Skip to content

Archive for April 13th, 2008

13
Apr

Nak Anak



Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

ImageShack
DATIN SERI Siti Nurhaliza sudah kerapkali ditanyakan soalan ini: “Bila hendak menimang cahaya mata?”

Dan minggu ini, dalam pengakuan eksklusifnya kepada VAZZ, dia mengaku telah bertemu beberapa pakar kesihatan sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan anak. Kata Siti, dia inginkan anak daripada benihnya sendiri termasuk tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF).

Ini mungkin berbeza daripada Erra Fazira yang telah mencongak untuk mengambil anak angkat dalam tempoh lima tahun mendatang seandainya belum diizinkan mempunyai zuriat sendiri.

Amy Search dan Ziana Zain yang sudah mempunyai zuriat pula seirama untuk menjaga tahap kesihatan demi mencapai sasaran mereka untuk memperoleh dua orang cahaya mata lagi.

Sebenarnya, dari segi perubatan, tahap kesuburan seorang wanita boleh bertahan selama 36 tahun bermula dari usia akil baligh (sekitar 12 tahun) sehingga umur 48 tahun.

Sementara bagi lelaki, biar tahap kesuburan boleh menurun, rata-rata mereka masih dianggap subur hingga ke akhir hayat selagi sperma dapat dihasilkan.

VAZZ meneropong pasangan selebriti yang baru mahu menimang cahaya mata atau yang ingin menambah bilangan anak.

Siti mungkin cuba kaedah tabung uji

ImageShack
BERCAKAP mengenai zuriat para selebriti, penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin sentiasa diperhatikan sejak bernikah dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada Ogos 2006.

Serangan soalan yang sama dan sesekali disulam persepsi nakal termasuk mereka merancang zuriat selain sempat difitnah sebagai tidak subur, sudah lama hinggap dan ditelan pahit oleh pasangan bahagia ini.

Sementelah, Siti telah mempunyai empat orang cahaya mata ’segera’ hasil perkongsian hidup suaminya yang kali terakhir mempunyai zuriat 10 tahun lalu dengan bekas isteri.

Namun baik Siti, 29, mahupun Khalid yang terkenal dengan gelaran Datuk K, 49, tetap menyambut kata-kata nakal tersebut dengan tahap kesabaran yang tinggi biar tiada siapa yang tahu jauh di sudut hati, nista itu cukup mengguris.

Tanpa lelah juga, Siti, dalam banyak pertemuan dengan media memberitahu sopan: “Siti belum mengandung,” atau, “Kami sedang berusaha, doakan kami segera menimang cahaya mata.”

Tidak berasa tertekan kerana belum berpeluang mengandung dan menganggap situasi ini normal kerana usia perkahwinannya baru ingin mencecah dua tahun, Siti optimis usaha yang berterusan bersama berkat doa, dia dan suami pasti mampu memperoleh zuriat.

Pokoknya kata Siti ringkas: “Mesti usaha dan jangan putus asa.”

Sementara saat diajukan tentang memilih alternatif memperoleh zuriat, sama ada mengambil anak angkat atau melalui proses pensenyawaan in vitro atau bayi tabung uji (disebut juga bayi biologikal) yang kini menjadi trend bagi selebriti Hollywood, Siti mempunyai pilihannya sendiri.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun berkali-kali memberitahu belum terdesak untuk mendapatkan zuriat. Dia juga menekankan sudah cukup ‘meriah’ dengan keletah anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendirinya.

Seiring itu, kata Siti juga, sejak mendirikan rumah tangga dia telah beberapa kali bertemu pakar sakit puan bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa stabil.

Tambah Siti: “Selain menjaga pemakanan dan mengambil vitamin kesihatan, melakukan pemeriksaan kesihatan bagi seorang wanita adalah penting.”

Info

Pasangan: Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, & Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49. Nikah: 21 Ogos 2006 Zuriat:Tiada

13
Apr

Siti Tidak Tolak Zuriat Tabung Uji

ImageShack
SITI NURHALIZA

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datin Seri Siti Nurhaliza yang kerap ditanya mengenai zuriat, tidak pernah berasa tertekan untuk segera menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, jika diberi pilihan, Siti, 29, tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF) berbanding mengambil anak angkat.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun menegaskan beliau belum terdesak melakukan kaedah tabung uji buat masa ini.

Tambah Siti yang menikahi usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49, pada 21 Ogos 2006, beliau juga gembira berkongsi kasih dengan empat anak tirinya hasil perkongsian hidup suaminya dahulu iaitu Mohamed Anas Zawawi, 21, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14, dan Mohamaed Aazief, 10.

13
Apr

Konsert Setiakawan 2 Simbol Keharmonian

Oleh WANDA IDRIS Foto RASHID MAHFOF

Dendangan lagu Memori daripada penyanyi empat negara dari kiri Yuni Shara, Maya Rahman, Misha Omar dan Fairuzneezan.

SEINDAH namanya, begitulah juga dengan hasrat murni penganjuran Konsert Setiakawan 2 yang dilangsungkan pada 5 April lalu di Dataran Merdeka. Tujuan penerbitannya tidak lain adalah untuk mempereratkan lagi hubungan sedia ada antara negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Dan hiburan merupakan antara medium terbaik untuk mengangkat hubungan serumpun yang tidak jauh beza adat, budaya dan bahasanya.

