnya merupakan pengalaman yang cukup indah dan berharga dalam hidup saya,” ungkap Celine yang merupakan anak bongsu daripada 14 adik-beradik itu lagi.

Namun begitu, jelas pemilik vokal lagu paling popular di dunia iaitu My Heart Will Go On itu lagi, dia tidak akan terus memandikan anaknya itu dengan limpahan kemewahan dan kesenangan kerana dia mahu anak lelakinya itu menghargai hidup dan sedar tentang kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik.

“Sebagai contoh dalam rancangan Idol Gives Back yang disiarkan baru-baru ini, kami sekeluarga telah berkunjung ke Afrika untuk membantu masyarakat di sana.

“Saya bawa sekali anak saya dan apa yang saya nampak, dia tahu tentang apa yang berlaku dan turut membantu memberi makan dan minum kepada mereka. Saya mahu dia tahu dan sedar serta melihat dirinya begitu bertuah berbanding orang lain,” ujar satu-satunya artis wanita yang berjaya mencatatkan penjualan album melebihi 200 juta unit di seluruh dunia.

Konsert Celine cukup bertenaga

PENANTIAN untuk menyaksikan persembahan satu-satunya artis wanita paling berjaya di dunia ini akhirnya berbalas apabila Stadium Merdeka menjadi saksi dengan bergemanya suara lantang dan mantap oleh Celine.

Ternyata kehadirannya sememangnya dinantikan meskipun pada awalnya, konsertnya itu dijadualkan berlangsung pada 8 April lalu.

Tetapi disebabkan mengalami sakit tekak selepas mengadakan persembahan di beberapa buah bandar di Australia, konsertnya itu ditunda ke 13 April dan yang pastinya, itu sedikit pun tidak merobah kesetiaan peminatnya untuk menyaksikan persembahan hebat Celine.

Memulakan persembahannya tepat pukul 8.45 malam, hanya dengan mengenakan gaun pendek beserta seluar hitam panjang dan but hitam, Celine menyampaikan lagu I Drove All Night yang berjaya menimbulkan suasana yang cukup meriah dengan pekikan para peminatnya yang mahu mendengarkan sendiri kehebatan vokalnya secara langsung.

Malam yang dingin kerana hujan di sebelah siangnya menjadi hangat saat Celine melontarkan vokalnya menerusi lagu yang menaikkan namanya di persada muzik antarabangsa iaitu The Power of Love.

“Saya diberitahu ketika ini hujan tidak menentu di negara ini dan ia membuatkan saya begitu risau. Ternyata, malam ini begitu indah dengan sinaran bulan yang akan mengiringi persembahan saya malam ini,” kata Celine yang turut mengungkapkan ucapan ‘terima kasih’ di dalam bahasa Malaysia.

Meneruskan persembahannya dengan lagu Taking Chances, penyanyi ini membuktikan pada usia 40 tahun, suaranya masih lagi mantap dan ampuh sebagaimana dia mula menjengah pasaran muzik antarabangsa hampir 18 tahun yang lalu.

Aura

Rangkaian lagu-lagu It’s All Coming Back To Me Now, Because You Loved Me dan To Love You More sudah cukup membuktikan penyanyi ini mempunyai aura tersendiri yang tidak ada pada mana-mana penyanyi seangkatannya.

Tidak perlu menari lincah mahupun berceloteh panjang yang merapu, kekuatan Celine sememangnya terletak pada vokalnya yang mampu dan bisa menggamit pendengar dan penonton untuk terus menonton persembahannya meskipun ada beberapa lagu nyanyiannya kurang mesra di telinga terutama lagu-lagu dari album terbarunya, Taking Chances.

Hampir 20 buah lagu yang dinyanyikannya, sedikit pun tidak mendengar suaranya terkucil mahupun tergelincir dari landasannya.

Malah, rangkaian lagu-lagu rancak seperti Eyes On Me, I’m Alive, River Deep, Mountain High serta rangkaian lagu-lagu berentak soul seperti It’s a Man’s Man’s Man’s World, That’s Just the Woman in Me dan Love Can Move Mountains juga membuktikan C
line sememangnya penghibur sejati.

Bukan itu sahaja, kerana mengagumi kehebatan kumpulan rock legenda Queen terutama penyanyi utamanya, mendiang Freddie Mercury, Celine turut mengadakan segmen khas bagi mengenang kembali lagu-lagu kumpulan itu yang pernah menggegarkan dunia iaitu We Will Rock You dan The Show Must Go On dengan gayanya yang tersendiri.

Malah, Celine turut berduet dengan salah seorang penyanyi latarnya, Barnev Valsaint menerusi lagu I’m Your Angel yang sebelum ini R. Kelly yang menjadi pasangan duet Celine menerusi lagu indah itu.

Bagaikan tidak lengkap persembahannya tanpa menyampaikan lagu My Heart Will Go On, Celine sempat bertukar busana kepada gaun kuning cair sebelum mengalunkan lagu tema filem Titanic itu yang pernah mencipta fenomena besar pada tahun 1998.

Ternyata, sudah 10 tahun berlalu, kemantapan vokal Celine menerusi lagu ciptaan James Horner dan Will Jennings masih lagi ampuh dan berbisa serta mengimbau kembali nostalgia perjalanan filem paling laris di dunia itu.

Kehebatan Celine di atas pentas tidak boleh disangkal lagi dan ternyata dia sememangnya dilahirkan sebagai seorang penghibur hanya dengan berbekalkan suaranya yang mampu memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Beberapa artis tempatan dan seberang, turut hadir menyaksikan persembahan Celine antaranya Datin Seri Siti Nurhaliza yang sememangnya peminat setia Celine Dion turut hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Nora bersama suami, Johan Nawawi, Ezlynn, Fara Fauzana, Amy Searh dan isteri, Rossa, Ruth Sahanaya, serta Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Powered by Utusan Malaysia