Ia juga menjadi sebuah manifestasi yang melambangkan keakraban persahabatan hubungan antara Malaysia dan negara-negara sejiran yang sentiasa berterusan dengan menjadikan laras seni dan budaya sebagai tonggak mengerat dan menyatukan hubungan keharmonian antara negara terbabit.

Berlandaskan kejayaan konsert pertamanya yang dilangsungkan sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia pada 11 Januari lalu, RTM sekali lagi mengangkat Konsert Setiakawan sebagai acara pengikat hubungan.

Bagaimanapun, kesinambungan konsert keduanya ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke-62 Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disambut pada 1 April lalu.

Penerbitnya, Ain Sabrina Onn mengakui berpuas hati dengan penerbitan ini dan menganggap ia satu kejayaan dalam usaha mendekati orang ramai khususnya para peminat setia RTM.

Berkonsepkan santai, Ain mempertaruhkan lebih banyak input hiburan yang dibuat di tempat terbuka walaupun terdapat risiko yang perlu diambil seperti keadaan cuaca yang tidak menentu di samping kelancaran sistem audio yang mungkin mengganggu penonton.

Namun pertaruhan itu tidak menghampakan kerana walaupun hujan pada sebelah petangnya, ruang dataran bersejarah itu tetap dipenuhi kira-kira 5,000 warga kota dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi di RTM2.

“Sebenarnya selain berhibur, turut memberikan satu ruang lain bagi rakan artis dan tenaga produksi yang membawa artis negara masing-masing ke sini untuk berkongsi rasa dan pengalaman,” kata Ain.

Melihatkan kejayaan sambutan konsert yang telah dilangsungkan, adalah menjadi satu harapan sekiranya program hiburan ini dijadikan acara khas untuk hiburan ramai. Malah adalah lebih baik sekiranya penerbitannya mendapat kolaborasi antara negara jiran terbabit agar ia sama-sama dapat ditonton khalayak luar.

“Memang kita mempunyai perancangan ke arah itu dan kita mengharapkan Konsert Setiakawan ini menjadi satu rancangan hiburan khas dan turut disiarkan secara langsung di negara-negara jiran terbabit,” jelas Ain.

Dijayakan oleh artis-artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar, Adibah Noor, David Arumugam (Alleycats), Elyana, kumpulan Sofaz, Suki, Izwan Pilus dan Prem Nath, Indonesia pula diwakili penyanyi saduran popularnya, Yuni Shara yang juga merupakan kakak kepada Kris Dayanti.

Sementara Singapura pula diwakili artis-artis seperti Ferhad, Ahli Fiqir dan Maiya Rahman manakala Brunei oleh Fairuzneezan dan Maria.

Persembahan mereka diiringi oleh pemuzik daripada Kombo RTM di bawah pimpinan Rusmadi Ramli dan digamatkan oleh pengacara Zul Yahya dan Sharifah Shahira.

“Penglibatan artis-artis negara jiran memang mendapat respons yang baik malah mereka sangat teruja untuk bertemu dengan para penggemar seni di sini. Malah kita memilih mereka kerana populariti di negara masing- masing di samping memperkenalkan mereka kepada penggemar seni muzik di negara ini.

“Maya misalnya kini merupakan artis yang sedang meningkat di Singapura. Begitu juga dengan Fairuzneezan yang semakin dikenali di negara Brunei,” kata Ain sambil memberitahu artis terbabit mahu terus menjalinkan hubungan kerjasama bersama RTM.

“Malah dengan kehadiran artis popular kita membuatkan konsert itu berjalan lancar,” tambahnya yang memuji komitmen artis tempatan terhadap penerbitan konsert Setiakawan 2 itu.

Konsert Setiakawan 2 membuka tirai persembahan dengan lagu Memori yang didendangkan oleh Misha Omar, Yuni Shara, Maya dan Fairuzneezan.

Pada persembahan yang dilangsungkan selama dua jam itu, kebanyakan lagu-lagu pilihan dendangan artis adalah daripada himpunan lagu-lagu malar segar. Tidak ketinggalan lagu-lagu popular masa kini antaranya yang didendangkan oleh penyanyi Elyana seperti lagu Kalis Rindu, Sembunyi (Misha Omar), Indah Lelapku (Izwan Pilus), Kukkoo (Ferhad) dan Nongkrong (Maiya Rahman).

Kumpulan Sofaz menghiburkan khalayak dengan lagu popular mereka, Cinta Dalam Hati dan Kepantasanku; Adibah Noor (Siapa Itu dan Cahaya) serta Yuni Shara (Tiada Maaf dan Oya). David Arumugam pula mempesonakan penonton dengan lagu popular Alleycats berjudul Hingga Akhir Nanti dan Sampaikan Salam.

Turut dipersembahkan ialah lagu-lagu paduan suara seperti lagu Persamaan antara Izwan Pilus dan Maiya Rahman; Misha Omar dan Ferhad (Inikah Cinta); Siti Nurhaliza dan Yuni Shara (Bukan Cinta Biasa) dan Elyana dan Maria (Akhirnya Kini Pasti).

Persembahan yang dinanti-nantikan tentunya kemunculan solo Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu popularnya Pastikan dan Ku Mahu sebelum kesemua artis bergabung di pentas menjayakan persembahan penutup dengan lagu Lets Dance Together.

Powered by Utusan Malaysia